اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-179: METODOLOGI JAWAPAN HUKUM DAN FATWA MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

metodologi jawapan hukum mufti wp.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum keluarganya, para sahabatnya dan sekalian umatnya yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, pada kali ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dapat menerbitkan Bayan Linnas berkenaan dengan Metodologi Jawapan Hukum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan.

Setelah lebih lima tahun kami menjawab persoalan dan isu-isu yang singgah di meja kami – sama ada yang dihantar melalui email atau media massa, dan secara langsung yang memerlukan kepada jawapan, dan daripada pelajar-pelajar yang sedang memenuhi disertasi mereka atau tesis mereka sama ada di peringkat doktor falsafah, sarjana dan juga sarjana muda – kami dapati mereka sering bertanyakan berkenaan metodologi kami dalam menjawab persoalan yang dikemukakan. Justeru kami melihat sudah sampai masanya pihak kami menerangkannya dengan lebih terperinci berkenaan cara dan uslub dalam menjawab persoalan ini.

Kami tajukkan Bayan Linnas ini dengan Metodologi Jawapan Hukum Dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga ianya memberi kefahaman dan manfaat kepada kita semua dalam memahami asas pengeluaran hukum dengan sebaik mungkin. Amin.

Saya juga mengambil kesempatan di sini dengan menyatakan bahawa tugas jawapan ini secara langsung digalas oleh saya dan juga barisan penyelidik unit Buhuth PMWP yang diketuai oleh Dr. Mohd Aizam bin Mas'od. Alhamdulillah, unit ini dibantu oleh ramai tenaga muda yang berwibawa di samping jawapan secara ijtima’i dan disahkan serta ditahqiqkan oleh ketua unit Buhuth serta saya sendiri. Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para penyelidik unit Buhuth.

Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada staf dan rakan-rakan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan dalam menjayakan misi dan visi Pejabat Mufti bagi mentahqiqkan keunggulan dan menuju ke arah pencapaian yang lebih terkehadapan. Semoga usaha yang kami lakukan ini mendapat keredaan Ilahi yang membawa kepada kebaikan kepada kita semua dalam memahami metodologi fatwa yang kami usahakan ini. Amin

Definisi Fatwa

Kami mulakannya dengan definisi fatwa pada bahasa dan juga istilah.

Definisi Fatwa Dari Segi Bahasa

Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar[1]. Rujukan yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:

  • Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
  • Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
  • Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.

Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.

Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.

Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).

Ibn Manzur berkata: “Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.

Definisi Fatwa Dari Segi Istilah

Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:

  • Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
  • Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
  • Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
  • Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
  • Kata al-Imam al-Buhuti[2] (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
  • Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)
  • Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h): Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian.
  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
  • Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad)
  • Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah)
  • Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)

Sementara itu ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:

  • Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
  • Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
  • Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Malikiah.
  • Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.

Tarjih

Setelah meneliti kesemua takrifan yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa terdapat titik persamaan antara kesemua takrif iaitu: Menjawab, menerangkan, menjelaskan, atau mengkhabarkan hukum.

Namun secara zahirnya para ulama usul dianggap sedikit berbeza pada takrifannya berbanding para ulama fiqh. Walaupun begitu, jika kita amati secara mendalam dengan memahami maksud perkataan ijtihad sudah tentu kita mendapati bahawa wujudnya persamaan.

Walaubagaimanapun, penulis lebih cenderung kepada takrif mazhab Maliki, iaitu mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk dipatuhi. Jawapan ini membezakan antara fatwa dengan keputusan mahkamah yang mewajibkan pihak berkenaan mematuhinya apabila telah diputuskan oleh qadhi. Sebab-sebab mengapa takrif ini dipilih adalah:

1. Fatwa bersifat mengkhabarkan hasil ijtihad, bukannya ijtihad itu sendiri. Jawapan yang diberikan oleh seorang mufti kadangkala adalah bersifat peribadi.

2. Perkhabaran hukum Allah SWT kepada yang mesti dan harus sahaja adalah terhad. Ini kerana, ada juga hukum yang melepasi kemestian atau keharusan yang membawa kepada hukum-hukum taklifi. Juga sekiranya dengan maksud mesti atau harus, ia menyamai qada’ pada kemestiannya.

Walaupun penulis cenderung kepada takrifan mazhab Maliki, penulis tetap merasakan bahawa ia perlu kepada sedikit tambahan dan pengubahsuaian pada takrif tersebut. Iaitu fatwa adalah mengkhabarkan hukum bagi permasalahan yang berlaku oleh seorang mufti tanpa mengikat.[3]

Ini kerana, jika fatwa bersifat mengikat, maka sudah pasti ia akan menyamai qada’ atau keputusan mahkamah yang menjadi peraturan ataupun undang-undang. Sedangkan dari segi bahasa yang difahami, maksud fatwa adalah lebih kepada pemberitahuan hukum sahaja.

Kaitan Definisi Fatwa antara Bahasa Dan Istilah

Sudah menjadi tradisi dalam kalangan ulama apabila mengemukakan takrif, maka ia dinyatakan dari sudut bahasa dan istilah. Walaupun begitu, terdapat hubungkait yang amat erat antara kedua-dua takrif tersebut.

Pengertian istilah bagi perkataan fatwa tidak jauh berbeza dengan pengertiannya dari sudut bahasa. Ini kerana ia membawa maksud penjelasan tentang hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. Pengertian sedemikian menjelaskan bahawa fatwa merupakan suatu tindak balas maklumat atau respon kepada persoalan yang dikemukakan. Dalam kata lain, apabila ada soalan dan kemusykilan, akan ada fatwa sebagai jawapan.

Mengambil pengertian ini, sebahagian ulama melihat fatwa boleh dikeluarkan dalam dua bentuk:

1. Fatwa yang semata-mata bersifat sebagai suatu penjelasan dan keterangan tentang hukum. Bentuk ini biasanya tidak akan melibatkan sebarang aktiviti ijtihad, ia hanya satu usaha menjelaskan hukum seperti penjelasan tentang hukum yang sudah sedia ada dengan jelas di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Dalam situasi ini, tugas seorang mufti hanyalah sekadar membuat penjelasan dan keterangan tentangnya sahaja. Ia tidak dikira sebagai perbuatan berijtihad kerana ia cuma suatu nukilan hukum tanpa melibatkan sebarang usaha memerah keringat dalam berfikir.

2. Fatwa yang melibatkan perbuatan berijtihad. Biasanya bentuk ini akan berlaku dalam dua keadaan:

a) Fatwa yang disebut sebagai proses tahqiq al-manat yang memberi maksud proses perlaksanaan dan pemakaian illah hukum yang dipetik daripada teks perundangan atau ijma’ kepada kejadian yang baharu. Dalam keadaan ini, mufti sudah mempunyai maklumat mengenai hukum tekstual (asal) yang mempunyai ciri-ciri dan sifat kes yang sama dengan kes baharu yang ditanyakan. Oleh itu, mufti akan berijtihad bagi menentukan adakah persamaan sebab hukum/illah antara hukum yang pernah diputuskan sebagaimana yang sudah sedia dimaklumi dengan persoalan baru yang dikemukakan. Jika wujud persamaan di antara keduanya maka mufti akan membuat penentuan hukum kepada kes baharu mengikut ketentuan hukum yang sedia ada.

b) Situasi yang berlaku dalam keadaan mufti belum mempunyai apa-apa maklumat hukum tentang persoalan yang ditanya sama ada tentang kes yang terdahulu (hukum asal) yang menjadi asas dalam memberikan hukum ataupun kes baru yang sedang dibangkitkan. Dalam keadaan sebegini, sudah tentu kadar kerahan ijtihad daripada pihak mufti akan lebih tinggi kerana ia akan melibatkan usaha penelitian dan penyelidikan terhadap mana-mana sumber yang difikirkan berkaitan dengan persoalan yang dihadapkan kepadanya untuk mengemukakan jawapan fatwa yang tepat. Usaha penyelidikan ini sebenarnya adalah ijtihad dan jawapan yang akan dikemukakan hasil daripada ijtihad adalah merupakan fatwa hukum. (Lihat bahagian Mukadimah dalam kitab Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Imam Ahmad bin Hamdan al-Harrani al-Hanbali, hlm. 28-35) 

 

Metodologi Jawapan Kami

Sebaik mungkin, kami akan cuba mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Jawapan Hukum dan Fatwa yang telah digariskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

Dalam menjawab persoalan hukum dan fatwa yang diminta kepada kami, makanya kami akan cuba seupaya mungkin membina metodologi kefatwaan berdasarkan kepada jawapan para ulama’ dan mufti terdahulu. Dr Yusuf al-Qaradhawi banyak menyebut dalam kitab-kitabnya berkenaan dengan metodologi ini. Inilah yang diamalkan dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah.

