اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2047: HUKUM BAYI MENYUSU DARIPADA RAMAI WANITA, ADAKAH SABIT IBU SUSUAN ?

HUKUM_BAYI_MENYUSU_DARIPADA_RAMAI_WANITA_ADAKAH_SABIT_IBU_SUSUAN.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Ketika anak lelaki saya masih kecil iaitu berumur kurang daripada dua tahun, saya pernah mencampurkan susu saya yang telah diperah dengan susu isteri kepada abang saya. Saya melakukan sedemikian kerana banyak lebihan baki susu dan saya merasakan satu pembaziran jika dibuang. Persoalannya, adakah sabit susuan kerana campuran tersebut? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti 

Ringkasan Jawapan:

Susu wanita yang bercampur dengan susu wanita lain boleh mensabitkan hukum ibu susuan bagi kedua-dua wanita tersebut. Hal ini sekiranya campuran susu itu diminum dalam kadar yang menepati syarat-syarat penyusuan serta diminum oleh bayi yang berumur tidak melebihi dua tahun qamariah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Allah SWT telah mensyariatkan hukum penyusuan bagi bayi yang disusui oleh wanita asing dalam firman-Nya:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu”.

Surah al-Baqarah (233)

Ibn Kathir mensyarahkan ayat di atas bahawa syariat tidak menghalang sekiranya ibu bapa bersetuju untuk menyerahkan hak penyusuan kepada wanita asing sama ada disebabkan ketidakmampuan ibu kandung untuk menyusukan anaknya atau keuzuran pada bapa anak tersebut.[1]

Selain itu, terdapat syarat-syarat penyusuan yang menyebabkan seorang bayi itu menjadi mahram kepada wanita yang menyusuinya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-96 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah memutuskan bahawa bayi itu sah menjadi anak susuan kepada wanita yang menyusuinya apabila cukup syarat-syarat penyusuan berikut:

  1. Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
  2. Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
  3. Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.[2]

Berhubung permasalahan percampuran susu wanita dengan wanita lain, Syeikh Khatib al-Syirbini menyatakan:[3]

وَلَبَنُ الْمَرْأَتَيْنِ الْمُخْتَلِطُ يُثْبِتُ أُمُومَتَهُمَا، وَفِي الْمَغْلُوبِ مِنْ اللَّبَنَيْنِ التَّفْصِيلُ الْمَذْكُورُ فَيُثْبِتُ الْأُمُومَةَ الْغَالِبَةَ اللَّبَنُ، وَكَذَا لِمَغْلُوبَتِهِ بِشَرْطِهِ السَّابِقِ

Maksudnya: "Susu dua orang wanita yang bercampur disabitkan hukum ibu susuan bagi kedua-duanya. Adapun bagi susu wanita yang lebih sedikit daripada keduanya, maka perincian telah disebutkan. Hukum ibu susuan disabitkan bagi wanita yang susunya lebih dominan. Begitu juga bagi wanita yang susunya kurang dominan, maka (pensabitan penyusuan) adalah berdasarkan syarat-syarat yang telah disebutkan”.

Menurut pendapat muktamad Mazhab Syafi’i, susu wanita yang bercampur dengan susu wanita lain boleh disabitkan hukum penyusuan berdasarkan syarat-syarat berikut:[4]

  1. Susu yang lebih dominan akan menyebabkan pengharaman jika campuran itu diminum sepenuhnya atau sebahagiannya sahaja oleh bayi sehingga mencapai lima kali kenyang.
  2. Susu yang kurang dominan tidak akan menyebabkan pengharaman jika campuran itu diminum sebahagian sahaja berdasarkan pendapat yang kuat. Hal ini kerana, susu yang kurang dominan dianggap seperti tiada. Namun, menurut pendapat yang lemah di sisi ulama mazhab Syafi’i juga merupakan pandangan yang kuat oleh Imam Syafi’i menyatakan bahawa susu yang kurang dominan juga memberi kesan kepada pensabitan penyusuan walaupun hanya diminum sebahagiannya sahaja. Hal ini kerana, terhasil makna zat susu itu sampai ke dalam perut bayi.

Kesimpulan

Susu wanita yang bercampur dengan susu wanita lain boleh mensabitkan hukum ibu susuan bagi kedua-dua wanita tersebut. Hal ini sekiranya campuran susu itu diminum dalam kadar yang menepati syarat-syarat penyusuan serta diminum oleh bayi yang berumur tidak melebihi dua tahun qamariah.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail. Tafsir al-Quran al-’Azim. (Mesir: Maktabah Qurtubiyyah, 2000). Jld 2. Hlm 377.

وَقَوْلُهُ: ﴿وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلادَكُمْ فَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ﴾ أَيْ: إِذَا اتَّفَقَتِ الْوَالِدَةُ وَالْوَالِدُ عَلَى أَنْ يَتَسَلَّمَ مِنْهَا الْوَلَدَ إِمَّا لِعُذْرٍ مِنْهَا، أَوْ عُذْرٍ لَهُ، فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِي بَذْلِهِ

[2] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10282

[3] Al-Khatib al-Syirbini,Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5 hlm 126.

[4] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2010). Jld 4. Hlm 322.

فإن كان اللبن غالباً تعلقت الحرمة بالمخلوط قولاً واحداً، إن شرب الولد منه خمس مرات، وإن كان اللبن مغلوباً، فالأظهر أنه يتعلق به التحريم، لوصول عين اللبن في الجوف، وذلك هو المعتبر، إن شرب جميع المخلوط، وبما يكفي خمس رضعات، فإن شرب بعضه فلا يتعلق به تحريم على الأصح؛ لأنا لم نتحقق وصول اللبن.