Mukadimah
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Pembinaan dan pembentukan peribadi serta jati diri sebagai seorang pendakwah bukanlah satu perkara yang mudah untuk dibina. Walaupun begitu, ianya bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dicapai, namun memerlukan kepada usaha serta ilmu yang jelas terhadap perkara tersebut.
Dalam ruangan Bayan Linnas kali ini, suka untuk kami memberi pencerahan atau penjelasan tentang cara-cara penyampaian dakwah yang berkesan dan pembinaan jati diri seorang pendakwah yang hebat. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana pendakwah adalah individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu agama dan mengajak manusia kepada agama Islam yang sebenar.
Justeru, kami namakan Bayan Linnas kali ini dengan tajuk, ‘Pemantapan Jati Diri Pendakwah’. Semoga dengan penjelasan ini mampu memberi manfaat untuk seluruh umat Islam umumnya, dan kepada pendakwah, guru agama khasnya dalam menambahkan lagi kefahaman serta cara penyampaian dakwah.
Takrif Pendakwah dan Konsep Dakwah
Menurut Kamus Dewan, pendakwah bermaksud orang atau golongan yang menyebarkan ajaran sesuatu agama.
Pendakwah dalam bahasa Arab ialah Da’i iaitu orang yang memikul tanggungjawab dalam menyampaikan seruan dakwah. Manakala mad’u pula merupakan orang yang ditujukan dakwah kepadanya atau disebut kumpulan sasar dakwah tidak kira sama ada Muslim atau kafir, lelaki atau perempuan. (Lihat al-Madkhal ila ‘Ilm al-Da’wah, hlm. 169)
Manakala dakwah pula adalah satu usaha menarik orang lain kepada agama Islam dan mengikut petunjuk dari-Nya serta menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Begitu juga menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah SWT dengan ibadat dan amal ketaatan serta melepaskan diri daripada sebarang bentuk kongkongan selain daripada Allah SWT semata-mata. Memberikan hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah, menafikan hak orang yang dinafikan hak oleh Allah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berjihad di jalan-Nya. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. (Lihat Thaqafah al-Da’iyah, hlm. 3)
Syeikh Muhammad al-Ghazali pula menyebut: Dakwah ialah satu program yang lengkap. Setiap peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat yang sebenar. (Lihat Ma’a Allah Dirasat fi al-Da’wah wa al-Du’ah, hlm. 17)
Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, isi kandungan dakwah adalah Islam itu sendiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
Surah Ali Imran (19)
Ini termasuklah perbincangan dari sudut definisi Islam, rukun-rukun Islam, siri-siri keistimewaan Islam, sistem-sistem Islam dan objektif–objektif (maqasid) Islam itu sendiri. (Lihat Islam dan Dakwah (terj.) oleh Abdul Karim Zaidan, hlm. 9)
Manakala berkenaan matlamat dakwah pula, Syeikh Sa’id Hawwa berkata: Dakwah ke jalan Allah merupakan satu matlamat dan pada masa yang sama ia merupakan wasilah untuk mencapai matlamat lain seperti tazkiyyah al-nafs, pembentukan individu dan keluarga Muslim, masyarakat dan negara Islam. Pencapaian matlamat ini bergantung kepada dakwah. Semakin banyak usaha dakwah dijalankan, maka matlamat umum yang diamanahkan oleh Allah SWT akan tercapai. Oleh itu, keutamaan perlu diberikan kepada dakwah lebih daripada yang lain. (Lihat Kai La Namdhi Ba’ida ‘an Ihtiyajat al-‘Asr, hlm. 238)
Oleh itu, pendakwah dapat difahami sebagai mereka yang mengambil tanggungjawab dakwah, iaitu dalam menarik orang ramai kepada agama Islam, mengikuti Syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT, mentauhidkan-Nya, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta berjihad di jalan-Nya.
