اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-168: MERAIH KEBERKATAN NEGARA: INILAH YANG KITA CITA-CITAKAN

keberkatan negara.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al-A’raf (96)

Berdasarkan nas di atas, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan  "Meraih Keberkatan Negara: Inilah Yang Kita Cita-citakan" untuk kita memahami ayat ini dalam mentakrifkan erti keberkatan serta meraihkannya untuk sesebuah negara. Inilah yang kita cita-citakan agar negara yang kita berada padanya berada dalam keadaan penuh dengan keberkatan dan ketenangan serta keharmonian yang membawa kepada kebahagiaan hidup.

Lima ungkapan dan mutiara kata daripada tokoh barat ini menjadikan kita terpana dan perlu berfikir semula untuk mengislahkan kehidupan kita ke arah yang lebih baik:

  • B Colbert berkata: “Kebesaran suatu negara, tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
  • Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
  • Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
  • Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
  • R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang perlu mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.”

Semoga Allah SWT kurniakan negara kita Malaysia sentiasa dalam aman damai, makmur, teguh ekonomi dan politiknya serta bahagia rakyat dan penduduknya.

 

Tafsiran Ayat

Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para Rasul, lalu mereka mengikuti Rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan, " لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ" (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi). Maksudnya, hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/420)

Imam al-Baidhawi berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) yakni “Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya ialah hujan dan tanam-tanaman.” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294)

Al-Zamakhsyari berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) dengan maksud “Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Dikatakan maksudnya hujan dan tanam-tanaman.” (Lihat al-Kasyaf, 2/260)

Imam al-Suyuthi berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) dengan maksud “Langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274)

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: { بركات من السماء والأرض } Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486)

Syeikh al-Maraghi berkata: Jika penduduk Mekah dan kota lain di sekitarnya mahu beriman kepada apa yang diserukan oleh rasul terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW, beribadah kepada Allah SWT semata-mata, bertakwa terhadap segala yang dilarang seperti syirik dan kerosakan di muka bumi dengan melakukan kekejian dan dosa, sudah pasti Kami bukakan untuk mereka pelbagai berkat dari langit dan bumi yang belum mereka ketahui sebelumnya. Kemudian mereka akan memperoleh pintu-pintu kenikmatan dan keberkatan selain yang telah dikenali sifatnya, pertumbuhan, kekekalan dan pengaruhnya terhadap diri mereka.

Kemudian, Kami turunkan kepada mereka hujan yang bermanfaat, yang dapat menyuburkan tanah dan memberi kemakmuran hidup. Begitu juga Kami datangkan kepada mereka pelbagai jenis ilmu, pengetahuan dan kefahaman tentang sunnah alam semesta yang belum pernah dicapai oleh umat manusia sebelum mereka. Kesimpulannya, jika mereka mahu beriman, nescaya Kami beri kekayaan yang sangat luas dari setiap penjuru kepada mereka, dan Kami mudahkan mereka mendapat ganti daripada hukuman yang telah menimpa mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2318-2319)

Sayyid Qutb berkata: Ini adalah satu bahagian yang lain dari perjalanan Sunnatullah, iaitu jika penduduk negeri-negeri itu beriman sebagai ganti mendustakan rasul dan bertaqwa sebagai ganti bertindak sewenang-wenang nescaya Allah akan melimpahkan ke atas mereka berbagai-bagai kebajikan dan keberkatan dari langit dan bumi. Semuanya dibuka kepada mereka tanpa batas perkiraan sama ada dari atas kepala mereka atau dari bawah kaki mereka. Ungkapan al-Quran yang begitu menyeluruh dan syumul menggambarkan kelimpahan dan kemakmuran rezeki dan makanan yang tidak terbatas dengan kadar-kadar yang diketahui manusia.

Kata beliau lagi: Apabila seseorang itu hidupnya bebas dari hawa nafsu dan keterlaluan manusia dan apabila hidupnya menyembah Allah dengan khusyuk, maka hidupnya akan menuju ke arah yang baik dan menjadi produktif yang wajar menerima pertolongan-pertolongan dari Allah selepas mencapai keredhaan-Nya. Oleh sebab itu, hidupnya tetap dikelilingi keberkatan dan diselubungi kebajikan dan tetap mencapai kejayaan.

