Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada hari Jumaat, 5 Julai 2019, saya telah ditaklifkan untuk membaca khutbah di Surau Istana Negara. Maka, saya memilih satu tajuk untuk renungan bersama. Tajuk tersebut ialah Lapan Hikmah Hatim Al-Asham Daripada Gurunya Syaqiq Al-Balkhi. Semoga ia memberi kebaikan kepada kita semua. Amin.
Kisah Hatim al-Asham dan Gurunya Syaqiq al-Balkhi
Imam al-Ghazali[1] di dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din (1/145-147) menceritakan:
Syeikh Syaqiq al-Balkhi[2] bertanya kepada muridnya Hatim al-Asham[3]: “Sudah berapa lama awak belajar denganku?” Jawab Hatim: “Tiga puluh tiga tahun, guru.” Tanya Syaqiq: “Berapa banyak ilmu yang kamu petik?” Jawab Hatim: “Hanya lapan masalah sahaja.” Terkejutlah gurunya seraya berkata: ““ ‘إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’ Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?” Jawab Hatim: “Benar guru. Saya tidak berdusta.” Gurunya, Syaqiq berkata: “Sila nyatakan lapan masalah tersebut.” Kata Hatim:
Pertama, aku memperhati seluruh manusia. Kemudian aku dapati masing-masing daripada mereka mencintai kekasihnya. Dia bersama kekasihnya tersebut hingga sehingga sampai di kubur. Namun, ketika dia sudah sampai kubur, maka kekasihnya justeru berpaling darinya.
Maka aku jadikan amal-amal kebaikan sebagai kekasihku. Sehingga, ketika aku masuk kubur, maka amal kebaikan tersebut akan ikut bersamaku.
Kedua, aku memperhatikan firman Allah SWT:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ
Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.[4]
Surah al-Nazi’at (40-41)
Maka, aku yakin bahawa sesungguhnya firman Allah SWT adalah benar. Oleh itu, aku memaksa nafsuku untuk menolak hawa (kesenangannya) sehingga nafsuku tenang untuk taat kepada Allah SWT.
Ketiga, sesungguhnya aku memperhatikan seluruh manusia. Aku melihat setiap orang yang memiliki sesuatu yang berharga dan bernilai, maka dia akan menjaganya agar tidak hilang. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّـهِ بَاقٍ
Maksudnya: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal.”[5]
Surah al-Nahl (96)
Dari situ, apabila aku memiliki sesuatu yang berharga, maka segera sahaja aku serahkan kepada Allah, agar barang milikku tetap terjaga bersama-Nya tidak hilang.
Keempat, sesungguhnya aku memerhatikan seluruh manusia. Aku melihat bahawa masing-masing dari mereka kembali kepada harta, keturunan mulia, pangkat dan nasabnya. Aku renungkannya, ternyata semua itu tidak ada ertinya. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[6]
Surah al-Hujurat (13)
Maka aku bertakwa, sehingga menjadikan aku mulia di sisi Allah SWT.
Kelima, aku memperhatikan seluruh manusia. Sebahagian dari mereka mencela sebahagian yang lain, dan sebahagian dari mereka melaknat sebahagian yang lain. Aku tahu penyebab utamanya adalah sifat dengki dan iri hati. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Maksudnya: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita);[7]
Surah al-Zukhruf (32)
Maka aku kemudian meninggalkan sifat dengki dan iri hati serta menghindar dari manusia. Kerana aku tahu bahawa pembahagian rezeki itu benar-benar dari Allah SWT yang menjadikanku tidak patut memusuhi dan iri hati kepada orang lain.
Keenam, aku memerhatikan manusia. Sebahagian dari mereka menganiaya dan berbuat zalim pada sebahagian yang lain. Dan sebahagian dari mereka memerangi sebahagian yang lain. Kemudian aku kembali kepada firman SWT:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا
Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);[8]
Surah Fatir (6)
Maka aku menghindari dari memusuhi orang lain dan sebaliknya aku berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan.
Kerana sesungguhnya Allah SWT telah bersaksi bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuhku. Oleh itu, aku tidak memusuhi makhluk selain syaitan.