Sebahagian ulama seperti Syeikh Abdullah Bin Bayyah dan juga Syeikh Dr Ali Jumu’ah telah menamakan kitab mereka Sina’ah al-Fatwa yang memberi kupasan berkenaan dengan kefatwaan itu sendiri dari sudut metodologi fatwa dengan lebih terperinci.

Metodologi jawapan fatwa dan hukum yang kami putuskan adalah sepertimana berikut:

  • Menjelaskan isu persoalan. Ini berdasarkan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: "Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta'rifat, hlm. 59) Abu al-Baqa' al-Kafawi berkata: "Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Ibn Qayyim pernah berkata: Berkenaan dengan mufti yang amat perlu dalam membina kefahaman. Begitu juga dengan hakim ketika mahu berfatwa atau berhukum dengan sebenar, hendaklah mempunyai dua jenis kefahaman.

Pertama: Memahami waqi’, fiqah dengannya dan mampu istinbat ilmu pada hakikat yang berbetulan dengan semua qarinah, tanda dan alamat sehingga benar-benar menguasai ilmu.

Kedua: Memahami yang wajib pada waqi’ iaitu memahami hukum Allah yag dihukum dengannya dalam kitab-Nya atau lisan Rasul-Nya SAW. Siapa yang mendalami serta menekuni syariah dan hukum-hukum yang diputuskan oleh sahabah R.Anhum sudah barang pasti mendapati hal ini, yakni menguasai dua perkara di atas. Sedangkan siapa yang berjalan bukan dengan jalan ini atau manhaj ini nescaya ia akan mengabaikan segala hak orang ramai dengan menisbahkannya kepada syariat yang Allah utus dengannya Rasul-Nya. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/165-166)

  • Mengemukakan pendapat ulama’ sama ada yang menyokong atau menentang sekiranya ada.
  • Mengemukakan sumber rujukan dari kitab-kitab.
  • Mendatangkan dalil-dalil dan hujah mereka sama ada rujukan primer atau sekunder.
  • Melihat pada wajah istidlal[4] dan istinbat[5].
  • Merujuk kepada fatwa-fatwa terdahulu dan terkini jika ada.
  • Mentarjihkan pendapat berdasarkan:
    1. Kekuatan dalil dan hujah.
    2. Mengikut asas dan kaedah mazhab Syafie.
  • Mendahulukan kemaslahatan yang lebih banyak dan bersifat umum.[6]
  1. Meraikan waqi’ dan realiti kehidupan yang sebenar.
  2. Mengambil kira Maqasid al-Syari’ah.[7]

Inilah Jawapan Kami

Seperti mana yang telah kami jelaskan di atas, dalam jawapan kami akan mengandungi tasawwur yang jelas terhadap persoalan yang diajukan. Kami definisikan persoalan yang berkaitan dan mendatangkan dalil-dalil serta hujah dengan wajah istidlalnya. Kami tarjihkan mengikut maslahat dan apa yang kami nyatakan di atas. Seperkara lagi, kami kemukakan solusi dan penyelesaian kepada persoalan.

 

Menjauhi Sifat Jumud

Kami menjarakkan daripada sifat jumud[8], tidak realiti dan tidak waqi’i.

Imam al-Qarafi[9] menyebut bahawa:

وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ

Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.” (Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/177)

Begitu juga Ibn ‘Abidin al-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:

ليس للمفتي الجمود على المنقول في كتب ظاهر الرواية من غير مراعاة الزمان وأهله، وألاّ يُضيَّع حقوقًا كثيرة، ويكون ضرره أعظم من نفعه

Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.” (Lihat Rasa’il Ibn ‘Abidin, 2/131)

 

Meraikan Perubahan Zaman Dan Tempat

Keterikatan terhadap pandangan ulama silam sehingga tidak peka kepada tuntutan kontemporari merupakan suatu hal yang harus dijauhi dalam ijtihad dan fatwa. Suasana Malaysia memerlukan satu ijtihad terkini yang meraikan ‘uruf dan suasana setempat. Kata Imam Ibn al-Qayyim:

فَصْلٌ فِي تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ

Maksudnya: “Fasal pada perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/41)

Dalam perbahasan hukum, ada dua kategori yang berkait rapat dengannya iaitu hukum-hakam yang bersifat tsawabit (yang tetap serta tidak berubah) dan juga al-mutaghayyirat (yang boleh berubah). Ini bererti, ada beberapa hukum yang bersifat tidak boleh berubah meskipun berlakunya perubahan zaman dan tempat dan ada hukum-hakam yang boleh berubah dengan berubahnya masa dan juga tempat.

Terdapat sebuah kaedah feqah yang menyebut:

لا يُنْكَرُ تغيّرُ الأحكامِ بتغيُّرِ الأزمانِ

Maksudnya: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa.

Syeikh Mustafa al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan ‘uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian keduanya tersebut berubah kepada uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati uruf dan adat yang baharu itu.

Beliau berkata lagi: Perkara ini (perubahan hukum disebabkan perubahan masa) merupakan suatu perkara yang diperakukan, diterima pakai lagi tsabit. Dan ia merupakan sunnatullah dalam pensyariatan kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya ketika bermulanya penciptaan manusia dan keadaan pada ketika itu dalam suasana kesempitan disebabkan sedikitnya bilangan zuriat, Allah SWT membenarkan pernikahan seorang perempuan dengan adik beradik lelakinya, serta memberikan keluasan dalam beberapa perkara. Hukum tersebut kekal sehinggalah keturunan semakin banyak dan meluas, lalu perkahwinan antara adik beradik kandung diharamkan pada ketika itu. (Lihat Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, oleh Mustafa Al-Zarqa, hlm. 227 - 228)

Imam Al-Syathibi pula berkata: Dan ketahuilah bahawa apa yang telah disebutkan ini dari sudut perbezaan hukum-hakam ketika berbezanya adat bukanlah bermakna pada hakikatnya berlaku perbezaan pada asal khitab (perintah asal dari Allah). Ini kerana syara’ diletakkan bahawa ia bersifat kekal selamanya. Sekiranya diandaikan kekalnya dunia tanpa penamat, maka begitulah taklifannya (kekal). Syara’ tidak memerlukan kepada sebarang penambahan.

Sesungguhnya makna perbezaan (hukum) adalah, sekiranya adat-adat itu berbeza maka kesemua adat kembali kepada asal syara’ yang memberikan hukum padanya. Sepertimana contoh pada isu baligh, sesungguhnya khitab taklif (perintah untuk melakukan sebarang tanggungjawab) terangkat ke atas kanak-kanak selama mana dia belum baligh. Apabila dia sudah baligh, jatuhlah taklifan ke atasnya.

Maka gugurnya taklifan sebelum baligh dan sabitnya taklifan sesudah baligh, bukanlah menunjukkan perbezaan pada khitab (arahan Allah). Sebaliknya perbezaan itu hanyalah pada adat dan keadaan. (Lihat al-Muwafaqat, oleh al-Syathibi, 2/492)

Demikian juga contoh berkaitan topik perbahasan ini kita dapat melihat bahawa Imam al-Syafi’e sendiri mempunyai qaul qadim (pendapat yang lama) dan qaul jadid (pendapat yang baharu) yang terhasil dari perbezaan tempat beliau mengeluarkan pandangan tersebut. Qaul Qadim adalah pendapat yang beliau kemukakan semasa berada di Iraq manakala Qaul Jadid adalah pandangan beliau semasa berada di Mesir.

Di samping itu, kami mengajak ke arah kebaikan dan penyelesaian yang harmoni.

Ghalibnya, pada akhirnya kami berdoa agar diberikan taufiq serta hidayah kepada pengaju dan kita semua agar landasan perjalanan kita benar-benar menepati neraca syariah. Itulah kebiasaan jawapan kami yang kami putuskan. Justeru, bagi sesiapa yang membacanya sudah barang tentu akan mendapat maklumat, makrifah dalil, sumber rujukan, pendapat ulama’, tarjih, solusi, cadangan, dan juga doa. Semoga jawapan seperti ini dapat mengharmonikan dan menenangkan jiwa dan menyelesaikan masalah dalam kemelut kehidupan yang dihadapi oleh seseorang. (Lihat Prosedur Operasi Standard (SOP) Jawapan, Hukum Dan Fatwa, oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), hlm. 9-11)

Dhawabit (Garis Panduan) Fatwa Dalam Isu Nawazil (Isu Semasa)

Dalam isu seperti ini, kami suka nyatakan bahawa isu nawazil adalah isu yang baharu berlaku pada masa kini yang memerlukan ijtihad serta sudut pandang yang mendalam. Dalam hal ini, amat perlu diraikan suasana dan maslahat. Makanya di sini kami nukilkan beberapa dhawabit fatwa apabila bertembung kejadian baharu. Antaranya:

  • Meraikan dharurah atau hajat. Hal ini berbetulan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Sesungguhnya bukan semua darurat mengharuskan semua pengharaman, bahkan wajib yang haram tersebut tetap kekal jika ia lebih besar daripada darurat itu. Dalam ilmu usul mengharuskan yang haram kerana darurat dinamakan dengan rukhsah. Terdapat tiga jenis rukhsah:

  1. Keharusan selama mana darurat berlangsaungan seperti makan bangkai kerana terpaksa dengan sebab kelaparan yang melampau sekadar untuk menolak binasa.
  2. Perbuatan kekal sebagai haram tetapi rukhsah syarak diberikan ke atasnya kerana daruarat seperti menghilangkan atau meluputkan harta orang Islam. Tetapi ia dikenakan dhaman atau gantian.
  • Darurat yang tidak harus dalam apa jua keadaan seperti membunuh orang Islam jika tanpa sebarang paksaan yang kuat. (Lihat Qa'idah: al-Darurat Tubih al-Mahzurat, oleh Abu al-Kalam Syafiq al-Qasimi al-Mazahiri)
  • Meraikan maslahat[10]
  • Istihsan[11]
  • Meraikan uruf[12] dan adat
  • Mengangkat sebarang bentuk mafsadah dan mudarat
  • Meraikan kerosakan zaman
  • Meraikan perubahan semasa
  • Beriltizam dengan neraca keadilan[13]
  • Memberi hak kepada yang berhak
  • Menolak sebarang bentuk perbalahan dan permusuhan

Semua kaedah ini diterangkan dengan panjang lebar dan berserta contoh oleh guru kami Fadhilah al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam bukunya Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asirah, (5/498-530)

 

Mufti Hendaklah Faqih[14]

Kami mulakan dengan takrif feqah di sisi Imam Abu Hanifah:

مَعْرِفَةُ النَّفْسِ مَالَهَا وَمَا عَلَيْهَا

Iaitu mengenali jiwa, apa yang menjadi haknya dan apa yang menjadi kewajiban ke atasnya. (Lihat Mir’at al-Usul, 1/44 dan al-Taudih li Matni al-Tanqih, 1/10)

Guru kami, Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Ma’rifah dengan maksud mendapat dan memahami segala juzuk berdasarkan dalil. Dikehendaki dengannya di sini adalah sebabnya. Iaitu penguasaan yang terhasil daripada pengamatan pelbagai kaedah secara berulangan. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/29)

Amat perlu kefaqihan bagi seorang mufti dalam memberi fatwa dan memutuskan hukum. Hal ini seperti kata Ibn al-Solah:

ثم إن هذا الفقيه لا يكون إلا فقيه النفس؛ لأن تصوير المسائل على وجهها ثم نقلَ أحكامها بعد استتمام تصوير جلياتها وخفياتها لا يقوم به إلا فقيهُ النفس ذو حظٍ من الفقه

Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya seorang yang faqih tidak dianggap faqih kecuali memahami dengan sebenar-benarnya. Ini kerana gambaran sesuatu masalah mengikut wajahnya yang sebenar, kemudian dinukilkan segala hukumnya selepas mendapatkan kesempurnaan gambaran sesuatu itu sama ada yang zahir atau yang tersembunyi, tidak mampu dilakukan kecuali orang yang benar-benar faqih dan mempunyai jiwa kefaqihan. (Lihat Adab al-Mufti wa al-Mustafti, 1/37)

Memahami Fiqh al-Ma’alat (فقه المآلات)

Dari sudut bahasa, perkataan al-Ma’al (المآل) membawa erti tempat kembali, tuju, matlamat dan kesudahan.

Pada istilahnya, al-Ma’al (المآل) membawa erti, “kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak.” (Lihat Mabda’ I`tibar al-Ma’al fi al-Bahth al-Fiqhi oleh Yusuf bin `Abd Allah, hlm. 36 dan 38)

Fiqh al-Ma’alat adalah memikirkan kesan, implikasi atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu keputusan yang diambil sama ada fatwa atau hukum.

Dalil Fiqh al-Ma’alat

Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah bukanlah sesuatu yang diada-adakan oleh para ulama zaman ini. Terdapat banyak contoh bahawa Al-Quran memberi perhatian pada Fiqh al-Ma’alat dalam pendekatan dakwah. Antaranya:

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah Ali Imran: 159)

Al-Maraghi berkata: Aku turut mengajarkan kepadamu sesuatu yang mendatangkan manfaat dan membawa kesan yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)

Nas ini menunjukkan bahawa Allah SWT menyuruh Nabi SAW agar menggunakan pendekatan lembut terhadap para pengikutnya dan bukan pendekatan kasar kerana pendekatan kasar tidak mendatangkan apa-apa kebaikan melainkan menyebabkan para pengikutnya menjauhkan diri mereka daripadanya. Ini merupakan contoh yang jelas bagaimana Al-Quran memberikan perhatian kepada kesan atau natijah di sebalik sesuatu pendekatan dakwah.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

(Surah al-An’am: 108)

Ibn Kathir berkata: Allah melarang rasul-Nya dan orang yang beriman memaki tuhan kaum Musyrikin meskipun adanya maslahat. Ini kerana, ia boleh menimbulkan mafsadah yang jauh lebih besar kerana mereka pasti memaki Tuhan orang yang beriman padahal Allah adalah Rabb yang tiada Tuhan selain Dia. (Lihat terjemahan Tafsir Ibn Kathir, 3/272)

Nabi SAW bersabda:

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya: Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.

Riwayat al-Bukhari (4905)

Hadis ini berkenaan isu orang-orang munafik yang dikepalai oleh Abdullah bin Ubai yang berkata: Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya kami akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina. Ini menyebabkan Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal leher si munafik ini. Lantas Nabi SAW bersabda dengan hadis ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ini kerana dibimbangi boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai takut untuk memeluk Islam. (Lihat Fath al-Bari, 3/392)

Isu berkenaan dengan iktibar berdasarkan matlamat dan kesudahan hukum Syarak itu yang membawa kepada mafsadah atau maslahat merupakan bab yang sukar, yang bukan semua mampu untuk mencapainya. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam, penuh dengan ilmu dan tahqiq. Benarlah kata al-Syatibi:

وَهُوَ مَجَالٌ لِلْمُجْتَهِدِ صَعْبُ الْمَوْرِدِ، إِلَّا أَنَّهُ عَذْبُ الْمَذَاقِ مَحْمُودُ الْغَبِّ، جَارٍ عَلَى مَقَاصِدِ الشَّرِيعَةِ.

Maksudnya: Ia merupakan bidang yang sukar bagi sesorang mujtahid menguasainya, kecuali rasanya cukup manis dan terpuji akibat dan kesudahannya, berjalan dengan seiring maqasid syariah. (Lihat al-Muwafaqat, 5/178)

Semoga perhatian kita terhadap Fiqh al-Ma'alat akan menatijahkan kematangan fiqh dan fatwa yang dikemukakan kepada khalayak masyarakat agar ia seiring dengan neraca Syariah.

 

Mendahulukan Fiqh al-Awlawiyyat

Dr. Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan Fiqh al-Awlawiyyat sebagai: “Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil.” (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, hlm. 9)

Antara dalilnya adalah, firman Allah SWT:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٩﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّـهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (19) (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah al-Taubah (19-20)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang iman. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan paling rendahnya membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu sebahagian daripada iman.

