Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.
Liberalisme agama[1] adalah satu bentuk serangan pemikiran yang paling menonjol dan berbahaya pada abad ini. Apabila disebut serangan pemikiran atau al-ghazwu al-fikri di dalam bahasa Arab, ia merujuk kepada serangan yang bukan berbentuk fizik, tetapi ia mempunyai karakteristik yang hampir sama dengan brain washing atau dengan istilah lain thought control atau ideological reform. Setiap ideologi atau ajaran akan mendakwa mempunyai autoriti kebenaran dan berusaha meyakinkan pihak luar dengan pelbagai cara. Penerimaan kebenaran pada pemikiran seseorang memerlukan pembersihan terhadap kepercayaan lama orang tersebut tentang makna kebenaran. Lihat Islam dan Serangan Pemikiran, hlm. 11.
Serangan pemikiran ini apabila dilihat dari susunan katanya sudah jelas bahawa yang dimaksud dengan serangan itu bukanlah secara fizik seperti menggunakan senjata atau apapun yang berhubungan dengan gerakan fizik seperti kekerasan, tapi lebih merupakan serangan yang sepintas lalu tidak kelihatan atau tidak disedari tetapi mampu menembus akal dimana akal seseoranglah yang menentukan gerak tubuh dan perilaku seseorang tersebut.
Penggunaan istilah al-ghazwu al-fikri di kalangan umat Islam, bererti maksud sebenarnya adalah ghazwu al-fikri al Islami atau serangan yang ditujukan kepada pemikiran Islam oleh lawan pemikiran itu sendiri. Serangan ini biasanya difahami berasal dari dunia Barat atau doktrin bukan Islam yang mempunyai kepentingan tertentu terhadap agama dan umat Islam. Lihat Pembaratan di Dunia Islam, hlm. 11-12.
Serangan pemikiran terhadap dunia Islam bermula dengan usaha westernisasi yang dilakukan oleh pihak Barat. Westernisasi berasal dari perkataan Inggeris Westernization yang membawa erti proses membaratkan sebuah negara. Lihat Kamus Dwi-Bahasa, hlm. 1428. Antara dua matlamat gerakan westernisasi atau pembaratan adalah memaksakan falsafah-falsafah materialisme yang mengandungi kedengkian, hawa nafsu, angan-angan ateis dan pengingkaran terhadap segala sesuatu yang tidak terjangkau oleh penglihatan (empirik) dan tuntutan-tuntutan metodologi dalam kajian. Kedua, mengingkari agama dan menganggapnya sebagai tahap perkembangan yang terkebelakang daripada tahap-tahap kemajuan sosial, memisahkan Islam daripada politik dan akhlak masyarakat serta menyerang akidah dan nilai-nilainya. Lihat Pembaratan di Dunia Islam, hlm. 9.
Berasaskan matlamat ini, pelbagai ideologi dan pemikiran baru yang datang dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam termasuk fahaman liberalisme agama. Ia ditambah pula dengan proses globalisasi yang sedang berlaku di seluruh dunia, maka ia telah menghasilkan suatu perubahan yang agak drastik terhadap pegangan akidah dan pemikiran umat Islam. Dalam konteks kajian ini, serangan pemikiran liberalisme agama akan dinilai menerusi perspektif Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) sebagai satu-satunya aliran yang benar, kukuh dan berpengalaman dalam mendepani cabaran pemikiran menyeleweng.
Bagi menilai fenomena liberalisme agama yang kian membarah dalam masyarakat, kami akan memperincikannya dengan melihat kepada tiga isme utama yang menjadi instrumen kepada penyebaran fahaman liberalisme agama dalam masyarakat Islam iaitu sekularisme, humanisme dan pluralisme agama.