Ketujuh, aku memperhatikan manusia dan aku dapati masing-masing menghinakan diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan ada di antara mereka yang sampai berani melanggar sesuatu yang tidak halal. Kemudian aku melihat firman Allah SWT:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا
Maksudnya: Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.[9]
Surah Hud (6)
Maka aku yakin bahawa sesungguhnya aku merupakan salah satu daripada dawwab (makhluk hidup) ini yang ditanggung rezekinya oleh Allah. Maka aku sibukkan diriku dengan apa yang menjadi hak Allah SWT atas diriku, dan aku menyerahkan apa yang menjadi hakku di sisi-Nya.
Kelapan, aku melihat manusia menyerahkan diri dan bertawakkal kepada makhluk. Sebahagian tawakkal pada kebunnya, sebahagian lagi tawakkal pada barang dagangannya, sebahagian lain tawakkal pada pekerjaannya, dan sebahagian lain lagi bergantung pada kesihatan badannya.
Semua makhluk bertawakkal pada makhluk yang lain yang sama lemahnya dengannya. Kemudian aku kembali pada firman Allah SWT:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).[10]
Surah al-Talaq (3)
Maka aku berserah diri kepada Allah SWT. Aku yakin Allahlah Tuhan yang akan mencukupkan segala keperluanku.
(Setelah mendengar huraian Hatim) Syaqiq berkata “Semoga Allah memberimu taufik. Aku telah telah melihat Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Qur’an) ternyata semua kitab itu membahas kelapan-lapan persoalan ini. Oleh kerana itu, barangsiapa mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat kitab tersebut.”
Pengajaran Kisah
Secara ringkasnya, lapan hikmah yang disebut oleh Hatim al-Asham tersebut, ialah:
- Kekasih hakiki adalah amalan soleh
Daripada hikmah Hatim yang pertama ini, benarlah hanya amal kebaikan yang akan bersama seseorang sehingga dihisab. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Riwayat Muslim (4310) dan Abu Daud (2882)
Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj (4/227) menyebut antara amalan-amalan bermanfaat bagi seseorang setelah kematiannya dalam satu syair:
اِذَا مَاتَ ابْنُ ادَمَ يَجْرِي عَلَيْهِ مِنْ فِعَالٍ غَيْرِ عَشْرٍ
عُلُوْمٍ بَثَّهَا وَدُعَاءِ نَجْلٍ وَغَرْسِ النَّخْلِ وَالصَّدَقَاتُ تَجْرِي
وَرَاثَةِ مُصْحَفٍ وَرِبَاطِ ثَغْرٍ وَحَفْرِ الْبِئْرِ أَوْ إِجْرَاءِ نَهْرٍ
وَبَيْتٍ لْلْغَرِيْبِ بَنَاهُ يَأْوِى إلِيْهِ أَوْ بِنَاءِ مَحَلِّ ذِكْرٍ
“Apabila anak Adam meninggal,
maka mengalirlah kepadanya sepuluh perkara;,
Ilmu yang disebarkannya, doa anak yang soleh,
pohon kurma yang ditanamnya serta sedekahnya yang mengalir,
Mushaf yang diwariskan dan menjaga perbatasan sempadan,
Menggali telaga, mengalirkan sungai,
Rumah untuk musafir yang dibangunnya
atau mendirikan tempat ibadah.”
- Wajib bermujahadah nafsu
Allah SWT berfirman:
إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي
Maksudnya: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).
Surah Yusuf (53)
Imam al-Qusyairi menyebut: “Sesungguhnya berjuang melawan jiwa (hawa nafsu) dan mengendalikannya adalah dengan menyekat apa yang menjadi kebiasaannya serta mengarahkan jiwa untuk selalu menentang hawa nafsunya pada setiap waktu.”
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus R,A, Nabi SAW bersabda:
الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ ، وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).”
Riwayat al-Tirmizi (2459), Ibn Majah (4260), Ahmad (17123) dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra (6749) dan Syu'ab al-Iman (10061)
Oleh itu, setiap orang hendaklah berusaha melawan dan menundukkan jiwa dan nafsunya yang tercela sehinggalah mencapai apa yang disebut sebagai jiwa yang tenang (nafsu al-mutma’innah), yang akan diseru oleh Allah SWT pada hari Kiamat nanti sebagaimana firman-Nya:
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي
Maksudnya: (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!
Surah al-Fajr (27-30)
Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini menerangkan tentang jiwa yang tenang yang diseru oleh Allah SWT dan akan ditunaikan janji pada mereka untuk masuk syurga. Mereka redha pada jiwanya dan Allah juga redha pada mereka. Mereka diajak masuk ke dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh dan mereka juga diajak untuk masuk ke dalam syurga.
