اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-155: KONSEP FIQH Al-TA’AYUSH: ISU DI MALAYSIA DAN PENYELESAIANNYA

fiqh ta'ayusy.JPG

Mukadimah

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Antara topik yang mendapat perhatian dunia hari ini ialah isu kewujudan bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara. Dalam Bahasa Arab, kewujudan bersama disebut al-ta’ayush dan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan terma co-existence. Rakyat dalam sesebuah negara sama ada orang Islam atau bukan Islam diikat dengan hubungan muwatanah (kewarganegaraan). Barangkali kehangatan topik ini berakar umbi daripada ketegangan antara agama dan konflik antara kaum yang tercetus di beberapa buah negara. Konflik ini boleh membawa kepada peperangan antara etnik dan agama jika tidak diurus dengan baik dan bakal melenyapkan kesejahteraan alam.

Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan, Islam merupakan agama yang membawa risalah a’lamiyyah (universal) bertujuan menyalur kesejahteraan yang seimbang dan kebahagian lestari dan berkekalan dari dunia hingga akhirat. Rasulullah SAW telah melakar kepada kita melalui sirah kehidupan dan sunnah perjalanan baginda beberapa kaedah dan prinsip asas berkenaan konsep kehidupan bersama antara orang Islam dan bukan Islam. Malahan, para sahabat turut mengasas gagasan ketamadunan Islam yang menyerlahkan keindahan Islam ketika mereka hidup bersama golongan yang berbeza akidah dengan mereka tanpa mengabaikan hukum-hukum thawabit dalam Islam.

Tambahan pula, Allah SWT menciptakan manusia daripada keturunan yang satu iaitu Nabi Adam alaihissalam. Lantaran itu mereka beranak pinak sehingga muncul dan lahir pelbagai bangsa dan warna kulit. Namun kepelbagaian itu sepatutnya tidak menjadi faktor kepada peperangan dan ketegangan semata-mata. Sebaliknya wajar dijadikan wasilah untuk menjalinkan hubungan melalui cara saling kenal mengenali antara satu sama lain sebagai demi mentahqiqkan firman Allah SWT:

لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Bayan Linnas pada kali ini siri ke-155 diterbitkan dalam satu situasi suhu perasaan dan juga rasa hati masyarakat di Malaysia sedikit tegang dan tinggi dek kerana salah dan silap faham dalam isu yang pada dasarnya lebih kepada bersifat muamalat. Akan tetapi apabila dibiarkan berlarutan sudah tentu akan membawa kepada perasaan yang menatijahkan tindakan di luar kawalan serta hilang daripada norma kehidupan bermasyarakat. Justeru Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Konsep Fiqh al-Ta’ayush: Isu Di Malaysia Dan Penyelesaiannya dikemukakan.

Sesungguhnya dengan melihat latar belakang etnik yang wujud di Malaysia sejak sekian lama, kami dapati bahawa nenek moyang kita semua mengambil sikap beralah antara satu sama lain. Justeru, memberi penghormatan kepada jiran tetangga, sahabat handai sekalipun berlainan bangsa dan bahasa bahkan agama, akhirnya menatijahkan ikatan perpaduan yang cukup kuat. Sikap individualistik dan mahukan hak yang melampau sehingga melukakan perasaan dan emosi rakan taulan, jiran tetangga dan sahabat handai boleh mengeruhkan ikatan kontrak sosial yang sudah wujud sejak sekian lama.

Makanya kami terpanggil untuk menyatakan dalam Bayan Linnas pada kali ini berkenaan Konsep Fiqh al-Ta’ayush: Isu di Malaysia dan Penyelesaiannya. Semoga ia dapat memberi kelegaan dan kefahaman kepada kita semua dalam melayari bahtera kehidupan kita dengan kefahaman fiqh al-ta’ayush yang sebenar yang akhirnya kemajmukan masyarakat Malaysia menjadi nilai tambah dalam membina tamadun dan kekuatan ummah yang menatijahkan negara yang bersifat Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur, Insya Allah.

Artikel ini cuba mengupas secara ringkas mengenai konsep fiqh al-ta’ayush (fiqh kewujudan bersama) atau fiqh of co-existence. Kertas ini akan memberi penekanan kepada tiga subtopik utama iaitu pertama; definisi fiqh al-ta’ayush dan diikuti dengan subtopik kedua; prinsip-prinsip fiqh al-ta’ayush. Seterusnya menghuraikan beberapa dawabit fiqh al-ta’ayush di samping membawa beberapa pandangan tokoh-tokoh daripada Universiti al-Azhar dan Cairo University hasil temubual yang dijalankan.

 

Definisi Fiqh al-Ta’ayush

Fiqh al-ta’ayush ialah istilah yang menggabungkan dua perkataan iaitu fiqh dan juga al-ta’ayush. Justeru, untuk mendefinisikan fiqh al-ta’ayush, ia mesti dipecahkan satu persatu iaitu kalimah fiqh dan kalimah al-ta’ayush.

Fiqh dari segi bahasa bermaksud kefahaman yang mendalam, manakala dari segi istilah ia merujuk kepada ilmu mengenai hukum-hukum Syarak yang bersifat amali yang diambil daripada dalil-dalil tafsili (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islam oleh Syeikh Wahbah al-Zuḥayli, hlm. 20). Beliau seterusnya merumuskan bahawa fiqh ialah pengetahuan mengenai hukum hakam syarak yang bersangkutan perbuatan golongan mukallaf sama ada isu halal, haram, tegahan dan keharusan”.

Perkataan al-ta’ayush pula berasal daripada kalimah a’ish yang bermaksud hidup. Kalimah al-ta’ayush merujuk kepada kehidupan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Dalam Mu’jam al-Lughah al-Arabiyyah al-Mu`asarah (no. 3518) oleh Dr. Ahmad Mukhtar al-Hamid dinyatakan: (تعايشَ يتعايش، تعايشًا، فهو مُتعايش) :

  • Disebutkan dalam bahasa Arab: “Ta’ayasha al-jiran” (تعايش الجيرانُ) iaitu mereka hidup atas sikap kasih sayang, beri memberi, dan kejiranan yang baik”.
  • Dua orang sahabat hidup berta’ayush ketika mengembara atas kasih sayang.
  • Dua negara berta’ayush secara kehidupan yang aman. Al-Ta’ayush al-silmi (التَّعايش السِّلميّ) antara negara iaitu persefahaman antara negara untuk tidak melampaui batas atas satu sama lain. Manusia berta’ayush bermaksud mereka hidup dalam satu zaman dan tempat.”

Dari segi istilah, kalimah al-ta’ayush ialah satu terma yang baharu dan kontemporari. Terdapat beberapa ilmuwan semasa yang cuba memberikan penafsiran dan maksud terhadap terma ini. Ada segelintir yang meletakkan tambahan kepada ta’ayush al-silmi yang membawa maksud kehidupan bersama secara aman atau peaceful co-existence. Oleh kerana itu, kadang kala terma-terma yang hampir sama dengan maksud ta’ayush turut digunakan seperti tasamuh, taqarub, tasakun, takamul dan tajanus.

