اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2020: HUKUM WANITA ISTIHADAH SOLAT SUNAT TERLEBIH DAHULU SEBELUM SOLAT FARDU

HUKUM_WANITA_ISTIHADAH_SOLAT_SUNAT_TERLEBIH_DAHULU_SEBELUM_SOLAT_FARDU.jpg

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada soalan berkaitan solat sunat semasa istihadah. Jika saya mengalami istihadah, saya perlu segera mendirikan solat fardu selepas berwuduk. Jadi, adakah saya hanya boleh solat sunat selepas solat fardu jika mengalami istihadah?

Ringkasan Jawapan

Menurut mazhab Syafi‘i, wuduk orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas sah untuk satu solat fardu dan seberapa banyak solat sunat. Walaupun wanita dalam keadaan istihadah perlu bersegera menunaikan solat selepas bersuci dan berwuduk, namun dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat qabliyah kerana ia termasuk dalam perkara-perkara maslahat solat.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Menurut mazhab Syafi‘i, kaifiat bersuci dan mendirikan solat bagi wanita istihadah adalah sama seperti mereka yang sentiasa dalam keadaan berhadas seperti ditimpa masalah kencing tidak lawas. Perkara ini sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:

والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها فلو أخرت لمصلحة الصلاة كستر وانتظار جماعة لم يضر

Maksudnya: Wanita istihadah sentiasa dalam keadaan berhadas sama hukumnya dengan mereka mengalami kencing tidak lawas yang tidak terhalang untuk melaksanakan puasa dan solat. Wanita istihadah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan solat pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat dan menanti jemaah tidak membatalkan (wuduknya).  

Oleh yang demikian, setiap kali masuk waktu solat, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dilakukan oleh wanita istihadah sebelum mendirikan solat, iaitu:

1)     membasuh faraj

2)     menyumbat faraj dengan kapas dan membalutnya

3)     berwuduk

4)     hendaklah bersegera melaksanakan solat fardu

Hal ini kerana taharah (bersuci) wanita istihadah dan orang yang sentiasa berhadas hanya untuk mengharuskan ibadah dan bukannya untuk menghilangkan hadas.[1]

Dalam keadaan perlu bersegera melaksanakan solat fardu selepas berwuduk, orang yang sentiasa berhadas boleh melambatkan solat pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat dan menanti jemaah dan perkara-perkara tersebut tidak membatalkan (wuduknya). Begitu juga melaksanakan solat sunat qabliyah iaitu solat sunat sebelum solat fardu juga termasuk antara kemaslahatan solat[2] sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syarawani[3] dalam Hasyiyah-nya:

قَالَ فِي شَرْحِ الْعُبَابِ وَلَهَا التَّأْخِيرُ لِصَلَاةِ الرَّاتِبَةِ الْقَبْلِيَّةَ

Maksudnya: (Imam Ibn Hajar) berkata dalam Syarh al-’Ubab, wanita yang sedang istihadah dibolehkan melambatkan solat fardu untuk melaksanakan solat sunat rawatib qabliyah.

Walau bagaimanapun, wanita istihadah atau orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas boleh melaksanakan seberapa banyak solat sunat menggunakan satu wuduk sebagaimana yang disebutkan dalam petikan[4] berikut:

(وَيَجِبُ الْوُضُوءُ لِكُلِّ فَرْضٍ) وَلَوْ مَنْذُورٌ أَوْ تَتَنَفَّلُ مَا شَاءَتْ

Maksudnya: Diwajibkan wuduk (ke atas wanita istihadah) bagi setiap solat fardu termasuk solat yang dinazarkan, tetapi dibolehkan mendirikan solat sunat (sebanyak mana) yang dikehendaki.

Kesimpulan

Secara asasnya, wuduk orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas sah untuk satu solat fardu dan seberapa banyak solat sunat.

Wanita dalam keadaan istihadah perlu bersegera menunaikan solat selepas bersuci dan berwuduk, namun dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat qabliyah kerana ia termasuk dalam perkara-perkara maslahat solat.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] al-Jamal, Sulaiman bin Umar. Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, T.t.) 1:244.

أَنَّ كُلًّا مِنْ الْمُتَيَمِّمِ وَدَائِمِ الْحَدَثِ طُهْرُهُ مُبِيحٌ لَا رَافِعٌ انْتَهَتْ.

[2] Ibn Hajar al-Haithami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarawani wa al-‘Abadi. (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-’Arabi, T.t.). 1:396.

(فَلَوْ أَخَّرَتْ لِمَصْلَحَةِ الصَّلَاةِ كَسَتْرٍ) لِعَوْرَةٍ (وَانْتِظَارِ جَمَاعَةٍ) مَشْرُوعَةٍ لَهَا وَإِجَابَةِ مُؤَذِّنٍ وَإِقَامَةٍ وَأَذَانٍ لِسَلِسٍ وَذَهَابٍ إلَى الْمَسْجِدِ الْأَعْظَمِ إنْ شُرِعَ لَهَا (لَمْ يَضُرَّ) لِنَدْبِ التَّأْخِيرِ لِذَلِكَ فَلَا تُعَدَّ بِهِ مُقَصِّرَةً

[حاشية الشرواني]

قَوْلُ الْمَتْنِ (وَانْتِظَارِ جَمَاعَةٍ) هَلْ يَدْخُلُ فِيهِ مَا لَوْ تَيَقَّنَتْهَا آخَرَ الْوَقْتِ أَوْ ظَنَّتْهَا عَلَى مَا مَرَّ فِي التَّيَمُّمِ قَالَ فِي شَرْحِ الْعُبَابِ وَلَهَا التَّأْخِيرُ لِصَلَاةِ الرَّاتِبَةِ الْقَبْلِيَّةَ

[3] al-Syarawani, ‘Abd al-Hamid. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarawani wa al-‘Abadi. (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-’Arabi, T.t.). 1:396.

[4] Tuhfah al-Muhtaj. 1:397.