Riwayat Muslim (162)

Justeru tidak pelik para sahabat sentiasa bersungguh-sungguh bertanyakan Rasulullah SAW untuk mengetahui amalan yang paling baik agar mereka mendekatkan diri kepada Allah. Ini dapat kita kesani dalam banyak hadis berkenaan dengan seafdhal, sebaik-baik, semulia-mulia dan ibarat yang seumpamanya.

Dalam mengeluarkan hukum, meraikan Fiqh Awlawiyyat adalah amat penting. Contohnya membantu mereka yang dalam bencana adalah aula daripada melakukan umrah sunat secara berulang kali.

Sebagai contoh, kami kemukakan beberapa awlawiyyat, antaranya:

  • Mengutamakan yang wajib daripada yang sunat.
  • Mengutamakan maslahat ammah (عامة) daripada maslahat khassah (خاصة).
  • Mengutamakan kualiti dari kuantiti.
  • Mengutamakan kefahaman daripada semata-mata menghafaz.
  • Mengutamakan maqasid daripada yang zahir.
  • Mengutamakan ijtihad daripada taqlid.
  • Mengutamakan ilmu daripada amal kerana ilmu syarat bagi setiap amal.

Untuk mengetahui Fiqh al-Awlawiyyat, ramai tokoh-tokoh ulama masa kini sudah mengkaryakan buku seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa mempelajari Fiqh al-Awlawiyyat merupakan asas dan penyempurnaan serta huraian dengan apa yang diseru oleh golongan musleh yang terkenal.

              

Merujuk Kepada Ahli Ikhtisas

Kami maksudkan dengan ahli ikhtisas adalah mereka yang berkepakaran dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Kami asaskan pertimbangan ini berdasarkan kepada nas Ilahi:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl: 43)

Ayat ini bermaksud, tanyalah wahai orang Quraisy ulama berkenaan Taurat dan Injil, nescaya mereka mengkhabarkan kamu bahawa semua para Nabi adalah manusia jika sekiranya kamu tidak mengetahui. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/118)

Walaupun begitu, kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: “Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab”

Merujuk kepada ahli ikhtisas sebahagian daripada keperluan untuk memahami sesuatu itu dengan gambaran yang jelas dan tepat. Kami nukilkan di sini pandangan ulama dan tokoh berkenaan dengan keperluan merujuk kepada ahli ikhtisas.

Jelasnya, Islam menyuruh agar merujuk kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kita tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama’. (Lihat al-Fatwa: Baina al-Indibat wa al-Tasayyub (terjemahan) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm 45)

Kami juga mengamalkan seperti ini dengan merujuk kepada pakar-pakar untuk mendapat sebuah jawapan dengan lebih tuntas dan baik seperti merujuk kepada pakar perubatan, pakar kewangan dan lain-lain ketika mahu memutuskan satu-satu fatwa dan hukum. Inilah amalan kami.

Kerangka Jawapan

Susunan jawapan kami biasanya seperti berikut:

  • Memulakan dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi SAW.
  • Menjelaskan tasawwur umum berkenaan permasalahan yang ditanya agar jawapan menepati persoalan. Kami cuba memahami dengan sebaik mungkin berdasarkan kaedah: “فَهْمُ السُّؤَالِ نِصْفُ الإِجَابَةِ”.
  • Mendefinisikan perkataan yang penting dalam persoalan untuk dijawab.
  • Mendatangkan dalil daripada para ulama’ dan istinbatnya.
  • Menyatakan nas al-Quran serta merujuk tafsiran ayat kepada tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi, Tafsir Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi dan lain-lain.
  • Menyatakan nas hadis, mentakhrijkannya atau menentukan darjat hadis sama ada Sahih atau Dha’if.
  • Begitu juga merujuk kepada syurrah al-hadis untuk memahami maksud dan mafhum sebenar hadis. Kami nisbahkan seperti riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain dengan meletakkan nombor hadis.
  • Menyebut ijma’ jika ada. Begitu juga qiyas jika bersamaan ‘illah satu-satu hukum. Rujukan utama adalah seperti kitab al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, Mausu’ah al-Ijma’ fi al-Fiqh al-Islami oleh Syeikh Sa’di Abu Jaib dan lain-lain.
  • Menyebut kaedah-kaedah usul jika ada.
  • Menyebut kaedah-kaedah fiqh jika boleh menjadi asas sesuatu hukum.
  • Menisbahkan rujukan kepada pengarang asalnya dan nama kitabnya, bahkan disebut jilid dan halaman.
  • Menisbahkan pendapat kepada imam atau mazhab. Sekalipun berlaku khilaf[15], kami tetap meraikannya.
  • Menyebut fatwa-fatwa ulama’ terdahulu dan masa kini jika ada. Juga melihat hujah dan ‘illah satu-satu hukum yang dikemukakan. Antara ulama’ yang mengkaryakan kitab fatwa yang masyhur seperti Ibnu Hajar al-Haitami, Imam al-Nawawi, Syeikh Dr. al-Syarbasi dalam Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah dan ramai lagi.
  • Menyebut juga keputusan fatwa oleh badan berautoriti seperti Majma’ Fiqh Islami, Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan lain-lain.

 

Kesimpulan atau Penutup Jawapan

Kebiasaannya, selesai kami mengemukakan jawapan dengan dalil dan hujah, kami akan mentarjihkannya seperti yang telah kami nyatakan pandangan berdasarkan kepada asbab tarjih.

Kadang-kadang kami gunakan kalimah ‘kami cenderung’. Ini kerana mengikut amalan salafus soleh menggunakan kalimah أنا أميلdengan maksud “aku cenderung.” Ini menunjukkan mereka mencermati isu dan hipotesis serta ilmu yang mereka perolehi setakat itu. Justeru jawapan tidaklah dalam bentuk confirm atau yakin seratus peratus kerana kebiasaannya isu ini adalah bersifat khilafiyyah dengan pelbagai pandangan fuqaha’ yang wajib kita hormati.

Kadang-kadang kami menggunakan kalimah ‘pendapat yang rajih di sisi kami’ apabila adanya asbab al-tarjih yang kuat berdasarkan kaedah usul. Ini juga sering kali kami gunakan di mana dalam Bahasa Arab, sebahagian ulama’ menggunakan dengan perkataan “والذي يترجّح عندي”. Inilah metodologi kami ketika mentarjihkannya. Adakalanya juga, kami memilih pendapat yang kami yakin sebagai arjah (أرجح), maka kami katakan ‘pendapat yang rajih di sisi kami’.

Begitu juga kami kemukakan dalam kesimpulan nasihat kami dan pandangan kami berkenaan isu yang ditanya ini. Kami akan mengemukakan solusi atau cadangan jika perlu dan sesuai. Ghalibnya kami akhiri dengan doa dan harapan, semoga ia menatijahkan kebaikan dalam kehidupan kita.

 

Kenapa Sebahagian Soalan Tidak Dijawab oleh SS Mufti?

Syeikh Hasanain Makhluf[16], mantan Mufti al-Diyar al-Misriyyah berkata: “Jawatan fatwa pada awal Islam merupakan jawatan yang paling mulia dalam agama dan bahayanya juga paling besar. Ia menjadi pengganti Rasulullah SAW dalam menyampaikan ilmu daripada Tuhannya, menyebarkan agamanya yang diredhai Allah terhadap hamba-Nya. Ia termasuk memberi pengajaran, memberi tunjuk ajar, kefahaman dan memahamkan makna al-Quran dan al-Sunnah di samping berijtihad untuk istinbat hukum daripadanya. (Lihat Fatwa dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah, hlm. 95)

Dalam kebanyakan hal dan persoalan yang dikemukakan, kebiasaannya kami akan menjawabnya. Ini kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab kami kepada khalayak masyarakat untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Kami memahami apa yang dinaskan dalam hadis Nabi SAW:

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أُلْجِمَ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Siapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia sembunyikannya, nescaya dikekang mulutnya dengan kekangan dari api neraka pada hari Kiamat.

Riwayat Ahmad (7571) dan al-Tabarani
dalam al-Mu’jam al-Awsat (3529)

Kami menginsafi betapa perlunya sebuah jawapan kepada khalayak masyarakat tatkala ia dikemukakan dan menjadi perbahasan umum. Akan tetapi kami juga meletakkan di hadapan kami hadis Rasulullah SAW:

أَجْرَؤُكُمْ عَلَى الْفُتْيَا أَجْرَؤُكُمْ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: Seberani kamu dalam memberi fatwa dengan pantas adalah seberani kamu untuk dihumban ke dalam neraka.