Syeikh Abdullah bin Bayyah berkata: Al-Taʿayusy (التعايش) bermaksud al-wujud al-mutazamin (الوجود المتزامن) / Co-existence / Kewujudan Bersama. Ia berkait juga dengan Al-tasākun (التساكن) yang bermaksud tinggal bersama atau cohabitation. Terkadang ia berlaku secara silmi/aman/pacify dan terkadang secara ʿadāwah/permusuhan/hostile. Beliau berpendapat, di sisi Islam, ia bermaksud kita hidup bersama dengan orang bukan Islam dengan keadaan selamat dan sejahtera, dengan syarat dan kriteria tertentu.

Dalam buku al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin ) (hlm. 9) oleh Syeikh Muhammad bin Hasan al-Syarif disebut: “Adapun maksud ta’ayush ialah (kehidupan) antara kita dan bukan Islam yang menetap di sekeliling kita dari kalangan ahli zimmah yang dinamakan sekarang sebagai warganegara dan juga kehidupan antara golongan bukan Islam yang ada perjanjian (mu’ahad) yang masuk ke Negara kita dengan perjanjian aman iaitu yang dinamakan sekarang sebagai visa.”

Manakala, dalam al-Ta’ayush fi al-Qur’an al-Karim Dirasah Ta’siliyyah (hlm. 4) oleh Syeikh. Dr. Mahasin al-Fadhl disebut: “Ta’ayush bermaksud anda hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan boleh menerima kewujudan masing-masing dan secara harmoni sama ada mereka menyamai anda atau berbeza tanpa salah seorang menghalang kehidupan yang lain. Beliau merumuskan bahawa konsep al-ta’ayush adalah untuk semua makhluk termasuk manusia, haiwan dan alam semesta. Walaubagaimanapun, fokus artikel ini adalah al-ta’ayush antara orang Islam dan bukan Islam dalam sebuah negara.”

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa kalimah fiqh al-ta’ayush merujuk kepada suatu ilmu mengenai hukum hakam Syarak berkaitan tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan bukan Islam dalam keadaan harmoni dan aman berdasarkan kepada hubungan yang wujud pada zaman kontemporari. Hubungan antara golongan Islam dan bukan Islam dalam sesebuah Negara dinamakan muwatanah (kewarganegaraan) yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama. Ia agak berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi.

 

Konsep Fiqh al-Ta`ayusy

Konsep Fiqh al-Ta`ayusy bukan bermaksud mengkompromi kedudukan Islam sebagai agama kebenaran. Ini disebut oleh Syeikh Muhammad al-Syarif: “Bukan bermakna dalam konsep al-taqarub (merapatkan) dan al-ta`ayush menuntut kepada proses taqrib antara agama. Bukan, dan aku berlindung dengan Allah daripada perkara itu. Sesungguhnya Islam itu adalah satu-satunya agama yang benar, dan agama selainnya adalah batil dan tertolak. Setiap agama lain itu pula adalah kesyirikan, kesesatan, dan kerosakan, pada kepercayaan secara total. Akan tetapi apa yang aku kehendaki daripada al-taqarub dan al-ta`ayusy ialah memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam dan mengajak kepadanya. Jika mereka tidak menerimanya sebagai agama sekalipun maka ketika itu hendaklah kita meletakkan kaedah-kaedah bagi mengelakkan pertumpahan darah, menjamin manusia untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi, meninggikan keadilan ke atas mereka, dan saling menolong pada perkara yang boleh dilakukan bersama.” Rujuk al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin (hlm. 7-8).

 

Keperluan Memahami Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/ Co-Existence) Pada Masa Kini

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”

(Surah al-A’raf: 73)

Firman Allah SWT:

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya: Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”

(Surah al-Syu’ara: 36)

Firman Allah SWT:

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”

(Surah Hud: 50)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa perkataan saudara digunakan walaupun pada masa itu kebanyakan kaumnya tidak seagama dengan mereka berdasarkan mafhumnya. Mereka didakwahkan oleh Rasul-rasul dengan penuh hikmah dan kesabaran. Firman Allah Taala:

ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّـهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۗ قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ ۗ وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ شَكُورٌ

Maksudnya: “(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)". Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).”

(Surah al-Syura : 23)

Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ

Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113)

Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa. Apatahlagi dalam konteks menjaga keselamatan negara, keharmonian dan keamanan, pastilah lebih utama.

 

Prinsip Dan Asas Pensyariatan Fiqh al-Ta’ayush

Secara asasnya, fiqh al-ta’ayush dan muwatanah terbina di atas prinsip dan dasar Islam yang menyeru kepada kesejahteraan dan keamanan. Keadilan dan berlaku baik kepada golongan bukan Islam selagi mana mereka tidak memerangi agama Islam adalah suatu yang telah termaktub dalam nas al-Quran:

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Syeikh Tahir ibn Asyur berkata: “Frasa, ‘sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,’ ialah suatu komentar, yakni Allah mencintai setiap orang yang berlaku saksama, termasuklah mereka yang saksama terhadap orang-orang yang membuat perjanjian dengan mereka dalam agama sekalipun mereka memiliki perbezaan, mereka tetap elok interaksinya terhadap orang-orang itu.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 25/153)

Ayat di atas menerangkan secara jelas bahawa Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam. Bahkan Allah SWT tidak menghalang umat Islam menyalurkan kebaikan kepada mereka. Malahan [أن تبروهم] ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dengan makna [تحسنوا إليهم] iaitu berlaku ihsan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 15/16)

Ini disokong dengan dalil-dalil Syarak yang memberi penekanan kepada perlindungan kepada golongan bukan Islam yang berada dalam Negara Islam. Golongan bukan Islam mengikut uruf zaman silam diistilahkan dengan ahli zimmah. Sesebuah Negara hendaklah melindungi mereka dari sebarang tindakan salah laku terhadap mereka dan menyediakan kebebasan individu kepada mereka. Dengan kata lain, sebarang bentuk penindasan dan kezaliman adalah di larang sama sekali. Sabda Nabi SAW:

أَلاَ مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا ، أَوِ انْتَقَصَهُ ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya: “Ingatlah! Barangsiapa menzalimi kafir mua’ahad atau menindas, membebankan di luar kemampuan atau mengambil sesuatu tanpa persetujuannya maka akan menjadi penghujah baginya pada hari Kiamat”.

Riwayat Abu Dawud (3052)

Namun dalam konteks semasa, golongan bukan Islam yang tinggal di sesebuah negara bersama orang-orang Islam sudah lagi tidak dinamakan sebagai zimmi. Sebaliknya istilah yang terpakai ialah muwatin atau warganegara. Malahan perlindungan kepada setiap warganegara dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut:

  1. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

 

Berikut ialah beberapa prinsip dan asas kepada fiqh al-ta’ayush:

Tolak ansur dan kemanusian dalam Islam

Agama Islam selari dengan tabiat manusia dan bercirikan sebuah agama yang mudah dan menjauhi kesulitan. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Nabi SAW :

إنما بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dibangkitkan dengan ugama yang lurus lagi mudah

Riwayat al-Tabarani (7715)

Ciri-ciri al-yusr (Islam itu mudah) ini terzahir dalam prinsip tasamuh (tolak ansur) dan insaniyyah (kemanusian) dalam hubungan sesama orang bukan Islam. Ini semua adalah kerana sebab rahmat Allah kepada hamba-hambaNya yang mencakupi semua makhluk. Sabda Nabi saw:

مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak memberi rahmat maka tidak akan dirahmati”.

