SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Saya mohon pencerahan daripada ustaz. Sya ada bercerita dengan isteri berkenaan sepasang suami isteri yang bernikah selepas berpisah daripada pasangan masing-masing. Saya ada sebut macam ini “Mungkin macam ni kot lelaki tu kata, kau bercerai dengan suami kau, aku bercerai dengan isteri aku. Lepas itu kita kahwin.” 1. Soalan saya adakah jatuh talak terhadap isteri saya lepas saya lafazkan ayat tadi? Oleh kerana saya runsing tentang hal ini, saya terus lafaz “Abang rujuk mama semula”. Adakah ini boleh menyambung semula ikatan seandainya jatuh talak?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.
Pada asalnya, lafaz talak yang jelas itu menjatuhkan talak, sekalipun tanpa niat. Ini termasuklah menyebut perkataan cerai. Manakala, lafaz talak yang kinayah (tidak jelas, kiasan), tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat ketika ucapan itu disebut.
Ini berdasarkan sebuah hadis hukum yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.
Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.
Namun begitu ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talaq secara sarih tidak menjatuhkan talaq:
- Orang yang tidur
- Orang yang gila
- Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
- Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
- Penggunaan lafaz yang tidak difahami
- Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur
Pada menghuraikan keadaan yang ketiga, kami memetik kenyataan daripada kitab al-Muʿtamad fi al-Fqh al-Syafie (4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:
“Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”
Justeru tidak jatuh talak bagi keadaan seperti yang diceritakan oleh penanya diatas dan tidak perlu dirujuk. Wallahua’lam.