Riwayat al-Darimi (159)

Antara beberapa sebab kami tidak menjawab sebahagian soalan yang dikemukakan adalah:

  • Tidak mengetahui jawapan

Kami tidak malu untuk menyatakan, “Kami tidak tahu”. Ini adalah jawapan ramai para ulama’ seperti Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, Imam Ahmad bahkan kami sendiri mendengar jawapan daripada guru kami kisah Syeikh al-‘Allamah Muhammad al-Amin al-Syanqiti[17], pengarang Adhwa’ al-Bayan.

Al-Sya’bi[18] suatu ketika ditanya tentang satu masalah, lantas dijawabnya: “Aku tidak tahu.” Seorang lain bertanya kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan adalah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab al-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika berkata seperti firman Allah SWT:

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

(Surah al-Baqarah: 32)

  • Telah dijawab Mufti lain

Sudah ada keterangan daripada ashab al-Samahah mufti-mufti yang menjawab persoalan yang dibangkitkan. Jadi, saya menghormati jawapan mereka yang sangat baik.

  • Telah diambil tindakan

Masalah tersebut telah dibincangkan secara umum dan terbuka dan telah diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berautoriti.

  • Persoalan yang ada kepentingan tertentu

Persoalan itu bertujuan tertentu dan membawa kepada kepentingan seseorang atau pihak tertentu sahaja. Maka, saya lebih selesa mengelakkannya.

  • Boleh menjatuhkan maruah seseorang

Kami cuba mengelakkan jika ditanya dan disebut nama ulama' dan pendapatnya untuk bandingan. Ini kerana jika kami menjawab dengan jawapan berlainan, boleh jadi mentajrihkannya (menjatuhkan maruahnya). Inilah biasa yang dinasihatkan guru kami Fadhilah al-Syeikh al-'Allamah Dr. Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti.

Membaca kisah para sahabat seperti yang di nukilkan daripada Abd al-Rahman Bin Abi Laila Rahimahullah[19] yang berkata: "Aku pernah bertemu dengan seratus orang Sahabat Rasulullah SAW dan ditanya kepada mereka beberapa persoalan. Tidak seorang pun daripada mereka itu apabila ditanya kecuali dia mengharapkan agar saudara dan sahabatnya menjawab baginya.”

  • Kadang-kadang kami melihat ada lagi yang lebih berautoriti menjawab dan mengambil tindakan daripada kami seperti dalam isu pencemaran bauksit di Kuantan, isu yang berkaitan dengan keamanan negara, dasar luar negara, perlembagaan dan perundangan. Sejujurnya kami kurang arif dalam bab ini.
  • Isu Mahkamah

Sering kali kami ditanya berkenaan dengan cerai jatuh atau tidak? Makanya selepas kami memberi ulasan dan jawapan, pada ghalibnya kami sarankan supaya rujuk kepada mahkamah kerana kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: Keputusan pemerintah mengangkat khilaf (percanggahan)”.

  • Sudah ada badan rasmi yang dilantik dan berautoriti

Sebagai contoh, Majlis Penasihat Bank Negara dan juga bank-bank yang lain termasuk juga Majlis Penasihat Takaful. Ini kerana mereka telah dilantik oleh badan berautoriti atau pemerintah untuk menyelesaikan isu berkaitan ekonomi menurut perspektif Islam. Justeru mereka akan bertungkus lumus serta mendalam isu dan permasalahan yang berlaku untuk diselesaikan berdasarkan Fiqh Mu’amalat.

  • Tidak menjawab isu sebagai jawapan

Kadang-kadang adanya orang yang jahil yang suka berdebat dan mengemukakan masalah dengan pelbagai tujuan. Pada keadaan seperti ini, lebih baik kita mengucapkan salam sahaja dari berbincang pelbagai isu yang mungkin tidak menemui natijah. Justeru benarlah firman Allah SWT:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Maksudnya: dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

(Surah al-Furqan: 63)

Ibn Kathir berkata: Apabila orang jahil membodohkan mereka dengan keburukan, janganlah mereka melawan dengan cara yang sama bahkan maafkanlah dan jangan berkata kecuali yang baik. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 6/122)

Al-Maraghi berkata: Apabila mereka disapa oleh orang jahil dengan perkataan buruk, mereka tidak pula membalasnya dengan perkataan buruk malahan memaafkan dengan bercakap yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4895)

Justeru kaedah seperti “تَرْكُ الْجَوَابِ عَلَى الْجَاهِلِ جَوَابٌ” dengan maksud meninggalkan jawapan terhadap orang jahil adalah sebagai jawapan. Sudah semestinya ia adalah amat menepati.

Justeru, dengan insaf, kami teringat satu kisah yang dinisbahkan kepada Imam kita, al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (w.204H) apabila beliau pernah ditanya berkenaan suatu perkara, tetapi beliau diam sejenak dan berfikir. Dikatakan kepadanya: “Tidakkah kau mahu menjawab?” Balas beliau Rahimahullah:

حَتَّى أَدْرِيَ الْفَضْلُ فِي سُكُوتِي أَوْ فِي الْجَوَابِ

Maksudnya: “Sehingga aku tahu kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawapanku.” (Lihat Sifat al-Fatwa oleh Ibn Hamdan, hlm.10)

Isunya di sini bukan semata-mata hendak menjawab, tetapi jawapan sudah ada kecuali pertimbangan Imam Syafi’e mana lebih afdhal, menjawab atau tidak menjawab.

Kategori Artikel Jawapan

Kami bahagi dan kategorikan jawapan kepada nama-nama berikut dengan maksud dan matlamat yang tertentu dan tersendiri. Antaranya:

  • Bayan Linnas

bl.png

Bayan Linnas merupakan kenyataan umum kepada masyarakat awam berhubung isu nasional. Ia bersifat umum dan menjawab dengan tafsil dan panjang lebar serta lengkap di samping menyatakan pada kebanyakannya kenyataan Mufti Wilayah. Kadang-kadang pendapat Bayan Linnas ini dibincangkan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan buah pandangan serta keputusan hukum dan fatwa untuk khalayak masyarakat.

  • Irsyad al-Fatwa

if.png

Irsyad Fatwa merupakan kenyataan berhubung isu-isu agama bersifat semasa. Ia biasanya dijawab dalam bentuk yang terperinci dan lengkap. Irsyad Fatwa ini dikemukakan yang lebih berkisar kepada hukum-hukum agama dalam kehidupan harian kita yang diajukan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Biasanya ia bersifat mendalam dan pembahasan hukumnya diperincikan dengan merujuk kepada sejumlah pendapat ulama’.

  • Al-Kafi Li al-Fatawi

alkafi (1).png

Al-Kafi Li al-Fatawi merupakan kupasan dan jawapan ringkas persoalan-persoalan agama di media sosial oleh netizen dan orang ramai. Sekurang-kurangnya dalam jawapan ini adanya nas dan dalil serta rujukan untuk khalayak masyarakat meyakini dan boleh berpegang kepada keputusan yang dikemukakan.

  • Irsyad al-Hadis

dwedweew.jpg

Irsyad al-Hadith merupakan kupasan berkenaan fiqh dan faedah hadith selain ilmu hadith dirayah. Ini kerana seringkali isu hadis ditanya kepada kami untuk mendapat sebuah kepastian dan jawapan sama ada sahih atau tidak. Makanya kami akan memberi jawapan berdasarkan matan dan jalur sanadnya serta perbincangan rijal hadith dan mengemukakan pendapat para huffaz dan muhaddithin berkenaan satu-satu hadith.

  • Irsyad Usul al-Fiqh

IUF.png

Irsyad Usul Fiqh merupakan kupasan permasalahan Usul al-Fiqh. Ia merangkumi kefahaman berkenaan dengan kaedah usul dan juga maksud daripada sumber hukum seperti ijma’ dan qiyas. Begitu juga kami sekalikan berkenaan dengan Qawa’id Fiqhiyyah di mana sebahagian kaedah-kaedah itu kami syarahkannya.

