اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 21: MELAKSANAKAN UMRAH SEBELUM TAHALLUL THANI (KEDUA)

 

 

SOALAN

Adakah sah umrah seorang jemaah haji yang mengerjakan ibadah umrah tersebut sekembalinya dia dari Mina sedangkan dia masih belum melaksanakan tahallul thani (belum selesai kerja-kerja haji)?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pelaksanaan haji dan umrah adalah mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak. Bagi jemaah haji yang ingin melaksanakan ibadah haji beserta umrah secara sekaligus maka di sana terdapat pensyariatan haji qiran yang menggabungkan di antara dua ibadah tersebut (haji dan umrah). Oleh itu, bagi mereka yang berkeinginan, mereka boleh melakukan haji dan umrah secara qiran.

Merujuk kepada persoalan di atas, jemaah haji yang melaksanakan kerja-kerja haji namun masih belum selesai melaksanakan kerja-kerja tersebut iaitu masih lagi belum selesai tahallul thani (belum selesai kerja-kerja haji) adalah dilarang mengerjakan umrah. Ini kerana kerja-kerja haji tersebut masih belum sempurna. Justeru, umrah yang dilaksanakan oleh jemaah tersebut sekalipun sempurna dikira tidak sah menurut syarak.

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini, jemaah haji yang ingin melaksanakan ibadah umrah haruslah menyempurnakan kerja-kerja haji mereka terlebih dahulu. Ini kerana dibimbangi berlakunya pertindihan di antara dua ibadah tersebut yang mengakibatkan akan berlakunya pelanggaran yang boleh membawa kepada denda (dam). Dalam melaksanakan ibadah ini, penjagaan yang teliti terhadap kerja-kerja yang dilakukan perlu dibuat agar ibadah yang dibuat mencapai maksud sebenar yang dikehendaki iaitu mardhatillah (keredhaan Allah).

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam