اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-171: KISAH KAUM NABI LUTH AS DAN IKTIBARNYA

 kisah kaum luth2.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami menerima satu berita berkenaan Himpunan Hari Wanita Sedunia di ibu negara pada hari Sabtu, 9 Mac 2019 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang telah dicemari dengan sekelompok golongan yang mengambil kesempatan untuk mempromosikan hak kebebasan dan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan pelacuran secara terang-terangan. Gerakan LGBT ini, meskipun mendapat kritikan dan kecaman oleh masyarakat, namun tidak kurang mendapat sokongan dan dokongan daripada pihak aktivis sosial yang bangkit memperjuangkan hak agar golongan ini tidak terus didiskriminasikan.

Dalam siri Bayan Linnas pada kali ini, sengaja kami tajukkan dengan Kisah Kaum Nabi Luth AS dan Iktibarnya. Semoga ia dapat memberi satu kefahaman dan kesedaran kepada kita, betapa ancaman dan amaran Allah SWT amat keras terhadap mereka yang mewarisi perjuangan Kaum Nabi Luth yang menentang perjuangan Baginda, seperti yang dirakamkan dengan jelas di beberapa tempat dalam al-Quran.

 

Nabi Luth AS dan Kaumnya

Nabi Luth AS merupakan putera dari Haran bin Tarah (هَارَان بن تَارَح). Beliau adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS. Dengan demikian, Ibrahim dan Haran adalah bersaudara. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 307) Nabi Luth beriman dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh bapa saudaranya Ibrahim. Berkenaan perkara ini, Allah SWT berfirman:

فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Surah al-Ankabut (26)

Beliau beriman kepada Nabi Ibrahim AS dan mendapat petunjuk melalui perantaranya, lalu Allah SWT mengutusnya untuk berdakwah kepada penduduk Sadum yang pada saat itu merupakan sebuah kampung di Jordan. (Lihat Dakwatu Tauhid oleh Muhammad Khalil Haras, hlm. 137)

Para pakar sejarah menyebut bahawa kaum Nabi Luth AS adalah kaum besar yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim AS. Mereka menetap di sebuah kampung yang bernama Sadum. Ia merupakan kampung terbesar daripada penempatan kaum Nabi Luth berbanding empat kampung yang lain iaitu Shan'a, Shu'ud, Atsrah, dan Duma. (Lihat Jami' al-Bayan fi Tafsir al-Qur'an, 7/98)

 

Maksiat Kaum Nabi Luth AS

Antara maksiat yang mereka lakukan ialah perbuatan syirik kepada Allah SWT serta mereka disebut sebagai pelaku pertama perlakuan homoseksual di kalangan lelaki mahupun wanita. Ini sepertimana disebut oleh Imam al-Qurtubi yang menukilkan riwayat daripada Ibn Abbas R.A berkenaan maksiat-maksiat yang mereka lakukan. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 13/257)

Mereka juga adalah kaum yang banyak melakukan perbuatan keji, menyamun orang-orang yang dalam perjalanan ke kampung mereka serta mempermain-mainkan mereka. (Lihat Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 1/295)

Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/203) menyebut: “Mereka melakukan dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari bani Adam, iaitu seorang lelaki menggauli lelaki dan enggan berkahwin dengan wanita yang Allah jadikan untuk orang-orang soleh.”

Allah SWT menjadikan kisah binasanya kaum Luth akibat perbuatan keji mereka sebagai pengajaran bagi seluruh manusia. Allah SWT menyebutkan kisah mereka dalam beberapa tempat dalam al-Qur'an. Selain dalam Surah al-Ankabut di atas, Allah SWT berfirman dalam surat al-A'raf:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah al-A'raf (80-84)

Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut: “Perbuatan kaum Luth yang suka sesama jenis, lelaki dengan lelaki adalah tingkah laku yang menyeleweng, perbuatan yang keji dan kotor, melampaui batas, bercanggah dengan adab dan kebiasaan serta bertentangan dengan akal yang sihat. Hanya jiwa yang tidak normal dan sakit yang melakukan perkara tersebut. Disebabkan tingkah laku mereka yang menyeleweng, kedudukan dan maruah mereka jatuh serendah-rendahnya, lebih rendah daripada haiwan. Haiwan jantan mendatangi haiwan betina tidak hanya untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja tetapi juga untuk menjaga keturunannya, manakala manusia yang suka sesama jenis hanya untuk memenuhi nafsu mereka semata-mata.” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 7/4228)

 

Dakwah Nabi Luth AS kepada Kaumnya

Ibn Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ (hlm. 260-284) menceritakan bahawa Nabi Luth meninggalkan tempat Nabi Ibrahim AS ke satu tempat yang jauh kerana melaksanakan perintahnya. Beliau tinggal di kota Sadum yang memiliki penduduk paling jahat dan paling kafir. Mereka melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran. Tidak ada sikap saling mengingatkan bagi orang yang melakukan kemungkaran di antara mereka. Kemungkaran yang mereka lakukan adalah mendatangi sesama lelaki seperti seseorang mendatangi isteri (liwat atau homoseksual) dan meninggalkan para wanita.

Nabi Luth AS menyeru kaumnya untuk menyembah Allah, tiada sekutu bagi-Nya, juga melarang mereka untuk tidak melakukan perbuatan keji (homoseksual) sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah tentang diri mereka. Namun tidak seorang pun dari mereka yang mahu menerima dakwah tersebut, dan enggan untuk beriman kepadanya. Bahkan mereka tidak mahu berhenti dari perbuatan yang terlarang tersebut. Mereka tidak mahu berhenti dari penyimpangan dan kesesatan mereka.Malah mereka hendak mengusir Baginda sepertimana dirakamkan ucapan mereka di dalam al-Quran:

أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci."

Surah al-Naml (56)

Ibn Jarir menukilkan beberapa pendapat berkenaan ayat di atas, antaranya:

  • Qatadah berkata: “Mereka menghina dan mengaibkan sedangkan ia bukan aib dengan maksud mereka adalah golongan yang suci daripada melakukan amalan-amalan yang jahat dan keji.
  • Ibn Abbas, al-Hasan dan Mujahid berkata: “Mereka selamat daripada mendatangi lelaki dan perempuan dari belakang, secara mengejek.” (Lihat Jamiʿ al-Bayan ʿan Taʾwil Ay al-Qurʾan, 18/97)

Jawapan mereka tersebut muncul tidak lain kerana Nabi Luth melarang mereka daripada melakukan kekejian yang sangat besar yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh penduduk bumi. Oleh kerananya, mereka dijadikan perumpamaan dalam masalah ini dan pelajaran bagi orang yang melakukan perbuatan tersebut. Ejekan itu tidak jauh daripada budaya sebahagian golongan hari ini yang bermudah-mudah melabel golongan pendakwah sebagai golongan holier than thou (rasa diri lebih mulia daripada orang lain), padahal merekalah yang menghina diri sendiri dengan mempamerkan perlakuan songsang dan mempromosikan perkara yang haram.

Mereka merompak, mengkhianati teman, dan melakukan kemungkaran di tempat-tempat perkumpulan mereka, baik dalam ucapan mahupun perbuatan. Bahkan terkadang sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan-kesalahan seksual tadi di tempat-tempat pesta tanpa ada rasa malu. Mereka tidak mahu mendengar nasihat daripada orang-orang yang memberikan nasihat. Dalam hal ini, mereka ibarat binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka enggan meninggalkan apa yang saat itu mereka kerjakan, tidak mahu menyesali perbuatan-perbuatan yang telah mereka lakukan di masa lalu dan tidak mahu mengubah keinginan mereka di masa yang akan datang. Oleh kerana itu, Allah SWT menimpakan azab yang buruk kepada mereka.