Sekularisme
David Marten menyatakan istilah sekularisme berasal dari bahasa Latin saeculum iaitu secular yang mempunyai banyak dan luas pengertiannya seperti juga perkataan religion. Lihat The Religion and The Secular: Studies in Secularization, pg. 48. Manakala Michael Hill pula menyatakan bahawa sekularisme ini adalah merujuk kepada masa dan tempat. Lihat A Sociology of Religion, pg. 229. Syed Muhammad Naguib al-Attas menghuraikan maksud masa ialah masa sekarang yang bersifat kekinian dan tempat pula ialah dunia yang bersifat keduniaan. Lihat Islam, Faham Agama dan Asas Akhlak, hlm. 72. Prof. Dr. H.M. Rashidi menyatakan sekularisme adalah sistem etika dan falsafah yang bertujuan memberi interpretasi atau pengaturan kepada kehidupan manusia tanpa kepercayaan kepada Tuhan dan Kitab Suci atau kehidupan di kemudian hari. Lihat Sekularisme Dalam Persoalan Lagi, hlm. 20.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan sekular ini diertikan sebagai duniawi. Lihat Kamus Inggeris Melayu Dewan, hlm. 886. Manakala kamus Oxford pula ialah keduniaan dan kebendaan tanpa keagamaan dan kerohanian. Lihat Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English, hlm. 771.
Sebagai kesimpulannya, sekularisme adalah fahaman yang mengasingkan urusan keduniaan seperti pentadbiran, ekonomi, politik dan sebagainya daripada bercampur dengan urusan keagamaan atau ketuhanan. Atau ringkasnya, fahaman yang ingin membebaskan diri daripada cengkaman atau peraturan agama dalam kehidupan.
Nilai-Nilai Sekularisme Yang Menentang Agama
Sekular boleh menerima agama sebagai anutan umat semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Oleh itu, sekular tetap menolak Islam kerana syariah dan akidah Islam dijadikan sebagai asas dalam kehidupan ini. Ini adalah satu kongkongan dan batasan bagi mereka. Islam hanya diterima sebagai ibadat dan upacara sahaja manakala pengamalannya bergantung kepada individu. Akhlak dan adab Islam diterima tetapi bukan bermaksud mereka terikat dengannya. Semua perkara halal dan haram bergantung kepada individu atau masyarakat, bukannya agama.
Sekular hanya akan mengambil perkara tertentu daripada Islam sekiranya ia menepati dan bersesuaian dengan kehendak mereka. Oleh itu, dalam kebanyakan perkara, sekular telah mengisytiharkan perang terhadap Islam. Lihat al-Islām wa al-‘Ilmāniyyah Wajhan li Wajhin, hlm. 83. Golongan sekular berpada sekadar mendirikan syiar Islam seperti solat, puasa, haji dan umrah. Tetapi mereka musykil dan tidak memahami Islam secara tepat. Dalam hal ini, mereka juga tidak menjadikan ulama dan pemikir Islam yang dipercayai (thiqah) sebagai rujukan. Lihat Awlawiyyāt al-Harakāt al-Islāmiyyah fi Marhalah al-Qadāmah, hlm. 170.
Syariah ialah musuh utama kaum sekularis. Ini adalah lanjutan daripada penentangan mereka terhadap agama dan akidah. Syariah Islam banyak bertentangan dengan undang-undang dan falsafah perundangan mereka. Misalnya, pengharaman riba, judi, arak, zina dan sebagainya. Bagi mereka, Allah diakui sebagai pencipta alam sahaja bukan pemerintah seluruh alam. Mereka beranggapan bahawa perundangan dan pemerintahan adalah hak mutlak mereka. Oleh itu, mereka boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak dan kemahuan mereka tanpa batasan atau ikatan agama. Mereka ingin membebaskan diri mereka daripada ikatan agama.
Gerakan Kamalisme di Turki adalah merupakan manifestasi terpenting menunjukkan realiti ini. Gerakan ini berdasarkan sekularisme, materialisme, nasionalisme, peoplisme, republikanisme, revolusi dan menjuruskan kepada de-Islamisme. Gerakan ini melakukan pembaharuan undang-undang iaitu undang-undang Barat menggantikan al-Quran dan al-Sunnah. Undang-undang sivil dari Itali, undang-undang perniagaan dari Jerman manakala undang-undang jenayah dari Swiss. Lihat Sekularisme: Perkembangan Dalam Masyarakat Muslim, hlm. 38.
Malah seorang pemimpin politik beraliran Islam di Turki, Reccep Tayyip Erdogan pernah dihukum penjara selama empat bulan dan tidak boleh menjawat apa-apa jawatan dalam tempoh tersebut oleh Mahkamah Perlembagaan Turki atas dakwaan cubaan menghapuskan sistem sekular Turki. Manakala speaker Turki, Bulent Arinc telah dikecam kerana isterinya, Munevver memakai tudung ketika menghadiri satu majlis rasmi. Cara Munevver telah dianggap mencabar prinsip asas negara itu iaitu sekular. Lihat Berita Harian, 22 November, hlm. 24.