Keberkatan-keberkatan yang dijanjikan Allah dengan penuh ketegasan dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa itu adalah beraneka jenis dan tidak dihurai dan ditentukan oleh ayat itu, tetapi saranannya menggambarkan keberkatan yang turun dan mengalir melimpah ruah di setiap tempat tanpa ditentu, dihurai dan dijelaskan, iaitu keberkatan dari segala jenis dan rupa bentuk yang diketahui dan dikhayalkan oleh manusia dan keberkatan-keberkatan yang tidak pernah diketahui mereka sama ada di alam kenyataan atau alam imaginasi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/245-246)

Prof. Dr. Hamka berkata: Keimanan dan takwa kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertakwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Sebab iman dan takwa itu menimbulkan silaturrahmi sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.

Berkat itu dua macamnya, iaitu yang hakiki dan yang maknawi. Yang hakiki ialah yang berupa hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.

(Berkat) yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk dari Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh Rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas. (Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Kenikmatan dan kebaikan tersebut berupa hujan dan mengeluarkan segala nikmat dan kebaikan dari bumi seperti tanam-tanaman, barang galian, harta benda dan sebagainya. Allah juga akan memberikan mereka ilmu pengetahuan untuk memahami sunnah-sunnah yang terjadi di alam ini.

Dengan kata lain, seandainya mereka beriman nescaya Allah akan memudahkan untuk mereka segala bentuk kebaikan dari atas dan bawah mereka, dari diri dan fikiran mereka. Hal ini menunjukkan bahawa iman yang benar adalah faktor kebahagiaan dan kemakmuran. (Lihat Tafsir al-Munir, 5/43)

 

Negara yang Diberkati

Firman Allah SWT dalam Surah Saba’:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!

Surah Saba’ (15)

Syeikh Sya’rawi menyatakan bahawa Allah SWT menggunakan kalimah maskan (مَسْكَن) sebagai kedamaian dan ketenangan. Kemudian diteruskan lagi dengan perkataan ‘ayat’ (آيَة) yang memberi maksud perkara yang luar biasa yang jarang berlaku atau sebagai tanda kekuasaan Tuhan.

Al-Sabuni berkata dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan tentang nikmat yang dilimpahkan-Nya kepada penduduk Saba’ seperti yang diterangkan oleh Qatadah: “Kebun buah-buahan mereka mengandungi pelbagai jenis buah-buahan yang rendang dan dijadikan tempat berteduh oleh penduduk negara itu. Mana-mana orang yang lalu di situ dapat mengutip buahnya yang ranum dan lazat tanpa bersusah payah sedikitpun.”

Al-Baidawi menyatakan bahawa maksud dua kebun itu bukanlah hanya dua buah kebun, tetapi dua kumpulan kebun, satu kumpulan di sebelah kanan dan satu kumpulan lagi di sebelah kiri. Kedua-duanya sama-sama subur dan mengeluarkan hasil yang memuaskan. Kedua-dua kebun itu berada dalam jarak yang dekat seakan-akan satu kebun sahaja. (Al-Syeikh Zadah, 3/85 dan al-Zamakhsyari, 3/454)

Perkataan Baldah Toyyibah memberi maksud negeri yang baik yang tiada padanya sebarang kering kontang (ketidaksuburan) dan perkara yang menderitakan. Menariknya, ayat yang seterusnya disebut dengan wa rabbun ghafur (وَرَبٌّ غَفُورٌ) di mana negeri Saba’ mempunyai tiga belas perkampungan besar dan Allah SWT mengutuskan mereka tiga belas orang Nabi, tetapi malangnya mereka mendustakannya.

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkata: Digabungkan dengan wa rabbun ghafur (وَرَبٌّ غَفُورٌ) seolah-olah memberi maksud negeri yang baik mestilah membawa kepada akhirat dalam meraih mardhatillah (keredaan Allah) dan keampunan-Nya. Ertinya kesepaduan antara kehebatan dan tamadun dunia mestilah seiring dengan ketinggian roh maknawi untuk beribadat kepada Yang Maha Esa.