Mereka berkata kepada Luth sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّـهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

Surah al-Ankabut (29)

Imam al-Qurtubi menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, berkata:

إِنَّ قَوْمَ لُوطٍ كَانَتْ فِيهِمْ ذُنُوبٌ غَيْرُ الْفَاحِشَةِ، مِنْهَا أَنَّهُمْ يَتَظَالَمُونَ فِيمَا بَيْنَهُمْ، وَيَشْتُمُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا وَيَتَضَارَطُونَ فِي مَجَالِسِهِمْ، وَيَخْذِفُونَ وَيَلْعَبُونَ بِالنَّرْدِ وَالشِّطْرَنْجِ، وَيَلْبَسُونَ الْمُصَبَّغَاتِ، وَيَتَنَاقَرُونَ بِالدِّيَكَةِ، وَيَتَنَاطَحُونَ بِالْكِبَاشِ، وَيُطَرِّفُونَ أَصَابِعَهُمْ بِالْحِنَّاءِ، وَتَتَشَبَّهُ الرِّجَالُ بِلِبَاسِ النِّسَاءِ وَالنِّسَاءُ بِلِبَاسِ الرِّجَالِ، وَيَضْرِبُونَ الْمُكُوسَ عَلَى كُلِّ عَابِرٍ، وَمَعَ هَذَا كُلِّهِ كَانُوا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ، وَهُمْ أَوَّلُ مَنْ ظَهَرَ عَلَى أَيْدِيهِمُ اللُّوطِيَّةُ وَالسِّحَاقُ، فَلَمَّا وَقَّفَهُمْ لُوطٌ عَلَيْهِ السَّلَامُ عَلَى هَذِهِ الْقَبَائِحِ رَجَعُوا إِلَى التَّكْذِيبِ وَاللِّجَاجِ، فَقَالُوا: (ائْتِنا بِعَذابِ اللَّهِ) أَيْ إِنَّ ذَلِكَ لَا يَكُونُ وَلَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ. وَهُمْ لَمْ يَقُولُوا هَذَا إِلَّا وَهُمْ مُصَمِّمُونَ عَلَى اعْتِقَادِ كَذِبِهِ. وَلَيْسَ يَصِحُّ فِي الْفِطْرَةِ أَنْ يَكُونَ مُعَانِدٌ يَقُولُ هَذَا

Sesungguhnya kaum Lut melakukan banyak dosa selain kesalahan seksual, antaranya:

  • Mereka saling menzalimi antara sesama sendiri
  • Mereka memaki hamun antara sesama sendiri
  • Mereka tanpa segan silu kentut dalam majlis
  • Membaling apa-apa yang ada di sekelilingnya
  • Mereka suka bermain nard (dadu) dan syitranj (seumpama catur)
  • Mereka memakai pakaian yang bercelup
  • Mereka suka melagakan ayam jantan
  • Mereka suka melagakan kibasy
  • Lelaki mereka melumuri jari-jari mereka dengan inai
  • Lelaki mereka suka memakai pakaian perempuan
  • Perempuan mereka suka memakai pakaian lelaki
  • Mereka mengenakan cukai kepada yang lalu di kawasan mereka
  • Mereka juga syirik kepada Allah
  • Merekalah golongan yang pertama di muka bumi ini yang melakukan liwat dan lesbian.

Tatkala Nabi Lut AS cuba menghalang mereka dari semua kejian ini, lantas mereka kembali untuk mendustakan dan bersumpah dan berkata: “Sila datangkan kepada kami azab Allah.” Ini memberi maksud, sesungguhnya yang demikian itu tak akan berlaku azab Allah dan tidak mampu untuk melakukannya. Mereka sekali-kali tidak mengatakan sedemikian ini kecuali penuh dengan sangkaan bahawa iktiqad yang dusta. Maka tidaklah sahih orang yang dalam fitrah boleh mengingkari berkata sedemikian itu. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 13/342)

Mereka meminta kepada Nabi Luth untuk ditimpakan azab yang pedih yang telah dijanjikan oleh Nabi Luth. Saat itulah Nabi Luth berdoa kepada Allah untuk ditimpakan azab kepada mereka. Beliau memohon kepada Rabb semesta alam dan llah bagi para Rasul untuk dimenangkan di atas kaumnya yang membuat kerosakan. Maka Allah SWT mengabulkan doanya. Kemudian Allah mengutus para Utusan-Nya yang mulia iaitu para malaikat yang perkasa. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

 

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Luth

Allah SWT berfirman:

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ

Maksudnya: Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan."