Oleh yang demikian, kelangsungan sekularisme terus menerus berlaku dalam masyarakat Islam. Perasaan ingin maju dan rasa hormat terhadap budaya sekular ini telah menyebabkan masyarakat Islam cuba membebaskan diri daripada pegangan agama sebaliknya menyesuaikan diri dengan nilai-nilai sekular. Ini bukan sahaja berlaku di Turki tetapi telah menular sehingga negara-negara lain seperti Iran, Iraq, Mesir, Algeria, Syria, Tunisia dan lain-lain termasuk Malaysia.
Humanisme
Istilah humanisme sebagaimana yang difahami pada hari ini adalah merujuk kepada satu sistem pemikiran atau isme yang memberi penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan kebajikannya. Fahaman ini juga telah menafikan kebergantungan manusia kepada unsur agama dan agama dilihat sebagai suatu yang menyusahkan hidup manusia. Lihat Encyclopedia of Ethics, 2/800.
Menurut Ali Shari‘ati, humanisme menekankan peranan akal fikiran, budi pekerti, keintelektualan dan kehendak manusia sendiri dalam menyelesaikan segala perkara yang terdapat di dalam dunia ini. Semua benda dinilai dengan logik akal manusia yang sudah pastinya terbatas. Manusia bagi pendukung aliran humanisme ini telah disifatkan sebagai mempunyai nilai moral sejak azali lagi dan akan bersikap baik sekalipun tidak berpegang kepada ajaran agama dan tidak percaya kepada Tuhan. Lihat Marxisme and Other Western Fallacies, an Islamic Critique, pg. 23
James R.Ozinga pula menjelaskan bahawa tiada sebarang kebaikan yang terkandung di dalam gagasan humanisme tersebut. Ia adalah mirip atau serupa dengan fahaman atheisme yang tidak mengakui kewujudan Tuhan. Manusia adalah makhluk bijak yang boleh mengurus atur kehidupan dan mampu menangani segala permasalahan yang timbul walaupun tanpa petunjuk agama. Agama menurut pendukung aliran ini hendaklah dihapuskan sekiranya seseorang itu ingin mencapai jati dirinya. Lihat Communism, the Story of Idea and Implementation, pg. 237.
Humanisme dengan makna dan pendekatan atheism sebagaimana yang difahami hari ini merupakan cetusan idea tokoh komunisme; Karl Marx. Ini diakui oleh dua orang tokoh yang banyak membincang dan mengkaji latar belakang fahaman ini iaitu Bruno Baucer (1882) dan Ludwing Feuerbach (m. 1872). Menurut Karl Marx, humanisme diperkenalkan bertujuan untuk menafikan kewujudan dan kekuasaan Tuhan seterusnya memisahkan manusia daripada agama. Malahan, Marx dengan berani telah menegaskan bahawa manusia adalah pencipta agama dan bukan agama yang mencipta manusia. Lihat Encyclopedia of Ethics, 2/801-802.
Daripada faham humanisme inilah tercetusnya perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) di Barat. Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi sememangnya telah menjadi agenda suci. Ia bermula dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS 1948). Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Antara komuniti dunia terkuat yang mendukung perjuangan hak asasi ialah masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota komuniti Eropah.
Antaranya beberapa perkara yang dikatakan sebagai HAM oleh PHAMS 1948 ialah seperti Perkara 16 (1) yang berbunyi, “Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”. Bagi penganut Islam perkara ini sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukum- hakam berkaitan perkahwinan. Begitu juga Perkara 18 yang berbunyi, “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”. Bagi Islam, Perkara 18 jelas tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam beragama.
Pluralisme agama
Pluralisme agama adalah pandangan, fikiran dan keyakinan bahawa agama-agama yang bermacam-macam dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi, dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, profesor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan menunjuk kepada satu realiti tunggal yang transcendent dan suci; kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan; dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti sentiasa terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali. Antara tokoh-tokoh yang mengembangkan fahaman pluralisme agama adalah seperti Raimundo Panikkar (seorang paderi Katolik kelahiran Sepanyol), Wilfred Cantwell Smith (pengasas dan mantan pengarah Institute of Islamic Studies di McGill University Canada), Fritjhof Schuon (bekas penganut Kristian yang pergi mengembara dan keluar masuk pelbagai macam agama) dan John Hick (profesor teologi di Claremont Graduate School California USA). Lihat Prolegomena to Religious Pluralism, pg. 191.
