Mukadimah
Dalam sebuah rencana bertajuk “Padah persenda Nabi, Menteri Mesir dipecat” yang dilaporkan dalam surat khabar Sinar Harian bertarikh 15 Mac 2016, memetik laporan Press TV perihal pemecatan Ahmed al-Zind, 70 tahun, daripada jawatan Menteri Kehakiman Mesir. Punca pelucutan jawatan berkenaan berpunca gara-gara tindakan Ahmed al-Zin yang mengeluarkan kenyataan berbaur persendaan kepada Rasulullah SAW. Beliau dilaporkan menyebut bahawa dia akan memenjarakan mana-mana individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Rasulullah SAW. Ucapan ini telah disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen Mesir dan telah mengundang kemarahan dan bantahan umat Islam Mesir.
Syabas kami ucapkan kepada Perdana Menteri Mesir, Sheriff Ismail yang telah bertindak tegas mengumumkan pemecatan Ahmed al-Zind daripada jawatan Menteri Kehakiman Mesir. Justeru Bayan Linnas kali ke-55 ini disusun bagi memberikan keterangan kepada masyarakat berkenaan berat dan buruknya kesan mempersendakan Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.
Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW
Sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Baginda SAW. Ini bermula sejak zaman Baginda SAW mula menyebarkan dakwah Islam lagi. Cukuplah ibrah dan sabab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kautsar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah SWT sendiri.
Mutakhir ini siri serangan kepada Rasulullah SAW mula berkembang melalui medium baru dan sudah pasti tidak menyenangkan hati umat Islam. Alangkah malangnya nasib umat Islam, suatu masa dahulu, tatkala diperkotak-katikkan dan diinjak-injak maruahnya, tidak semena-mena timbul perkara yang menyedihkan di mana sebuah filem yang bertajuk: “Innocence of Muslim” telah ditayangkan media dan mendatangkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Begitu jugalah dengan apa yang berlaku di Mesir pada minggu ini.
Ada pendapat ulama Mesir menegaskan bahawa penghinaan kepada batang tubuh Nabi SAW bermakna melanggar lampu merah dan tidak dibolehkan sama sekali. Bahkan ada antara ulama yang berpendapat jika penghinaan itu berkaitan batang tubuh Nabi SAW, seseorang itu boleh terus diambil tindakan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Justeru, umat Islam sewajarnya bersatu, bangkit mempertahankan Rasulullah SAW dengan menghantar surat bantahan atau apa juga yang difikirkan sesuai oleh ulama dan pemerintah dengan senada.
Dalil Pengharaman Perbuatan Menghina dan Mencerca Nabi SAW
Terdapat banyak dalil pengharaman perbutan menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Kami membahagikan dalil-dalilnya kepada dua:
- Al-Quran
- Hadis-hadis
Dalil al-Quran:
Firman Allah SWT:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Taubah, 9:61)
Imam Abu Ja’far al-Tabari berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)", dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam.”
Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
(Surah al-Ahzab, 33:57)
Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”
Syeikh al-Maraghi: “Terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.”
Dalil al-Hadis:
Daripada Ibn Abbas RA, dia menceritakan:
أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ
Maksudnya: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkanya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).”
Riwayat Abu Daud (4361), Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah SAW. Hadis ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.
Terdapat sebuah atsar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) mak engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah SAW.”
Lihat al-Muhalla (14/434)
Hukum Menghina Rasulullah SAW
Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:
- Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
- Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
- Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjtuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, limpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
- Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad SAW secara nyata maka wajib dibunuh.
- Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
- Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata: “Barangsiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9).
- Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi SAW tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”
- Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
- Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.”
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.
Kenyataan Syeikh al-Azhar
Syeikh al-Azhar Imam al-Akbar al-Fadhil Prof. Dr. Ahmad Tayyib – hafizhahullah – berkata:
“Al-Azhar memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba menggunakan sebarang media massa untuk menghina dan menjatuhkan martabat kenabian yang mulia. Ini bagi memelihara maqam kenabian yang mulia itu daripada dihina sekalipun tanpa niat yang tidak baik. Sebaliknya orang Islam sejati sentiasa memenuhi hati mereka dengan kecintaan kepada Nabi SAW.”
(Petikan daripada Akhbar al-Ahram)
Ibrah Pengajaran
- Kisah Pertama: Si Murtad yang Dihina Kematiannya
Pada zaman Nabi SAW seorang sahabat yang juga penulis wahyu telah murtad dengan tawaran lumayan dunia yang diperolehi. Lebih teruk daripada itu beliau memperlekehkan Rasulullah SAW dengan pelbagai perkataan yang menyakitkan hati Baginda SAW sehingga Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah! Cukupkanlahnya daripadaku.”
Selepas beberapapa ketika lelaki tersebut pun mati dan dikebumikan oleh rakan-rakannya yang kafir di kota Mekah. Keesokan harinya mayat tersebut berada di atas kubur lalu mereka berkata: “Ini perbuatan Muhammad yang melampau.” Kemudian digali makin dalam seterusnya masih lagi timbul mayat tersebut beberapa kali. Akhirnya mereka hanya membiarkannya. Selepas itu datang burung dan binatang buas mencakar dan menghina mayat tersebut. Dikatakan seekor anjing dari jauh berlari menuju ke mayat tersebut akhirnya kencing dan membuang najis di atas muka mayat itu. Inilah balasan kepada penghina Rasulullah SAW
Semoga makhluk penghina dan konco-konconya ini dijatuhkan hukuman azab yang pedih oleh Allah SWT. Allahu Akbar wa liLlahilhamd!
Ya Rasulullah! Kami umatmu, Kami menyintaimu, selawat dan salam ke atasmu Wahai Kekasih Allah SWT.