Surah Hud (77)

Ibn Kathir dalam menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim AS, maka mereka mendatangi negeri Sadum dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Luth dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka. Mereka pun bertamu kepada Luth ketika matahari tenggelam. Luth merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa. Allah SWT berfirman:

وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ

Maksudnya: dan (dia) merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan."

Surah Hud (77)

Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, dan Muhammad bin Ishaq berkata: “Sangat berat ujiannya,” kerana Luth mengetahui betapa berat harus melindungi para tamunya malam tersebut dari gangguan kaumnya sebagaimana yang mereka lakukan kepada selain mereka. Kaum Luth telah membuat perjanjian kepadanya untuk tidak menerima seorang tetamu pun. Namun, Luth melihat sesuatu yang tidak mungkin dielakkan.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Luth. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari. Sesampainya mereka di sungai negeri Sadum, mereka bertemu dengan puteri Luth yang tengah mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Luth memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya: “Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?” Dia menjawab: “Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu.” Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata: “Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka.” Pada waktu itu, kaum Luth telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata: “Biarkan kami menerima tetamu lelaki.” Luth membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya. Lalu isteri Luth keluar menemui kaumnya dan berkata: “Di rumah Luth ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya.” Lantas kaumnya beramai-ramai datang ke rumah Nabi Luth. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 275)

Allah SWT berfirman:

وَمِن قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan.

Surah Hud (78)

Yakni sebelumnya mereka telah melakukan dosa-dosa besar.

Allah SWT berfirman:

قَالَ يَا قَوْمِ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ

Maksudnya: Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka).

Surah Hud (78)

Nabi Luth AS membimbing mereka untuk mendatangi isteri-isteri mereka yang secara syariat merupakan puteri-puteri Luth. Sebab, kedudukan seorang Nabi bagi umatnya ibarat ayah bagi anak-anaknya sebagaimana yang tertera dalam sebuah hadis.

Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

Maksudnya: Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Surah Hud (78)

Ini merupakan larangan bagi mereka untuk tidak melakukan kekejian yang tidak layak mereka kerjakan. Ungkapan di atas juga sebagai persaksian Luth bahawa tidak ada seorang pun di antara mereka yang memiliki pegangan (hidup) dan tidak ada seorang pun yang memiliki kebaikan. Semuanya adalah orang-orang bodoh, orang-orang kuat yang fajir dan orang-orang kaya yang kafir. Hal inilah sebenarnya yang hendak didengar oleh para malaikat sebelum mereka menanyakannya kepada Luth. Maka kaumnya -semoga laknat Allah menimpa mereka- menjawab ungkapan Nabi mereka yang telah memerintahkan sesuatu dengan lemah lembut:

قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ

Maksudnya: Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki."

Surah Hud (79)

Nabi Luth berkata:

لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ

Maksudnya: Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)".

Surah Hud (80)

Beliau sangat berharap sekiranya memiliki kekuatan atau pembela atau anggota keluarga yang menolongnya atas perbuatan kaumnya, nescaya dia akan menimpakan azab yang sesuai dengan apa yang mereka ucapkan di atas.