Memahami Kelompok Mereka yang Didakwah
Dalam dunia dakwah dan penyebaran agama Islam, manusia dianggap sebagai medium atau bekas untuk disampaikan ajaran Islam yang sempurna. Ini kerana, manusia adalah makhluk Allah SWT yang ditaklifkan sebagai khalifah dimuka bumi ini untuk beribadat kepada-Nya. Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”[1]
(Surah al-Zariyat: 56)
Seorang pendakwah seharusnya mengetahui ciri-ciri manusia yang ingin disampaikan dakwah. Dengan mengetahui ciri-ciri tersebut, dakwah yang disampaikan akan lebih mudah diterima dan berkesan.
Oleh itu, kami nukilkan di sini apa yang disebut oleh Hassan al-Banna, di mana beliau telah membahagikan manusia itu kepada beberapa kategori, iaitu:
Kelompok Pertama: Mereka yang Yakin
Mereka adalah dari kalangan orang yang meyakini dakwah kita, mempercayai kata-kata kita dan tertarik dengan prinsip-prinsip kita. Hatinya meyakini sepenuhnya kebaikan dakwah ini. Orang ini akan kita ajak supaya bersama kita dan bekerjasama dengan kita supaya dengan ini bilangan para mujahidin akan bertambah dan suara para pendakwah akan semakin berkumandang. Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan dengan amalan. Tiada erti sebuah akidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikannya dan berkorban deminya. Begitulah sikap generasi yang pertama yang telah diberikan hidayah. Mereka mengikut dan meyakini risalah para nabi kemudian mereka berjuang bersungguh-sungguh. Mereka akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang sama diperolehi oleh orang yang mengikut mereka. Tidak kurang walau sedikitpun.
Kelompok Kedua: Mereka yang Sangsi
Orang yang masih belum memahami akan kebenaran atau masih tidak meyakini keikhlasan kita. Begitu juga orang yang tidak meyakini betapa pentingnya apa yang kita sampaikan ini. Inilah orang yang tidak berpendirian dan sangsi.
Orang ini akan kita biarkan bersama kesangsiannya. Namun kita nasihatkan agar dia terus berhubung dengan kita. Kita nasihatkan agar dia membaca tentang kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dia boleh mengkaji tulisan-tulisan kita atau melawat cawangan-cawangan kita atau berkenalan dengan saudara-saudara kita. Dengan izin Allah SWT selepas itu dia akan merasa lebih yakin dengan kita. Begitulah kedudukan orang-orang yang sangsi di kalangan pengikut para rasul sebelum ini.
Kelompok Ketiga: Mereka yang Ada Kepentingan
Orang yang tidak mahu menghulurkan bantuannya melainkan setelah mengetahui faedah atau keuntungan yang bakal diperolehi hasil segala pengorbanan yang dicurahkan. Bagi mereka ini, kita katakan: “Minta maaf, kami tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala Allah SWT yang akan diberikan jika anda ikhlas dan syurga jika Allah SWT tahu hati budi baik anda. Kami tidak tidak punyai apa-apa kedudukan atau wang. Malah sebaliknya kami korbankan segala yang kami miliki. Harapan kami hanyalah keredhaan Allah SWT. Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi kemenangan”.
Sekiranya Allah SWT membuka segala tirai yang menutup hati orang ini atau Allah SWT buang sifat haloba daripada hatinya nescaya dia akan mengetahui bahawa apa yang Allah SWT sediakan adalah lebih baik dan lebih kekal. Dia akan menggembleng segala kekayaan dunia yang ada padanya supaya dia beroleh ganjaran Allah SWT di hari akhirat. Apa yang ada pada seseorang akan kehabisan dan apa yang ada pada Allah SWT akan kekal.
