اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-10 : AL QURAN & FALAK - ILMU FALAK MEMBUKTIKAN KEBENARAN TUHAN

BAYAN FALAK 04

 

Dalam usaha menjelaskan kebenaran Islam serta meyakinkan umat manusia bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang benar. Ilmu falak memainkan peranan yang besar dalam hal ini, ia bertepatan dengan satu firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمۡ ءَايَٰتِنَا فِي ٱلۡأٓفَاقِ وَفِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّۗ أَوَ لَمۡ يَكۡفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ

Maksudnya:Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Surah Fussilat (53)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menukilkan kalam Imam Ibn Zaid bahawa makna perkataan ٱلۡأٓفَاقِ adalah ufuk-ufuk langit terdiri daripada bintang-bintang, matahari, serta bulan yang sedang berputar di galaksi.

(Tafsir al-Tabari: 21/493)

BAGAIMANA BERIMAN DENGAN MELIHAT CIPTAAN TUHAN?

Sebagaimana yang telah kita ketahui, ciptaan-ciptaan Tuhan dapat menunjukkan tanda-tanda kebesaran dan kebenaran-Nya. Persoalannya bagaimanakah ia mungkin berlaku?
Menjawab persoalan ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT yang berikut:

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah Ali Imran (191)

Melalui penciptaan alam ini,dapat dibuktikan kekuasaan mutlak dan keagungan keagungan Allah dengan syarat diperolehi dari akal yang sempurna yang terhasil melalui pengetahuan terhadap sesuatu secara hakikatnya bukan seperti orang-orang yang pekak lagi bisu yang tidak mahu memahami sesuatupun dengan akal fikirannya.Kemudian Allah menyifatkan ulul albab ialah mereka yang sering bertafakur dan mengingati Allah dalam setiap jua keadaan.

Ketika Allah SWT membicarakan berkenaan golongan ulul albab, di antara diri mereka yang disebutkan adalah berfikir tentang penciptaan langit dan bumi. Dengan cara inilah seorang hamba dapat melihat tanda-tanda kebesaran Allah melalui makhluk ciptaanNya.

Kata sebahagian para hukama: Sesiapa yang melihat ke arah dunia tanpa sebarang ibrah (pengajaran), maka Allah SWT akan memadamkan cahaya penglihatan jantung hatinya (basirah) dengan kadar kelalaian tersebut.

Kata Bisyr al-Hafi: Sekiranya manusia memikirkan tentang kebenaran Allah SWT, nescaya mereka tidak akan melakukan maksiat kepada-Nya.

(Tafsir al-Quran al-Azim: 1/570)

PENUTUP

Kesimpulannya, seluruh umat Islam perlu bertafakur dengan merenung penciptaan segala planet, langit, bintang dan matahari. Kesemuanya ini tidak diciptakan secara sia-sia. Maka bertasbihlah dengan menyucikan Tuhan daripada segala kekurangan dan memohon perlindungan Allah SWT daripada azab neraka.

Seluruh manusia perlu melihat dan bertafakur dengan keajaiban ciptaan-ciptaan di bumi dan langit kerana ianya menunjukkan keimanan yang sahih seseorang kerana keimanan seseorang mestilah disandarkan kepada bukti yang yakin bukan secara ikutan atau warisan semata-mata. Sebagai seorang insan bergelar mukmin juga hendaklah melazimi mengingati Allah dalam setiap keadaan untuk mengeratkan hubungannya sebagai seorang hamba dengan pencipta.