اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-167: KEWAJIBAN MENGAMBIL VAKSIN MENGIKUT JADUAL IMUNISASI KEBANGSAAN DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM

ambil vaksin.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi ﷺ. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pada hari ini, 16 Januari 2019, sekali lagi kami telah ditanya berkenaan dengan isu vaksin apabila terdapat golongan pro dan contra serta kesan dalam masyarakat Malaysia; di antara pengambilan vaksin dengan yang begitu menentang dengan pelbagai alasan. Sebelum ini kami pernah mengeluarkan dua artikel berkaitan isu ini:

Dalam dua artikel tersebut, kami telah jelaskan tentang definisi vaksin, kaedah mengetahui hukum penggunaannya berdasarkan kandungannya, fatwa-fatwa ulama dan institusi fatwa yang mengharuskan dan mewajibkan vaksin, serta hubung kait dengan falsafah perundangan Islam, atau Maqasid al-Syariah. Pada akhir artikel tersebut, kami menyebut bahawa penggunaan vaksin bagi menambah imunisasi badan adalah diharuskan oleh Syarak di samping menekankan kepentingan pengambilan vaksin untuk meningkatkan imunisasi badan terhadap serangan beberapa penyakit berjangkit, seperti mana yang disarankan oleh para doktor, dan institusi-institusi perubahan tempatan dan antarabangsa.

Namun begitu, kesan gerakan anti-vaksin dalam masyarakat Malaysia sebenarnya semakin parah dan membimbangkan. Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pihak KKM melalui pemantauan yang dilakukan mendapati gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa masa kini terus meningkat daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada tahun 2016. Dalam masa yang sama, penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin telah meningkat dengan mendadak, contohnya kes penyakit demam campak, daripada 195 kes pada tahun 2013 kepada 1,934 kes pada tahun 2018, iaitu peningkatan sebanyak 891.8% bagi tempoh 5 tahun! Dalam jumlah tersebut, kes demam campak yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes pada tahun 2013 kepada 1,467 kes pada tahun 2018. Begitu juga menurut Kementerian Kesihatan, pada tahun 2018, terdapat enam rekod kematian demam campak di mana semuanya akibat tiada imunisasi, lima kes kematian berpunca daripada difteria dan empar daripadanya akibat tiada imunisasi, manakala 22 kematian akibat batuk kokol, di mana 19 kes daripadanya akibat tiada imunisasi. Rujuk Kenyataan Akhbar KPK 22 Januari 2019 – Penyebaran Maklumat Tidak Sahih Berkaitan Imunisasi. Kenyataan ini menunjukkan memang terdapat hubungan sebab-akibat antara gerakan penolakan vaksin dan penularan kes-kes penyakit berjangkit yang boleh dielakkan dengan Program Imunisasi Kebangsaan.

Hal ini tidak boleh dibiarkan di dalam masyarakat tanpa ada pantauan dan penguatkuasaan. Justeru, kami tuliskan artikel ini dan kami tajukkan dengan Bayan Linnas Siri Ke- : Kewajiban Mengambil Vaksin Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan Daripada Perspektif Islam.

Semoga jawapan pada kali ini menatijahkan sebuah kefahaman yang jelas berkaitan isu ini agar masyarakat Islam di Malaysia khususnya dan masyarakat Malaysia amnya memahami tentang betapa perlunya vaksin dalam kehidupan kita.

 

Merujuk Ahli Ikhtisas (Pakar)

Kami mulakan dengan menyebut akan pentingnya merujuk kepada ahli ikhtisas. Kami maksudkan dengan ahli ikhtisas adalah mereka yang berkepakaran dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Dalam isu vaksin ini, sudah barang tentu pakar-pakar perubatan khususnya berkenaan pakar dalam bidang vaksin perlu dirujuk untuk mendapat sebuah gambaran secara khusus dan terperinci.

Justeru, kami asaskan pertimbangan ini berdasarkan kepada nas Ilahi:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl: 43)

Ayat ini bermaksud, tanyalah wahai orang Quraisy ulama berkenaan Taurat dan Injil, nescaya mereka mengkhabarkan kamu bahawa semua para Nabi adalah manusia jika sekiranya kamu tidak mengetahui. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/118)

Walaupun begitu, kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: Pengajaran diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab”

Rujuk al-Mahsul (3/125) oleh Imam Fakhruddin al-Razi

Justeru, ia tidak terhad kepada pakar kajian Taurat dan Injil sahaja sebaliknya pada ilmu-ilmu lain juga. Merujuk kepada ahli ikhtisas adalah sebahagian daripada keperluan untuk memahami sesuatu itu dengan gambaran yang jelas dan tepat.

