اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2040: HUKUM MENGECAS KENDERAAN ELEKTRIK DI PEJABAT

HUKUM_MENGECAS_KENDERAAN_ELEKTRIK_DI_PEJABAT.jpg

Soalan:

Mohon penjelasan bagi hukum pekerja mengecas kereta elektrik di pejabat. Ada yang berpendapat samakan perkara tersebut dengan mengecas telefon dan komputer riba untuk kerja. Sesetengah golongan mengatakan perkara tersebut dibolehkan kerana banyak berkorban duit untuk pekerjaannya dan telah melakukan kerja lebih masa. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Penggunaan elektrik di sesebuah tempat kerja bagi tujuan-tujuan peribadi seperti pengecasan kereta elektrik secara umumnya adalah dianggap sebagai menggunakan harta milik orang lain kerana penggunaan elektrik tersebut akan ditanggung kos pembayarannya oleh orang lain. Justeru, penggunaan elektrik bagi tujuan pengecasan kenderaan elektrik di pejabat mestilah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak majikan atau pemilik premis sesebuah tempat kerja.

Huraian Jawapan:

Kenderaan elektrik (Electric Vehicle) ialah kenderaan yang digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, yang memperoleh kuasa daripada bateri yang boleh dicas semula. Kenderaan jenis ini berbeza dengan kenderaan konvensional yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan bahan bakar seperti petrol atau diesel kerana ia bergantung kepada elektrik sebagai sumber tenaga utamanya.

Antara kelebihan kenderaan ini ialah mesra alam kerana boleh membantu mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau. Selain itu, kenderaan ini menggunakan bateri dan perlu dicas. Kebiasaannya, kos elektrik untuk pengecasannya adalah lebih rendah berbanding kos petrol atau diesel.[1] Walaupun kenderaan ini mempunyai kelebihan yang hanya menggunakan bateri dan perlu dicas semula namun adakah dibolehkan mengecasnya di bangunan tempat kerja?

Hukum Penggunaan Elektrik Di Tempat Kerja Untuk Tujuan Peribadi

Dalam konteks semenanjung Malaysia, penggunaan elektrik secara umumnya dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan caj bayaran penggunaan tersebut dikenakan terhadap pemilik akaun elektrik bagi sesebuah premis mengikut tarif yang telah ditetapkan. Oleh itu secara asasnya, setiap penggunaan elektrik akan menyebabkan pemilik akaun perlu membayar caj penggunaan elektrik kepada pihak TNB mengikut kadar penggunaan tersebut.

Justeru, setiap penggunaan elektrik perlu mendapatkan keizinan daripada pemilik akaun elektrik yang biasanya ialah pemilik sesebuah premis yang akan membuat bayaran penggunaan elektrik pada setiap bulan. Setiap penggunaan yang tidak mendapatkan keizinan adalah dihukumkan sebagai haram kerana ia termasuk daripada menggunakan harta orang lain tanpa kerelaan pemiliknya. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا لَا تَظْلِمُوا ، إِنَّهُ لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ

Maksudnya:Ketahuilah! Janganlah kamu menzalimi (sesiapa), sesungguhnya tidak halal harta seseorang melainkan dengan kerelaan hatinya”.

[Riwayat Ahmad]

Imam al-Ramli juga ada membincangkan mengenai hukum yang hampir sama dengan permasalahan ini iaitu perbuatan mengambil buku orang lain tanpa kebenarannya. Kata Imam al-Ramli:[2]

وَمِنْ ذَلِكَ أَخْذُ كِتَابِ غَيْرِهِ مَثَلًا ‌بِلَا ‌إذْنٍ ‌فَلَا ‌يَجُوزُ لِمَا فِيهِ مِنْ الِاسْتِيلَاءِ عَلَى حَقِّ الْغَيْرِ بِغَيْرِ رِضَاهُ وَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya:Termasuk dalam hal itu juga ialah perbuatan mengambil buku orang lain sebagai contoh, tanpa keizinan. Maka ia tidak harus kerana padanya ada unsur menguasai hak orang lain tanpa kerelaannya dan perbuatan itu adalah haram.

Perbuatan mengecas kenderaan elektrik secara umumnya tidak boleh disamakan dengan perbuatan mengecas telefon bimbit atau seumpamanya. Hal ini demikian kerana pengecasan telefon bimbit membabitkan penggunaan elektrik yang sangat sedikit dan juga telefon bimbit dalam konteks semasa biasanya berkait dengan urusan kerja.[3]

Manakala penggunaan elektrik bagi tujuan pengecasan kenderaan elektrik pula membabitkan penggunaan elektrik yang signifikan untuk mendapatkan keizinan terlebih dahulu kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan seperti ketidakadilan antara pekerja dan juga kadar caj penggunaan elektrik yang meningkat yang boleh menjejaskan kelancaran operasi sesebuah organisasi. Justeru, penggunaan seperti ini adalah diharamkan bersandarkan kaedah fiqah:[4]

الضرر يزال

Maksudnya:Kemudaratan hendaklah dihilangkan”.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa penggunaan elektrik di pejabat bagi tujuan pengecasan kenderaan elektrik tanpa keizinan adalah tidak dibolehkan kerana ia dianggap sebagai menggunakan atau mengambil harta tanpa keizinan pemiliknya. Hal ini menunjukkan pekerja tersebut mengambil kesempatan atas kemudahan tempat kerja demi kepentingan peribadi.

Namun, jika ada kebenaran dan keizinan daripada majikan tempat kerja tersebut serta tidak melanggar polisinya, maka ia diharuskan. Pihak majikan juga boleh melihat perkara ini sebagai salah satu daripada penjagaan kebajikan terhadap pekerjanya kerana sesetengah majikan juga turut memberikan elaun petrol kepada pekerjanya yang menggunakan kenderaan peribadi kerana kereta syarikat tidak disediakan.

Selain itu, pihak majikan juga boleh menyediakan kemudahan untuk mengecas kenderaan di premis tempat kerja, dan dalam masa yang sama menyediakan tabung sumbangan untuk menyemarakkan lagi sikap suka bersedekah dan bantu-membantu antara satu sama lain. Tabung tersebut boleh dijadikan sebagai tabung untuk menampung kos-kos penyediaan tempat pengecasan, serta untuk kebajikan pekerja dan sebagainya.

Wallāhu Aʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk: https://evmalaysia.my/kelebihan-kereta-elektrik/.

[2] Shams al-Dīn al-Ramliy (1984), Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj. Beirut: Dar al-Fikr, 4:411.

[3] Untuk penjelasan lanjut mengenai hukum mengecas telefon bimbit di pejabat, sila rujuk artikel kami di pautan: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4566-al-kafi-1740-hukum-mengecas-telefon-di-pejabat

[4] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Sayutiy (1983), al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 7.