Jika tirai ini masih utuh, Allah SWT sebenarnya tidak memerlukan orang yang tidak memberikan keutamaan kepada Allah SWT terhadap dirinya sendiri, hartanya, dunianya, akhiratnya, matinya dan hidupnya. Begitulah kedudukan sekumpulan manusia yang pernah menolak untuk memberi taat setia kepada Rasululah SAW melainkan jika Baginda menyerahkan kekuasaan kepada mereka iaitu bumi ini yang menjadi hak Allah SWT. Allah SWT yang akan menyerahkannya kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Segala kesudahan itu adalah untuk orang-orang yang bertakwa.
Kelompok Keempat: Mereka yang Penuh Dengan Prasangka
Orang ini prejudis dengan kita dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruknya terhadap kita. Orang ini melihat kita dengan pandangan yang sangat buruk. Mereka hanya memperkatakan tentang kita dengan kata-kata yang memburuk-memburukkan kita. Orang ini begitu degil dengan kesilapannya dan masih mahu mempertahankan salah fahamnya.
Orang yang seperti ini kita akan doakan semoga Allah SWT memberikan kita dan dia agar sama-sama boleh melihat kebenaran serta diberikan kekuatan untuk mengikutinya dan boleh melihat kepalsuan lalu diberikan kekuatan untuk menjauhinya. Kita mengajak dia jika dia mahu menerima ajakan kita dan kita menyeru dia jika dia mahu menyahut seruan kita. Kita doakan kebaikan untuknya dan Allah SWT adalah harapan kita.
Justeru, dengan memahami kategori kelompok atau komuniti masyarakat yang menjadi seruan dakwah kita, ia dapat memudahkan pendakwah untuk menyusun keutamaan isi penyampaian dakwah yang hendak disampaikan mengikut keperluan kelompok tersebut. Begitu juga, mudah-mudahan ia akan menjadikan dakwah yang disampaikan lebih menepati sasaran serta mudah diterima.
Sifat Pendakwah Mithali
Pendakwah dan pendidik hendaklah menjadikan dirinya sebagai contoh dalam menunaikan peranannya dengan cara yang lebih sempurna. Antara sifat-sifatnya ialah, pendakwah mestilah merasakan pentingnya tugas dakwah dan tingginya nilai dakwah itu. Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
(Surah Fussilat: 33)
Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya, menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang lebih baik daripada orang yang mempunyai tiga sifat seperti berikut:
- Menyeru manusia supaya mengesakan Allah SWT dan mematuhi segala perintahnya.
- Mengerjakan amalan yang baik, seperti melaksanakan amalan ketaatan dan meninggalkan perkara yang diharamkan.
- Menerima Islam sebagai agamanya dan ikhlas kepada Tuhannya seperti ungkapan seseorang: “Inilah pegangan dan kepercayaan yang benar”. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/6071-6072)
Dia hendaklah merasakan pentingnya bidang dakwah dalam dakwah Islamiyah. Ia adalah sebagai jalan untuk menyampaikan cahaya kebenaran ke dalam hati bagi mendapatkan hidayah jalan yang lurus.
Dia juga hendaklah merasa bahawa pahala yang besar dari usaha dakwah datang dari Allah SWT. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sahl ibn Sa’d, Nabi SAW telah bersabda:
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”
Riwayat al-Bukhari (2942), Muslim (2406) dan Abu Daud (3661)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Humruha (حمرها) dengan maksud yang paling afdhal sedangkan kalimah na’am (النعَم) dengan maksud unta secara khusus. Dikatakan al-an’am (الْأَنْعَام) termasuk padanya lembu, kambing bahkan dikatakan juga unta. Daripadanya ucapan kalimah na’am (نعم) bagi mereka dengan maksud unta yang banyak dan boleh dibaca dengan baris bawah pada awalnya, ni’am (نِعم). (Lihat Fath al-Bari, 1/196-197)
Imam Nawawi berkata: “Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah unta merah. Unta tersebut adalah harta yang paling istimewa dalam kalangan orang Arab pada masa itu. Di sini Nabi SAW menjadikan unta merah sebagai perumpamaan untuk mengungkapkan betapa berharganya (mulianya) suatu perbuatan. Dan sememangnya tidak ada harta yang lebih istimewa daripada unta merah ketika itu.