Berkata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Jelasnya merujuklah kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kamu tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama’.” (Lihat Fatwa antara Ketelitian dan Kecerobohan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm 45)

Kami juga mengamalkan prinsip seperti ini dengan merujuk kepada pakar-pakar untuk mendapat sebuah jawapan dengan lebih tuntas dan baik seperti merujuk kepada pakar perubatan, pakar kewangan dan lain-lain ketika mahu memutuskan satu-satu fatwa dan hukum. Inilah prinsip yang menjadi amalan kami.

 

Apakah Imunisasi dan Vaksin?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) mendefinisikan “imunisasi” sebagai proses di mana seseorang itu dijadikan imun atau tahan penyakit berjangkit, biasanya melalui pengambilan vaksin. Vaksin merangsang sistem imun badan sendiri untuk melindungi seseorang itu daripada jangkitan berikutnya atau sebarang jenis penyakit. (Rujuk Immunization.)

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.)

 

Bagaimana Vaksin Dihasilkan?

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

  • memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
  • memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan

Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

  • Pembiakan: Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
  • Pengasingan: Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
  • Penulenan: Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
  • Formulasi: Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM)

 

Jadual Program Imunisasi Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia

Berikut kami nyatakan Jadual Imunisasi Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Umur

Jenis Imunisasi

Baru Lahir

BCG Dos 1

Hepatitis B Dos 1

1 Bulan

Hepatitis B Dos 2

2 Bulan

DTap Dos 1

Hib Dos 1

Polio Dos 1

3 Bulan

DTap Dos 2

Hib Dos 2

Polio Dos 2

5 Bulan

DTap Dos 3

Hib Dos 3

Polio Dos 3

6 Bulan

Hepatitis B

Dos 3

Measles Dos 1 (Sabah sahaja)

9 Bulan

MMR Dos 1

JE Dos 1 (Sarawak sahaja)

12 Bulan

MMR Dos 2

18 Bulan

DTap Booster

Hib Booster

Polio (IPV) Booster

21 Bulan

JE Dos 2 (Sarawak sahaja)

7 Tahun

MR Dos 2

DT Booster

13 Tahun

HPV Dos 1 & 2

15 Tahun

Tetanus Booster

 Rujuk Jadual Imunisasi Kebangsaan

Nota:

  • BCG adalah Basile Calmette-Guerin, Vaksin yang memberi perlindungan terhadap Tuberkulosis.
  • DTap adalah kombinasi Vaksin yang memberi perlindungan terhadap Difteria, Tetanus dan Pertusis.
  • DT adalah dos booster yang memberi perlindungan terhadap Difteria dan Tetanus.
  • Hib adalah Haemophilus Influenzae type B.
  • MMR adalah Measles (campak),Mumps (beguk) dan Rubella.
  • MR adalah dos booster yang memberi perlindungan terhadap Measles (campak) dan Rubella.
  • JE adalah Japanese Encephalitis. Vaksin ini hanya diberikan di Sarawak.
  • HPV adalah Human Papillomavirus. Vaksin ini hanya untuk remaja perempuan 13 tahun. Dos 2 diberikan dalam tempoh 6 bulan selepas Dos 1.

 

Kesan Mengambil Vaksin

Adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui imunisasi:

  • Smallpox (cacar) telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada orang yang dijangkiti.
  • Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
  • Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa akan mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.
  • Kita dilindungi dari barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.

Pengambilan vaksin juga dapat melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan). Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ia berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria/virus tersebut. Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan. Tanggungjawab kita untuk melindungi mereka. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM)

Menurut KKM juga Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan telah dijalankan oleh Kerajaan sejak tahun 1950an. Imunisasi bertujuan untuk mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu, diberikan percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan. Kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85% bagi tempoh 1970 hingga 2000, antaranya hasil dari peningkatan skop perkhidmatan kesihatan termasuk imunisasi. Imunisasi juga telah berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini. Manakala polio telah berjaya dibasmi di kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia. Imunisasi bukan saja melindungi penerimanya tetapi juga menghalang penyebaran penyakit tersebut.

 

Jawapan Kepada Salah Faham Terhadap Vaksin

Kami kemukakan di sini beberapa jawapan berkenaan dengan salah faham terhadap vaksin. Sebahagiannya kami telah nyatakan dalam dua jawapan kami terdahulu. Justeru di sini kami sebutkan beberapa jawapannya yang kami ambil daripada kenyataan Dato' Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik :

  • Isu Anekdot dan Testimoni

Dato' Dr Musa Mohd Nordin (Pakar Perunding Pediatrik / Pediatric Specialist) berkata: “Kita tidak boleh bergantung kepada testimoni semata-mata, sebab telah dibuktikan kes kematian kanak-kanak divaksin di UK sebenarnya disebabkan barah jantung. Kes di Mexico pula disebabkan alat-alat yang tidak disteril dengan baik.”