Ibn Kathir berkata, ini adalah panggilan Allah SWT kepada seseorang menjelang sakaratul maut dan juga ketika bangkit pada hari kiamat. Sebagaimana para malaikat memberikan khabar gembira seperti ini kepada seorang mukmin ketika dia menjelang sakaratul maut dan bangkit dari kuburnya. Sama halnya seperti ayat ini. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/564)
- Harta yang kekal adalah sedekah
Bahkan, ia bukan hanya kekal, tetapi lebih dari itu pahalanya akan terus berkembang menjadi besar. Benarlah sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud”
Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadith hasan sahih.
Kami nyatakan di sini beberapa fadilat sedekah, antaranya, Allah SWT pasti memberikan balasan kepada mereka yang bersedekah. Firman-Nya:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ اللَّـهَ يَعْلَمُهُ
Maksudnya: Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya
Surah al-Baqarah (270)
Allah SWT juga pasti akan menggantikan bagi setiap apa yang disedekahkan. Firman Allah SWT:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
Surah Saba’ (39)
Sedekah juga tidak akan mengurangkan harta sama sekali. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Sedekah tidak akan sama sekali mengurangkan harta.”
Riwayat Muslim (2558)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut terdapat dua penafsiran padanya, iaitu:
- Harta tersebut akan diberkati dan akan dihilangkan pelbagai bahaya padanya. Kekurangan harta tersebut akan ditutup dengan keberkatannya. Ini dapat dirasakan secara inderawi dan kebiasaan.
- Walaupun secara fizikal harta tersebut berkurang, namun kekurangan tadi akan ditutup dengan pahala di sisi Allah SWT dan akan terus ditambah dengan gandaan yang amat banyak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/141)
- Kemuliaan hakiki adalah takwa
Dalam sebuah hadith, Nabi SAW bersabda:
لَا فَضْلَ لِعَرَبيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بالتَّقْوَى
Maksudnya: “Tidak ada keutamaan bagi bangsa ‘Arab atas bangsa ‘Ajam (non-‘Arab), tidak pula keutamaan bangsa ‘Ajam atas bangsa ‘Arab. Tidak (ada keutamaan juga) bagi orang yang berkulit merah ke atas orang berkulit hitam, serta tidak juga orang berkulit hitam di atas orang berkulit merah; kecuali dengan taqwa.”
Riwayat Ahmad (23489) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4774)
Antara maksud takwa sebagaimana yang dikemukakan oleh para sahabat dan tabi’in serta tokoh ulama ialah:
- Umar Ibn al-Khattab: Beliau pernah bertanya kepada Ubay ibn Ka‘b tentang makna takwa. Maka Ubay ibn Ka‘b balik bertanya, “Pernahkah engkau menempuh jalan yang beronak duri?” Umar menjawab, “Ya, pernah.” Ubay ibn Ka‘b bertanya lagi, “Kemudian apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab, “Aku bertahan dan berusaha sekuat tenaga untuk melampauinya.” Ubay ibn Ka‘b berkata, “Itulah yang namanya takwa.”
- Ibn Abbas: Mukmin yang menjauhkan diri dari kemusyrikan terhadap Allah SWT, dan mereka selalu beramal dengan taat kepada-Nya. Ibn ‘Abbas juga ada menjelaskan bahawa orang bertakwa ialah mereka adalah orang yang takut terhadap seksaan Allah SWT dalam meninggalkan hidayah yang mereka ketahui, dan mereka mengharapkan rahmat-Nya dalam membenarkan apa yang didatangkan-Nya.
- Al-Hasan al-Basri: Orang yang memelihara diri daripada hal yang diharamkan oleh Allah SWT dan menunaikan hal yang difardukan-Nya.
- Al-Kalbi: Orang yang menjauhi dosa besar.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ يَبْلُغُ الْعَبْدُ أَنْ يَكُونَ مِنَ الْمُتَّقِينَ ، حَتَّى يَدَعَ مَا لاَ بَأْسَ بِهِ ، حَذَرًا لِمَا بِهِ الْبَأْسُ
Maksudnya: “Seorang hamba masih belum mencapai golongan orang bertakwa sebelum dia meninggalkan hal yang tidak mengapa kerana menghindari hal yang mengandung apa-apa (dosa).”