Sebagaimana pernah dijelaskan bahawa perumpamaan suatu perkara akhirat dengan keuntungan dunia, ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman. Namun, tentu sahaja balasan di akhirat itu lebih besar daripada kenikmatan dunia yang ada. Demikianlah maksud dari setiap gambaran yang biasa disebut dalam hadith.
Dalam hadith ini terdapat pelajaran tentang keutamaan ilmu dan juga dijelaskan keutamaan seseorang yang mengajak pada kebaikan. Begitu juga dijelaskan keutamaan seseorang yang mengajak kepada kebaikan serta keutamaan menyebarkan sunnah yang baik. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 15/178)
Pendakwah hendaklah mengetahui bahawa faktor yang paling penting untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik dan mendapat taufiq Allah SWT ialah mengikhlaskan diri kepada Allah, tidak dicampuri dengan sesuatu yang lain seperti riya', suka menonjol diri dan lain-lainnya. Para pendakwah mudah terdedah kepada fitnah sekiranya dakwahnya begitu berkesan dan mempesonakan orang ramai serta orang ramai mengelilingi mereka. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa mentajdidkan dan mengikhlaskan niat mereka hanya kerana Allah SWT semata-mata.
Pendakwah hendaklah memastikan dirinya mengikut ajaran Allah SWT dalam berdakwah sepertimana firman-Nya:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)
Penyusunan Kerja Dakwah
Syed Mahadzir Syed Ibrahim dalam tulisannya Dakwah Kita, Hari ini dan Esok antara lain menyebut, hubungan antara pendakwah dengan sasaran dakwah dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah R.A berikut:
مَثَلِى وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَ الْجَنَادِبُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا وَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ عَنِ النَّارِ وَأَنْتُمْ تَفَلَّتُونَ مِنْ يَدِي
Maksudnya: “Perumpamaan diriku dengan kamu bagaikan seseorang yang menyalakan api, lalu mulailah serangga-serangga berterbangan menjatuhkan ke dalam api tersebut. Padahal orang itu telah berusaha mengusirnya dari api itu. Aku pun telah mencegah kamu semua agar tidak jatuh ke dalam api, tetapi kamu melepaskan diri dari tanganku.”
Riwayat Muslim (2285)
Perlaksanaan dakwah haruslah terancang rapi, serius, sistematik, terarah dan berkesinambungan, bukan secara sambil lewa. Pendakwah mesti benar-benar serius, memanfaatkan segenap tenaga fikiran, dana, kemampuan untuk menyelamatkan masyarakat agar tidak jatuh dalam kemurkaan Allah.
Musuh-musuh Islam mempunyai program terperinci, sistematik untuk memurtadkan orang Islam. Ada program jangka pendek, ada program jangka panjang. Ada program satu tahun, lima tahun, dua puluh lima tahun dan lima puluh tahun.
Oleh itu, dakwah Islam hendaklah mempunyai program yang jelas, terarah, terukur dan teratur. Hendaklah dibuat anggaran berapa peratus dimatlamatkan peningkatan jumlah anggota jemaah subuh, peningkatan jumlah anggota jemaah solat Jumaat untuk sela masa tertentu dan berapa peratus peningkatan jumlah yang boleh membaca dan menulis al-Quran. Begitu juga berapa peratus dimatlamatkan menurunnya jumlah peragut, penyeluk saku, pelacur, pemabuk, penjudi dan sebagainya untuk tempoh masa tertentu.
Hasil dakwah perlu disemak secara berkala. Sudah berapa peratus matlamat tercapai. Apakah faktor-faktor merintangi dan menghalang kejayaan dakwah. Tentukan indikator-indikator keberhasilan. Tentukan langkah, program kerja yang seterusnya. Pengaturan kegiatan dakwah mungkin perlu mengambil fungsi operasi pengurusan, mencakupi fungsi perencanaan (planning, programming), fungsi penyusunan, fungsi pembimbingan (directing), fungsi penyelarasan (coordinating), dan fungsi pengawasan (controlling). Dalam sistem kerja dakwah, antara lain perlu juga diperhatikan tentang sasaran, pelaku (man), dana (money), waktu dan kaedah dakwah.