Beliau juga mengatakan kaedah ilmu perubatan mempunyai hierarki tersendiri. Yang tertinggi ialah randomized control trial sebagai gold standard. Yang paling bawah ialah testimoni atau anecdote (cerita pengalaman peribadi). Testimoni tidak boleh dijadikan hujah yang kukuh dan bukanlah evidence yang memuaskan. Ada beberapa laporan mengatakan terdapat aduan kesihatan merosot selepas seminggu atau sebulan pengambilan vaksin. Malah ada kes kematian dilaporkan.

  • Isu Vaksin dan Autisme

Dato' Dr Musa Mohd Nordin juga menyebut antara perkara terpenting dalam kajian saintifik ialah “reproducibility”. Bermakna setiap hasil dalam kajian mesti boleh replicated oleh pengkaji lain. Setakat ini tiada siapa yang reproduce kajian yang mengaitkan vaksin dan autisme, bahkan majoriti penulis kajian ilmiah dan penerbit telah menarik semula kertas kajian tersebut.

Correlation does not imply causality. Vaksin mengandungi aluminium, ada kanak-kanak divaksin dijangkiti autism, jadi aluminium dalam vaksin adalah penyebab autism. Dato' Dr Musa Mohd Nordin menjawab aluminium dalam vaksin hanya 0.8mg saja. Dalam tempoh 6 bulan risiko aluminium jika mengambil susu ibu adalah dua kali ganda. Jika ambil susu formula, ia adalah 10 kali ganda! Jika ambil susu soya, 30 kali ganda! Adakah bermakna ambil susu ibu, susu formula dan susu soya boleh menyebabkan autism?

Selain itu, beberapa syubhat yang ditimbulkan telah dijawab tuntas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam dokumen-dokumen berikut:

 

Negara yang Mewajibkan Vaksin

Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah termasuk Singapura sudah mewajibkan vaksin ini sejak lebih 10 tahun lalu. Pemberian vaksin itu secara klinikal membuktikan berlaku penurunan kes invasive pneumococcal infection, iaitu lebih daripada 90 peratus. Kuman pneumokokal terdapat di seluruh dunia tanpa mengira iklim negara berkenaan atau tahap sosial termasuk di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan satu juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun mati akibat jangkitan kuman pneumokokal setiap tahun. (Lihat Imunisasi Elak Penyakit Berbahaya oleh Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, 13 September 2017)

 

Kepentingan Awam Lebih Penting Berbanding Kepentingan Individu

Program Imunisasi Kebangsaan perlu difahami daripada dua sudut untuk mengetahui keberkesanannya:

  1. Imuniti Peribadi (Personal Immunity)
  2. Imuniti Kelompok (Community/Herd Immunity)

Bagi Imuniti Peribadi, fungsi vaksin “menggunakan menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun). Maka sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindakbalas yang berkesan bagi menyekat jangkitan tersebut atau mengurangkan keterukan gejalanya.” Rujuk Soalan Lazin Mengenai Vaksin dan Imunisasi (Per. 12) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Manakala, Imuniti Kelompok adalah “keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar di kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut... Penyakit berjangkit disebarkan secara langsung dari seorang ke seorang. Apabila peratusan yang tinggi daripada penduduk telah diimunisasi, adalah sukar untuk penyakit-penyakit berjangkit merebak, kerana tidak ada ramai orang yang boleh dijangkiti. Sebagai contoh, seorang penghidap measles yang dikelilingi oleh orang-orang yang telah menerima vaksin measles, penyakit ini tidak boleh disebarkan dengan mudah kepada sesiapa sahaja. Oleh yang demikian, penyakit ini akan cepat hilang dan wabak tidak berlaku.” Rujuk Imuniti Kelompok (Herd Immunity) oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Maka difahami daripada dua definisi ini, jika Imuniti Kelompok semakin lemah, wabak penyakit berjangkit juga akan semakin merebak. Ini juga akan menyebabkan kadar keberkesanan Imuniti Peribadi juga tidak mencapai tahap optimum. Dalam lain perkataan, gerakan menolak vaksin berjadual adalah mudarat pada skala masyarakat dan bukan hanya maslahat pada skala individu. Pada skala individu, seseorang yang sakit atau menghadapi masalah kesihatan boleh memilih untuk merawat diri sendiri atau tidak; atau dalam bahasa perubatan disebut autonomi. Daripada Ibn `Abbas RA, bahawa Rasulullah ﷺ pernah didatangi seorang wanita yang meminta Baginda ﷺ mendoakan dirinya yang kerap diserang sawan lalu auratnya terbuka. Tetapi Nabi ﷺ menjawab semula:

إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ

Maksudnya: “Jika kamu ingin, kamu boleh bersabar dan bagimu ganjaran Syurga. Tetapi jika kamu ingin, aku akan mendoakan kamu Allah menyembuhkan kamu.”

Mendengar jawapan itu, wanita berkenaan memilih untuk bersabar, cuma meminta Rasulullah SAW mendoakan beliau agar tidak membuka aurat sewaktu diserang sawan, dan Baginda berdoa kepada Allah akan hajat wanita tersebut.