Riwayat al-Bukhari (5997)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika mengulas hadis ini, menukilkan daripada Ibn Battal yang berkata: “Hadis ini mengandungi maksud galakan kepada menggunakan rahmat (perasaan belas kasihan) kepada semua makhluk sama ada orang mukmin, kafir, haiwan yang dimiliki atau tidak dimiliki. Termasuk dalam rahmat ialah sentiasa memberi makan, minum dan meringankan bebanan dan tidak melakukan tindakan salah laku dengan memukul.” (Lihat Fath al-Bari, 10/440)

Di antara manifestasi kerahmatan Islam ialah tiada elemen paksaan dalam agama. Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain. Ini bertitik tolak daripada prinsip tolak ansur dan kemanusian yang dijunjung dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam

(Surah al-Isra’: 70)

Menurut Dr Mahmud Sidqi Sadiq al-Hawari, ahli jawatankuasa Pejabat Wakil Shaykh al-Azhar al-Sharif (temubual 23 Okt 2018, Pejabat Mashyakhah al-Azhar, Kaherah) ketika menghuraikan hifz al-din:

فأنت تحترم الإنسان أولا في درجة أولى من الاحترام لأنه إنسان من صنع الله.

Maksudnya: “Maka kamu hendaklah menghormati manusia pertama sekali di peringkat pertama memberi kehormatan kerana dia adalah manusia termasuk ciptaan Allah.

Prinsip tasamuh (tolak ansur) mencakupi maksud memberi kebebasan beramal bagi mereka, tidak menyakiti mereka dalam hal kepercayaan seperti mencaci dan tidak memusnah tempat ibadat mereka.

 

Sikap Rahmat Orang Islam Terhadap Golongan Bukan Islam

Secara umumnya, Islam merupakan sebuah agama rahmat yang meliputi keseluruhan makhluk. Inilah teras yang menjadi asas pengutusan baginda Rasulullah SAW seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada keseluruhan alam.

(Surah Al-Anbiya’: 107)

Dr. ‘Aid al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:

  • Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah.
  • Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.
  • Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.
  • Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
  • Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi. (Lihat Ma’rifah Rasulullah SAW, 36)

Ini menunjukkan bahawa rahmat Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu bukan sekadar merangkumi umat Islam semata, bahkan turut meliputi golongan bukan Islam, serta haiwan-haiwan, tumbuhan, alam sekitar, dan makhluk keseluruhannya.

Demikian juga Rasulullah SAW memberikan petunjuk dalam hal ini melalui sabdanya:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Maksudnya: Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit.

Riwayat al-Tirmizi (1924)

Dalam hadis tersebut, kalimah مَنْ adalah antara lafaz yang memberi makna umum. Ini memberi makna bahawa syarak memberikan arahan supaya diberikan sikap rahmat terhadap sesiapa sahaja yang berada di atas muka bumi seperti orang tua, lelaki dan perempuan, kanak-kanak, hatta kepada orang bukan Islam itu sendiri.

Sejarah menunjukkan kepada kita bahawa hubungan umat Islam dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi dan memusuhi Islam terbina di atas dua ciri iaitu, sifat al-Birr (berbuat kebaikan) dan al-Qisth (berlaku adil). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu pada agama kamu serta tidak mengeluarkan kamu dari tanah air kamu, untuk kamu berbuat kebaikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang berlaku adil.

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Imam al-Qurthubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ayat ini merupakan suatu rukhsah (keringanan) daripada Allah S.W.T dalam berhubungan dengan golongan yang tidak memusuhi dan memerangi orang-orang yang beriman. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/54)

 

Pensyariatan Berbuat Baik kepada Mereka yang Tidak Bermusuh

Agama Islam menyeru kepada kebajikan, ihsan (berbuat baik) dan menyalurkan kebaikan kepada semua manusia kecuali kepada golongan yang memerangi Allah dan Rasul-Nya atau yang dikenali dengan istilah “harbi”. Manakala, selain daripada mereka, agama Islam tidak melarang umat Islam berbuat baik sepertimana yang dijelaskan dalam nas surah al-Mumtahanah ayat 8.

Ibn Jarir al-Tabari ketika menghuraikan tafsiran ayat tersebut berkata: “Dan pendapat yang paling tepat mengenai hal tersebut ialah pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini bermaksud Allah SWT tidak melarang kamu (orang Islam) untuk berbuat baik, berhubung serta berlaku adil kepada semua golongan yang tidak memerangi kamu dalam hal agamamu dari semua jenis agama dan kepercayaan. Sesungguhnya Allah menggunakan lafaz umum dengan firmanNya: ‘Dan mereka yang tidak memerangimu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dari negerimu’ yang mencakupi semua golongan yang mempunyai sifat tersebut. Allah SWT tidak mengkhususkan sebahagian golongan. Maka, tidak tepat bagi mereka yang mengatakan ayat ini dimansuhkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Quran, 22/574)

Ternyata, berbuat baik dan menyalurkan kebaikan kepada semua individu termasuk orang bukan Islam merupakan suatu tuntutan agama. Sudah tentu, orang yang paling utama dimuliakan ialah ibu bapa dan kaum kerabat sekalipun mereka bukan Islam. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman menjelaskan hak ibubapa yang bukan Islam terhadap anaknya yang Islam:

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ

Maksudnya: “Dan sekiranya kedua-dua ibupada memaksa kamu untuk menyekutukan daku pada sesuatu yang kamu tiada ilmu dengannya, maka janganlah engkau mentaati kedua-duanya. Tetapi temanilah mereka di dunia dengan berbuat baik.”

(Surah Luqman: 15)

Ini bermaksud, menyambung silaturrahim adalah lambang perbuatan kebajikan dan ihsan yang paling utama wajib disalurkan kepada orang-orang bukan Islam.