Muhammad bin Amr bin Alqamah berkata, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَحْمَةُ اللَّهِ على لوط، إِن كَانَ يَأْوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ - يَعْنِي اللَّهَ عزوجل - فَمَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ

Maksudnya: "Semoga Allah merahmati Luth. Sesungguhnya dia telah berlindung kepada tiang yang kuat yakni Allah. Dan tidaklah Allah mengutus seorang Nabi pun melainkan dari kalangan yang mulia dari kaumnya. "

Riwayat al-Bazzar (7934)

Allah SWT berfirman:

وَجَاءَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ ، قَالَ إِنَّ هَـٰؤُلَاءِ ضَيْفِي فَلَا تَفْضَحُونِ ، وَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ ، قَالُوا أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ ، الْعَالَمِينَ قَالَ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ

Maksudnya: Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku". "Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal).

Surah al-Hijr (67-71)

Nabi Luth memerintahkan mereka untuk menggauli isteri-isteri mereka. Beliau juga mengingatkan mereka untuk tidak terus dalam perbuatan kotor mereka. Meskipun demikian, mereka tidak mahu berhenti dan tidak mempedulikan nasihat tersebut. Bahkan, setiap kali Luth melarang mereka, maka mereka semakin menjadi-jadi dan berkeras untuk mendapatkan tetamu-tetamu tersebut. Mereka tidak mengetahui bencana apa yang akan menimpanya di pagi harinya.

Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ ﴿٣٦﴾ وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِ فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ ﴿٣٧﴾ وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ ﴿٣٨﴾ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu. Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).

Surah al-Qamar (36-38)

 

Pengakhiran Kaum Nabi Luth AS

Nabi Luth AS keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya, dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya. Ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ ﴿٨٢﴾ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ

Maksudnya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.

Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota- dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata: “Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Luth.”

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maksudnya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Luth yang mengandungi lima tempat. Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing. Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Kalimat al-Sijjil adalah bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Maknanya sangat keras dan kuat.

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ لِلْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".

Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

 

Pendapat Ahli Penyelidik

Terdapat satu bab dalam Majalah al-Siyasah al-Usbu’iyyah yang menyebut: Beberapa kitab samawi menceritakan, Allah SWT telah membinasakan dua buah kota, iaitu Sadum dan Amurah, serta tiga kota lain yang berhampiran. Allah SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit, sehingga tidak ada seorang pun penduduk di situ selamat, kecuali Nabi Ibrahim AS bersama ahli keluarganya serta Nabi Lut AS dan kedua-dua anak perempuannya. Nabi Ibrahim AS bukan penduduk asal kota itu, tetapi secara kebetulan Baginda sedang melalui kota tersebut dari arah utara untuk mencari rumput. Pekerjaan tersebut biasa dilakukan oleh kelompok nomad pada waktu itu.

Kebanyakan sejarawan berpendapat kisah ini mengandungi unsur-unsur khurafat. Tetapi sebahagian yang lain pula berpendapat, ia merupakan kisah yang benar-benar berlaku kerana ada bukti daripada kesan-kesan peninggalan negeri yang berdekatan dengan Laut Mati (Tasik Lut)

Sementara Dr. Albert pula telah melakukan kajian di lembah Sungai Jordan dan beberapa tebing Laut Mati. Beliau mengagak kota Sadum, Amurah dan ketiga-tiga kota yang lain terletak di situ. Kemudian beliau membuat kesimpulan dengan lebih terperinci bahawa kisah tersebut adalah benar. Beliau juga berpendapat, bahawa pada abad ke -19 SM, Nabi Ibrahim AS keluar dari Mesopotamia untuk pergi ke Palestin, bersama anak lelaki saudaranya, iaitu Nabi Lut AS dengan ahli keluarganya sekali. Mereka membawa banyak binatang ternakan dan kemudiannya berlaku perkelahian antara pengembala. Bagi mengelakkan persengketaan, Nabi Lut AS mengambil keputusan memisahkan diri daripada Nabi Ibrahim AS dengan memilih satu daerah yang terletak di lembah Jordan sebagai tempat tinggal, dan di situ juga terletak kota Sadum dan ‘Amurah. Manakala, Nabi Ibrahim AS pula memilih kawasan dataran tinggi yang terletak di sebelah utara dengan membina khemah di sana.