Selama ini dakwah hanya bergelut dalam batas tekstual ajaran Islam. Kurang menyentuh inti ajaran Islam secara konstektual. Kurang menerangkan secara jelas tentang bahaya kedekut, tamak, haloba, bakhil terhadap diri individu dan terhadap masyarakat secara sosiologi dan ekonomi. Kurang menerangkan secara jelas tentang bahaya rakus, tamak, serakah terhadap diri dan masyarakat secara sosiologi dan ekonomi. Kurang menerangkan secara jelas tentang bahaya dengki terhadap diri dalam masyarakat secara sosiologi dan ekonomi.
Sudah tiba masanya, organisasi dakwah, mubaligh untuk memusatkan diri menyampaikan panduan Islam dalam mencegah timbulnya konflik sosial, baik secara vertical (antara atasan dan bawahan, antara majikan dan pekerja, antara penguasa dan rakyat), mahupun secara konflik horizontal (sesama rakyat, sesama penguasa, antara eksekutif dan legaslatif). Menyampaikan ajaran Islam yang dapat menumbuhkan rasa kasih sayang secara konkrit.
Oleh itu, penyusunan kerja dakwah hendaklah dilakukan secara sistematik dan terancang merangkumi segenap aspek sepertimana yang telah disebutkan. Ia perlu disemak dan dikemaskini dari masa ke semasa seiring dengan perkembangan zaman yang menjadi faktor perubahan kelompok sasaran dakwah.
Ciri-ciri Pendakwah yang Unggul
Antara ciri-ciri pendakwah yang unggul adalah:
- Sahihnya niat
- Sentiasa melakukan penyucian jiwa (tazkiyatul nufus)
- Tafakkur azamatillah
- Melazimi zikir
- Membina kekuatan jasmani
- Memantapkan ilmu dan pengetahuan
- Keaslian aqidah
- Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah (muraqobatullah)
- Memahami konsep fiqh dakwah
- Memiliki kesabaran yang tinggi
- Mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar
- Melazimi Qiamullail
- Menghiasi diri dengan sifat mahmudah
- Menjauhi segala sifat mazmumah
- Meningkatkan amalan kerohanian
Contoh Pendakwah yang Berjaya
Dr. Abdul Rahman bin Humaid al-Sumaith lahir pada 15 Oktober 1947 di Kuwait. Gelarannya sebagai Abu Suhaib. Beliau berasal daripada golongan Najd yang terkenal dengan pegangan agama yang teguh dan kuat.
Pada peringkat awalnya beliau belajar di negaranya sendiri iaitu Kuwait dan kemudiannya beliau telah menyambung pengajiannya pada Julai 1972 di Jami’ah Baghdad dalam bidang Sarjana Muda Kedoktoran. Selepas itu beliau menyambung pelajaran di Liverpool. Kemudian ke Kanada menyambung pelajarannya dalam bidang Usul dari Julai 1974 sehingga 1978. Setelah itu, beliau ke London dari tahun 1979 hingga tahun 1980 sebelum kembali ke Kuwait sehingga tahun 1983.
Sejak kecil lagi minatnya kepada buku begitu ketara sehingga ayahnya banyak kali mengugutnya tidak akan membawanya ke pasar kerana setiap kali melihat cebisan akhbar pasti di kutipnya untuk dibaca. Membaca menyebabkan beliau terbuka minda. Bacaannya merentasi pelbagai bidang. Adatnya tatkala memegang satu buku beliau akan membaca sehingga habis. Kebanyakan duitnya dihabiskan untuk pembelian buku. Beliau juga sejak kecil amat menjaga solat terutamanya solat Subuh. Penduduk kampung menggelarnya al-Mutawwi’. Beliau menyertai pasukan pengakap selama 7 tahun yang banyak membentuk peribadinya.