 

Cara Nabi SAW Berinteraksi dengan Non Muslim di Madinah

Nabi Muhammad SAW adalah satu contoh qudwah tauladan yang terbaik bagi seluruh umat manusia. Ianya merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti cara muamalah, akhlak dan sifat-sifat peribadi baginda Nabi SAW. Allah SWT telah berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (273) dalam al-Adab al-Mufrad

Berpandukan kepada nas al-Quran dan hadis di atas, keperibadian akhlak Nabi SAW yang sempurna dalam dilihat oleh semua manusia merangkumi muslim atau non muslim pada ketika itu. Perkara ini menunjukkan hebatnya akhlak tersebut sehingga menjadi satu contoh tauladan kepada seluruh lapisan masyarakat dunia. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa contoh yang akan diberikan berikut:

 

Pertama: Perlembagaan Negara Kota Madinah

Selepas penghijrahan Nabi SAW ke Kota Madinah, peranan yang dipikul oleh Baginda SAW bukan lagi hanya sebagai seorang Rasul bahkan juga adalah seorang pemimpin politik atau ketua negara dalam sebuah negara baru yang ditadbir berlandaskan nilai-nilai Islam. Ia menuntut kepada pelaksanaan undang-undang pentadbiran yang jelas, bagi menjamin keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat - yang pernah berpecah kerana siri peperangan yang panjang - yang hidup secara berbilang agama iaitu Islam, Yahudi, Kristian dan juga mereka yang menyembah berhala. Oleh itu Baginda SAW telah melancarkan sebuah piagam atau perlembagaan yang memperincikan tanggungjawab-tanggungjawab semua pihak yang menetap di Madinah, peranan dan kewajiban terhadap satu sama lain, dan beberapa had atau larangan yang terpakai antara satu sama lain. Perlembagaan ini dikenali sebagai Sahifah Madinah.

Syeikh Ali Jumu’ah berkata: “Rasulullah SAW telah menjadiklan Piagam Madinah sebagai undang-undang yang dianggap perlembagaan pertama di dunia sebagai perlembagaan Madinah. Ia menentukan ciri dan imej sebuah daulah Islam yang baharu, yang tidak mendiskriminasikan antara warganegaranya daripada aspek agama, genetik, dan jantina. Pastinya, setiap sudut perjanjian itu pula bagi warga Madinah adalah nilai pertolongan, nasihat, saling memperbaiki, dan tolong-menolong pada perkara bukan maksiat. Piagam itu juga meletakkan bahawa tanggungjawab memelihara negara itu adalah tanggungjawab semua, supaya merealisasikan semangat kesamarataan, keadilan, tolong-menolong, kehidupan bersama sesama ahlinya.” (Lihat al-Namazij al-Arba`ah min Hady al-Nabi   fi al-Ta`ayush Ma` al-Akhar, hlm. 27)

Antara kandungan Perlembagaan Kota Madinah (Sahifah Madinah) ialah:

Fasal 1: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.

Fasal 2: Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.

Fasal 16: Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.

Fasal 18: Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.

Fasal 25: Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri

Fasal 45: Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam). (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/556-558)

 

Kedua: Kristian Najran Sembahyang di Masjid Nabawi

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.” Kisah ini disebut oleh Ibn Ishaq dalam Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (2/42), Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah (1/397) dan Zad al-Ma’ad (3/549).

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:

  1. Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja. (Rujuk Taqrib al-Tahzib, 2/471)
  2. Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan. (Rujuk Zad al-Ma'ad, 3/557)
  3. Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.
  4. Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh menyatakan bahawa kisah ini menunjukkan bahawa sekiranya ada keperluan atau hajat yang memungkinkan hal seperti itu, ia dibolehkan.

 

 Ketiga: Pertemuan Kristian Najran dan Rasulullah SAW

جَاءَ العَاقِبُ وَالسَّيِّدُ، صَاحِبَا نَجْرَانَ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ، قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: لاَ تَفْعَلْ، فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ، وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا، قَالاَ: إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا، وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلًا أَمِينًا، وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلَّا أَمِينًا. فَقَالَ «لَأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ»، فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الجَرَّاحِ» فَلَمَّا قَامَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ

Maksudnya: “Telah datang al-‘Aqib dan al-Sayyid; dua orang kepada dari Najran kepada Rasulullah SAW, atas tujuan mubahalah dengan Nabi SAW. Berkata salah seorangnya kepada yang seorang lagi, “Jangan kamu lakukannya. Demi Allah, jika dia benar seorang Nabi dan kita lakukan li’an ini, sama ada kita, tidak juga keturunan selepas kita akan berjaya.’

Mereka berdua berkata: ‘Sesungguhnya kami akan memberikanmu apa yang kamu minta. Tetapi kamu perlu mengutuskan bersama kami, seorang yang dapat dipercaya, dan jangan engkau mengutus orang yang tidak dapat dipercayai bersama kami.

Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya aku akan mengutus seorang yang dapat dipercaya.’ Maka para sahabat Nabi SAW menginginkan dirinya yang dimaksudkan itu. Rasulullah SAW bersabda: ‘Berdirilah wahai ‘Ubaidah bin Jarrah.’ Dan ketika Abu Ubaidah berdiri dan Baginda bersabda, “Ini orang paling dipercayai dalam umat ini.”

Riwayat al-Bukhari (4380)

Hadith di atas adalah tentang peristiwa kedatangan delegasi Kristian Najran bertemu dengan Rasulullah SAW. Mereka datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW tidak pula menghalau, menyuruh mereka pulang ke Najran bahkan berlaku dialog, antara mereka dan kisah ini masyhur dan dikenali dengan kisah al-Mubahalah.

 

DAWABIT (GARIS PANDUAN) FIQH AL-TA’AYUSH

Dalam konteks memahami fiqh kewujudan bersama, maka beberapa dawabit penting perlu dikemukakan supaya menjadi garis panduan kepada masyarakat.

1.     Tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam

Dalam konteks fiqh kehidupan bersama, antara asas penting yang perlu dipelihara ialah soal akidah selaras dengan kedudukan hifz al-din dalam heirarki maqasid Syariah. Meskipun Islam mengajar umatnya berbuat baik kepada golongan bukan Islam, namun batasannya ialah sudah tentu mesti menjaga perkara akidah dan kepercayaan agama Islam. Berbuat baik tidak bermakna melanggar pantang larang akidah. Ini terletak kepada kefahaman masyarakat terhadap konsep al-wala’ wa al-bara’ atau al-muwalah wa al-mu’adah dalam Islam. Muwalat al-mu’minin (memberi wala’ kepada orang beriman) dan mu’adah al-kafirin (berlepas diri daripada orang kafir) merupakan tuntutan agama dan termasuk dalam tuntutan kalimah tauhid.

Secara ringkasnya, ia bermaksud seseorang Muslim hendaklah mencintai Islam dan orang-orang Islam dan berlepas diri daripada golongan kafir dan kekufuran mereka. Asas ini ditekankan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Maksudnya: “Sungguh, telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengannya, ketika mereka berkata kepada kaumnya, “Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu ada permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja”.

(Surah al-Mumtahanah: 4)

Difahami daripada ayat ini, konsep al-bara’ menghendaki membenci dalam hati dengan sebab kekufuran mereka. Ia bukan bermaksud melakukan kezaliman dan menyakiti mereka selagi mana mereka tidak memerangi orang-orang Islam.

Sebagai contoh, keterlibatan individu muslim dalam aktiviti, perayaan dan amalan keagamaan khusus golongan bukan Islam. Keterlibatan seperti ini boleh membahayakan akidah kerana kebarangkalian untuk terkesan dan menjadi bahan fitnah kepada orang muslim lain. Malahan jika seseorang individu terlibat dalam keadaan mengakui dan menyetujui perbuatan mereka, boleh menyebabkan kemurtadan. Maka, seseorang individu muslim hendaklah memahami garis panduan ini sebaik-baiknya dalam urusan kewujudan bersama di sesebuah komuniti atau negara. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tidak menyaksikan (menyertai) acara dusta”.

