اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2058: MENYINGKAP KESAHIHAN KISAH PARA NABI PADA HARI ASYURA

 

menyingkap_kesahihan_cerita_hari_asyura.JPG

Soalan

Salam SS Mufti, bolehkah dijelaskan berkenaan status kisah-kisah ini? Saya dapat daripada whatsapp group ada ahli kariah yang sebarkan. Ini mesejnya:

PERISTIWA-PERISTIWA PADA 10 MUHARRAM

1. Kapal Nabi Nuh AS selamat berlabuh di Bukit Zuhdi.

2. Nabi Ibrahim AS selamat dari siksaan api Raja Namrud.

3. Kesembuhan Nabi Yaakub AS dari kebutaan.

4. Nabi Musa AS dan pengikut selamat dari Fir'aun.

5. Nabi Isa AS diangkat ke Syurga.

6. Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub AS.

7. Allah terima taubat Nabi Adam AS.

8. Nabi Yunus AS selamat dari perut ikan paus.

9. Nabi Yusuf AS bebas dari penjara.

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan dalil yang sahih, hanya peristiwa penyelamatan Nabi Musa AS serta para pengikut baginda daripada kezaliman Firaun yang terbukti berlaku pada hari Asyura. Sebaliknya, menurut pandangan para ulama, kebanyakan kisah lain mengenai para nabi yang dikaitkan dengan 10 Muharram adalah tidak mempunyai asal usul (la asla lahu). Kelebihan hari Asyura yang paling utama adalah pensyariatan puasa sunat yang berupaya menghapuskan dosa-dosa kecil bagi tempoh setahun yang lalu. Selain itu, umat Islam sangat digalakkan untuk berpuasa pada 9 Muharram bagi membezakan amalan tersebut dengan tradisi kaum Yahudi.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, serta para sahabat yang mengikuti jejak langkah baginda sehinggalah ke hari akhirat.

Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharram merupakan antara hari yang sangat mulia dalam kalendar Islam. Walau bagaimanapun, lambakan peristiwa di media sosial sering kali mencampuradukkan antara fakta yang sahih daripada wahyu dengan kisah-kisah yang tidak mempunyai sandaran yang sahih.

Berdasarkan penelitian, hanya ada satu peristiwa utama yang disepakati kesahihannya berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim iaitu peristiwa diselamatkannya Nabi Musa AS dan pengikutnya daripada kezaliman Firaun. Lafaznya seperti berikut:

قَدِمَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ . فَقَالَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم لأَصْحَابِهِ «أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ ، فَصُومُوا».

Maksudnya: Ketika Nabi SAW sampai di Madinah, sementara orang yahudi berpuasa Asyura’. Mereka mengatakan: Ini adalah hari di mana Musa menang melawan Fir’aun. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada para sahabat: “Kalian lebih berhak untuk bangga terhadap Musa dari pada mereka (orang yahudi), karena itu berpuasalah.

(Riwayat al-Bukhari)

Peristiwa agung inilah dianggap sebagai tunjang utama pensyariatan puasa Asyura’ kerana ia disandarkan kepada dalil yang sahih dalam syarak. Berbeza dengan pelbagai kisah lain yang sering dikaitkan dengan 10 Muharram namun tidak mempunyai bukti yang kuat, peristiwa kemenangan Nabi Musa AS ini direkodkan secara jelas dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Rasulullah SAW sendiri secara khusus mengaitkan kemenangan tersebut dengan tuntutan berpuasa pada hari itu, menjadikannya asas syarak yang paling muktabar bagi umat Islam untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, fokus utama pada hari Asyura’ adalah meneladani sunnah baginda SAW melalui ibadah puasa, bukannya tertumpu kepada cerita-cerita sejarah yang status kesahihannya tidak dipastikan.

Sementara itu, terdapat beberapa peristiwa yang mempunyai sandaran riwayat dalam karya-karya ulama, namun statusnya dinilai sebagai la asla lahu (tiada asalnya) oleh ulama hadis. Antaranya termasuklah kisah kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Judi, kisah Allah SWT menerima taubat Nabi Adam AS, Nabi Ibrahim AS terselamat daripada dibakar api, kesembuhan mata Nabi Yaakub AS, diangkatnya Nabi Isa AS ke langit, kesembuhan Nabi Ayyub AS, keluarnya Nabi Yunus AS daripada perut ikan serta pembebasan Nabi Yusuf AS daripada penjara, kesemuanya tiada sandaran sahih yang menetapkan ia berlaku pada 10 Muharram.[1]

Kita wajib beriman bahawa mukjizat dan kehebatan para nabi ini benar-benar berlaku seperti yang termaktub di dalam al-Quran, tetapi penetapan tarikhnya pada hari Asyura adalah tidak sahih. Walaupun hadis-hadis seperti ini banyak disebut oleh sebahagian ahli suluk, ahli sejarah dan penulis kitab nasihat seperti Abu al-Layth al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin dan Bustan al-‘Arifin[2], tetapi seseorang tidak boleh mengambil sikap menerimanya secara membuta tuli hadis itu kerana ia disebut oleh tokoh-tokoh dalam karya-karya tertentu.