Dalam hal ini, Dr. Albert telah menemui beberapa kesan peninggalan bagi membenarkan kisah di atas. Beliau menemui kesan-kesan peninggalan seperti benteng lama yang terletak di atas permukaan air laut setinggi 500 kaki. Di sisinya terdapat tempat penyembelihan, iaitu batu yang berbentuk seperti tiang bagi membuktikan kaum tersebut pernah mempersembahkan binatang-binatang korban mereka. Begitu juga ada bukti Laut Mati telah menenggelamkan lima kota yang terdapat di daerah Jordan itu.

Sebahagian pakar geologi pula menguatkan hujjah dengan mengatakan laut tersebut pernah menenggelamkan sebuah negeri yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4977-4978)

 

 Implikasi Homoseksual

Sayyid Sabiq telah menukilkan pendapat Dr. Muhammad Wasfi dalam kitabnya al-Islam wa al-Tibb yang menyebut bahawa Islam melarang keras perlakuan homoseksual yang mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan peribadi dan masyarakat, antara lain seorang gay tidak mempunyai keinginan terhadap wanita. Jika mereka melangsungkan perkahwinan maka isterinya tidak akan mendapat kepuasan seksual biologi, kerana minat seksual suami yang cenderung kepada lelaki dan akibatnya hubungan suami isteri menjadi renggang tidak tumbuh cinta dan kasih sayang. Keduanya, perasaan cinta antara sesama jenis membawa kelainan jiwa yang menimbulkan suatu sikap dan perilaku yang ganjil, seorang gay kadang-kadang berkelakuan seperti lelaki dan pada masa yang sama seperti wanita. Selain itu, homoseks boleh mengakibatkan kerosakan pada saraf otak, melemahkan akal dan menghilangkan semangat kerja serta mudah terjangkit berbagai penyakit berbahaya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/428-429)

Di Malaysia, sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan, data pada 2016 menunjukkan bahawa hubungan homoseksual direkodkan sebagai penyumbang utama bagi kes-kes jangkitan HIV terbaharu. Terdapat sejumlah 1,553 kes HIV baharu dalam kalangan homoseksual dan biseksual berbanding dengan 1,311 melibatkan heteroseksual. Empat puluh peratus golongan homoseksual dan biseksual yang dijangkiti virus HIV adalah dalam lingkungan usia 19 hingga 29 tahun dan kebanyakannya adalah pelajar. Sejumlah 31 peratus pula dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun yang merupakan golongan profesional. (Lihat Bahaya Iktiraf Hak LGBT)[1]

 

Peruntukan Undang-Undang Berkenaan Perlakuan Homoseksual

Perlakuan homoseksual adalah jenayah dalam sistem undang-undang di Malaysia, sama ada dalam bidang kuasa Mahkamah-Mahkamah Persekutuan (Sivil) ataupun Mahkamah Syariah. Pada peringkat Kerajaan Pusat, perlakuan homoseksual seperti aktiviti sodomi adalah jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan. Seksyen 377A menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana individu yang melakukan hubungan seksual bersama individu lain dengan memasukkan zakarnya ke lubang dubur, atau ke dalam mulutnya, dikatakan sebagai melakukan hubungan seks luar tabii. Manakala, Seksyen 377B memperuntukkan hukuman bagi individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 377A dengan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan. Seksyen 377C pula memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi mereka yang melakukan sodomi tanpa persetujuan mangsa iaitu penjara tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta boleh dihukum dengan sebatan.