- Kisah Kedua: Mimpi Sultan Yang Adil, Mahmud Zinki
Pernah terjadi satu peristiwa apabila Tanah Haram di Madinah hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah SAW di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah SAW. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud al-Zinki tiga kali mimpi berjumpa Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW berkata kepadanya:
يَا مَحْمُوْد، أَنْقِذْنِي مِنْ هَذَيْن الشَّخْصَيْن
“Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada dua orang ini (kerana mahu melakukan kejahatan kepadaku).”
Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah SAW serta mengetahui ada hadis yang berbunyi:
مَنْ رَآنِي في المنَامِ فَسَيَرَانِي في اليَقَظَةِ، وَلا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بي
“Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku (di dalam mimpi). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku.”
Riwayat al-Bukhari (6993)
Tsabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah SAW maka itulah Rasulullah SAW kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah SAW. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham akan maksud mimpinya, kemudian dia memanggil menterinya yang soleh (ada riwayat mengatakan dia adalah Jamal al-Din al-Asfahani, atau al-Muwaffaq al-Qaisarani) dan memberitahu berkenaan mimpi yang diterimanya itu telah berlaku sebanyak tiga kali. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin. Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:
مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِياَضِ الْجَنَّة
“Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga.”
Riwayat al-Bukhari (6588) dan Muslim (1391)
Di situlah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menterinya memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah (sedekah) kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu olehnya dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang:
هَلْ بقي أَحَد لِمْ يَأْخُذْ شَيْئًا مِن الصَّدَقَة؟
“Adakah masih ada sesiapa lagi (penduduk Madinah) yang berbaki tidak mengambil langsung sedekah ini?”
Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang yang bukan penduduk Madinah datang dari al-Andalus. Mereka adalah saudagar kaya yang datang menziarah untuk melakukan ibadat. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, Sultan Nuruddin Mahmud segera mengarahkan kedua-dua orang itu membawa ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa berlantaikan tanah, berhampiran dengan Masjid al-Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya perkakasan sedemikian diletakkan di tepi dinding.
Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah disisihkan, terdapat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, dan didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali menghala ke kubur Rasulullah SAW. Apabila kedua-duanya disoal-siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah SAW dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat, tetapi pada masa yang sama mereka menggali lubang untuk melakukan khianat terhadap umat Islam. Tanah yang digali diletakkan di dalam “kirbah”. Kirbah adalah bahagian anggota kambing yang biasanya dibuat tempat mengisi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di dalam telaga di luar tempat penginapan mereka sehingga orang ramai menyangka mereka membawa air.
Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di “Bab al-Salam” mengikut perintah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, dan mayat mereka dibakar di luar sempadan Madinah. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan kubur Rasulullah SAW dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali di kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki pada abad 13-M, dan diceritakan oleh Zain al-Maraghi di dalam Tahqiq al-Nusrah, Ibn Qadhi Syahbah di dalam al-Dur al-Thamin fi Sirah Nur al-Din, al-Samhudi di dalam Wafa al-Wafa’, Ibn al-Imad di dalam Syazarat al-Zahb, dan al-Barzanji di dalam Nuzhah al-Nazirin. Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad SAW pada masa hidup dan pada masa wafat baginda. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Rasulullah SAW adalah Nabi yang diutus Allah demi mengajar Islam kepada seluruh umat manusia.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Sebenarnya menyintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan termasuk dalam kemanisan iman. Benarlah sabda Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)
Kami menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paing mulia dipilih Allah, tidak seperti manusia lain. Rasulullah SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Allah SWT menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan panduan untuk semua umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
قَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(Surah al-Ahzab, 33: 21)
Perlu diingat dan difahami bahawa Rasulullah SAW dalam pemeliharaan Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ
Maksudnya: Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.
(Surah al-Maidah, 5: 67)
Imam Ibn Katsir berkata: Ayat ini bermaksud: “Sampaikanlah (wahai Muhammad) akan risalah-Ku (yakni Allah), sedangkan Aku-lah Penjaga-mu, Penolong-mu, Pendokong-mu menentang musuh-musuh kamu, yang akan mengangkatmu mengatasi musuh-musuh kamu, maka janganlah engkau takut dan jangan engkau bersedih, tidak akan selamanya sampai walau seorang pun daripada musuh-musuh kamu yang boleh mencederakan kamu.” Al-Maraghi berkata: “Yakni melindungimu daripada kejahatan manusia.”
Justeru kita wajib pertahankan Rasulullah SAW, memuliakan Baginda SAW, dan haram sama sekali kita menghinanya. Berat dan buruk natijahnya kita dapat lihat dalam sejarah terhadap penghina Rasulullah SAW. Marilah bersama-sama kita tekuni ayat al-Quran al-Karim seperti mana firman Allah SWT:
إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.
(Surah al-Hijr, 15: 95)
Imam Ibn Katsir berkata: (Ayat ini bererti:) “Lakukanlah (wahai Muhammad) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allahlah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.”
Syeikh Al-Maraghi berkata: “(Yakni) sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan, dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat Baginda melewati mereka. Allah SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka.”
Kenyataan menghina Nabi SAW mendapat respon daripada ramai ulama termasuk Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini. Semoga Allah SWT tambahkan lagi cinta dan kasih saying kita kepada Rasulullah SAW. Mari bersama-sama kita pelajari sirah Baginda SAW, ikuti perintah dan suruhannya, meninggalkan larangan dan tegahannya, serta sentiasa berselawat kepada Baginda SAW. Semoga kita diterima menjadikan umatnya yang mendapat syafaat Baginda di Hari Akhirat kelak. Amin.
Wallahua`lam.