  • Tahqiq al-Masail

tahqiqmasail.png

Apabila jawapan dikemukakan perlu kepada semakan semula dan tahqiq kerana ada pelbagai pendapat yang kuat, maka kami membuat kajian secara terperinci dan mentarjihkan semula dan mentahqiqkannya. Hal ini berlaku disebabkan terdapatnya pertikaian sehingga kami akan mengkaji dan muzakarah semula dengan mengemukakan pelbagai fakta dan dalil agar jawapan yang dikemukakan dilandasi dengan nas serta pemahaman nas dengan lebih tuntas.

  • Al-Afkar

alafkar.png

Ia merupakan tabyin kepada sebarang bentuk permasalahan, kekeliruan dan salah faham dengan mengambil tema “solusi akidah dan pemikiran semasa.” Hal ini termasuklah berkenaan dengan permasalahan akidah dan muqaranah adyan yang mungkin berlaku salah faham, yang memerlukan jawapan dengan tuntas. Dalam hal ini, kami asaskan kepada dalil-dalil naqli dan aqli serta sumber sejarah untuk menjawab persoalan tersebut.

  • Tashih al-Mafahim

qweqweqe.jpg

Artikel-artikel dalam siri ini memfokuskan jawapan dan penyelesaian kepada isu pelampau dan ekstremisme agama. Ia juga menjelaskan banyak kekeliruan dan salah tanggapan berkenaan dengan ajaran agama Islam yang sebenar. Terkadang-kadang tafsiran mereka lebih kepada zahir al–nas tanpa melihat kepada maksud dan maqasid serta kehendak nas itu sendiri yang diaplikasikan dalam masyarakat.

  • Qalam Mufti

qalammufti.png

Ia merupakan tulisan atau surat mufti kepada seseorang atau kumpulan dalam bentuk nasihat dengan mengemukakan buah pandangan mengikut neraca syariah. Begitu juga ulasan mufti secara santai dalam isu semasa dalam mendekati khalayak masyarakat. Di samping itu, Qalam Mufti merupakan jawapan ringkas serta pandangan mufti berkenaan dengan isu-isu semasa atau peristiwa yang berlaku sebagai respon awal.

 

Penutup

Sesungguhnya fatwa daripada jawatan Islam yang mulia, amalan agama yang tinggi, tanggungjawab syarak yang besar yang dipikul oleh seseorang untuk menyampaikan daripada Rabb al-Alamin. Justeru hendaklah ia mempunyai keamanahan yang tinggi oleh syarak dan agamanya, memelihara amanah dan benar dalam penyampaian.

Oleh itu, jika sekiranya dusta dan bohong kepada manusia oleh seseorang dianggap keji dan hina, maka bagaimana pula pendustaan terhadap Allah? Jika khianat dan buruknya amanah terhadap harta manusia dan hak mereka dianggap sebagai satu jenayah yang perlu dihukum perlakuannya, maka bagaimana pula mereka yang khianat dan buruk amanah berkenaan dengan hukum Syarak dan hukum agama.

Jika sekiranya sesorang merasa bangga sebagai mewakili ketua negara dan menjadi utusannya, begitu juga menjawat jawatan memelihara kerahsiaannya, menyampaikan buah fikirannya. Maka bagaimana pula seseorang yang mengganti Rabb al-‘Alamin untuk mengkhabarkan hukum-hakamnya dan menyebarkan agama-Nya? Dan sebenarnya pekerjaan mufti menyamai amalan para Nabi da Rasul kerana para ulama’ adalah pewaris para Nabi. (Lihat Mausu’ah Qadhaya Mu’asirah oleh guru kami, Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, 5/363)

Benarlah kata Imam Nawawi: “Ketahuilah bahawa bab ini amat penting kerana umumnya keberhajatan kepadanya.” Kemudian beliau berkata: “Ketahuilah bahawa fatwa merupakan besar bahayanya, hebat tugasannya, banyak kemuliaannya kerana mufti adalah pewaris para Nabi dan melaksanakan fardhu kifayah. Akan tetapi dia terdedah kepada kesilapan. Dengan sebab itulah mereka (para ulama’) berpendapat, mufti adalah penanda tangan bagi pihak Allah SWT.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/67)

Justeru, kami berdoa kepada Allah supaya taklif ini dapat dilaksanakan dengan seupaya mungkin dalam mengisi keperluan untuk menjelaskan kepada khalayak masyarakat berkenaan dengan kefatwaan dan hukum-hakam benar-benar menepati neraca syariah. Jika sekiranya kami silap dan kami mendapati ada lagi pendapat yang lebih tepat dan bernas, makanya kami katakan dengan istighfar seperti yang diajar: “أسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيمَ الَّذِي لاَ إلَهَ إلاَّ هُوَ، الحَيُّ القَيُّومُ، وَأتُوبُ إلَيهِ” dan kami akan menarik kenyataan tersebut berdasarkan nasihat Saidina Umar:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Kami sentiasa memohon kepada Allah semoga kami diberi taufiq dan hidayah untuk melihat kebenaran itu sebagai kebenaran seperti yang diajar dalam doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Semoga manhaj yang kami nyatakan ini dalam Bayan Linnas dengan tajuk Metodologi Jawapan Mufti Wilayah Berkenaan Hukum Dan Fatwa Semasa dapat difahami dengan sebaik mungkin oleh khalayak masyarakat. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
27 Ramadhan 1440 Hijrah bersamaan 1 Jun 2019

 

Nota Hujung:

[1] Rujuk dalam Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.

[2] Al-Buhut merupakan sebuah perkampungan yang terletak di Mesir. Justeru nisbah kepadanya dikenali dengan al-Buhuti.

[3] Di Malaysia, apabila sesuatu fatwa itu digazetkan maka ia bersifat mengikat serta menjadi undang-undang yang sah dan boleh dihujahkan di mahkamah.

[4] Istidlal (الاستدلال‎) adalah daya usaha mencari dalil atau sumber hukum bagi sesuatu masalah yang belum diketahui hukumnya.

[5] Istinbat (الإستنباط) adalah daya usaha membuat keputusan hukum syarak berdasarkan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qiyas dan masadir hukum yang lain.

[6] Imam al-Syatibi berkata: “Kami dapati Syarak menghendaki kemaslahatan hamba sedangkan hukum-hukum adat berjalan mengikut keadaannya. Kadang-kadang kami dapati satu masalah ditegah dalam satu keadaan kerana tiada padanya maslahat, sedangkan pada keadaan lain jika terdapat maslahat, maka hukumnya harus.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/306)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Perubahan hukum kadang-kadang disebabkan perubahan ijtihad atau uruf atau maslahat manusia.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asir, 4/466)

[7] Ramai tokoh ulama sama ada dahulu atau mutakhir mengemukakan definisi Maqasid al-Syariah, antaranya:

  • ‘Ilal al-Fasi: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat Syari’ah dan rahsia yang diletakkan oleh Syarak pada setiap hukum. (Lihat Maqasid al-Syari’ah, ‘Ilal al-Fasi, hlm.3)
  • Al-Husni: Matlamat yang memberikan kebaikan yang dikehendaki oleh hukum-hukum Syarak dan makna yang dikehendaki oleh pemerintah Allah. (Lihat Nazariyyat al-Maqasid,119)
  • Al-Raisuni: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat yang ditentukan oleh Syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan hambanya. (Lihat Nazariyyat al-Maqasid Inda Imam al-Shatibi, hlm. 19)
  • Dr Yusof al-‘Alim: Maqasid al-Syari’ah adalah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia dan di akhirat sama ada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudharatan. (Lihat al-Maqasid al-Ammah Li al-Syari’ah al-Islamiyah, hlm. 97)
  • Wahbah al-Zuhaili antara lain menyebut bahawa Maqasid al-Syari’ah bererti nilai-nilai dan sasaran yang tersirat dalam segenap atau bahagian terbesar dari hukum-hukumnya. Nilai-nilai dan sasaran-sasaran itu dipandang sebagai tujuan dan rahsia Syari’ah, yang ditetapkan oleh al-Syari’ dalam setiap ketentuan hukum. (Lihat Usul Fiqh Islami, 2/748)
  • Dr Muhammad al-Zuhaili: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat, objektif dan natijah serta makna yang didatangkan dengannya Syari’ah serta disabitkannya dalam hukum. Justeru luaslah pentahqikannya, sehingga sampai kepadanya setiap zaman dan tempat. (Lihat Qadhaya Islamiyyah Mu’asirah).
  • Husain bin Abd Aziz Rahimahullah berkata: “Maksud Maqasid al-Syari’ah ialah objektif-objektif yang kerananya hukum-hakam disyariatkan, untuk merealisasikan objektif tersebut. Ia merupakan kebaikan-kebaikan yang kembali kepada para hamba, untuk membahagikan mereka di dunia dan di akhirat, samada objektif itu dicapai melalui penghasilan manfaat ataupun penolakan mudarat atau bahaya. Sebahagian ulamak menghuraikan Maqasid dengan katanya: “Maqasid am pensyariatan ialah maksud-maksud dan hikmah yang dipelihara oleh Pensyariat (iaitu Allah SWT) dalam semua atau sebahagian besar keadaan pensyariatan. Takrif yang lebih baik daripada itu ialah kata-kata sebahagian ulamak: Maqasid ialah hikmah-hikmah yang dikehendaki oleh Pensyariat dalam semua keadaan pensyariatan.” (Lihat al-Usul al-‘Ammah wal Qawaid al-Jami’ah lil Fatawa al-Syar’iyyah, 1/19)