Kesimpulannya pluralisme agama adalah satu istilah yang merujuk kepada faham menyamakan semua agama dalam erti: (a) Kebenaran ada dalam semua agama, dan (b) Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Pluralisme dalam pengertian ini harus dibezakan daripada toleransi antara agama dalam sebuah masyarakat majmuk. Selain itu ia juga harus dibezakan daripada sinkritisme yang selalu diertikan sebagai faham campur-aduk pelbagai agama. Kebelakangan ini faham pluralisme agama mulai di disambut dan dianut oleh kelompok tertentu di rantau ini khususnya di Malaysia dan Indonesia.
Usaha penyebarannya ketika ini dikaitkan dengan era globalisasi dengan segala bentuk bawaannya, termasuk fenomena plural yang secara terasnya menuntut sikap terbuka, toleran, akomodatif dan inklusif. Menurut golongan pluralis, dalam situasi sekarang sikap tertutup dan eksklusif sudah tidak relevan lagi. Dengan semangat zaman yang sedemikian, umat Islam perlu tampil sebagai kaum pluralis-inklusif. Keinginan untuk dilihat selari dan lebih ideal dengan dasar-dasar luar negara-negara Barat berkuasa besar terutamanya Amerika Syarikat membentuk sikap dan pola fikir model pluralis-inklusif tersebut yang ketika ini sedang menggila memburu mereka yang dilabelkan sebagai kaum fanatik, fundamentalis, ekstrimis dan teroris Muslim.
Oleh itu kaum pluralis begitu resah dengan citra Islam yang unik dan berbeza daripada yang lain. Perbezaan mereka dirasakan sebagai pertentangan, konflik dan konfrontasi. Kerana itu mereka amat tidak senang dengan hal-hal yang dilihat kontras seumpama: hak-batil, Mukmin-kafir, Muslim-bukan Muslim, dosa-pahala, syurga-neraka dan seumpamanya. Dalam perspektif pluralis-inklusif tidak ada lagi perbezaan-perbezaan seperti itu. Dengan menyamakan semua agama bererti semua agama adalah benar, penganut agama mana pun adalah muslim dan semuanya berpeluang masuk ke syurga. Apa yang berbeza hanya jalannya, tetapi matlamat yang dituju adalah sama, iaitu Tuhan, dan semuanya akan sampai ke matlamat yang satu.
Perbezaan Pluraliti Agama dan Pluralisme Agama
Sebahagian umat Islam masih terkeliru dengan perbezaan antara pluraliti agama dan pluralisme agama. Pluraliti agama adalah fakta kewujudan kepelbagaian dan perbezaan agama-agama di dunia ini. Sebagai fakta, pluraliti merupakan ketentuan Tuhan atau Sunnatullah, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan. Manakala pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, sikap dan pendirian seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta perbezaan tersebut.
Secara khususnya pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, professor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali.
Perbezaaan Pluralisme Agama dan Toleransi Agama
Pluralisme agama juga bukan bermakna toleransi agama. Islam sememangnya adalah agama yang toleran dan mengajarkan toleransi kepada umatnya sejak dari awal. Malah, Islam sama sekali tiada masalah dengan toleransi agama. Apa yang menjadi masalah dengan Islam adalah apabila ajaran toleransi Islam cuba dikaitkan dengan pluralisme agama, lalu disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang mengajarkan persamaan semua agama.
