اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #621 : HAK JAGAAN ANAK SETELAH BERCERAI

 

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #621: HAK JAGAAN ANAK SETELAH BERCERAI

19 MEI 2017 bersamaan 22 SYA'BAN 1438H

 

Soalan:

Siapakah yang berhak bagi mendapatkan hak jagaan anak yang masih kecil setelah ibu-bapanya bercerai?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hak jagaan anak yang masih kecil dinamakan sebagai hadhanah di dalam Islam. Ianya sabit melalui hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.

Riwayat Abu Daud (2276). Dinilai hasan oleh Syeikh Al al-Baani.

 

Berdasarkan dalil di atas begitu juga dengan dalil-dalil yang lain, telah ijma` sekalian muslimin akan pensyariatan hadhanah ini bagi menjaga kebajikan si anak yang masih kecil setelah berlaku penceraian di antara sepasang suami isteri.

 

Siapa Yang Berhak Mendapat Hak Jagaan Anak?

Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Sabda Nabi SAW: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي menunjukkan bahawa ibulah yang berhak mendapatkan jagaan bagi anak kecil tersebut.

Keputusan hadhanah ini akan diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah dan sekiranya si ibu didapati oleh pihak mahkamah hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut, maka ianya akan berpindah kepada salah seorang yang berikut[1]:

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;

(b) bapa;

(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;

(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(e) kakak atau adik perempuan seibu;

(f) kakak atau adik perempuan sebapa;

(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;

(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;

(j) ibu saudara sebelah ibu;

(k) ibu saudara sebelah bapa;

(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:

Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

 

Kelayakan Yang Diperlukan Untuk Jagaan[2]

Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

(a) dia adalah seorang Islam;

(b) dia adalah sempurna akal;

(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

 

Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Hilangnya Hak Jagaan[3]

Seperti yang disebutkan sebelum ini, hak jagaan anak selepas berlakunya perceraian akan diberikan kepada si ibu, namun dalam beberapa keadaan tertentu, hak jagaan itu boleh hilang dan diantaranya:

  • jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  • jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  • jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  • jika perempuan itu murtad;
  • jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

 

Tempoh Jagaan

Berterusannya hak jagaan bermula daripada lahirnya anak itu sehingga mumayyiz, iaitu bolehnya kanak-kanak tersebut menyelesaikan urusannya yang khusus tanpa memerlukan bantuan orang lain seperti boleh makan dan minum dengan sendiri, boleh menguruskan diri sendiri ketika qadha’ hajat, membersihkan dirinya dari kotoran dan juga bleh melakukan ibadah taharah (bersuci) daripada wudhu’ dan sebagainya.

Ditetapkan umur bagi mumayyiz itu setelah sampai umurnya 7 tahun kerana pada kebiasaannya pada umur inilah kanak-kanak itu dikira sebagai mumayyiz. Boleh jadi juga setelah sampai umurnya 8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak tersebut dan mumayyiz ini bukanlah semata-mata ditentukan dengan nilaian umur.[4]

Oleh itu, Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 84 telah menyebutkan:

  1. Hak hadhinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadhinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
  2. Setelah tamatnya hak hadhinah, jagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

 

Kesimpulan

Isu bagi penentuan hak jagaan bagi anak yang masih kecil ini memerlukan kepada keputusan mahkamah syariah. Apa yang kami nukilkan di sini adalah berdasarkan Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan boleh jadi terdapat sedikit perbezaan bagi enakmen di negeri-negeri yang lain.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Hadhanah ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menguruskan tanggungjawab berkaitan kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai. Wallahu a’lam.

 

[1] Ini sepertimana yang termaktub di dalam Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian VII – Jagaan (Hadhanah Atau Jagaan Kanak-Kanak), Seksyen 81 (Orang yang berhak menjaga kanak-kanak)

 

[2] Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian VII – Jagaan (Hadhanah Atau Jagaan Kanak-Kanak), Seksyen 82 (Kelayakan yang perlu untuk jagaan)

 

[3] Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian VII – Jagaan (Hadhanah Atau Jagaan Kanak-Kanak), Seksyen 83 (Bagaimana hak kelayakan hilang)

 

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (4/306-307).