Sebahagian pihak mendakwa bahawa undang-undang ini merupakan undang-undang peninggalan penjajah British di mana United Kingdom sendiri telah menyahjenayahkan aktiviti sodomi bermula dengan England pada tahun 1967. Bahkan menurut mereka, undang-undang jenayah bagi mengekang aktiviti sodomi adalah undang-undang Kristian. Bagi menjawab tuduhan ini, perlu kita fahami bahawa selaku negara yang berdaulat, Malaysia tidak terikat dengan pindaan undang-undang yang dibuat oleh bekas penjajahnya. Kedua, Seksyen 377 berkenaan telah mengalami pindaan beberapa kali di mana yang terakhir adalah pada tahun 2017. Ini menunjukkan Kerajaan sentiasa cakna akan peruntukan dalam Akta tersebut, termasuklah peruntukan kesalahan perlakuan sodomi dan memilih untuk mengekalkan perbuatan tersebut sebagai jenayah yang wajib dibanteras.

Adapun daripada sudut undang-undang Islam, semua negeri-negeri di Malaysia memperuntukkan di dalam akta dan enakmen masing-masing hukuman bagi kesalahan liwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perempuan berlagak seperti lelaki, musahaqah (lesbian), perhubungan jenis luar tabii, pondan dan hubungan jenis antara orang yang sama jantina. Contohnya, Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (“AKJSWWP”) memperuntukkan hukuman bagi kesalahan liwat, Seksyen 26 bagi kesalahan musahaqah, Seksyen 28 bagi kesalahan orang lelaki berlagak seperti perempuan dan Seksyen 29 bagi kesalahan perbuatan tidak sopan di tempat awam. AKJSWWP juga memperuntukkan hukuman bagi kesalahan mempromosi maksiat (Seksyen 35), penyubahatan (Seksyen 43) dan pendapat yang bertentangan dengan fatwa (Seksyen 12). Ini menunjukkan betapa seriusnya hasrat Kerajaan untuk membendung gejala sosial, khususnya perkembangan ideologi seksualiti songsang yang dibawa oleh gerakan LGBT+.

Antara seruan yang dilaungkan dalam perhimpunan berkenaan juga adalah mengenai hak pekerja seks untuk mendapatkan perlindungan daripada pihak kerajaan terhadap profesyen mereka. Bahkan, mereka menuntut agar perbuatan pelacuran dinyahjenayahkan atas alasan pelacuran itu sendiri juga merupakan suatu pekerjaan. Tuntutan ini juga, selain menunjukkan betapa tersasarnya tujuan pihak penganjur dan sebahagian pendakyahnya daripada perjuangan memartabatkan golongan wanita dengan kesaksamaan, keadilan dan kemuliaan, merupakan perlakuan yang bertentangan dengan Seksyen 21 Akta 559 bagi kesalahan pelacuran, muncikari dalam Seksyen 22 dan persetubuhan luar nikah dalam Seksyen 23 akta yang sama.

Bagi kami, isu-isu yang diperjuangkan ini sedikit pun tidak menyumbang kepada usaha memartabatkan wanita kepada status yang lebih baik.

 

Penyakit Akibat Perlakuan Homoseksual

Akhbar Utusan pada 2 Ogos 2018 melaporkan: Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017.

Berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada tahun 2017.

Lebih mengejutkan, jumlah tersebut adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan (IDU) dijangkiti HIV yang sering diperkatakan sebagai punca utama penyebaran virus berkenaan.

Apapun, yang menjadi kebimbangan apabila penyebaran virus itu dalam kalangan golongan homoseksual dan biseksual itu semakin meningkat setiap tahun daripada 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,553 pada tahun 2016 selain 1,697 pada tahun 2017.

Peningkatan tersebut turut menyaksikan jumlah mereka yang disahkan positif HIV melalui aktiviti menagih dadah dengan berkongsi jarum suntikan terus menurun sebaliknya melalui hubungan seks di luar tabii pula semakin meningkat. (Lihat LGBT Paling Ramai Hidap HIV.)[3]

 

Penutup

Sesungguhnya al-Qur'an menceritakan para nabi-nabi dan umat terdahulu, supaya manusia dapat meneladani akhlak mereka dan bukan sekadar cerita yang diceritakan, bahkan agar si pembaca dan si pendengar dapat mengambil pengajaran, seolah-olah ia memberitahu manusia bahawa dahulu Allah SWT telah memberi balasan kepada orang-orang yang ingkar kerana keingkaran mereka. (Lihat Tarikh al-'Arab, hlm. 179)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: “Jika kamu dapati seseorang melakukan amalan kaum Lut, bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perlakuan itu.”