Anggapan bahawa pluralisme agama adalah sama dengan toleransi agama adalah anggapan yang subjektif, sangat semberono dan kurang cermat berpunca daripada kegagalan seseorang untuk memahami hakikat doktrin pluralisme agama. Malah, tanggapan ini ditolak mentah-mentah oleh golongan pakar dan pendukung pluralisme agama sendiri. Sebagai contoh, Diana L. Eck, pengarah The Pluralism Project di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dalam penjelasan rasmi beliau yang berjudul “What is pluralism?” dan diulangi dalam “From Diversity to Pluralism”, membentangkan empat karateristik utama untuk mengidentifikasi ajaran pluralisme agama secara terperinci. Dalam karakter yang kedua, beliau mengatakan “pluralism is not just tolerance, but the active seeking of understanding across lines of difference. Tolerance is a necessary public virtue, but it does not require Christians and Muslims, Hindus, Jews and ardent secularists to know anything about one another. Tolerance is too thin a foundation for a world of religious difference and proximity. It does nothing to remove our ignorance of another, and leaves in place the stereotype, the half-truth, the fears that underlie old patterns of division and violence. In the world in which we live today, our ignorance of one another will be increasingly costly”.[2]
Dalam perkara ini, Eck secara terus terang mengatakan bahawa “pluralism is not just tolerance” yang bermakna “pluralisme bukanlah sekadar toleransi semata-mata”. Tetapi pluralisme adalah satu pencarian persefahaman yang aktif melangkaui perbezaan antara agama.
Beberapa Fenomena Liberalisme dan Pluralisme Agama
- Membenarkan murtad atau pertukaran agama
Fenomena membincangkan isu murtad bermula dengan masalah yang berkaitan dengan kedudukan Mahkamah Syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Terdapat pihak tertentu yang memohon pindaan Perkara 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dianggap mengancam hak kebebasan beragama. Terdapat kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap tafsiran mereka mengenai kebebasan beragama di bawah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan ("Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya") dengan mentafsirkannya sebagai memberikan hak semua orang dalam negara ini bebas untuk menukar agama mereka tanpa mengira agama dan ianya termasuk orang Islam. Ini bermakna penentuan isu agama termasuk pertukaran agama orang Islam hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.
Tafsiran kebebasan agama yang diperjuangkan oleh kumpulan tertentu ini adalah mengikut tafsiran sepertimana yang dimanifestasikan dalam Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 (Universal Declarations of Human Rights, 1948) yang antara lain memperuntukan bahawa 'Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, maksudnya, “setiap orang mempunyai hak untuk kebebasan berfikir, bersuara dan beragama, hak ini termasuk kebebasan untuk menukar agamanya atau kepercayaannya”.
- Mempertikaikan hukum syariah dan autoriti fatwa
Menurut Wahbah al-Zuhayli, hukum beramal dengan hukum-hakam fiqh yang diijtihadkan adalah wajib ilzami kerana para imam mujtahid wajib beramal dengan apa yang dihasilkan menerusi ijtihadnya sendiri. Baginya ia adalah seumpama hukum yang jelas daripada Allah S.W.T melalui al-Quran dan al-Sunnah. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/27.
Namun bagi selain mujtahid (pengikut atau muqallid) maka hendaklah beramal dengan fatwa mujtahid memandangkan di hadapannya tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syarak melainkan dengan memohon fatwa daripada yang mengetahui dan mampu berijtihad. Oleh itu memungkiri mana-mana hukum yang sabit melalui jalan ijtihad yang terbina atas dasar melampaui andaian (ghalabah al-µann) ia adalah maksiat, kefasiqan dan kezaliman; ini kerana mujtahid telah memeras segala daya upaya untuk mengeluarkan (istinba³) kebenaran dan keterangan tentang hukum Allah S.W.T, jauh daripada mengikut hawa nafsu diri sendiri atau kepentingan tertentu atau mengharapkan nama dan kedudukan, tetapi mereka hanya menurut dalil-dalil syarak dan panduan kebenaran dengan penuh amanah dan keikhlasan. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/27.