Riwayat al-Tirmizi (2451) dan Ibn Majah (4215)
- Elakkan sifat dengki kerana rezeki adalah kurniaan Allah
Imam Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin, pada bab Haramnya Hasad menjelaskan pengertian hasad iaitu: “Mengharapkan hilangnya nikmat dari seseorang sama ada nikmat agama atau dunia.” (Lihat Riyadh al-Salihin, 2/206)
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّـهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّـهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Surah al-Nisa’ (32)
Hasad bertentangan dengan nilai dan semangat persaudaraan. Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَبَاغَضُوْا وَلاَ تَقَاطَعُوا وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah kamu saling hasad, janganlah saling membenci, jangan saling memboikot dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”
Riwayat Muslim (2559)
Nabi SAW turut bersabda:
دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الأُمَمِ قَبْلَكُمْ : الحَسَدُ وَالبَغْضَاءُ ، هِيَ الحَالِقَةُ ، لاَ أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوا الجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا ، وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا ، أَفَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِمَا يُثَبِّتُ ذَلِكَ لَكُمْ ؟ أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ.
Maksudnya: “Telah menjalar kepada kamu penyakit umat-umat terdahulu, hasad dan kemarahan (marah melihat kenikmatan yang diperolehi orang lain). Ia adalah pencukur. Aku tidak mengatakan ia mencukurkan rambut, akan tetapi mencukurkan agama. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah kamu masuk syurga hingga kamu beriman, dan tidaklah kamu beriman hingga kamu saling mencintai. Mahukah aku khabarkan kepada kamu dengan apa yang boleh menimbulkan hal tersebut? Sebarkanlah salam di antara kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (2510) dan Ahmad (1412)
- Musuh hakiki adalah syaitan
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Maksudnya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
Surah Yasin (60)
Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar menyebut: “Syaitan dalam bahasa Arab digunakan untuk menyebut setiap makhluk yang menentang dan membangkang.” (Lihat ‘Alam al-Jin wa al-Syayatin, hlm. 16)
Antara cara menundukkan syaitan ialah dengan menguat dan mengukuhkan keimanan kita kepada Allah SWT. Hal ini jelas berlaku pada peribadi Saidina Umar R.A di mana Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنِّى لأَنْظُرُ إِلَى شَيَاطِينِ الإِنْسِ وَالْجِنِّ قَدْ فَرُّوا مِنْ عُمَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat syaitan dari kalangan manusia dan jin lari dari ‘Umar.”
Riwayat al-Tirmizi (3691)
Setiap orang yang imannya kuat, maka syaitan akan menjadi kerdil di hadapannya sebagaimana disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيُنْضِي شَيَاطِينَهُ كَمَا يُنْضِي أَحَدُكُمْ بَعِيرَهُ فِي السَّفَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang yang beriman akan menundukkan syaitannya sepertimana salah seorang daripada kamu menundukkan untanya ketika musafir.”
Riwayat Imam Ahmad (8940)
- Jangan menghina diri dalam mencari rezeki
Rasulullah SAW pernah bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ، اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ، فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا، وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا، فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ، خُذُوا مَا حَلَّ، وَدَعُوا مَا حَرُمَ
Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh kerana itu bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”
Riwayat Ibnu Majah (2144)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
Maksudnya: “Allah telah mencatat takdir setiap makhluk 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.”
Riwayat Muslim (2653)
Ibn al-Qayyim berkata: “Fokuskanlah fikiranmu untuk memikirkan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah kepadamu. Jangan menyibukkannya dengan rezeki yang sudah dijamin untukmu. Kerana rezeki dan ajal adalah dua perkara yang sudah dijamin. Selagi masih ada baki ajal, rezeki pasti datang. Jika Allah –dengan hikmah-Nya – berkehendak menutup salah satu jalan rezekimu, Dia pasti –dengan rahmat-Nya – membuka jalan lain yang lebih bermanfaat bagimu.”
- Tawakal kepada Allah adalah penyelesai kepada masalah
Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُوْنَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ ، تَغدُوْ خِمَاصًا ، وتَرُوْحُ بِطَانًا
Maksudnya: “Sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan tawakkal yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, kamu akan diberikan rezeki oleh Allah sepertimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Pagi hari burung tersebut keluar dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.
Riwayat al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ahmad (1/30) dan al-Nasa’ie
dalam al-Kubra (11805). Imam al-Tirmizi berkata, hadith ini hasan sahih.