Tarjih

Penulis tertarik dengan pendapat tokoh silam seperti pendapat Imam al-Syatibi yang menyebut: “Tujuan akhir hukum tersebut adalah satu, iaitu maslahah atau kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Dilihat dari sudut tujuan Tuhan, Maqasid al-Syari’ah mengandungi empat aspek, iaitu: Tujuan awal Syari’ menetapkan bahawa Syari’ah ialah kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.

  • Penetapan Syari’ah sebagai sesuatu yang mesti difahami.
  • Penetapan Syari’ah sebagai hukum taklifi yang harus dilaksanakan.
  • Penetapan Syari’ah bertujuan membawa manusia ke bawah lindungan hukum. (Lihat Islamic Legal Philosophy oleh Muhammad Khalid Mas’ud, hlm 223)

Begitu juga pendapat Ibn Taimiyyah: “Sesiapa yang mengingkari kandungan Syari’ah iaitu kebaikan dan keindahan kepada hamba di dunia dan akhirat, sesungguhnya dia adalah seorang yang salah dan sesat.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 8/179)

Secara pastinya, Syari’ah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah merangkumi kesemua kebaikan dunia dan akhirat.

Dr. Yusuf Ahmad al-Badwi, telah menganalisa daripada pelbagai karya Ibn Taimiyyah dan menyimpulkan maksud maqasid al-Syari’ah pada pandangan beliau sebagaimana berikut:

  • Akibat, matlamat kebaikan, objektif, hikmah, kehendak, keperluan, dan kecantikan adalah mempunyai maksud yang sama.
  • Allah menpunyai matlamat dan kehendak dalam penciptaan dan perintah-Nya.
  • Matlamat-matlamat tersebut merupakan kehendak Allah dalam syarak-Nya dan disukai oleh Allah kerana ia mencerminkan perhambaan kepada-Nya dan Dia memberikan kebaikan kepada hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Maqasid al-Syari’ah ‘Inda Ibn Taimiyyah, oleh Yusuf Ahmad Muhammad Al-Badwi, hlm. 52)

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia atau menjauhkan mereka daripada keburukan. Maqasid Syari’ah ialah perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia yang menjadi objektif Syari’ah dalam peraturan ajaran Islam. Oleh itu, maslahah dan kebaikan adalah perkataan yang sama maksud objektif Syari’ah. (Lihat Maqasid al-Syari’ah ‘Inda Ibn Taimiyyah, oleh Yusuf Ahmad Muhammad Al-Badwi, hlm. 52)

[8] Perkataan jumud (جمود) merupakan masdar daripada perkataan Jamada (جَمَدَ) – Yajmudu (يَجْمُدُ) – Jamdan (جَمْدًا) /Jumudan (جُمُوْدًا), yang bermaksud “beku”. Perkataan jumud sinonim dengan sesuatu yang pada awalnya cair lalu kemudian membeku seperti ais. Dalam Kamus al-Azhar, hlm 72. Dikatakan bahwa pembekuan air menjadi ais dinamakan “Jamadun/Jamdun”. Sehingga, boleh dikatakan bahawa yang dimaksud dengan kata jumud adalah keadaan yang awalnya mengalir seperti air kemudian menjadi beku seperti ais. Disinilah kata jumud diertikan sebagai “hilangnya masa keemasan Islam menjadi masa kekosongan sepenuhnya”.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat, “sebab terjadinya yang membawa umat Islam kepada kemunduran (kolot, tidak maju) adalah akibat daripada umat Islam adanya pemahaman jumud”. Perkataan Jumud itu sendiri mengandungi erti suatu keadaan di mana selalu membeku, statik, dan tidak ada perubahan. Oleh sebab itu yang dipengaruhi fahaman jumud maka umat Islam tidak menghendaki perubahan dan umat Islam terlena dalam berpegang teguh pada tradisi.

[9] Imam al-Qarafi, nama lengkapnya adalah Imam Syihabuddin al-Qarafi al-Misri, seorang ulama mazhab Maliki pada abad ketujuh (w. 684 H/1254 M). Antara karyanya ialah al-Furuq al-Dzakhirah, al-'Iqdu al-Manzum fi al-Khusus wa al-Umum, al-Qawa'id, Kitab al-Khasais fi al-Nahwi, al-Umniyyah fi Idrak al-Niyyah, al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa wa al-Ahkam dan lain-lain.

[10] Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah adalah: ‘’Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan’’. (Lihat Al-Mustashfa oleh Al-Ghazali, 2/139) Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.

Secara asasnya, tidak terdapat maslahah yang hakiki melainkan ia pasti selari dan bertepatan dengan nas. Jika dilihat dari kenyataan para ulama usul, seperti Imam al-Syathibi, beliau mengatakan: ‘’Syariah itu tidaklah dijadikan melainkan untuk mentahkikkan maslahah-maslahah kepada para hamba masa kini dan akan datang, serta menolak sebarang mafsadah kepada mereka’’. (Lihat al-Muwafaqat oleh al-Syathibi, 2/6)

Sultan al-Ulama’ al-Izz Ibn Abd al-Salam berkata: ‘’Agama keseluruhannya adalah maslahah sama ada menolak mafsadah ataupun mendatangkan maslahah’’. (Lihat Qawa’id al-Ahkam oleh al-Izz Abd al-Salam, 1/9)

Maslahah terbahagi kepada tiga:

  • Al-Masalih al-Mu’tabarah (maslahah-maslahah yang diambil kira): Iaitu apa yang Allah mengambil kira akannya dari sudut Dia mensyariatkan baginya hukum-hakam yang sampai kepadanya. Seperti menjaga agama, nyawa, akal, maruah, dan juga harta.
  • Al-Masalih al-Mulghah (maslahah yang tidak diambil kira): Sekalipun pada perkara-perkara ini dianggap ada kemaslahatan, akan tetapi syarak tidak mengambil kiranya sebagai maslahah. Contohnya hak samarata di antara anak lelaki dan anak perempuan di dalam mirath. Demikian juga maslahah yang akan diperoleh daripada orang yang melakukan riba dalam menambahkan hartanya. Ini juga maslahah yang tidak diambil kira oleh syarak lalu ianya dibatalkan.
  • Al-Masalih al-Mursalah: Maslahah-maslahah ini tidak terdapat nas yang menyatakan ke atasnya. Tidak pula terdapat nas-nas yang menbantahnya. Makai a dianggap sebagai maslahah mursalah di sisi usuliyyuun.

[11] Kata al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, Istihsan adalah: Meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat darinya daripada Kitab ataupun Sunnah atau Ijmak.

Imam al-Karkhi al-Hanafi pula mendefinisikannya sebagai: Seseorang berpatah semula daripada menghukum sesuatu permasalahan seperti yang dia hukumkan pada permasalahan yang hampir sama kepada hukum yang berbeza dengannya. Ini disebabkan ada suatu bentuk yang membawa perbezaan antaranya dengan yang awal.

Keautoritian al-Istihsan: Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafieeyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi, 4/209)

[12] Definisi Uruf: Apa-apa yang telah menjadi adat kebiasaan di sisi masyarakat dan diamalkan di dalam kehidupan daripada ucapan atau perbuatan. Uruf dan adat merupakan istilah yang sama di sisi fuqaha.