Oleh itu, adalah sesuatu yang amat menyinggung sensitiviti umat Islam jika sesuatu fatwa itu disanggah atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Malah orang Islam yang memperlekeh atau menghina sesuatu fatwa dan institusi ulama dianggap sebagai kurang berakhlak. Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada masa kini, apabila institusi fatwa yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dan penjelasan hukum diperlekeh dan diperleceh tanpa rasa bersalah oleh pihak tertentu. Walhal bagi orang awam, mempertikaikan institusi fatwa dengan tujuan untuk mengkritik ijtihad yang dikemukakan, ia boleh menjerumuskan seseorang terhadap perbuatan dosa kerana ijtihad yang dilakukan tetap bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Sebaliknya bantahan dan tentangan yang dikemukakan oleh sesetengah pihak, tidak lebih daripada suatu tuntutan supaya setiap individu termasuk muslim diberi kebebasan mutlak untuk berfikir dan memilih pandangannya sendiri sekalipun dia tidak mahir atau memiliki ilmu yang memadai tentang soal hukum agama. Sikap yang seumpama ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada fenomena liberalisme dalam beragama kerana mereka yang terlibat inginkan supaya agama ini difahami dan dipraktiskan sekalipun tanpa mengikuti disiplin-disiplin ilmu yang ditetapkan. Beberapa fenomena yang dilihat hasil daripada kesan fahaman ini adalah seperti berikut:
- Memperjuangkan kebebasan media secara mutlak termasuk mengecam tindakan kerajaan mengawasi filem-filem atau buku-buku yang boleh mengancam kesucian agama Islam dan anutan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di negara ini.
- Memperjuangkan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) secara terbuka bagi menuntut supaya setiap individu diberikan hak dan kebebasan untuk memperlakukan apa sahaja yang dia mahu terhadap seksualiti dan tubuhnya seperti menjadi gay atau menukar jantina.
- Menolak dan mempertikaikan fatwa-fatwa yang dikatakan mengongkong kebebasan hak asasi manusia dan masyarakat majmuk seperti fatwa Valentine's Day, Islam liberal, doa bersama bukan Islam dan lain-lain.
Implikasi Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama Terhadap Umat Islam
- Menyebabkan kelonggaran kepada batas-batas yang menjejaskan iman
Antara implikasi terbesar pemikiran liberalisme agama ialah meniadakan sama sekali hukum-hakam yang boleh menggelincirkan iman seseorang. Ia adalah berdasarkan fahaman sesiapa yang membenarkan dalam hati dan mengaku dengan lidah, maka ia dianggap kekal beriman dengan sempurna walaupun orang tersebut tidak melakukan sebarang amal perbuatan seorang muslim seperti solat, zakat, puasa dan haji. Malah sekiranya dia melakukan apa jua kemungkaran yang boleh mengkafirkan seperti menyembah berhala dan sujud kepada matahari, dia tetap dianggap mukmin selagimana masih tidak mengiktikadkan perbuatan tersebut di hati.
Antara kebatilan liberalisme agama ialah menafikan hukum syarak berkenaan kaedah menentukan hukum ke atas manusia secara zahir iaitu:
نحن نحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر
Maksudnya: “Kita berhukum secara zahir, manakala bagi diserahkan perkara-perkara tersembunyi”. Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192.
- Mengubah Islam menjadi agama kepercayaan semata-mata
Pemikiran liberalisme agama boleh menjadi punca kandungan agama Islam yang meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia dihapuskan. Hasilnya, Islam akan menjadi agama kepercayaan semata-mata. Hanya dengan beriman di dalam hati dan melafazkan dua kalimah syahadah, maka ia dianggap sebagai mukmin yang sempurna. Fahaman ini menyebabkan hakikat agama yang dibawa oleh para rasul a.s., perutusan kitab-kitab suci dan pertembungan yang berlaku antara golongan beriman dan golongan kuffar tidak mempunyai apa-apa makna. Ini kerana ia tidak memperjuangkan konsep “penyerahan diri” seperti yang terkandung dalam makna Islam itu sendiri sebaliknya hanya menerima ucapan lafaz syahadah sebagai penilai terhadap kesempurnaan iman seseorang.
Konsep ibadah juga tidak akan mempunyai apa-apa erti. Ini kerana ia hanya mementingkan pengakuan hati dan lidah sedangkan ibadah meliputi pelbagai amalan zahir yang menjadi lambang ketundukan, kehinaan dan ketaatan manusia sebagai hamba Allah SWT. Ibadah solat, zakat, puasa dan haji, kesemuanya adalah ibadah zahir yang wajib dilakukan oleh setiap hamba bagi membuktikan keimanan mereka kepada Allah SWT. Ia adalah matlamat dan tujuan mereka diutuskan di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Dhariyyat ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.