Namun, berdasarkan pendekatan penulis, riwayat-riwayat seperti ini perlu ditolak kerana sarat dengan kelebihan yang berlebihan dan menghimpunkan banyak peristiwa besar dalam satu hari tanpa sandaran sahih. Ciri seperti ini sering menjadi tanda kepada hadis palsu atau riwayat yang tidak boleh dijadikan hujah. Perlu ditegaskan di sini bahawa kelebihan hari ‘Asyura yang benar-benar sabit ialah puasa pada hari tersebut dan peristiwa Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa daripada Firaun sebagaimana disebut dalam hadis-hadis sahih. Adapun dakwaan-dakwaan tambahan seperti berlakunya semua peristiwa besar para nabi pada hari ‘Asyura, kelebihan ibadah khusus dengan jumlah pahala tertentu, atau amalan tertentu yang tidak bersumberkan dalil yang autentik maka ia hendaklah dijauhi dan tidak dijadikan pegangan.

Kesimpulan

Penting untuk difahami bahawa tidak semua riwayat masyhur dalam literatur sejarah atau kitab nasihat mempunyai status sahih. Satu-satunya peristiwa yang diperkukuh oleh dalil yang autentik pada hari Asyura adalah penyelamatan Nabi Musa AS serta para pengikut baginda daripada penindasan Firaun. Sebaliknya, para ulama menegaskan bahawa sebahagian besar kisah nabi-nabi lain yang dikaitkan dengan 10 Muharram tidak mempunyai sandaran asal yang jelas (la asla lahu). Dari sudut syarak, keutamaan paling sahih bagi hari tersebut adalah pengisiannya dengan puasa sunat yang menjanjikan pengampunan dosa-dosa kecil setahun yang lalu. Bagi membezakan amalan umat Islam dengan tradisi kaum Yahudi, kita amat digalakkan untuk turut berpuasa pada 9 Muharram. Walaupun membaca dan mengambil iktibar daripada kisah-kisah perjuangan para nabi itu dibenarkan, kita mestilah sentiasa berwaspada dan memastikan setiap riwayat yang dirujuk bersumberkan dalil agama yang benar-benar sahih.

[1] Abu al-Hasanat al-Laknawi, al-Athar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudu‘ah, ed. Muhammad al-Sa’id al-Basyuni Zaghlul (Baghdad: Maktabah al-Syirq al-Jadid, t.t.), hlm. 96.

وَثَبت بِرِوَايَة أُخْرَى أَن نوحًا على نَبينَا وَعَلِيهِ الصَّلَاة وَالسَّلَام اسْتَوَت سفينته على الجودي يَوْم عَاشُورَاء كَمَا فِي الدّرّ المنثور وَغَيره معزوا إِلَى أَحْمد وَأبي الشَّيْخ وَابْن مرْدَوَيْه وَابْن جرير والأصبهاني وَغَيرهم وَفِي رِوَايَة للأصبهاني فِي كتاب التَّرْغِيب والترهيب أَن يَوْم ولادَة عِيسَى يَوْم عَاشُورَاء كَمَا فِي الدّرّ المنثور أَيْضا وَأما هَذِه الْأَحَادِيث الطوَال الَّتِي ذكر فِيهَا كثير من الوقائع الْعَظِيمَة الْمَاضِيَة والمستقبلة أَنَّهَا فِي يَوْم عَاشُورَاء فَلَا أصل لَهَا لَهَا وَإِن ذكرهَا كثير من أَرْبَاب السلوك والتاريخ فِي تواليفهم وَمِنْهُم الْفَقِيه أَبُو اللَّيْث ذكر فِي تَنْبِيه الغافلين حَدِيثا طَويلا فِي ذَلِكَ وَكَذَا ذكر فِي بستانه فَلَا تغتر بِذكر هَؤُلَاءِ فَإِن الْعبْرَة فِي هَذَا الْبَاب لنقد الرِّجَال لَا لمُجَرّد ذكر الرِّجَال وَمِنْهَا.

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ مَرْفُوعًا إِنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ صَوْمًا فِي السَّنَةِ وَهُوَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَهُوَ الْيَوْمُ الْعَاشِرُ مِنَ الْمُحَرَّمِ وَوَسِّعُوا فِيهِ عَلَى أَهْلِيكُمْ فَإِنَّهُ مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ مِنْ مَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي رَفَعَ اللَّهُ فِيهِ إِدْرِيسَ مَكَانًا عِلِيًّا وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي نَجَّى اللَّهُ فِيهِ إِبْرَاهِيمَ مِنَ النَّارِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ فِيهِ نُوحًا مِنَ السَّفِينَةِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ التَّوْرَاةَ عَلَى مُوسَى وَفِيهِ فُدِيَ إِسْمَاعِيلُ مِنَ الذَّبْحِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ اللَّهُ فِيهِ يُوسُفَ مِنَ السِّجْنِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي رَدَّ اللَّهُ عَلَى يَعْقُوبَ بَصَرَهُ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي كَشَفَ اللَّهُ فِيهِ الْبَلاءُ عَنْ أَيُّوبَ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي أَخْرَجَ اللَّهُ فِيهِ يُونُسَ مِنْ بَطْنِ الْحُوتِ وَهُوَ الْيَوْمُ الَّذِي خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ الْبَحْرَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ وَهُوَ الْيَوْم الَّذِي غفر الله لِمُحَمَّدٍ ذَنْبَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْهُ وَمَا تَأَخَّرَ وَفِي هَذَا الْيَوْمُ عَبَرَ مُوسَى الْبَحْرَ وَفِي هَذَا الْيَوْمِ أَنْزَلَ اللَّهُ التَّوْبَةَ عَلَى قَوْمِ يُونُسَ

[2] Ibid.