اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2057: HUKUM MELAKUKAN SOLAT QADA’ SEMASA KHUTBAH JUMAAT

HUKUM_MELAKUKAN_SOLAT_QADA_SEMASA_KHUTBAH_JUMAAT.jpg

Soalan:

Saya baru tahu bahawa tidak boleh qada solat semasa khutbah Jumaat. Sebelum ini saya sudah menggantikan beberapa solat fardhu semasa khatib berkhutbah. Soalannya, adakah saya perlu menggantikan semula solat fardhu yang telah diqadakan itu? Bagaimana jika saya sudah lupa bilangan yang telah saya qadakan sebelum ini.

Ringkasan Jawapan:

Hukum melakukan qada’ solat fardu ketika khatib sedang menyampaikan khutbah adalah haram dan solat yang dilakukan pada waktu tersebut tidak sah. Namun, jika seseorang terlupa bilangan rakaat yang perlu digantikan, maka menurut pendapat yang lebih kuat di sisi mazhab Syafi’i, dia hendaklah menggantikannya sehingga dia pasti bahawa semua solat yang perlu diqada’ telah pun digantikan dengan sempurna.

Huraian Jawapan:

Antara perkara yang disunatkan ketika hari Jumaat di sisi mazhab Syafi’i adalah mendengar khutbah melainkan pada keadaan-keadaan tertentu seperti memaklumkan kepada orang buta yang ingin terjatuh ke dalam telaga, menjawab dalam dan berselawat kepada Nabi SAW. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏.‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diam!” ketika imam sedang berkhutbah (pada hari Jumaat), maka sesungguhnya kamu telah lagha.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan tentang larangan untuk bercakap-cakap ketika khutbah Jumaat. Hal ini kerana jika menyuruh orang lain untuk membuat kebaikan seperti menyuruh untuk diam dilarang maka perbuatan yang lain adalah lebih wajar dilarang[1].

Walau bagaimanapun bagi orang yang datang ketika imam sedang menyampaikan khutbah maka disunatkan untuk dia melakukan solat sunat tahiyyat masjid dua rakaat. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah:

إِذَا ‌جَاءَ ‌أَحَدُكُمْ ‌يَوْمَ ‌الْجُمُعَةِ، ‌وَالْإِمَامُ ‌يَخْطُبُ، ‌فَلْيَرْكَعْ ‌رَكْعَتَيْنِ، ‌وَلْيَتَجَوَّزْ ‌فِيهِمَا

Bermaksud: “Sekiranya seseorang datang ke (masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan hendaklah meringkaskan kedua-dua rakaat.”

Riwayat Muslim (59)

Menurut mazhab Syafi‘i, apabila imam telah naik ke atas mimbar, makruh bagi seseorang menunaikan sebarang solat kecuali dua rakaat solat sunat Tahiyyatul Masjid yang sebaiknya dilakukan secara ringkas. Namun, jika seseorang belum menunaikan solat sunat sebelum Jumaat, dia boleh melaksanakan dua rakaat tersebut secara ringkas, dan itu sudah memadai sebagai ganti Tahiyyatul Masjid[2].

Selain itu, diharamkan untuk seseorang melakukan solat fardhu semasa imam sedang menyampaikan khutbah. Solat fardu yang dilakukan pada waktu tersebut dianggap tidak sah menurut pendapat yang lebih kuat[3]. Oleh itu, walaupun seseorang teringat solat fardu yang wajib diqada, dia tetap tidak boleh melaksanakan solat pada waktu tersebut. Syeikh al-Baijuri ada menyebutkan:

لو تذكر فرضا فلا يصليه في هذا الوقت وإن كان قضاؤه على الفور

Maksudnya: “Jika seseorang itu teringat solat fardhu yang wajib diqada’, maka dia tidak dibolehkan melaksanakannya pada waktu tersebut (iaitu ketika khatib di atas mimbar) walaupun solat qadanya tersebut wajib dilakukan segera[4].”

Mengenai soalan yang ditanyakan jika seseorang itu terlupa jumlah bilangan solat yang perlu dia qada maka menurut pendapat yang kuat di sisi mazhab Syafi’i hendaklah dia menggantikan solat tersebut sehingga dia benar-benar yakin telah menggantikan kesemua solat tersebut. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh Imam Qadi Husain iaitu salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i[5].

Kesimpulan

Hukum melakukan qada’ solat fardu ketika khatib sedang menyampaikan khutbah adalah haram dan solat yang dilakukan pada waktu tersebut tidak sah.

Jika seseorang terlupa bilangan rakaat yang perlu digantikan, maka menurut pendapat yang lebih kuat di sisi mazhab Syafi’i, dia hendaklah menggantikannya sehingga dia pasti bahawa semua solat yang perlu diqada’ telah pun digantikan dengan sempurna.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:  

[1] Zakaria al-Ansari, Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Riyadh: Maktabah al-Rusyd li Nasyr wa al-Tauzi’(2005), jld. 2, hlm. 641.

النهي عن جميع الكلام حال الخطبة، والتنبيه بهذا على ما سواه؛ لأن الأمر بالمعروف إذا كان لغوا، فغيره أولى،

[2] Khatib al-Syirbini, Mughi al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1994), jld. 1, hlm. 554.

وتستثنى التحية لداخل المسجد والخطيب على المنبر فيصليها ندبا مخففة وجوبا لخبر مسلم «جاء سليك الغطفاني يوم الجمعة والنبي - صلى الله عليه وسلم - يخطب فجلس، فقال له يا سليك قم فاركع ركعتين وتجوز فيهما. ثم قال: إذا جاء أحدكم يوم الجمعة والإمام يخطب فليركع وليتجوز فيهما» (١) هذا إن صلى سنة الجمعة وإلا صلاها مخففة وحصلت التحية، ولا يزيد على ركعتين بكل حال، فإن لم تحصل تحية كأن كان في غير مسجد لم يصل شيئا،

[3] Syamsuddin al-Ramli, Tuhfah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Beirut: Dar al-Fikr (1984), jld. 2, hlm. 321.

ومتى حرمت الصلاة، فالأوجه كما في التدريب عدم انعقادها كالصلاة في الأوقات الخمسة المكروهة بل أولى،

-------------------------------------------------

وَيُسَنُّ الْإِنْصَاتُ وَيَحْرُمُ إجْمَاعًا صَلَاةُ فَرْضٍ أَوْ نَفْلٍ وَلَوْ فِي حَالِ الدُّعَاءِ لِلسُّلْطَانِ اهـ.

[4] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Beirut: Dar al-Fikr (2009), jld. 1, hlm. 330.

[5] Ibid, jld. 1, hlm. 383.

ومن عليه فوائت لا يعرف عددها قال القفال: يقضي ما تحقق تركه، وقال القاضي الحسين: يقضي ما زاد على ما تحقق فعله وهو الأصح.