اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-15 : KEPENTINGAN PENGGUNAAN APLIKASI KOMPUTER DALAM MEMAHAMI DAN MENEROKAI ALAM SEMESTA

BAYAN FALAK 09 01

 

Umum mengetahui bahawa, di zaman teknologi moden ini terdapat pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun untuk melihat objek-objek di langit. Ia bertujuan untuk membantu orang awam secara amnya untuk memahami dan menerokai alam semesta yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia semata-mata. Oleh itu, artikel pada kali ini, kami akan mengupas mengenai kepentingan penggunaan aplikasi dalam memahami dan menerokai alam semesta.

Antara kepentingan penggunaan aplikasi ini adalah seperti membuktikan kewujudan Allah SWT serta kebesaran-Nya, menelusuri alam semesta dari perspektif agama mahupun sains, menambahkan pengetahuan mengenai ilmu falak dengan cara yang lebih mudah, mengenal struktur alam semesta dan mengikuti perkembangan terbaru mengenai alam semesta.

Membuktikan kewujudan Allah SWT serta kebesaran-Nya.

Sebagai seorang muslim, kita dianjurkan untuk sentiasa memerhati segala ciptaan Allah SWT di samping merenung dan bertafakur mengenai kebesaran ciptaan Allah SWT tersebut. Ia bertujuan untuk menyingkap apakah hikmah di sebalik penciptaannya sekaligus mengingatkan diri kita bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Esa dan tiada Tuhan selain Nya. Maka, dengan peluang meneroka alam semesta melalui bantuan aplikasi yang sedia ada, kita dapat melihat ciptaan Allah SWT yang tidak dapat disangkal lagi akan keindahannya ini. Tambahan pula, alam semesta tidak mampu dijangkau melalui mata kasar manusia sahaja. Oleh itu, penggunaan aplikasi ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada para pengguna untuk meneroka dan melihat kebesaran Allah melalui alam semesta ini.

Ini kerana dengan berfikir berkenaan penciptaan makhluk-makhluk Allah SWT dapat membantu seseorang itu untuk menambah keyakinan dan keimanan akan kekuasaan Allah SWT. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎(١٩٠) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ‎(١٩١)

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (191)

Surah Ali Imran (190-191)

Menelusuri alam semesta dari perspektif agama dan sains.

Seterusnya, penggunaan aplikasi dapat membantu penggunanya menelusuri alam semesta dari perspektif agama dan sains. Seperti yang kita sedia maklum, hukum alam dan hukum fikah kedua-duanya diciptakan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, hukum alam memerlukan kepada kajian dan pemahaman yang lebih mendalam berbanding dengan hukum fikah. Misalnya, kajian yang berkait rapat dengan ilmu sains, fizik, astronomi dan matematik diperlukan dalam mendapatkan penjelasan yang lebih baik. Oleh itu, aplikasi alam semesta yang sudah dibangunkan ini sedikit sebanyak dapat membantu para penggunanya berfikir dan menghubungkan perkaitan di antara agama dan sains dengan ayat-ayat kauniyah yang telah disebutkan di dalam Al-Quran. Seperti mana yang disebutkan dalam firman-Nya:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Surah al-Zumar (9)

Menambahkan pengetahuan mengenai astronomi dengan cara yang lebih mudah.

Kebanyakan aplikasi yang terdapat di pasaran adalah berbentuk pendidikan. Di mana, ianya sangat mesra pengguna dan mudah digunakan kepada pengguna dalam kalangan kanak-kanak hingga dewasa. Penyampaian maklumat yang disampaikan dalam bentuk grafik menarik dan ringkasan nota juga membantu para pengguna untuk memahaminya walaupun kepada para pengguna yang tidak mempunyai latar belakang astronomi. Tambahan pula, terdapat pelbagai aplikasi yang disediakan dan setiap aplikasi tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Maka, para pengguna bebas memilih aplikasi yang diingini bergantung kepada kesesuaian dan keselesaan masing-masing.

Mengenal struktur alam semesta serta memahami konsep penciptaannya.

Selain itu, penerokaan alam semesta dengan menggunakan aplikasi dapat membantu untuk mengenali alam semesta serta memahami konsep penciptaannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan aplikasi merupakan satu platform kepada para pengguna untuk melihat alam semesta secara dekat. Para pengguna mungkin pernah mempelajari struktur astronomi di dalam kelas pengajian tetapi ianya hanyalah secara umum sahaja. Tetapi apabila mereka menggunakan aplikasi, mereka dapat meneroka alam semesta secara dekat seperti dapat membesarkan grafik alam semesta di skrin telefon pintar masing-masing.

Mengikuti perkembangan terbaru mengenai alam semesta.

Akhir sekali, antara kepentingan apabila dapat meneroka dan memahami alam semesta menggunakan aplikasi ini ialah, para pengguna dapat mengikuti perkembangan terbaru mengenai alam semesta. Misalnya aplikasi NASA App yang dicipta oleh “National Aeronautics and Space Administration” yang sentiasa mengemaskini maklumat terbaru yang sedang dijalankan oleh pihak NASA. Antaranya, semua misi semasa yang sedang dijalankan, pelancaran dan pendaratan terkini serta menyaksikan pandangan bumi secara langsung dari Stesen Angkasa Antarabangsa.

Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang boleh diperoleh daripada penggunaan aplikasi dalam memahami dan menerokai alam semesta selain kepentingan yang telah dikongsikan di atas. Mudah-mudahan, aplikasi ilmu falak yang sedia ada dapat membantu meningkatkan pengetahuan dalam memahami ilmu falak dengan lebih mendalam. Semoga Allah meredai setiap langkah kita dalam menjalani kehidupan ini dan sentiasa mendapat keberkatan daripada-Nya. Amin.