اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-16 : APA HUKUM ISFAR PADA SOLAT FAJAR (SOLAT SUBUH)?

BAYAN FALAK 10 01 1

 
APA HUKUM ISFAR PADA SOLAT FAJAR (SOLAT SUBUH)?
 
Ibadah solat adalah wajib bagi umat Islam untuk mengerjakannya. Perintah solat ini telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dikerjakan di dalam tempoh waktu yang telah ditentukan. Sebagaimana firman Allah SWT:
 
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
 
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
 
Surah al-Nisa’ (103)
 
Penentuan Waktu Solat Fardu Subuh
 
Secara umum dapat diketahui bahawa masuknya waktu solat subuh apabila terbitnya fajar sadiq dan berterusan sehingga terbit matahari[1]. Oleh itu, dapat difahami sah solat subuh yang ditunaikan sebelum terbitnya matahari. Hal ini telah disepakati oleh ijmak fuqaha dan tiada percanggahan antara mereka[2]. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
 
وَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ
 
Maksudnya: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.”
 
(Riwayat Muslim)
 
Akan tetapi, terdapatnya perbezaan pendapat di antara para ulama dalam menentukan waktu afdal untuk mendirikan solat subuh. Adakah solat subuh perlu dilakukan pada awal terbitnya fajar sadiq iaitu ketika langit masih gelap (ghalas) atau ketika langit sudah menjadi cerah (isfar)?
 
Bagi jumhur fuqaha, waktu afdal untuk menunaikan solat subuh ketika keadaan langit masih gelap (ghalas), iaitu bercampurnya cahaya waktu subuh dengan kegelapan malam. Hal ini berdasarkan dari hadis Jabir bin Abdillah RA, beliau mengatakan:
 
...وَالصُّبْحَ كَانُوا - أَوْ قَالَ - كَانَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّيهَا بِغَلَسٍ
 
Maksudnya: “Nabi SAW atau para sahabat sering mendirikan solat Subuh pada waktu masih lagi gelap.”
 
(Riwayat Muslim)
 
Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Aisyah RA berkata:
 
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الصُّبْحَ بِغَلَسٍ، فَيَنْصَرِفْنَ نِسَاءُ المُؤْمِنِينَ لاَ يُعْرَفْنَ مِنَ الغَلَسِ أَوْ لاَ يَعْرِفُ بَعْضُهُنَّ بَعْضًا
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mendirikan solat Subuh ketika waktu masih gelap sehingga kaum wanita-wanita yang beriman beredar dalam keadaan tidak dikenali atau sebahagian mereka tidak mengetahui sebahagian yang lain.”
 
(Riwayat al-Bukhari) 
 
Ini dikuatkan lagi dengan hadis:
 
أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِلَالًا فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ انْشَقَّ الْفَجْرُ وَالنَّاسُ لاَ يَكَادُ يَعْرِفُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan bilal untuk iqamat Fajar ketika pecahnya waktu Fajar (baru masuk), sedangkan ketika itu orang ramai hampir tidak mengenali antara satu sama lain.”
 
(Riwayat Muslim)
 
Oleh yang demikian, berdasarkan dalil-dalil yang telah dikemukan di atas jelas bahawa Nabi SAW melakukan solat subuh pada awal terbitnya fajar sadiq ketika langit masih dalam keadaan gelap.
 
Walau bagaimanapun, bagi Mazhab Hanafi, solat Subuh digalakkan untuk didirikan ketika waktu sudah mula terang (isfar). Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Rafi’ bin Khadij RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
 
أَسْفِرُوا بِالفَجْرِ، فَإِنَّهُ أَعْظَمُ لِلأَجْرِ
 
Maksudnya: “Lewatkanlah solat Fajar (Subuh) sehingga keluar cahaya kuning kerana padanya ganjaran yang besar.”
 
(Riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan al-Tirmizi)
 
Menurut Imam al-Tarmizi terdapat beberapa orang sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa solat subuh perlu dilakukan apabila waktu sudah agak terang, malahan ia juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Sufyan al-Thauri[3]
 
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya bahawa Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa hadis Rafi’ itu bermaksud kepastian telah terbitnya (masuknya) waktu fajar. Imam al-Tahawi pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW (di dalam hadis Rafi’) adalah perintah agar memanjangkan bacaan di dalam solat Subuh sehingga dia keluar daripada solat ketika waktu telah agak terang. Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa hadis ini telah dimansukhkan hukumnya oleh hadis solat Subuh didirikan ketika waktu masih gelap[4]
 
Di samping itu juga, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berpendapat bahawa yang dimaksudkan Isfar itu adalah berterusan bukannya permulaan. Oleh yang demikian, seseorang itu memulakan solatnya ketika waktu masih gelap dan selesai menunaikannya ketika waktu telah agak terang sedikit sepertimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. 
 
Kesimpulannya permasalahan ini merupakan isu yang diperselisihkan oleh para ulama. Namun, mengikut pada pengamalan di Malaysia, solat Subuh dilakukan ketika langit masih lagi gelap. Ini adalah kerana mengikut pada pendapat jumhur ulama yang mengatakan waktu afdal untuk mengerjakan solat Subuh adalah pada awal waktu terbitnya fajar sadiq dan ketika itu langit masih lagi dalam keadaan gelap. Wallahu’alam. 
 
Rujukan
● Irsyad Al-Hadith Siri Ke-456: Waktu Afdhal Untuk Solat Subuh, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

[1] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. (1994) Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj. Beirut: Dar al-Fikr. 1/303.

[2] Dr. Salahuddin Ahmad Muhammad Amir. (2019) ‘Ilm al-Mawaqit wa al-Qiblah wa al-Ahillah min al-Nahiyatain: al-Syariah wa al-Falakiah. Isdar Idarah al-Syu’un al-Fanniah. hlmn: 84.

[3] Abu Ali, al-Hasan bin Ali al-Tusi. (2003). Mustakhraj al-Tusi ‘ala Jami’ al-Tirimizi. Riyadh: Dar al-Muayyad. 1/409.

وَقَدْ رَأَى غَيْرِ وَاحِدٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالتَّابِعِينَ الإِسْفَارَ بِصَلاةِ الْفَجْر وَبِهِ يَقُولُ سُفْيَانَ الثَّوْرِيّ.

[4] Al-Asqalani, Ahmad bin Ali. (1930). Fath al-Bari. Beirut: Dar al-Ma’rifah. 2/55.

فَقَدْ حَمَلَهُ الشَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُ عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِذَلِكَ تَحَقُّقُ طُلُوعِ الْفَجْرِ وَحَمَلَهُ الطَّحَاوِيُّ عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ الْأَمْرُ بِتَطْوِيلِ الْقِرَاءَةِ فِيهَا حَتَّى يَخْرُجَ مِنَ الصَّلَاةِ مُسْفِرًا وَأَبْعَدَ مَنْ زَعَمَ أَنَّهُ نَاسِخٌ للصَّلَاة فِي الْغَلَس.