Riwayat al-Bukhari (555) dan Muslim (2576)

Hadis ini menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang untuk merawat dirinya, bertawakkal kepada Allah SWT, dan bersabar terhadap apa yang berlaku pada dirinya dari jenis penyakit atau masalah kesihatan. Moga-moga Allah akan gantikan dengan pahala yang besar atas sabar dan tawakkal tersebut. Oleh kerana itu, sebahagian ulama mengatakan bahawa bersabar dengan penyakit itu lebih besar fadilat daripada berubat.

Namun begitu, hak autonomi pesakit itu perlulah mengambilkira kesihatan orang lain. Tidak boleh atas maslahat seseorang individu itu mengganggu maslahat orang lain tanpa kerelaan dan kemampuan orang tersebut. Daripada Abdurrahman bin Auf RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ، فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila kalian dengar berlakunya taun di suatu tempat, maka janganlah kalian mendatangi tempat itu. Dan jika itu berlaku di suatu tempat sedangkan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu lari keluar daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (5729) dan Muslim (2218)

Hadis ini digunakan oleh Saiyidina Umar bin al-Khattab sewaktu berlakunya taun Amawasy yang mengorbankan banyak nyawa, untuk menyokong polisi kuarantin bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan pada zaman pemerintahannya.

Berdasarkan hujah di atas, pihak berkuasa berhak untuk mengeluarkan perintah ke atas rakyat untuk menvaksinkan diri dan anak-anak mereka, dengan kos yang ditanggung oleh pihak berkuasa, bagi mengekang penyebaran penyakit berjangkit. Sekiranya terdapat individu-individu yang enggan, mereka boleh dihukum dengan ta`zir.

Ini juga bertepatan kaedah fiqh yang masyhur:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm.83)

Imam al-Syatibi berkata: “Kami dapati Syarak menghendaki kemaslahatan hamba sedangkan hukum-hukum adat berjalan mengikut keadaannya. Kadang-kadang kami dapati satu masalah ditegah dalam satu keadaan kerana tiada padanya maslahat, sedangkan pada keadaan lain jika terdapat maslahat, maka hukumnya harus.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/306)

Kegusaran terhadap perkara ini (pengambilan vaksin) telah mendorong pelbagai pihak mencari solusi kepada permasalahan ini. Antaranya ialah cadangan untuk mewajibkan vaksinasi melalui tindakan undang-undang. Dalam hal ini, Islam membenarkan pemerintah untuk menetapkan keperluan vaksinasi sebagai suatu kewajipan kepada seluruh anggota masyarakat, berdasarkan prinsip maslahah. Hal ini selaras dengan konsep vaksin yang mendatangkan maslahah kerana dapat mengurangkan risiko terkena penyakit cegahan vaksin. (Lihat Penetapan Keperluan Vaksinasi Terhadap Kanak-kanak oleh Pemerintah Menurut Perspektif Syarak oleh Tengku Fatimah Azzahra Tengku Md Fauzi dan Mohd Anuar Ramli, hlm. 14)

Melihat kepada kesan negatif daripada gerakan anti-vaksin mutakhir ini, pihak berkuasa memiliki hak berdasarkan tuntutan Siyasah al-Syar’iyyah untuk mewajibkan program imunisasi ke atas rakyat yang berada di bawah wilayah kekuasaannya. Ini berdasarkan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 121)   

Kaedah ini berasal daripada kenyataan Imam Syafie yang menyebut:

مَنْزِلَةُ الإِمَامِ مِنَ الرَّعِيَّةِ مَنْزِلَةُ الوَلِيِّ مِنَ اليَتِيمِ

Maksudnya: “Kedudukan imam atau pemerintah dengan rakyatnya sama seperti kedudukan penjaga anak yatim terhadap anak yatim.”

Syeikh Muhammad al-Burnu berkata: "Makna kaedah fiqhiyyah ini bahawa hak pelaksanaan pemerintah terhadap rakyat dan apa yang mereka wajibkan ke atas rakyat sama ada mahu atau enggan tertakluk kepada hasil dan manfaat, sama ada berkaitan agama atau dunia." (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 2/57)

Ibn Nujaim berkata jika sekiranya tindakan pemerintah dibina atas asas maslahat sama ada berkenaan dengan hal umum, maka ia tidak boleh dilakasanakan pada hukum Syara; melainkan menepati syarak. Inilah juga pendapat Abu Yusuf. (Lihat al-Asybah wa al-Naza'ir, hlm. 337)

Pendapat kami ini bertujuan untuk merealisasikan maksud firman Allah ﷻ:

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: …bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya

     (Surah al-Ma’idah: 32)

Kepentingan Memahami Fiqh al-Ma’al (فقه المآل)

