SOALAN
Assalamualaikum wbt. Saya nak tanya, apakah hubungan dan batas pergaulan antara anak lelaki yang dilahirkan luar nikah dengan anak perempuan yang dilahirkan selepas berkahwin? Kedua-duanya lahir daripada ibu dan ayah yang sama. Harta pusaka nanti juga bagaimana?
RINGKASAN JAWAPAN
Anak luar nikah dan adik-beradiknya yang lain yang lahir selepas kedua ibu bapa mereka bernikah ialah adik beradik seibu sahaja walaupun mempunyai bapa yang sama dari sudut biologinya. Hal ini kerana anak luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa dari sudut syarak.
Namun begitu, anak luar nikah dan adik-beradiknya yang lain merupakan mahram muabbad yang tidak boleh berkahwin satu sama lain selama-lamanya. Berkaitan dengan hubungan dan pergaulan, mereka boleh melakukan perkara yang halal dilakukan sebagaimana hubungan antara adik-beradik kandung menurut syarak. Dari sudut pewarisan harta pula, mereka akan mewarisi satu sama lain sebagai saudara seibu iaitu berkongsi bahagian 1/3 sekiranya bilangan mereka ramai atau 1/6 sekiranya bilangannya seorang.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Penasaban anak luar nikah hanya sabit kepada ibu kerana nasab kepada ibu ditetapkan dengan proses melahirkan anak itu sendiri. Ijmak ulama menyatakan bahawa anak luar nikah adalah mahram kepada ibunya seperti yang dinyatakan berikut:
(وَيَحْرُمُ عَلَى الْمَرْأَةِ) وَعَلَى سَائِرِ مَحَارِمِهَا (وَلَدُهَا مِنْ زِنَا، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) إجْمَاعًا لِأَنَّهُ بَعْضُهَا وَانْفَصَلَ مِنْهَا إنْسَانًا
Maksudnya: Ijmak ulama menyatakan bahawa seorang wanita dan semua mahramnya ialah mahram kepada anak yang dilahirkan disebabkan zina kerana anak tersebut ialah sebahagian daripadanya dan telah dilahirkan olehnya. [1]
Dari sudut penasaban kepada bapa, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau suami ibunya. Menurut Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 13 September 2017, anak tidak sah taraf ialah:
(a) anak yang dilahirkan hasil –
(i) persetubuhan yang berlaku sebelum akad nikah sama ada akibat zina atau rogol; atau
(ii) melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum Syarak, dan bukan anak yang dilahirkan hasil daripada persetubuhan syubhah atau bukan anak perhambaan; atau
(b) anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan mengikut takwim qamariah dari tarikh akad nikah.
Oleh sebab tiada sabitan nasab anak kepada bapa biologinya, maka anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi bapa biologinya waris-waris lain di sebelah bapa secara faraid. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut:
أَيُّمَا رَجُلٍ عَاهَرَ بِحُرَّةٍ أَوْ أَمَةٍ فَالوَلَدُ وَلَدُ زِنَا لَا يَرِثُ وَلَا يُورَثُ
Maksudnya: Mana-mana lelaki yang berzina dengan seorang wanita merdeka atau hamba wanita, maka anak yang dilahirkan kerana itu ialah anak zina. Dia tidak mewarisi bapanya dan juga tidak diwarisi oleh bapanya.
(Riwayat al-Tirmizi)
Berkaitan hubungan adik-beradik, Imam al-Khatib al-Syirbini menerangkan maksud saudara perempuan yang diharamkan untuk berkahwin seperti berikut:
(الْأَخَوَاتُ) جَمْعُ أُخْتٍ. وَضَابِطُهَا كُلُّ مَنْ وَلَدَهَا أَبَوَاك أَوْ أَحَدُهُمَا فَأُخْتُك
Maksudnya: Al-akhawat merupakan frasa ramai bagi ukht. Asasnya ialah setiap perempuan yang dilahirkan hasil daripada kedua ibu bapa atau salah seorang daripada keduanya (sebapa atau seibu), maka dia adalah saudara perempuan.[2]
Justeru itu, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sama ialah adik-beradik seibu yang merupakan mahram muabbad (selama-lamanya). Situasi ini termasuklah sama ada adik-beradik tersebut berstatus sah taraf atau tidak walaupun berkongsi bapa yang sama.
Manakala dalam pewarisan harta pusaka, mereka boleh mewarisi antara satu sama lain melalui hubungan adik-beradik seibu. Saudara seibu akan mewarisi ⅙ bahagian daripada harta peninggalan sekiranya hanya seorang atau berkongsi ⅓ bahagian sekiranya mereka lebih daripada seorang berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ
Maksudnya: Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan).
Surah al-Nisaa’ (12)
Kesimpulan
i. Pergaulan dan batas aurat antara anak luar nikah dengan adik adik beradik yang dilahirkan dalam perkahwinan yang sah adalah seperti mana pergaulan antara adik-beradik kandung.
ii. Anak luar nikah hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja tidak termasuk bapa biologi kerana kelahiran anak itu hasil daripada perbuatan zina dan di luar nikah. Maka anak luar nikah dan adik beradiknya yang lain bukan seperti ajnabi bahkan mereka adalah adik-beradik seibu dan haram berkahwin antara satu sama lain.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Ramli, Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 6:272.
[2] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). 4:289.