Jasa yang disumbangkan oleh Dr. Abdul Rahman Humaid al-Sumaith teramat banyak. Antaranya:
- Beliau membelanjakan seluruh harta yang diinfaqkan oleh orang ramai dengan katanya: “Harta-harta manusia yang mereka sumbang untuk amal kebajikan tidak mungkin bagiku membazirkannya walaupun 1 riyal.”
- Beliau menubuhkan sekolah-sekolah pembelajaran dan pendidikan untuk anak-anak Afrika lebih daripada setengah juta orang.
- Beliau menubuhkan 5 buah Universiti di Afrika.
- Beliau menggali telaga untuk para penduduk lebih daripada 12,000 telaga.
- Beliau menyediakan lebih daripada 4000 pendakwah, guru dan pemikir untuk meneruskan dakwah Islamiyyah.
- Beliau menyediakan lebih daripada 840 tempat belajar.
- Beliau membina hampir 5700 masjid.
- Memberi bantuan dan memelihara lebih daripada 5000 anak yatim.
- Membina 124 hospital dan klinik.
- Menyediakan sejumlah yang besar untuk umat Islam sedunia berbuka puasa yang melebihi 40 buah negara dan membabitkan hampir 2 juta orang.
- Memberi tajaan untuk 95 ribu pelajar Muslim dalam meneruskan pembelajaran mereka.
- Mencetak lebih daripada 6 juta naskah mushaf untuk diedarkan kepada muallaf atau saudara Islam yang baru.
Dengan melihat kepada jasanya ini, maka kita semua akan merasa kerdil berbanding dengan sumbangan Dr. Abdul Rahman al-Sumaith dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah ke seluruh pelusuk dunia dan ceruk rantau yang begitu terpencil semata-mata kerana Allah SWT. Inilah istimewanya Syeikh al-Sumaith dengan pengorbanan yang tidak mungkin dapat dibalas kecuali Allah sahajalah yang mengurniakan kepadanya dalam mizan hasanatnya (neraca amalan kebaikannya). (Lihat Tokoh Pendakwah Islam: Dr. Abdul Rahman Humaid al-Sumaith, hlm. 20 – 25)
Penutup
Imam Hasan al-Banna berkata: “Bangsa yang membangun perlu merasa bangga dengan bangsa mereka dan merasakan bangsa mereka adalah bangsa yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan. Mereka perlu merasakan bangsa mereka mempunyai keistimewaan dan sejarah silam yang agung. Rasa bangga ini perlu wujud dalam jiwa anak bangsa ini.
Dengan ini, mereka akan bersedia mengorbankan darah dan jiwa raga demi mempertahahankan kegemilangan dan maruah mereka. Dengan ini juga mereka akan berusaha demi kepentingan, kemuliaan dan kesejahteraan negara ini. Nilai ini tidak akan dapat kita lihat dilaksanakan secara adil, bermaruah dan berperikemanusiaan oleh mana-mana sistem yang lain tidak seperti yang dilaksanakan oleh Islam yang suci ini.
Sebuah bangsa yang mengetahuinya harga diri dan maruahnya telah dimuliakan oleh Allah SWT dalam ilmu-Nya dan dirakamkan dengan kemas dalam kitab-Nya. Firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”
Surah Ali Imran (110)
Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Maksudnya: Dan demikian (pula) kami Telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihanagar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.
Surah al-Baqarah (143)
Firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Padahal Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman.
(Surah al-Munafiqun: 8)
Bangsa ini pasti bersedia mengorbankan segala isi dunia ini demi mempertahankan kegemilangannya yang dianugerahkan oleh Tuhan.
