اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2046: ISU BERKAITAN PENGARUH PERMAINAN VIDEO YANG MEMBAWA KEPADA PERLAKUAN GANAS

ISU_BERKAITAN_PENGARUH_PERMAINAN_VIDEO_YANG_MEMBAWA_KEPADA_PERLAKUAN_GANAS.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang isu terkini yang berlaku di mana seorang kanak-kanak dikatakan mencederakan adiknya kerana pengaruh daripada permainan video yang dia bermain. Apakah pandangan syarak terhadap perbuatan bermain permainan video seperti itu sehingga membawa kepada perlakuan ganas seperti itu?

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum bermain permainan video yang membawa perlakuan ganas khususnya bagi golongan yang mudah terpengaruh seperti kanak-kanak dan remaja adalah haram. Oleh yang demikian, ia perlu untuk dikawal dan dibendung supaya tidak berlaku perlakuan ganas kepada diri mereka sendiri dan orang di sekelilingnya.

Waallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada umumnya dalam hal berkaitan permainan video ini, hukum asalnya adalah harus kerana tiada nas atau dalil yang mengharamkannya. Oleh yang demikian, ia mengambil hukum asalnya iaitu harus.[1] Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu (yang bermanfaat) adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan ke atas pengharamannya.

Walau bagaimanapun, hukum ini boleh berubah kepada makruh atau haram apabila permainan tersebut membawa kepada perkara yang negatif seperti melalaikan, membuang masa dan menimbulkan kemudaratan, apatah lagi sekiranya melanggar Maqasid Shariah. Apabila diperhatikan dengan lebih mendalam, terdapat beberapa kerosakan dan kemudaratan yang boleh berlaku akibat daripada permainan video yang ganas ini seperti pengaruh yang menyebabkan seseorang ingin menirunya, menyebabkan ketagihan dalam bermain dan mengabaikan tanggungjawab kerana dilalaikan dengan permainan dan sebagainya.

Semua perkara ini secara pasti akan berlaku kepada seseorang yang tidak mempunyai benteng keimanan dalam diri yang kukuh. Oleh yang demikian, sekiranya hal ini berlaku, sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan yang mengancam beberapa maqasid yang dijaga oleh syarak iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) dan hifz al-‘aql (pemeliharaan akal). Oleh itu, berdasarkan kaedah fiqh sekiranya sesuatu itu secara sangkaan kuatnya akan membawa kepada perkara yang haram, maka perkara tersebut juga menjadi haram.

‌مَا ‌يَقْطَعُ ‌بِتَوْصِيلِهِ ‌إلَى ‌الْحَرَامِ ‌فَهُوَ ‌حَرَامٌ

Maksudnya: Apa yang pasti membawa kepada perkara yang haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Hal ini bergantung kepada keadaan dan situasi setiap individu secara spesifik dimana seseorang pasti terpengaruh kepada perbuatan tersebut seperti kanak-kanak dan remaja yang masih mentah pemikirannya. Oleh yang demikian, hukum pengharaman disebabkan hal ini bergantung kepada ‘illahnya berdasarkan kaedah:

‌الحكم ‌يدور ‌مع العلة وجوداً وعدماً.

Maksudnya: Hukum itu beredar bersama dengan illahnya pada kewujudan dan ketiadaan hukum.

Tambahan pula, bagi golongan kanak-kanak dan remaja ini ia akan membawa kepada kesan negatif terhadap psikologi dan potensi sosial. Antara kesan negatif yang dikenal pasti termasuk kehilangan empati, munculnya kata-kata kotor dan kasar serta kecenderungan tingkah laku agresif yang tidak dapat dikawal.

Dalam perkembangan terkini, pihak kerajaan juga telah menyatakan hasrat untuk meneliti mekanisme terbaik dalam mengawal selia permainan video dalam talian bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang pada masa yang akan datang.[2] Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bersetuju dan menyokong penuh usaha ini bagi mengelakkan daripada pendedahan unsur-unsur berbahaya dan ekstrim daripada permainan video ini yang merosakkan pemikiran dan psikologi kanak-kanak di Malaysia.

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum bermain permainan video yang berunsurkan keganasan dan ekstrim khususnya kepada golongan yang pasti akan terpengaruh seperti kanak-kanak dan remaja adalah haram. Oleh yang demikian, ia perlu untuk dikawal dan dibendung sebagai langkah untuk mencegah daripada perbuatan-perbuatan yang akan membawa kemudaratan kepada diri kanak-kanak tersebut dan orang yang berada di sekelilingnya.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, (Damsyik: Dar al-Khair, 2006), jld. 1, hlmn. 376.

الإباحة الأصلية للفعل عند عدم الأمر به أو النهي عنه، لأن المقرر في الشريعة الغراء أن ‌الأصل ‌في ‌الأشياء ‌الإباحة، فإن لم يرد نص شرعي في مسألة ما فيكون حكمها الإباحة لاستصحاب الأصل فيها.

[2] Rujuk: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-teliti-mekanisme-terbaik-kawal-selia-permainan-video-dalam-talian-fahmi-545375