(Surah al-Furqan: 72)

Imam Ibn Kathir Rahimahullah berkata: “Berkata Abu al-Aliyyah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan selain mereka: Ia bermaksud perayaan orang-orang musyrikin”.

2.     Pergaulan hendaklah dalam suatu yang ma’ruf bukan mungkar

Manusia dari segi tabiat asal kejadiannya adalah bersifat madani iaitu hidup bermasyarakat. Oleh kerana itu Islam menggalakan individu muslim menjadi pelita kepada orang lain dan pendakwah menyeru ke arah kebaikan. Firman Allah SWT:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي

Maksudnya: “Katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata”

(Surah Yusuf 108)

Imam al-Shaukani menjelaskan: Ayat ini menjadi dalil bahawa setiap orang yang mengikuti jalan Rasulullah SAW maka wajar ke atasnya menjadi ikutan dalam menyeru kepada Allah iaitu kepada beriman dengan Allah, mengesakanNya dan beramal dengan syariatNya.

Justeru, seseorang itu hendaklah bergaul dan bercampur dengan orang bukan Islam untuk menyeru mereka kepada agama suci Islam. Malahan Islam membenarkan pergaulan dengan golongan bukan Islam sekalipun bukan bertujuan dakwah seperti untuk berniaga, jual beli dan apa jua aktiviti lain.

Namun begitu, pergaulan tersebut hendaklah sunyi daripada perkara mungkar seperti perbuatan menghina agama Islam, orang Islam, atau ada elemen arak, judi dan sebagainya. Dalam situasi kehidupan bersama, adakalanya seseorang individu muslim bersama dengan non muslim dalam satu majlis, atau menghadiri jamuan di rumah non muslim. Apabila terdapat hidangan makanan dan minuman yang haram seperti khinzir dan arak, maka seorang muslim wajib menjauhinya. Sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ ، وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah duduk bersama dalam hidangan yang diedar atasnya arak”

Riwayat al-Nasa’ie (6708)

Dalam konteks kehidupan bersama, penerangan dan penjelasan kepada golongan non Muslim tentang pegangan dan pantang larang agama Islam dalam soal makan dan minum wajar diperhebatkan agar mereka lebih tahu dan jelas.

3.     Mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam

Di antara garis panduan penting dalam konteks fiqh al-ta’ayush ialah, setiap amalan dan kebebasan yang diberikan kepada non Muslim dalam sesebuah negara hendaklah dipastikan tidak membawa kemudaratan kepada orang-orang Islam seperti perhimpunan untuk menyerang orang-orang Islam, berzina dengan wanita Muslimah atau percubaan memurtadkan orang-orang Islam. Oleh kerana itu perbuatan menyebarkan dakyah dan agama kepada umat Islam adalah suatu yang boleh disekat oleh sesebuah negara Muslim.

Dalam hal ini, Ibn al-Qayyim menjelaskan: Dan ini merupakan hal paling utama perjanjian (aman) terbatal, kerana ia merupakan satu bentuk peperangan dengan Allah dan RasulNya secara lisan. Boleh jadi ia lebih besar daripada peperangan dengan kuasa tangan. Sebagaimana dakwah kepada Allah dan RasulNya boleh berlaku dalam bentuk secara hati dan lisan, dan ia mungkin lebih afdal daripada jihad dengan kuasa tangan Dan oleh kerana dakwah kepada perkara menyebabkan –semestinya- kepada penghinaan kepada kebenaran, maka seruan mereka (orang-orang bukan Islam) kepada agama mereka, dan galakan mereka kepada agama mereka mengandungi elemen penghinaan/pencelaan kepada agama Islam Firman Allah Taala bermaksud “Jika mereka merosak sumpah (janji) nya sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu” [al-Tawbah:12]. Tidak dinafikan bahawa penghinaan kepada agama Islam adalah paling besar berbanding serangan dengan lembing dan pedang. Maka perkara yang paling awla membatalkan perjanjian ialah serangan/penghinaan kepada agama meskipun ia tidak disyaratkan ke atas mereka. Maka persyaratan yang dibuat (iaitu larangan ke atas non muslim) tidak lain hanya satu bentuk pengukuhan dan penekanan”. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/1254)

Sebagai contoh, dalam konteks perlembagaan Malaysia, artikel 11 (4) secara jelas memperuntukan:

  1. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkanagamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya

…….

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan WilayahWilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undangundang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

 

Justeru, atas dasar siyasah syari’iyyah, pemerintah khususnya mana-mana negeri di Malaysia boleh menggubal satu statut dan undang-undang yang dilihat membawa kebaikan kepada masyarakat khususnya memelihara akidah dan agama Islam. Ini selaras dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah atas rakyatnya bergantung kepada maslahah”

4.     Tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat’ie

Sebagaimana yang diketahui bahawa perbuatan individu muslim demi dalam konteks kehidupan bersama orang bukan Islam hendaklah terbatas dalam perkara yang harus sahaja. Manakala perkara haram khususnya secara qat’ie adalah tidak dibenarkan sama sekali. Perkara-perkara harus ini termasuk dalam isu ijtihadiyyah dan mutaghayyirat. Dengan sebab perubahan zaman dan uruf masyarakat, adakalanya hukum boleh berubah. Dalam satu kaedah fiqhiyyah terkenal menyebut:

لَا يُنكر تغير الْأَحْكَام بِتَغَيُّر الْأَزْمَان

Maksudnya: “Tidak diingkari perubahan hukum dengan sebab perubahan zaman”

Menurut al-Zarqa’: “Tidak diingkari perubahan hukum dengan sebab perubahan zaman, iaitu perubahan uruf dan adat penduduk. Jika uruf dan adat menuntut satu hukum lain, lalu kedua-duanya (adat dan uruf) berubah kepada suatu uruf dan adat lain, maka hukum juga berubah kepada hukum yang selari dengan uruf dan adat mereka.” (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 228)

Oleh itu, beberapa hukum syariah boleh berubah mengikut zaman dan tempat. Perubahan tersebut berlaku dalam perkara-perkara yang bersifat mutaghayyirat dan ijtihadi sahaja. Manakala perkara thawabit tidak akan berubah sehingga akhir zaman.

Contohnya, isu mengucapkan tahniah atas perayaan yang mereka rayakan, ini masih termasuk perkara ijtihadi yang dianggap mutaghayyirat. Para ulama sering membahagikan perayaan bukan Islam kepada dua kategori, pertama perayaan adat dan kedua perayaan agama. Secara umumnya, para ulama membenarkan ucapan tahniah diberikan kepada bukan Islam sempena dengan perayaan yang tidak berkaitan agama.[1] Contohnya, sambutan Hari Natal yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Isa Alaihissalam. Namun beberapa batasan agama hendaklah dijaga dan keharusan itu mestilah terikat dengan keperluan. Elemen yang menunjukkan menyetujui agama mereka hendaklah dielakkan.

