اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 5 : HUKUM KANAK-KANAK MENGERJAKAN HAJI

SOALAN

Apakah hukum kanak-kanak yang belum baligh menunaikan haji dan bagaimanakah cara wali mengerjakan haji bagi kanak-kanak yang belum Mumayyiz?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW

Haji adalah suatu ibadah fardhu yang wajib dikerjakan sekali seumur hidup dan hanya diwajibkan kepada mereka yang sudah mencapai umur baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.Walaubagaimanapun, di dalam isu ini juga, secara umumnya, kanak-kanak adalah tidak ditaklifkan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah. Ini disebabkan dia (kanak-kanak) tidak dianggap mukallaf, dan tuntutan syara’ hanya berlaku atas orang yang baligh. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/122)

Ini berdasarkan sebuah hadith, sabda Rasulullah SAW:

Daripada Ali bin Abi Talib R.A, Nabi SAW bersabda:

 

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

 

Maksudnya:Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.

Riwayat Abu Daud (4403)

Merujuk kepada persoalan di atas, apabila seorang kanak-kanak melaksanakan ibadah haji, ibadah tersebut adalah sah namun ibadah tersebut dikira sebagai ibadah sunat dan wajib ke atasnya untuk melaksanakan haji fardhu apabila dia sudah baligh. Ini adalah berdasarkan hadith berikut:

 

 Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا حَجَّ الصَّبِيُّ فَهِيَ لَهُ حَجَّةٌ حَتَّى يَعْقِلَ، وَإِذَا عَقَلَ فَعَلَيْهِ حَجَّةٌ أُخْرَى

Maksudnya: “Apabila seorang kanak-kanak menunaikan haji maka baginya haji sampai dia berakal (baligh), maka apabila dia sudah berakal maka baginya haji yang lain (mengulangi haji)".

Riwayat al-Hakim (1769)

Dapat difahami bahawa baligh merupakan syarat wajib kepada seseorang itu untuk melaksanakan ibadah haji dan ibadah haji bagi kanak-kanak tersebut dikira sebagai amalan sunat dan wajib bagi mereka untuk melaksanakan ibadah haji apabila mereka sudah baligh kelak.

Ibn Qudamah juga telah mensyarahkan perkara ini di dalam kitabnya: “Ibn Munzir berkata:  Para ulama’ telah bersepakat, bahawa kanak-kanak yang sudah menunaikan haji ketika masih kecil kemudian kanak-kanak tersebut sudah dewasa atau telah dimerdekakan maka wajib bagi mereka untuk menunaikan haji apabila mereka sudah memiliki kemampuan”. (Rujuk al-Mughni, 5/44)

Selain itu, ibubapa yang ingin membawa kanak-kanak perlu mengetahui keadaaan dan suasana sebenar ketika perlaksanaan ibadah haji di Makkah, hal ini kerana ia melibatkan aspek keselamatan kanak-kanak tersebut. Oleh itu, Tindakan yang bijak hendaklah dicapai oleh ibubapa untuk membawa anak-anak mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa membawa kanak-kanak bersama untuk menunaikan ibadah haji merupakan suatu amalan yang mulia dan hal ini berdasarkan Firman Allah S.W.T :

 

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya : “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.” (Surah Al-Hajj : 27)

Walaubagaimanapun, wali atau bapa bagi kanak-kanak tersebut perlu melakukan kerja–kerja haji bagi kanak-kanak tersebut disebabkan kemampuan dan kudrat kanak-kanak tersebut yang diluar kemampuannya dan kerja-kerja haji tersebut  adalah seperti berikut:

  1. Niat

Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadi anak tangungannya berihram.

Lafaz niatnya : “Sahaja aku mengerjakan Haji atau Umrah atau Haji dan Umrah untuk anakku/tanggunganku dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT”.

  1. Menyempurnakan rukun dan wajib Haji

Anak tangungan itu hendaklah dibawa bersama untuk berwuquf, bermabit di mudzalifah dan mina serta dicukurkan atau bergunting. Walaubagaimanapun, bapa atau walinya perlu menyelesaikan tawaf untuk dirinya terlebih dahulu sebelum mengerjakan tawaf untuk anak atau tangungan yang dibawa bersama. Hal ini juga sama seperti bersa’ie dan melontar jamrah iaitu bapanya wajib mengerjakan untuk dirinya terlebih dahulu.

  1. Penjagaan Larangan Ihram.

Bapa atau wali wajib menjaga anak atau tanggungan dari melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram. Jika kanak-kanak yang belum mumayyiz melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam ihram, maka tidak dikenakan dam. Akan tetapi, sekiranya kanak-kanak tersebut sudah mumayyiz maka wajib disempurnakan dam tersebut. Bayaran dam boleh diambil daripada harta kanak-kanak tersebut jika ada, sekiranya tidak ada, maka bayaran tersebut akan diambil daripada harta bapa atau walinya.

 

KESIMPULAN

Kami berpandangan, kanak-kanak adalah dibolehkan untuk menunaikan ibadah haji dan ibadah tersebut adalah sah. Namun begitu, kanak-kanak tersebut perlu untuk melaksanakan ibadah haji sekali lagi apabila dia baligh kerana haji yang telah dilakukan ketika kanak-kanak itu tidaklah menggugurkan kefardhuan haji ke atasnya (kanak-kanak tersebut).

Begitu juga kepada ibubapa yang membawa anak-anak mereka untuk melaksanakan ibadah haji bersama-sama, mereka akan mendapat pahala sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita berdoa agar dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Wallahua’lam