Dari sudut bahasa, perkataan al-Ma’al (المآل) membawa erti tempat kembali, tuju, matlamat dan kesudahan. Pada istilahnya, al-Ma’al (المآل) membawa erti, “kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak.” (Lihat Mabda’ I`tibar al-Ma’al fi al-Bahth al-Fiqhi oleh Yusuf bin `Abd Allah, hlm. 36 dan 38)

Fiqh al-Ma’al adalah memikirkan kesan, implikasi atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu keputusan yang diambil sama ada fatwa atau hukum. Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah bukanlah sesuatu yang diada-adakan oleh para ulama zaman ini. Terdapat banyak contoh bahawa Al-Quran memberi perhatian pada Fiqh al-Ma’al dalam pendekatan dakwah. Antaranya:

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Ali Imran (159)

Al-Maraghi berkata: “Aku turut mengajarkan kepadamu sesuatu yang mendatangkan manfaat dan membawa kesan yang baik.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)

Isu berkenaan dengan iktibar berdasarkan matlamat dan kesudahan hukum Syarak itu yang membawa kepada mafsadah atau maslahat merupakan bab yang sukar, yang bukan semua mampu untuk mencapainya. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam, penuh dengan ilmu dan tahqiq. Benarlah kata al-Syatibi:

وَهُوَ مَجَالٌ لِلْمُجْتَهِدِ صَعْبُ الْمَوْرِدِ، إِلَّا أَنَّهُ عَذْبُ الْمَذَاقِ مَحْمُودُ الْغَبِّ، جَارٍ عَلَى مَقَاصِدِ الشَّرِيعَةِ.

Maksudnya: “Ia merupakan bidang yang sukar bagi sesorang mujtahid menguasainya, kecuali rasanya cukup manis dan terpuji akibat dan kesudahannya, berjalan dengan seiring Maqasid Syariah.” (Lihat al-Muwafaqat, 5/178)

Ulama besar dalam mazhab al-Syafie, Imam Izzuddin bin Abdussalam menyebut satu “kaedah emas” dalam kitab beliau yang bertajuk Qawa`id al-Ahkam (1/5):

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

Maksudnya: “Maslahat-maslahat duniawi dan mafsadah-mafsadahnya diketahui dengan eksperimen dan adat.”

Memandang kajian mengenai vaksin sudah menempuh ratusan eksperimen dan puluhan tahun pengalaman, sehingga menghasilkan penawar dan pencegahan antara yang terbaik dalam sejarah perubatan manusia, maka tidak sepatutnya kita sebagai orang Islam menolak pemberian vaksin ini atas alasan yang tidak kukuh sehingga menyebabkan kerosakan dan penyakit kembali merebak dalam masyarakat kita.

Sudah sampai masanya kerajaan Malaysia bertegas dalam isu vaksin ini sepertimana yang berlaku di negara-negara maju untuk maslahat rakyatnya. Maslahat penjagaan nyawa dan kesihatan adalah tujuan Syarak yang diijmak oleh umat Islam. Daripada sudut menjaga maslahat itu daripada hilang, Syarak mengharamkan pembunuhan tanpa alasan yang benar dan memakan racun. Syarak juga menetapkan hukum qisas ke atas pembunuh dengan sengaja dengan memberikan hak qisas itu kepada waris; sama ada untuk bunuh balas atau menerima diyat. Sekiranya tiada qisas maka akan berlaku pembunuhan pada sekala lebih besar seperti berlaku pada zaman Jahiliyyah apabila kabilah pesalah diperangi oleh kabilah mangsa dan melanjutkan dendam sehingga bergenerasi. Rujuk kertas kami yang bertajuk Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoint yang diterbit oleh SUHAKAM. Ini menunjukkan pelaksanaan polisi pencegahan adalah disyariatkan oleh Islam dan pihak berkuasa dibenarkan untuk menggubal polisi demi menjaga maslahat nyawa dan menguatkuasakan polisi tersebut ke atas rakyat di bawah kekuasaannya, yang harmoni dengan dharuriyyat al-khams yang lain seperti penjagaan agama, akal, keturunan dan harta. Hal ini termasuklah polisi mewajibkan program vaksinasi berjadual secara percuma yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.  

Pembaharuan dalam pandangan hukum dan fatwa ini sebenarnya telah kami tegaskan sebagai prinsip kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel “Bayan Linnas Siri Ke- 151 : Tajdid Dalam Fatwa : Antara Teori Dan Praktikaldi mana suatu pandangan hukum dan fatwa itu perlu berubah selari dengan keperluan darurat dan data kajian terkini, khususnya daripada golongan pakar perubatan dan pihak berkuasa, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia. Daripada sudut sejarah, kami telah huraikan dalam “Irsyad Al-Fatwa Ke-30: Hukum Vaksin Daripada Perspektif Islambahawa Kerajaan pada tahun 1950-an telah mewajibkan penyertaaan program vaksinasi cacar (smallpox) kepada semua penduduk negara ini dan mereka yang gagal berbuat demikian akan didenda sebanyak RM 1000.00, yang merupakan jumlah yang besar pada zaman itu. Kesannya, program tersebut berjaya menurunkan bilangan kes wabak cacar sehingga cacar dapat dibasmi sepenuhnya pada tahun 1980.