Ibn al-Qayyim berkata dalam – fasal mengenai ucapan tahniah kepada kafir zimmi sempena perkahwinan, anak, kemunculan orang yang hilang, kesembuhan, selamat dari perkara yang tidak disukai dan sebagainya – riwayat Imam Ahmad berbeza pada hal demikian, di mana beliau mengharuskannya dan pernah melarangnya dalam riwayat lain. Perbahasannya juga sama seperti perbahasan mengenai ucapan takziah dan ziarah pesakit. Tiada beza. Tetapi hendaklah berhati-hati daripada terjerumus dalam perbuatan orang-orang jahil seperti mengucapkan lafaz yang menunjukkan persetujuan kepada agamanya” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/441)

Seterusnya, Ibn al-Qayyim menukilkan kesepakatan ulama atas pengharaman ucapan tahniah kerana sebab syiar agama mereka. Kata beliau: “Adapun ucapan tahniah sempena syiar kekufuran yang khusus bagi mereka maka haram dengan ittifaq seperti ucapan tahniah sempena perayaan dan puasa mereka. Seperti seorang berkata: Semoga perayaan ini kamu diberkati atau tahniah dengan perayaan ini dan seumpamanya. Hal ini sekiranya pengucapnya terselamat daripada kekufuran, namun ia masih termasuk dalam perkara haram. Ia seakan-akan seseorang mengucap tahniah kerana sebab seseorang sujud kepada salib. Bahkan ia lebih besar dosa di sisi Allah dan sangata dimurkai Allah berbanding ucapan tahniah sempenan meminum arak, membunuh, melakukan dosa zina yang haram dan seumpamanya”. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/441)

Meskipun ulama mengharamkan ucapan tahniah ketika perayaan, namun masih ada ulama yang membenarkannya dengan syarat tiada elemen persetujuan kepada agama. Ucapan tahniah tidak semestinya menggambarkan kita bersetuju dengan agama dan kepercayaannya. Hal ini dipersetujui oleh beberapa orang tokoh dari Universiti al-Azhar al-Syarif.

Malahan, para sahabat R.Anhum juga mempunya pendapat yang berbeza dalam soal ucapan tahniah dan doa kepada orang kafir. Dalam kitab al-Adab al-Mufrad, al-Bukhari merekodkan satu athar yang menggambarkan kefaqihan seorang sahabat Nabi yang memahami konteks dan uruf semasa, iaitu daripada Uqbah bin Amir al-Juhani:

أَنَّهُ مَرَّ بِرَجُلٍ هَيْئَتُهُ هَيْئَةُ مُسْلِمٍ ، فَسَلَّمَ ، فَرَدَّ عَلَيْهِ : وَعَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ، فَقَالَ لَهُ الْغُلاَمُ : إِنَّهُ نَصْرَانِيٌّ ، فَقَامَ عُقْبَةُ فَتَبِعَهُ حَتَّى أَدْرَكَهُ فَقَالَ : إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ وَبَرَكَاتَهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ، لَكِنْ أَطَالَ اللَّهُ حَيَاتَكَ ، وَأَكْثَرَ مَالَكَ وَوَلَدَكَ.

Maksudnya: “Bahawa beliau melalui di tepi seorang lelaki yang mana penampilannya seperti seorang Muslim, lalu lelaki itu memberi salam kepada beliau, maka beliau menjawab: “Wa alayka wa rahmatullah wabarakatuh”.

Kemudian seorang budak berkata kepadanya: “Lelaki itu adalah kristian!” Maka Uqbah bingkas bangun dan mengikutinya sehingga mendapatkannya semula. Lalu Uqbah berkata: Sesungguhnya rahmat dan keberkatan Allah adalah ke atas orang beriman, tetapi semoga Allah memanjangkan umurmu dan membanyakkan harta dan meramaikan anakmu.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1112)

Athar ini menunjukkan bahawa Uqbah tidak mahu doa keberkatan secara mutlak diberikan kepada orang kafir. Tetapi apa yang pasti, doa Uqbah R.A tidak bermaksud bahawa beliau berdoa agar lelaki kafir tersebut diberi kekuatan dan umur panjang atas kekufurannya untuk memusuhi Allah dan RasulNya! Seterusnya al-Bukhari turut menyebut athar lain daripada Ibn Abbas R.A, bahawa beliau berkata:

" لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ : بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ ، قُلْتُ : وَفِيكَ ، وَفِرْعَوْنُ قَدْ مَاتَ

Maksudnya: Jika firaun berdoa kepadaku: “Semoga Allah memberkati padamu” nescaya aku akan berkata: “Dan padamu jua” sedangkan firaun telah mati”.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113)

Dua athar tersebut menunjukkan perbezaan antara Ibn Abbas dan juga Uqbah dalam isu doa keberkatan kepada bukan Islam. Kedua-duanya merupakan ijtihad yang datang daripada dua orang sahabat.

Namun begitu, sekiranya ucapan tersebut mengandungi makna dan maksud menyetujui agama mereka dan kepercayaan agama mereka atau akan menyebabkan mafsadah agama (fitnah agama) seperti memberi gambaran bahawa persetujuan kepada agama mereka, maka ia wajib dielak dan dijauhi.

Al-Hattab, tokoh mazhab Maliki, dalam kitab Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, menukilkan fatwa al-Bulqini:

وسئل عن مسلم قال لذمي في عيد من أعيادهم : عيد مبارك عليك . هل يكفر أم لا ؟ فأجاب إن قاله المسلم للذمي على قصد تعظيم دينهم وعيدهم فإنه يكفر ، وإن لم يقصد ذلك وإنما جرى ذلك على لسانه فلا يكفر لما قاله من غير قصد .

Maksudnya: Dan beliau disoal mengenai seorang muslim berkata kepada zimmi pada salah satu hari perayaan mereka: “Semoga hari raya ini kamu diberkati” adakah muslim itu akan menjadi kafir atau tidak? Beliau menjawab: Sekiranya muslim tersebut berkata kepada zimmi dengan niat untuk membesarkan agama mereka atau perayaan mereka, maka ia akan menjadi kafir (murtad), sebaliknya jika dia tidak berniat sedemikian, namun hanya menyebut di lidah sahaja, maka dia tidak akan menjadi kafir kerana apa yang dikatakan tanpa qasad (niat membesarkan agama).” (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289)

Walaubagaimanapun, golongan ilmuwan dan agamawan hendaklah sentiasa memainkan peranan mereka untuk menjelaskan dan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga akidah dan memelihara agama. Masyarakat perlu diberi kefahaman yang jitu tentang agama. Mereka perlu faham bahawa perkara-perkara yang jelas pengharamannya hendaklah dijauhi dan dihindari. Manakala perkara-perkara yang diragui juga wajar dielakkan sedaya mungkin.