Surah al-Dhariyyat (56)
- Mengubah persepsi umat Islam terhadap dosa dan azab neraka
Liberalisme agama cuba menjadikan iman itu tidak akan sekali-kali tergugat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh anggota badan. Fahaman ini adalah amat bertentangan dengan nas-nas al-Qur’an dan hadith berkenaan dosa dan maksiat. Nas-nas syarak telah menetapkan bahawa dosa syirik dan kekufuran tidak sekali-kali akan diampunkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Manakala dosa selain kedua-duanya, telah dijanjikan Allah SWT dengan balasan tertentu di dunia dan di akhirat berdasarkan kecil atau besarnya dosa tersebut. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan seorang mukmin atau muslim yang berdosa tidak sekali-kali akan diazab di akhirat kelak, ia adalah kenyataan yang membohongi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Antara ayat-ayat al-Qur’an yang menunjukkan balasan Allah SWT terhadap mereka yang melakukan dosa-dosa kecil adalah kesemua ayat yang menyebut tentang balasan Allah SWT terhadap perbuatan manusia secara umum. Sebahagian ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :
لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ ۗ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Maksudnya: “(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya”.
Surah al-Nisa’ (123)
- Menghapuskan eksklusiviti kebenaran pada agama Islam dan meletakkan agama Islam seriring dengan kedudukan agama lain
Secara ringkas beberapa implikasi buruk yang bakal menimpa sekiranya pengaruh pluralisme agama dibiarkan berleluasa di dalam negara atau di seluruh dunia iaitu:
- Penghapusan agama itu sendiri disebabkan usaha untuk menyeragamkan semua agama dan menolak sebarang pertindihan yang berlaku membabitkan perbezaan fahaman atau kepercayaan.
- Pluralisme skeptik yang menjurus kepada kesangsian dan keraguan terhadap kewujudan agama dan kepercayaan.
- Ancaman ke atas Hak Asasi Manusia terutama hak untuk mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing.
- Kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini akan terhakis sedikit demi sedikit demi memenuhi tuntutan mereka yang menafikan kelebihan atau keistimewaan mana-mana agama.
- Agama akan menjadi tidak lebih melainkan urusan peribadi masing-masing dan mustahil untuk dijadikan sebagai undang-undang (syariah) kerana ketika itu yang wujud hanyalah etika dan moral yang diakui bersama.
- Agama akan menjadi sesuatu yang boleh dipermain-mainkan, setiap individu berhak untuk masuk atau keluar daripada agama sesuka hatinya akibat hilangnya kekudusan atau kesucian sesebuah agama itu.
- Wujudnya agama baru yang mengajak manusia supaya tidak beragama, walaupun golongan pluralisme menafikan tetapi dari sudut teori dan praktikal ini bakal akan berlaku sekiranya pluralisme diterima masyarakat dunia.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Berdasarkan pembentangan di atas, tuntasnya kami simpulkan bahawa liberalisme dan pluralisme agama adalah serangan pemikiran yang merupakan strategi Barat paling ampuh bagi melumpuhkan pertahanan aqidah umat Islam daripada luar. Ia berlaku dengan memasukkan ideologi-ideologi ciptaan mereka secara halus dan tanpa disedari. Ideologi-ideologi yang ditawarkan dengan jelas boleh memberi kesan langsung terhadap aqidah dan syariah Islam. Malah ia terbukti telah meninggalkan impak yang amat besar sehingga mengujudkan masyarakat Islam yang hilang jati diri dan nilai keimanan. Justeru, kami menyeru agar umat Islam membenteng diri daripada terpengaruh dengan ideologi-iedologi tersebut dan senantiasa dikurniakan petunjuk dan hidayah Allah SWT untuk membezakan antara yang haq dan yang batil.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Akhukum fillah,
SS Dato' Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Nota Hujung:
[1] Liberalisme adalah satu fahaman berkenaan kebebasan. Ia mengajarkan tentang kebebasan manusia dalam apa jua hal. Kebebasan beragama, kebebasan berpendapat, kebebasan berperilaku dan kebebasan kepemilikan. Dari liberalisme ini muncullah gerakan-gerakan baru yang mengatasnamakan gerakan memperjuangkan Hak Asasi Manusia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25 – 27 Julai 2006 telah memutuskan gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berpegang kepada konsep pluralism agama, mndakwa akal manusia adalah wahyu, mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith dan lain-lain. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut muzakarah memutuskan bahawa pemikiran liberalism agama adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.