Semua bangsa hari ini cuba menyemai nilai ini ke dalam jiwa anak muda dan semua lapisan rakyatnya. Kita pernah mendengar ungkapan: “Bangsa Jerman bangsa paling mulia.” “Bangsa Itali bangsa paling mulia.” “Britain teraju dan perintahlah.”
Perbezaan antara semangat yang disemai oleh prinsip Islam dan semangat yang disemai oleh kata-kata di atas ialah perasaan seorang Muslim akan menjulang hingga kepada Allah SWT sementara semangat orang lain hanya setakat di mulut sahaja. Dari sudut lain, Islam menggariskan matlamat semangat ini dan mewajibkan supaya umat Islam beriltizam dengan semangat ini. Islam menjelaskan semangat ini bukan semangat perkauman atau rasa bangga yang tiada apa-apa erti, sebaliknya semangat ini untuk memimpin dunia ke arah kesejahteraan. Oleh itu, Allah SWT berfirman:
تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Maksudnya: Kamu menyuruh berbuat perkara yang baik dan melarang dari segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu perlu beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman).
(Surah ali-Imran:110)
Ini bermakna mereka perlu memartabatkan nilai-nilai yang baik dan menghapuskan nilai-nilai yang buruk serta menyanjung tinggi akhlak yang mulia dan mengambil kira aspek akhlak dalam setiap perkara. Justeru, semangat keadilan dan perikemanusiaan yang amat tinggi di hadapan seluruh manusia. Namun sebaliknya, semangat kepimpinan yang tersemat dalam jiwa bangsa Barat tidak menggaris matlamat yang tertentu selain hanya berlandaskan semangat perkauman yang kejam. Kerana itu lahirlah penindasan dan sikap mengecam bangsa yang lemah.
Dalam aspek ini, Islam mengetengahkan solusi yang terbaik dan mahu supaya umatnya disemai dengan nilai yang baik ini serta menjauhkan mereka daripada nilai-nilai yang tidak baik. Islam telah meluaskan skop negara Islam. Islam turut mewajibkan umatnya berusaha demi kesejahteraan negara ini dan sedia berkorban demi kemerdekaan dan maruah negara ini. Negara atau tanah air menurut kaca mata Islam merangkumi:
- Bermula dengan sebuah negara tertentu.
- Diikuti oleh semua negara Islam lain yang dianggap sebagai negara umat Islam.
- Kemudian diikuti oleh semua negara dalam empayar Islam silam yang pernah dibina oleh umat Islam silam. Mereka telah mempertaruhkan jiwa mereka yang mulia demi mengangkat panji Allah SWT di bumi tersebut. Sehingga kini, warisan mereka masih memperlihatkan keistimewaan dan kegemilangan yang ada pada mereka. Setiap Muslim akan ditanya di hadapan Allah SWT nanti, kenapa mereka tidak mengambil semula semua negara ini.
- Seterusnya negara umat Islam merangkumi semua negara di seluruh dunia. Tidakkah anda pernah mendengar firman Allah SWT:
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّـهِ
Maksudnya: Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah SWT semata-mata.
(Surah al-Anfal: 39)
Dengan ini, Islam telah menyelaraskan semangat patriotisme yang terhad dengan semangat patriotisme tanpa sempadan. Semuanya demi kesejahteraan seluruh manusia. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenal (dan beramah mesra anatara satu dengan yang lain).
(Surah al-Hujurat: 13)
Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada kita dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, serta diberi ilmu dan kefahaman dalam menjalankan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Amin.
Nota Hujung:
[1] Syeikh al-Maraghi menyebut, tujuan utama penciptaan manusia dan jin adalah supaya mereka tunduk dan merendah diri kepada Allah SWT. Setiap makhluk dari kalangan manusia dan jin hendaklah patuh kepada setiap keputusan Allah SWT dan mengikut apa yang telah ditakdirkan ke atasnya. Kalimah seperti ini adalah satu penegasan agar ianya menjadi sati peringatan. Oleh itu, mereka wajib diberi peringatan dengan nasihat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/ 606)