 

Tafsiran Ayat Surah al-Ma’idah

Allah SWT berfirman:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Surah Al-Maidah :82)

Sheikh al-Maraghi telah memberi satu penjelasan berkenaan ayat ini dengan begitu jelas dan menarik. Kata beliau: “Permusuhan dan kesakitan yang paling dahsyat yang pernah dirasai oleh Nabi SAW adalah permusuhan yang dilakukan oleh Yahudi Hijaz di Madinah dan sekitarnya. Begitu juga permusuhan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin Arab terutamanya di tanah Mekah dan juga sekitarnya.

Orang Yahudi dan musyrikin mempunyai sifat yang sama dari segi perangai dan akhlak yang mana ia menyebabkan mereka bermusuh dengan Nabi SAW seperti sifat sombong, cinta kepada dunia, kasar, kurangnya sifat lembut dan rahmat dan sifat perkauman yang tinggi. Kaum musyrikin Arab walaupun jahil akan tetapi hati mereka lembut sedikit daripada Yahudi. Mereka mempunyai sikap ithar dan pemurah serta mempunyai pemikiran yang bebas.

Allah SWT mendahulukan orang Yahudi adalah sebagai isyarat bahawa mereka melebihi orang Arab terutamanya sikap mereka yang suka membunuh sebahagian nabi dan suka menyakiti sebahagian yang lain. Mereka juga menghalalkan mengambil harta orang lain secara batil. Mereka tidak cenderung kepada orang Islam di tanah suci, Syam dan Andalus kecuali ada kepentingan untuk mereka.

Ketika menjelaskan ayat “وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰ ۚ”, Sheikh al-Maraghi menyebut bahawa yang paling hampir menzahirkan kecintaan kepada orang Islam adalah kaum Nasara. Sesungguhnya Nabi SAW melihat orang Nasara di Habsyah adalah orang yang paling banyak mempertahankan orang Muhajirin ketika awal-awal zaman Islam yang mana datang dari Mekah menuju ke Habsyah.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/5)

Maka dapat kita lihat bahawa ada di kalangan non-Muslim yang disebutkan oleh Allah SWT yang amat mudah untuk dibawa berbincang dan berdialog yang akhirnya mewujudkan satu suasana harmoni dan damai tanpa ada permusuhan. Beberapa siri dialog bersama non-Muslim khususnya penganut Kristian telah dijalankan. Ini adalah sebagai satu usaha untuk memberi kefahaman dan satu cara mewujudkan keharmonian antara agama. Antaranya yang pernah dilakukan oleh Sheikh Muhammad Abduh pada akhir kurun ke-13 ketika mana beliau mengumpulkan beberapa pakar dan cendekiawan di Beirut untuk menulis bagaimana untuk mendekatkan antara tiga agama supaya boleh menghilangkan perselisihan faham seterusnya saling membantu untuk mengurangkan tekanan Eropah terhadap orang Asia. (Lihat al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghair Muslimin oleh Dr Musa Sharif, hlm. 19)

Pandangan Ulama al-Azhar dan Mesir Mengenai Fiqh al-Ta’ayush

Sejak dahulu lagi ulama al-Azhar telah mengemukakan Fiqh al-Ta’ayush dalam hubungan kemasyarakatan di Mesir. Para Syeikh al-Azhar seperti Syeikh al-Maraghi, Syeikh Mahmud Shaltut, Syeikh Abdul Halim Mahmud, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i, Syeikh al-Sya’rawi dan termasuk mufti Mesir seperti Syeikh Muhammad Abduh sehinggalah kepada ulama al-Azhar masa kini seperti Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad Tayyib dan juga Mufti Mesir, Syeikh Shauqi Ibrahim ‘Allam dan lain-lain begitu prihatin dan memberi kecaknaan berkenaan permasalahan Fiqh al-Ta’ayush.

Begitu juga kami nukilkan di sini pandangan beberapa tokoh antaranya:

  1. Dr Rifaat Fauzi Abd al-Muttalib (temubual, 19 Okt 2018), pensyarah Syariah di Universiti Kaherah menyebut:

Al-Ta’ayush ialah apa yang diucapkan dan diungkapkan oleh Rasul SAW mengenai muwatanah dan ta’ayush iaitu apa yang diungkapkan dalam sabdanya “bagi mereka apa yang diperolehi untuk kami, dan apa yang wajib ke atas mereka, ialah sama seperti apa yang wajib ke atas kami” selagi mana mereka meredhai dan kami meredhai mereka hidup bersama kami..”

Beliau turut menjelaskan definisi muwatanah: “Muwatanah ialah kita mendiami satu negara..hendaklah masing-masing menghormati orang lain kerana kita tinggal bersamanya (bukan Islam) di negara..bagi mereka sama seperti hak kita dan atas mereka tanggungjawab sebagaimana tanggungjawab kita”.

Seterusnya, beliau mengulas tentang pembahagian negara kepada istilah harbi dan Islam adalah pembahagian ijtihadi dan sekarang istilah yang wujud ialah muwatin (warganegara) sehingga boleh dikatakan sudah tiada lagi istilah zimmi dalam konteks moden, cuma golongan kafir harbi masih wujud pada zaman sekarang. Beliau menyebut: “Tidak mengapa (tidak guna istilah zimmi), tetapi isunya di sana masih ada harbi, dan di sana ada muwatin, di sana ada orang bukan Islam yang memusuhi orang Islam..Cuma kita tidak memerangi mereka kecuali dalam dua keadaan: Keadaan pertama: mereka menyerang kita dan melakukan tindakan melampaui batas. Keadaan kedua: Mereka menyerang agama kita iaitu sentiasa memburukkan Islam….ini membahayakan kita”.

  1. Menurut Prof Dr Muhammad bin Ibrahim al-Hifnawi (temubual, 22 Okt 2018), professor dan pakar usul fiqh di Kuliyyah Syariah wa al-Qanun, Universiti al-Azhar, Cawangan Tanta ketika menghuraikan konsep fiqh al-ta’ayush:

Kamu mengetahui bahawa hubungan antara orang Islam dan bukan Islam terbina di atas asas keamanan. Dan beginilah Islam datang, dalam keadaan menyeru kepada keamanan berdasarkan dalil bahawa orang-orang Islam terawal di mana Rasulullah saw bersama mereka telah disakiti lebih daripada atau dalam tempoh 13 tahun...mereka disakiti dengan banyak, namun mereka tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.

Malah tidak diwajibkan membalas kejahatan dengan kejahatan melainkan selepas berlalunya 15 tahun daripada kebangkitan Nabi SAW. Ketika itu dakwah didasari dengan prinsip berikut: ‘kita hendaklah berkata kepada orang bukan Islam: prisip-prinsip kami yang dibawa oleh Islam ialah begini dan begitu, maka adakah kamu beriman dengannya? Jika mereka beriman, maka alhamdulillah, namun jika mereka berkata: “aku tidak beriman’. Maka ketika itu kita bertanya: adakah kamu akan menghalang jalan kami iaitu kami ingin menyampaikan kepada manusia? Jika dia menjawab: aku tidak akan masuk campur, maka kita akan menjawab kepadanya: kamu bebas pada apa yang kami percaya dan kami harap kamu mendapat hidayah dan petunjuk.