Ibn al-Athir berkata: “Tawakkal terhadap suatu perkara adalah apabila bergantung dan bersandar padanya.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/221)
Ibn Rajab al-Hanbali menyebut: Tawakkal ialah penyandaran hati dengan jujur kepada Allah SWT dalam usaha memperoleh kebaikan-kebaikan dan menolak bahaya-bahaya dalam segenap urusan dunia dan akhirat. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/497)
Imam al-Ghazali menyebut bahawa tawakal adalah menyandarkan diri kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa dan hati yang tenang. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/240)
Ibnu al-Qayyim pula menyatakan bahawa tawakkal merupakan amalan dan ubudiyah (penghambaan) hati dengan menyandarkan segala sesuatu hanya kepada Allah, thiqah terhadap-Nya, berlindung hanya kepada-Nya dan redha atas sesuatu yang menimpa dirinya, berdasarkan keyakinan bahawa Allah akan memberikannya segala kecukupan bagi dirinya dengan tetap melaksanakan faktor-faktor yang mengarahkannya pada sesuatu yang dicarinya serta usaha keras untuk dapat memperolehnya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/80)
Imam Ahmad berkata: ‘Tawakal adalah amalan hati’, maksudnya adalah tawakal merupakan amalan hati yang tidak dapat diungkapkan dengan lisan dan tidak juga dengan amalan badan serta bukan juga termasuk masalah ilmu dan pengetahuan. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/110)
Antara kefahaman yang salah berkenaan konsep tawakkal ialah dengan menyerahkan semua urusan kepada Allah, tetapi meninggalkan usaha. Kerana menurut aqidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, tawakkal ialah menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT serta disertai dengan usaha. Usaha harus tetap dilakukan, kerana Rasulullah SAW juga melakukannya. Rasulullah SAW berperang dengan tombaknya dan memakai dua lapis baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:
اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.
Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708)
Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Jadi, sebelum tawakkal kepada Allah, mesti ada usaha dan juga penyerahan urusan kepada Allah SWT.
Penutup
Alhamdulillah, marilah kita merenung dan menekuni hikmah-hikmah yang disampaikan oleh Hatim al-Asham di atas. Mudah-mudahan hikmah yang diberikan tersebut berguna buat kita dalam melayari bahtera kehidupan.
Begitu juga, mudah-mudahan ia dapat memberi satu semangat dan motivasi dalam usaha kita meraih kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang kekal abadi.
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam agama Islam yang kita cintai ini mengikut petunjuk Nabi-Nya SAW. Kami tutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan.
Nota Hujung:
[1] Abu Hamid al-Ghazali, (1058-1111) yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta disepakati oleh para ulama' sebagai al-mujaddid untuk kurunnya. Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali al-Tusi. Nama panggilannya (kuniyah) pula Abu Hamid. Antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Hujjatul-Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-'Abidin.
Beliau adalah salah seorang tokoh mazhab Syafie yang terkenal. Antara karya feqahnya, al-Wasit, al-Wajiz, al-Basit dan al-Khulasah. Sedangkan dalam bidang Usul Fiqh, kitab al-Mustasfa adalah karya agung. Beliau juga terkenal sebagai ahli falsafah yang hebat, antara karyanya al-Munqiz min al-Dalal, Tahafut al-Falasifah dan lain-lain lagi. Begitu juga beliau adalah ahli tasawwuf yang hebat, antara kitabnya yang terkenal Minhaj al-Abidin, Mukasyafah al-Qulub, Ihya’ Ulum al-Din, Ayyuhal Walad dan lain-lain.
[2] Abu Ali Syaqiq bin Ibrahim al Balkhi adalah salah seorang di antara tokoh tokoh besar Khurasan. beliau adalah guru kepada Hatim al Asham. Beliau meninggal pada 194 Hijrah.
[3] Nama penuhnya ialah Abu Abdirrahman Hatim ibn Alwan. Beliau merupakan tokoh guru besar (Syeikh) Khurasan, murid Syaqiq al-Balkhi, dan merupakan guru kepada Ahmad ibn Khardawaih. Hatim wafat pada tahun 237 Hijrah. Hatim mendapat gelaran al-asham (yang tuli) bukan kerana dia tidak boleh mendengar tetapi pernah suatu hari dia berpura-pura pekak kerana untuk menjaga kehormatan seorang wanita sehingga dia mendapat gelaran al-asham, yang bermaksud ‘yang pekak’.