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Perubahan hukum kadang-kadang disebabkan perubahan ijtihad atau uruf atau maslahat manusia.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 4/466)

 

Fatwa-Fatwa Ulama dan Institusi Kefatwaan Berkenaan Pengambilan Vaksin

Berikut kami sebutkan fatwa-fatwa dan pandangan hukum daripada Mufti-Mufti dan badan kefatwaan berkenaan hukum mengambil vaksin:

  • Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Sohibus Samahah Tan Sri. Dr. Harussani Zakaria

Beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa hukum menvaksin anak bagi menguatkan imunisasi badan anak dan mengelakkan penularan penyakit berjangkit adalah diwajibkan ke atas ibu bapa. Menurut beliau, golongan yang menolak imunisasi adalah berdosa kerana melanggar perintah Syarak supaya bersedia menghadapi perkara-perkara yang merosakkan nyawa dan kesihatan. Rujuk Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin : Mufti.

  • Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, Sohibus Samahah Datuk Mohamad Shukri.

Jawapan yang senada diberikan oleh Sohibus Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad bahawa hu­kum wajib ambil adalah apabila sesuatu keadaan tersebut me­nimbulkan situasi darurat, namun sekiranya keadaan yang dihadapi tidak begitu serius atau tidak berbahaya, hukumnya adalah harus. Rujuk Wajib ambil vaksin – Mufti.

  • Mufti Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, Datuk Dr Zulkifli Muda

Beliau melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah memutuskan pada 4 Julai 2016 bahawa pengambilan suntikan vaksin berjadual ke atas kanak-kanak adalah harus dan wajib sebagai bentang pertahanan badan manusia daripada penyakit yang boleh membawa kematian. Rujuk Vaksin Halal: Rakyat Diminta Tidak Ragu-ragu Ambil Suntikan Imunisasi.

  • Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-23 bertarikh 3-4 Oktober 2016 telah memutuskan bahawa pengambilan vaksin bagi melindungi anak dari serangan wabak termasuk dalam tanggungjawab ibubapa atau penjaga yang wajib ditunaikan. Kecuaian dalam menunaikan tanggungjawab ini sehingga membawa mudarat kepada anak-anak adalah berdosa. Keengganan mengambil langkah pencegahan sehingga boleh menyebabkan penularan wabak penyakit merbahaya ke dalam masyarakat merupakan satu lagi dosa. Lihat Pengambilan Vaksin Wajib - Jawatankuasa Fatwa Perlis.

  • Dar al-Ifta’ Mesir, Bekas Mufti Mesir, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah

Dr. Ali Jumaah ditanyakan berkenaan hukum melakukan vaksin dengan tujuan menghalang penyakit berlaku kepada tubuh badan kanak-kanak. Adakah ia dibenarkan ataupun tidak? Maka beliau menjawab vaksin untuk menghalang sebarang penyakit kepada kanak-kanak adalah suatu jenis dari rawatan yang bersifat perlindungan dan ia merupakan sesuatu yang dituntut dari segi syarak serta digesa oleh hukum-hakam syariah islamiah. Wajib ke atas kaum muslimin untuk saling membantu dalam usaha memberikan vaksin kepada anak-anak kecil mereka serta memelihara mereka dari penyakit-penyakit yang akan menimpa sekiranya ia tidak dilakukan ke atas mereka. Rujuk Ra’yu al-Syara` fi al-Tat`im Dhidd Syilal al-Atfal.

  • Kesatuan Ulama Muslim Afrika

Di dalam sebuah artikel yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Afrika, mereka membuat suatu kenyataan seperti berikut: Adalah vaksin itu secara umumnya, dan juga vaksin kepada anak-anak khususnya, untuk memelihara mereka daripada penyakit-penyakit merupakan suatu kewajipan dalam agama bahkan ia suatu keperluan insani. Rujuk Mafhum al-Tat`im wa Ahammiyyatihi.

  • Resolusi Persidangan Ulama Sedunia di bawah Pertubuhan Negara-Negara Islam Sedunia

Resolusi pada tahun 1992 dan 2009 menekankan keharusan, galakan dan hak pemerintah untuk mewajibkan rawatan secara paksaan ke atas rakyatnya jika penyakit tersebut boleh membahayakan masyarakat. Resolusi juga bersetuju bahawa menjadi hak kerajaan juga mengasingkan pesakit tersebut supaya tidak menyebabkan jangkitan kepada pihak lain dan mewajibkan suntikan vaksin untuk mencegah penyakit tertentu. Rujuk Bayan al-Tsani min Majma` al-Fiqh al-Islami al-Duwali bi Sya’n Wujub al-Tat`im Dhidd Syilal al-Atfal.

  • Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Mantan Presiden, Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah ditanyakan di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi. Maka jawab beliau:

“Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardhu. Kerfadhuan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya. Aku pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang solat tarawih bersama kami dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat sedangkan dia Masha Allah masih sihat. Bila ditanya dia menjawab: Tanyalah kepada si ayah. Lalu kata si ayah: Kami abaikan memberi vaksin kepadanya semasa kecil lalu dia ditimpa dengan anggota badan yang tidak berfungsi.” Rujuk al-Syariah wa al-Hayah – Fatawa Mubasyirah.

  • Pengasas Rawatan Komplementari Darussyifa’, Allahyarham Dato’ Dr. Haron Din

“Dalam Islam, mewajibkan suatu perkara yang tidak diwajibkan oleh syarak dengan nas teks yang terang, maka perlu kepada kajian lebih lanjut. Namun, jika keadaan sampai ke peringkat menimbulkan permasalahan kalau tidak diambil vaksin menerusi bukti-bukti nyata yang menyebabkan kanak-kanak itu akan bermasalah, maka boleh mewajibkan sebagai langkah pencegahan kerana boleh mendatangkan bahaya.” (Lihat http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wajibkan-vaksin-bayi-1.349623 )

 

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Isu penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan kerana secara tidak langsung perkara tersebut telah menyebabkan jumlah kes beberapa penyakit cegahan vaksin di Malaysia semakin meningkat. Setelah kami meneliti dan mengkaji dengan lebih mendalam, di samping maklumat terkini yang kami perolehinya, serta pandangan pakar, ulama’ dan badan berautoriti dunia berkenaan dengan hukum pengambilan vaksin, maka kami dengan menginsafi realiti semasa dan keperluan yang amat mendesak terutamanya kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan dokongan pada tubuh masing-masing supaya berlaku tumbesaran dengan lebih selamat dari penyakit, kami katakan ketetapan berikut:

  • Pengambilan vaksin termasuk salah satu daripada rawatan pencegahan yang disebut sebagai:

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Ia diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ

Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudaratan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir.

Riwayat Muslim (2047)

  • Pengambilan vaksin memenuhi Maqasid Syari’ah. Ini kerana, dalam Islam, hifz al-nafs (penjagaan nyawa) termasuk dalam perkara yang dituntut. Dari sudut pengambilan vaksin telah terbukti boleh mencegah tubuh badan dari pelbagai penyakit yang telah diterima secara umum oleh pakar-pakar. Ini bertepatan dengan kaedah Maqasid al-Syariah:

حِفْظُ المَصَالِحِ يَكُونُ مِنْ جَانِبِ الوُجُودِ وَمِنْ جَانِبِ العَدَمِ

Maksudnya: “Penjagaan maslahat-maslahat itu berlaku daripada sudut mewujudkan maslahat itu dan daripada menjaganya daripada hilang“

Rujuk al-Muwafaqat (2/18-19)

  • Menjadi tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam untuk memastikan persekitaran kita bebas daripada penyakit berjangkit.
  • Bahawa pengambilan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak-anak mereka. Ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajiban ini adalah berdosa apabila anak-anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan. Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian ibu bapa, atau pejaga, tersebut, maka mereka mendapat dosa yang lain.
  • Kami mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
  • Warga dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin-vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC), Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun manusia yang lemah. Individu yang berusia lebih 50 tahun dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap. Begitu juga dengan orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit paru-paru, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit hati kronik, mereka perlu lebih proaktif dalam mengurangkan risiko jangkitan. Vaksin influenza, pneumokokal, hepatitis A dan hepatitis B adalah penting untuk golongan ini. Rujuk Orang Dewasa Disaran Ambil Vaksin Sebelum Terlambat.
  • Dalam masa yang sama, Jadual Imunisasi Kebangsaan itu perlulah sentiasa disemak disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang jelas kepada pembaca berkenaan hukum vaksin daripada sudut pandang Islam. Atas rasa syukur dengan nikmat kesihatan dan ilmu yang Allah ﷻ berikan, kami akhiri dengan doa:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي رَدَّ عَلَيّ رُوحِي وَعافانِي في جَسَدِي وأذِن لي بذكره

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang mengembalikan ke atas diriku ruhku dan memberikan kesihatan ke dalam jasadku dan yang mengizinkanku untuk mengingatimu.”