Namun jika mereka berkata: “Tidak dan kami tidak akan beriman dan tidak akan membiarkan kamu menyebarkan Islam dan kami akan menghalang kamu! Maka ketika inilah kita akan mengangkat pedang. Tujuannya ialah kerana mempertahankan hak kehidupan dan hak menyebarkan prinsip kami yang mana ingin dihalang. Maka asalnya, hubungan antara kami dan bukan Islam ialah keamanan. Dan inilah yang wajib disebar luaskan ke seluruh alam.”

Ketika mengulas isu mengenai pembahagian negara kepada Islam dan Harbi, beliau menyebut: “Istilah-istilah ini (dar harb wa dar Islam) adalah istiah lama, adapun sekarang, maka kita sudah menjadi muwatanah (kewarganegaraan)...Istilah-istiah ini ialah istilah klasik..saya tidak mengetahui contohnya, Yahudi menjajah Palestin dan mereka mahu mengeluarkan penduduk Palestin daripadanya. Bahkan mereka telah mengusir ramai daripada kalangan mereka…mereka (Yahudi) adalah golongan kafir, mereka melampaui batas, mereka berdosa dan mereka ialah kafir harbi (yang diperangi)..Adapun untuk aku mengatakan..atau aku membahagikan Negara kepada ini dan ini..ia adalah pembahagian pada satu zaman tertentu dahulu…ia adalah ijtihad para ulama..adapun sekarang, aku ada jiran Kristian…apa yang menghimpunkan aku dan dia ialah perkataan muwatanah (kewarganegaraan)..dia adalah seorang warganegara..bahkan aku katakan kepada kamu –kamu mazhab apa di sana? Syafie…Menurut mazhab Hanafi –aku berharap ini akan disebarkan ke seluruh alam- Jika aku membunuh jiranku sama ada Yahudi atau Kristian, dan dia seorang yang baik di sisiku – mazhab Hanafi berpendapat, aku hendaklak dibunuh balas dengan sebab itu. Mazhab ini berdalilkan dengan umum firman Allah Taala dalam Surah al-Ma’idah:

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ

Ayat ini tidak menyebut al-nafs al-mu’minah (nyawa orang mukmin) dengan nyawa orang mukmin, tetapi ayat ini datang secara umum di mana alif lam di sini ialah bermaksud istighraqiyyah (keseluruhan). Mazhab ini juga berkata hadis al-Bukhari: “Jangan membunuh (balas) muslim dengan sebab pembunuhan orang kafi” ini adalah khusus untuk kafir harbi yang ada peperangan antaraku dan dia. Adapun bukan harbi, adapun warganegara yang merupakan jiran di samping ku..maka tidak termasuk dalam hadis ini”.

Seterusnya, Prof Dr al-Hifnawi turut menyebut tentang keharusan ucapan tahniah kepada golongan non Muslim dalam perayaan mereka. Menurut beliau: “Jika mereka ada perayaan, maka tiada halangan untuk ucapkan tahniah..tidak ada halangan untuk kamu menziarahi mereka…Ibn Taimiyah diriwayatkan daripadanya sekali, bahawa beliau melarang ucapan tahniah golongan kafir sempena perayaan mereka. Dan ini pendapat yang terkenal daripada beliau. Tetapi di sana ada riwayat yang lebih teliti dan lebih baik daripada yang pertama iaitu harus ucap tahniah...

  1. Sheikh Dr Mahmoud Sidqi Sadiq al-Hawari, Wakil Shaykh al-Azhar (temubual 23 Okt 2018), ketika ditanya mengenai isu orang-orang Islam ketika hari perayaan bukan Islam: “Jika seorang ketua/pemimpin masuk ke gereja atau rumah ibadat mereka, lalu memakai pakaian khusus mereka, apa pandangan tuan?”

Sheikh: Adapun pakaian khusus iaitu yang termasuk dalam syiar agama mereka, maka aku tidak berpendapat ia harus. Contohnya, adakah boleh dikatakan satu bentuk mujamalah (kesopanan/courtesy) aku memakai salib? –pertanyaan: sekalipun seorang menteri? – Ya walaupun seorang menteri…beza antara aku hadir untuk ziarah, hadir untuk ucap tahniah – pertanyaan: iaitu ada dawabit? – Setiap perkara berkaitan syiar agama mereka, maka tiada kaitan dengan kita..”

 

Penutup

Kami nyatakan bahawa Mesyuarat Khas Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 3 Disember 2018 memutuskan bahawa Konsep Fiqh al-Ta’ayush: Isu Di Malaysia Dan Penyelesaiannya yang dibahaskan ini dengan hujahan dan dalil-dalil, diterima sebagai salah satu penyelesaian dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan hubungan agama dan bangsa bagi masyarakat di Malaysia.

Agama Islam tidak membiarkan satu bidang kehidupan melainkan diletakkan kaedah dan prinsip yang jelas. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks kehidupan bersama dalam sesebuah negara di antara topik yang sangat penting pada zaman ini. Syariah telah menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush). Rasulullah saw merupakan qudwah terbaik dan uswah hasanah yang wajib ke atas orang-orang Islam mengikutinya. Baginda telah menunjukkan beberapa kaedah dan prinsip al-ta’ayush bersama orang lain dalam banyak keadaan, zaman dan tempat. Malahan para sahabat juga meletakkan batu asas kepada tamadun Islam yang menyaksikan kehidupan orang-orang Islam di samping bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni.

Ternyata, topik berkaitan fiqh al-ta’ayush sangat penting dalam zaman dan era moden. Menariknya, kepentingan ini turut diberi perhatian dalam Persidangan ke-23 Majmak al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang baru-baru ini diadakan di Madinah al-Munawarrah pada 28 Oktober – 1 November 2018 bersamaan 19-23 Safar 1440. Antara resolusi yang dicapai ialah resolusi no. 229 (13/23) mengenai iklan al-ta’ayush al-karim dalam kerangka Islam yang bakal diterbitkan berasingan daripada resolusi-resolusi lain. Justeru, fiqh al-ta’ayush merupakan satu perbincangan baru yang wajar diwacanakan ahli akademik dan institusi agama demi mencapai satu persetujuan dan parameter yang jelas tentangnya.

Kajian mendapati kesedaran dan kefahaman masyarakat perlu dipertingkatkan. Oleh itu, para ilmuwan dan agamawan serta institusi agama hendaklah memainkan peranan untuk menyampaikan ilmu dan menyemarakkan dakwah kepada golongan awam mengenai prinsip fiqh al-ta’ayush. Di samping itu, dakwah dan seruan kepada agama Islam wajar disebar luaskan kepada golongan bukan Islam agar mereka mendapat penjelasan dan tertarik dengan keindahan Islam. Semoga ia dapat memberi sumbangan idea dalam perbincangan fiqh al-ta’ayush di Malaysia.

 

Akhukum fillah,

Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

3 Disember 2018

 

Nota hujung:

[1] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=159583