[4] Imam Ibn Kathir berkata: Yakni takut ketika berdiri di hadapann Allah SWT dan takut akan hukum-Nya yang diberlakukan padanya, juga menahan diri untuk tidak mengikuti hawa nafsunya serta mengarahkannya untuk selalu mentaati Tuhan-nya. (Lihat Tafsir al-Qurab al-‘Azim, 8/115)
[5] Syeikh al-Maraghi berkata: Kesenangan dunia yang kamu nikmati, bahkan dunia dengan segala isinya itu akan habis dan musnah, meskipun umurnya panjang dan jumlahnya banyak. Sedangkan apa yang disimpan dalam perbendaharaan Allah SWT adalah kekal, tidak pernah habis. Oleh itu, bekerjalah untuk memperoleh apa yang ada di sisi-Nya dan tamaklah kepada apa yang kekal dan tidak musnah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3835)
[6] Sayyid Qutb berkata: Demikianlah gugurnya segala titik-titik perbezaan dan gugurnya segala nilai-nilai dan ukuran-ukuran. Hanya nilai taqwa sahaja satu-satunya neraca yang tegak. Inilah satu-satunya neraca dan satu-satunya nilai untuk menjadi asas rujukan kepada umat manusia yang berbagai-bagai warna dan jenis itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/112)
[7] Abu Hayyan berkata: Ayat ini memerintahkan kita berzuhud dalam mengejar dan mencari dunia sebaliknya bergantung dan bertawakkal kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 8/13)
[8] Al-Sobuni berkata: Sesungguhnya syaitan bagi kamu hai manusia musuh yang amat licik dan permusuhannya begitu lama dan sentiasa berlangsungan. Justeru janganlah patuh kepadanya dan hendaklah kamu sentiasa berwaspada daripadanya. Sebahagian ahli makrifah berkata: Pelik siapa yang berderhaka kepada Tuhan yang bersifat ehsan selepas mengetahui tentang ehsan-Nya, sedangkan Dia mentaati kepada syaitan yang dilaknat selepas mengetahuinya dengan permusuhannya. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/520)
[9] Syeikh al-Maraghi berkata: Tidak ada makhluk daripada jenis apa sekalipun yang melata di atas bumi kecuali rezekinya dikurniakan oleh Allah SWT. Tiada bezanya tentang hal tersebut sama ada ia melibatkan binatang-binatag kecil (mikrob) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau yang bertubuh besar atau yang sederhana. Demikian juga, Allah SWT telah memberi kepada setiap penciptaan-Nya sesuatu yang sesuai dengan penghidupan masing-masing. Kemudian, setiap satu diberi petunjuk sehingga dapat memperoleh makanan, melalui naluri dan fitrah masing-masing. Allah SWT mempunyai keputusan mutlak terhadap penciptaan setiap jenis makhluk hidup tersebut, sekalipun kita tidak mengetahui, kenapa ular, kucing dan sebagainya dicipta. Padahal, dapat kita katakan seandainya ular dan kucing itu tidak ada, bumi ini tetap sempit kerana banyak makhluk yang hidup di atasnya atau mengeluarkan bau yang busuk kerana bangkai yang banyak di sana. Maksud Allah SWT mengurniakan rezeki kepada makhluk-makhluk hidup tersebut ialah Dia menyediakan rezeki itu, untuk mereka dan memberi mereka petunjuk supaya mencari dan memperolehnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3145)
[10] Syeikh al-Maraghi berkata: Sesiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah SWT dan pasrah kepada-Nya dengan setulus-tulusnya, Dia akan membantu dalam perkara yang menyulitkannya di dunia dan akhirat. Maksudnya hamba itu melakukan sebab-sebab yang dijadikan Allah SWT termasuk sunnah-sunnah-Nya dalam kehidupan dan menunaikannya dengan cara yang sebaik-baiknya. Kemudian menyerahkan segala urusannya kepada Allah SWT, iaitu sebab-sebab yang tidak diketahuinya dan ia tidak dapat dicapai oleh pengetahuannya. Ia tidak bermaksud sama sekali melemparkan urusan ke tempat sampah, meninggalkan usaha dan kerja serta menyerahkannya kepada Allah SWT kerana ini bukan perintah agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7070)