 

Rujukan:

  1. Al-Burnu, Muhammad al-Sidqi. N.d. al-Wajiz fi al-Usul al-Fiqh. Maktabah al-Syamila.
  2. Al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Yusuf. 3 May 2010. al-Syariah wa al-Hayah – Fatawa Mubasyirah. Al-Jazeera. https://www.youtube.com/watch?v=Osia7-ZNkvI#t=82
  3. Al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Yusuf. 1997. Fatwa: antara ketelitian & kecerobohan. Gema Insani.
  4. Al-Maraghiyy, Ahmad bin Mustofa. 1946. Tafsir al-Maraghi. Syarikah Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi.
  5. Al-Misriyy, Zainuddin Ibn Nujaim. 1999. Al-Asybah wa al-Nazair. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
  6. Al-Razi, Fakhruddin. 1997. Al-Mahsul. Yayasan al-Risalah. Juz. 3.
  7. Alsiddiq, Dr. Mohd Feizel. 13 September 2017. Imunisasi elak penyakit berbahaya. Bh Online. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/09/324842/imunisasi-elak-penyakit-berbahaya
  8. Al-Syatibi, Ibrahim bin Musa. 1997. Al-Muwafaqat. Dar Ibn Affan.
  9. Al-Sobuni, Syeikh Muhammad Ali. 1997. Sofwah al-Tafasir. Kaherah: Dar al-Sobuni.
  10. Al-Sulami, Imam Izzuddin bin Abdussalam. 1991. Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Kaherah: Maktabah al-Kuliyyat al-Azhariyyah.
  11. Al-Zuhaili, Prof. Dr. Wahbah. 2012. Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah. Damsyik: Dar al-Fikr.
  12. Azzahra, Tengku & Ramli, Mohd Anuar. 2017. Penetapan Keperluan Vaksinasi Terhadap Kanak-kanak Oleh Pemerintah Menurut Perspektif Syarak. The International Seminar On Islamic Jurisprudence In Contemporary Society (ISLAC 2017). https://www.researchgate.net/publication/314443680_Penetapan_Keperluan_Vaksinasi_Terhadap_Kanak-kanak_Oleh_Pemerintah_Menurut_Perspektif_Syarak
  13. Dr. Musa Mohd Nordin. 15 Februari 2019. VAKSIN: Perlindungan atau Kemudaratan? (TV Al Hijrah - Analisis). Youtube.
  14. Hazwan Faisal & Noor Aznida. 26 April 2016. Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin : Mufti. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/147522
  15. Himtu, Dr. Yusuf Abdullah. 2012. Mabda’ I`tibar al-Ma’al fi al-Bahth al-Fiqhi. Markaz Nama’ Li al-Dirasat wa al-Buhuth.
  16. Babakr, Prof. Dr. Ahmad Khaled (Pengerusi Majma` al-Fiqh al-Islami al-Duwali). 17 April 2013. Bayan al-Tsani min Majma` al-Fiqh al-Islami al-Duwali bi Sya’n Wujub al-Tat`im Dhidd Syilal al-Atfal. Majma` al-Fiqh al-Islami al-Duwali. http://www.iifa-aifi.org/2683.html
  17. N.A. 24 Mei 2017. Orang Dewasa Disaran Ambil Vaksin Sebelum Terlambat. Mynewshub. https://www.mynewshub.tv/uncategorized/orang-dewasa-disaran-ambil-vaksin-sebelum-terlambat/
  18. N.A. 11 Julai 2016. Vaksin Halal: Rakyat Diminta Tidak Ragu-ragu Ambil Suntikan Imunisasi. Bernama Plus. http://plus.bernama.com/v1/news2.php?id=916117&wc=
  19. N.A. 3 March 2006. Mafhum al-Tat`im wa Ahammiyyatihi. Union Of African Muslim Sholars. http://africanulama.org/blog/2016/03/03/343/
  20. N.A. Diakses pada 18 Februari 2018. Immunization. Health Topics. World Health Organization. https://www.who.int/topics/immunization/en/
  21. Al-Bakri, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad & Umar Mukhtar Mohd Noor. 28 Jun 2018. Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoint. Report SUHAKAM’S National Conference on the Death Penalty. Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Hlm. 54-64.
  22. Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. 27 Jun 2016. Imuniti Kelompok (Herd Immunity). From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. https://kpkesihatan.com/2016/06/27/imuniti-kelompok-herd-immunity/
  23. Jumaah, Prof. Dr. Ali. 5 Oktober 2003. Ra’yu al-Syara` fi al-Tat`im Dhidd Syilal al-Atfal. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Siri. 632
  24. Kementerian Kesihatan Malaysia & Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Julai 2015. Soalan Lazin Mengenai Vaksin dan Imunisasi.       Kementerian Kesihatan Malaysia.
  25. Lokman Hakiem Abd. Samad. 28 Jun 2016. Wajib ambil vaksin – Mufti. Berita Harian. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wajib-ambil-vaksin-8211-mufti 1.347847
  26. Sofea Susan. 11 November 2016. Pengambilan Vaksin Wajib - Jawatankuasa Fatwa Perlis. Mstar. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/11/11/pengambilan-vaksin-wajib