Riwayat Abu Daud (4462), Ibnu Majah
(2561) dan al-Tirmizi (1456)

Imam al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan mengatakan bahawa perbuatan kaum Nabi Lut ini dihukum dengan sedemikian berat kerana seolah-olah para fuqaha’ merujuk kepada maksud di sebalik seksaan dan azab Allah SWT yang telah menghujani batu ke atas kaum Lut sehingga mereka terbunuh semuanya.

Sedangkan diperintahkan bunuh orang yang mengajak melakukan perbuatan itu adalah merujuk kepada makna di dalam syariat, iaitu mati disebabkan oleh hukuman rejam dengan batu bagi pelaku yang telah berkahwin. Manakala pelaku yang belum berkahwin disebat sebanyak 100 kali sebatan, tetapi tidak dibunuh. Pendapat ini merujuk kepada pandangan Sa‘d bin al-Musayyab, ‘Ata’ bin Abi Rabah, al-Nakha‘i, al-Hasan dan Qatadah. Bahkan ia adalah pandangan yang kuat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/332)

Sekali lagi kami tegaskan bahawa Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir (hlm. 56) menyebut: Kaum Muslimin telah berijma' (bersepakat) bahawa perlakuan homoseksual termasuk dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) "Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!"

Surah al-Syu'ara' (165-166)

Syeikh al-Maraghi berkata: Apakah kamu tetap melakukan perbuatan keji ini padahal tidak ada seorang pun yang pernah melakukannya; kamu membuat hubungan jenis sesama lelaki dengan meninggalkan isteri kamu yang dihalalkan oleh Allah SWT untuk membuat perhubungan dengan mereka? Sesungguhnya kamu termasuk kaum yang melampaui batas, sama ada dari aspek logik dan hukum yang ditetapkan. Kamu melakukan perbuatan dosa itu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran seorang pun sebelum ini untuk berbuat demikian. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4975)

Sebenarnya, kenyataan ini tidak perlu dibuat sekiranya pihak penganjur Women’s March di Malaysia benar-benar fokus terhadap usaha memartabatkan kaum wanita pada tempat yang sepatutnya. Namun, hasrat tersebut telah gagal apabila slogan “Hidup LGBT” dan “Sex Work is Work” telah menenggelamkan sebahagian mesej-mesej baik yang diperjuangkan oleh pihak penganjur. Ini mengingatkan kami tentang bagaimana respon kaum Nabi Luth apabila baginda menawarkan anak-anak perempuan baginda yang mulia untuk dikahwini lelaki-lelaki kaumnya, "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki." Adakah itu hak yang wajar diberikan kepada mereka atas nama kebebasan? Wa’iyadzubillah.

Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi kesedaran kepada kita semua untuk kembali kepada fitrah dan sunnatullah dalam melayari bahtera kehidupan, maka dengannya akan membiaklah generasi manusia dengan penuh rasa tanggungjawab sehingga melahirkan Baiti Jannati dan seterusnya masyarakat dan mujtama’ Muslim yang mentaati perintah Allah. Akhirnya tercapailah hasrat untuk merealisasikan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Kami akhiri perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
12 Mac 2019 bersamaan 5 Rejab 1440 Hijrah

 

Nota Hujung:

[1] Lihat portal Utusan Online, Bahaya Iktiraf Hak LGBT oleh Wan Roslili Abd. Majid (Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 22 Januari 2018. [ http://www.utusan.com.my/rencana/utama/bahaya-iktiraf-hak-lgbt-1.594629 ]. Akses pada 10 Mac 2019.

[3] Lihat laporan bertajuk LGBT Paling Ramai Hidap HIV pada 2 Ogos 2018. [http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lgbt-paling-ramai-hidap-hiv-1.720990]