Uruf terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

  • Uruf ‘amali (perbuatan): Uruf ini merupakan amalan-amalan yang telah menjadi adat kebiasaan di sisi manusia. Contohnya: Jual beli secara ta’athi (saling memberi), pembahagian mahar kepada mahar segera dan mahar muajjal (tertangguh), masuk ke dalam tandas awam tanpa menentukan tempoh lama berada di dalamnya.
  • Uruf qauli (perkataan): Perkataan-perkataan atau lafaz yang telah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat. Seperti mereka maksudkan dengan lafaz-lafaz tersebut akan makna tertentu selain dari makna yang diletakkan untuk lafaz tersebut. Contohnya adalah terkenalnya penggunaan lafaz daging kepada selain dari ikan, penggunaan nama daabbah kepada haiwan yang memiliki empat kaki, serta penggunaan kalimah al-walad kepada anak lelaki dan bukannya merujuk kepada anak perempuan.

[13] Dikemukakan di sini, makna adil, antaranya:

  • Ibn Manzur berkata bahawa yang dimaksudkan dengan keadilan ialah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-Arab, 11/153)
  • Imam al-Baghawi (510 H) menukilkan di dalam tafsirnya daripada al-Kalbi berkaitan maksud “umat pertengahan” adalah ahli atau pengikut agama yang adil di antara berlebih-lebihan (melampau) dalam beribadah dan longgar dalam menjalankan syariat agama yang mana kedua sifat ini amat adalah dicela di dalam agama. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 174-175/1)

[14] Al-Faqih: Seorang yang menguasai ilmu fiqh secara mendalam atau cara pengeluaran hukum. Banyak definisi faqih dikemukakan oleh para ulama berdasarkan kepada empat mazhab, dinyatakan di sini pengertian faqih:

  • Mazhab Hanafi: Faqih ialah siapa yang menghafaz semua furu’ dan cabang fiqh dan jadilah ia mengetahui hukum yang berkaitan dengannya. Begitu juga ditakrifkan sebagai mujtahid.
  • Mazhab Maliki: Faqih ialah siapa yang menghabiskan waktunya dengan mentelaah, pengajaran dan fatwa, sekalipun masih tidak mampu untuk berijtihad.
  • Mazhab Hanbali: Faqih ialah seorang yang alim dengan hukum syarak yang bersifat amali seperti halal dan haram, sah dan rosak atau fasid. Takrif ini hampir sama dengan mazhab Syafie. (Lihat Gelaran Ulama’, 62-63)

[15] Majma’ Fiqh Islam dalam persidangannya kali yang ke-10 di Mekah al-Mukarramah yang diadakan bermula pada hari Sabtu 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1987 sehingga hari Rabu 18 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 memutuskan antaranya:

“Perbezaan mazhab-mazhab fiqh dalam beberapa masalah mempunyai sebab-sebab ilmiah yang mengandungi hikmah-hikmah yang besar. Antaranya menunjukkan rahmat kepada hamba-hamba Allah dan meluaskan lapangan pengeluaran hukum daripada nas-nas.

Di samping itu, ia juga membentuk perbendaharaan perundangan fiqh yang sekaligus meletakkan umat Islam berada di dalam keluasan agama dan syariat-Nya. Pelaksanaan syariat tidak hanya tertumpu kepada satu-satu aspek sahaja, bahkan boleh juga ditumpukan kepada aspek lain. Apabila mazhab seorang imam tidak dapat menampung keperluan umat Islam pada waktu tertentu atau di dalam urusan tertentu, mereka akan menemui keluasan dan kemudahan di dalam mazhab imam lain pula, sama ada dalam urusan ibadah, muamalah, keluarga, kehakiman, jenayah dan sebagainya.

[16] Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf lahir di Bab al-Futuh, Kaherah pada 6 Mei 1890 M. Bapanya juga seorang ulama’ dan syeikh Azhar yang masyhur bermazhab Maliki. Setelah tamat pelajarannya dari Universiti al-Azhar, beliau diamanahkan untuk menjawat jawatan qadhi atau hakim. Kemudian dilantik menjadi mufti pada 5 Januari 1946 M. Antara karyanya ialah: Fatawa Syar’iyyah, Syarh al-Baiquniyah, Hukm al-Islam fi al-Rifqi bi al-Hayawan dan lain-lain. Meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada 15 April 1990.

[17] Namanya ialah Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar bin Abdul Qadir al-Jakani al-Syanqithi Rahimahullah. Bernasab ke daerah Himyar di Yaman. Dilahirkan di sebuah kota yang bernama Syanqith, Mauritania. Adapun nama tempat kelahiran beliau adalah Tanbah, sebuah desa di kota Syanqith, yang merupakan sebuah daerah di sebelah timur dari Negara Islam yang sekarang terkenal dengan nama Mauritania. Dilahirkan pada tahun 1325 H (1905 M), dari seorang ibu sepupu ayahnya sendiri.

Beliau telah hafal al-Qur’an di bawah asuhan bapa saudaranya, Syeikh Abdullah ketika berusia sepuluh tahun. Beliau berkata, “Kemudian aku belajar menulis khat mushaf Uthmani (mushaf Induk) dari bapa saudaraku yang bernama Syeikh Muhammad bin Ahmad. Darinya juga aku belajar ilmu Tajwid dengan bacaan Nafi’, yang meriwayatkan dari Warsy, dari jalan Abu Ya’qub al-Azraq dan Qalun, dari periwayatan Abu Nasyith. Dan darinya juga aku mengambil sanad bacaan itu hingga sampai kepada Nabi SAW. Dan ketika itu, usiaku masih enam belas tahun”.

Antara karyanya ialah:

  • Adhwa’ al-Bayan fi Idhahi al-Qur`an bi al-Qur`an. Merupakan sebuah kitab yang berisi penafsiran al-Qur`an dengan al-Qur`an. Dan kitab ini merupakan kitab beliau yang paling terkenal.
  • Mudzakkirah al-Ushul ‘Ala Raudhah an-Nazhir. Beliau himpunkan di dalamnya usul-usul mazhab Hanbali, Maliki, kemudian al-Syafi’i.
  • Adab al-Bahth wa al-Munazarah. Di dalamnya beliau terangkan tata cara membahas, seperti pengumpulan masalah dan penjelasan dalil-dalil.
  • Daf’u Iham al-Idhthirab ‘An Ayi al-Kitab. Beliau jelaskan di dalamnya ayat-ayat al-Qur`an yang secara zahirnya memiliki makna yang bertentangan namun secara hakikatnya sama sekali tidak bertentangan. Beliau bawakan di dalamnya ayat-ayat yang secara sekilas bertentangan mulai dari surah al-Baqarah hingga surah al-Nas.
  • Man’u Jawaz al-Majaz Fi al-Munazzal Li at-Ta’abbud wa al-‘Ijaz. Beliau menerangkan dan membantah habis adanya majaz dalam al-Qur`an, dalam ayat-ayat asma dan sifat Allah.

Beliau meninggal dunia di kota Madinah al-Munawwarah, pada 17 Zul Hijjah, tahun 1393 H bersamaan 1973 M.

[18] Amir bin Syurahbil atau lebih dikenali dengan al-Sya’bi. Lahir pada tahun 20 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 109 Hijrah. Beliau merupakan seorang ulama tabi’in yang terkemuka, seorang imam dalam pelbagai bidang ilmu, penghafal hadis, dan ahli dalam bidang Fiqh. Beliau meriwayatkan hadis daripada ramai sahabat Nabi SAW antaranya Ali bin Abi Thalib RA, Abu Hurairah RA, Ibn Abbas R.Anhuma, Aisyah R.Anha, Ibn Umar R.Anhuma dan lain-lainnya. (Lihat al-A’lam oleh al-Zirikli, 4/19)

[19] Nama beliau adalah Muhammad bin Abd al-Rahman bin Laila bin Bilal al-Ansari al Kufi, akan tetapi lebih terkenal dengan nama Ibn Abi Laila. Beliau lahir di Kufah pada tahun 74 H. Ayahnya meninggal ketika beliau masih kecil. Beliau meninggal dunia di Kufah pada tahun 148 H ketika masih menjawat jawatan sebagai hakim. Beliau adalah salah seorang ulama besar pada zamannya, seorang faqih dan mufti, serta termasuk pendukung ahlu Ra’yu. Beliau mengambil ilmu daripada Imam al-Sya’bi, Atha’ bin Abi Rabah, al-Qasim bin Abd al-Rahman dan yang lainnya.