Terminologi Baldatun Toyyibah adalah berakar daripada intipati al-Quran ketikamana Allah SWT menggambarkan kemakmuran sesebuah negeri yang bernama Saba’. Secara literal, baldatun toyyibah memang bermaksud negara yang baik. Hakikatnya negara yang baik terhasil daripada pemerintahan yang baik. Justeru itu, terminologi ini mungkin dapat diertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berasaskan ciri-ciri yang digariskan oleh al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini: “Negara yang mendapat keampunan Allah SWT, justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran, lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah SWT dan keterhindaran mereka daripada maksiat.”

Ciri kebaikan umat ini sebagaimana yang disebutkan oleh ayat di atas ialah amar makruf, nahi munkar dan keimanan kepada Allah SWT. Ketiga-tiga perkara ini akan tercapai apabila agama ini dipelihara dan dunia ini ditadbir berdasarkan nilai-nilai agama. Sebuah kerajaan tidak akan dapat mencapai piawai “Pemerintahan yang baik” (good govenance) jika amalan yang baik dalam pemerintahan (al-Ma’ruf) dan penolakan terhadap amalan yang buruk (al-Munkar) tidak menjadi polisi utamanya.

Antara amalan baik dalam pemerintahan termasuklah keadilan, ketelusan, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Manakala amalan buruk yang patut ditolak justeru ia adalah mungkar termasuklah kezaliman, kedustaan, ketirisan, rasuah, kemalasan, budaya lepak ketika berkerja, tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan pengkhianatan. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah termasuk dalam kezaliman dan pengkhianatan.

Dalam pada itu, penguatkuasaan dan juga penekananan berkenaan integriti hendaklah dipupuk dalam sistem pentadbiran sehingga membawa kepada khalayak rakyat jelata. Ini sudah pasti menatijahkan contoh dan ikutan yang baik selaras dengan kepimpinan melalui teladan. (Lihat Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua, hlm. 2-5)

Keperluan kepada negara yang diberkati perlu dijelmakan melalui hubungan dengan Allah dan manusia seperti yang diungkapkan hablun min Allah dan hablun min al-nas. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj: 41)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah SWT dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi perlu melaksanakan perintah utama iaitu:

  • Mendirikan solat.
  • Menunaikan zakat.
  • Melaksanakan amar makruf.
  • Mencegah kemungkaran.

Seterusnya, konsep ta’awun dan bertolong-tolongan hendaklah menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat untuk meraih negara yang diberkati. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”

Surah al-Maidah (2)

Syeikh al-Maraghi berkata: Oleh itu, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

 

Penutup

Melihat kepada tafsiran para mufassirin daripada dulu sehingga kini, tafsiran ayat di atas boleh dibahagikan kepada dua keberkatan, iaitu yang zahir dan maknawi.

Walaupun begitu, prasyarat untuk mendapat dan memperolehi keberkatan perlulah dizahirkan dalam dua perkara iaitu: Pertama, keimanan yang benar-benar jitu dan mantap. Keduanya, merealisasikan ketakwaan sepertimana kata Saidina Ali R.A:

التقوى هي الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل

Maksudnya: Taqwa ialah merasa takut dan gerun kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang terkandung dalam al-Quran, bersikap qana’ah dengan sedikit dan persediaan bagi hari Akhirat. (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad oleh al-Solihi al-Syami, 1/421)

Kami akhiri dengan doa menadah tangan dan bermunajat kepada Yang Maha Esa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَاليزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً، يَا رَؤُوفًا بِالْعِبَادِ

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَحِيْنٍ، وانْصُرْ مَن نَصَرَ الدِّينَ، وَاخْذُلْ

مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَعْلِ كَلِمَتَكَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَدَمِّرْ أعْدَاءَكَ أعْدَاءَ الدِّينِ

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Semoga negara kita Malaysia yang kita pijak ini, menjadi negara yang aman sentosa serta diberkati Allah dan seperti yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
24 Februari 2019 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1440 Hijrah.