اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE 232 : ISU KARTEL DAGING HARAM DAN HUKUM-HAKAM YANG BERKAITAN DENGANNYA

BL_232.PNG

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Pada 2 Disember 2020 telah timbul isu sindiket kartel daging import haram di Senai, Johor Bahru yang melibatkan aktiviti pemalsuan perlabelan logo halal. Sindiket seperti ini berlaku disebabkan sikap tidak amanah serta tamak untuk mengaut keuntungan melampau dan mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna. Berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian, syarikat pembekal terbabit menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal dan resit bayaran [1]. Daging tersebut di bawa masuk daripada empat buah negara iaitu Cina, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa tempatan, syarikat pembekal dalam masa yang sama turut mengimport daging daripada sumber yang sah. Kesemua daging yang diimport akhirnya ditempatkan di dalam suatu tempat simpanan khas sebelum dibungkus semula. Daging import tersebut akan dimasukkan ke dalam kotak sebelum ditampal logo halal palsu [2]. Selain itu, terdapat rekod resit penerimaan kemasukan daging babi juga ditemui di tempat kejadian. Namun, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjelaskan bahawa setelah penyiasatan awal dilakukan didapati tiada daging babi ditemui di tempat kejadian[3].

Kebiasaannya, taktik jahat yang digunakan kartel daging import adalah dengan mengimport sama daging daripada sumber yang sah dan juga meletakkan daging-daging berstatus halal secara bercampur dengan daging tidak mempunyai sijil halal yang sah [4]. Perkara ini menyebabkan status halal daging tersebut diragui dan memerlukan penelitian semula.

Setelah tularnya sindiket ini di media massa, maka masyarakat selaku pengguna produk daging import mula merasa gusar dan gelisah. Hal ini terutama apabila melibatkan aspek status halal produk daging tersebut. Majoriti masyarakat di Malaysia adalah beragama Islam maka sudah pasti kejelasan status halal produk daging tersebut menjadi kebimbangan sesama mereka. Sebagai umat Islam, syariat menetapkan supaya kita memilih makanan suci dan halal. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

(Surah al Baqarah:168)

Menurut Ibn Katsir dan Al-Maraghi di dalam tafsir mereka, ayat ini menyatakan tentang keperluan mencari manakan yang halal dan suci, di samping tidak mengharamkan apa yang telah Allah halalkan untuk sekalian manusia [5].

Oleh itu, terdapat persoalan yang timbul baru-baru ini kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu kartel daging import haram. Soalannya, jika seseorang masih mempunyai stok daging import yang telah dibeli sebelum isu ini timbul bagaimana hendak dilakukan? Sekiranya, pengguna tersebut meyakini kehalalan daging tersebut adakah boleh terus dimakan? Sedangkan isu ini sedang menular di seluruh negara.

Dalam isu ini, pihak berautoriti memainkan peranan penting dalam menguruskannya, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pihak kerajaan dengan kerjasama pihak Bahagian Pengurusan Halal Jakim dan kementerian yang terlibat akan mengeluarkan senarai pengimport daging berlesen sepertimana yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian [6]. Justeru sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memberi sepenuhnya kepercayaan kepada pihak berwajib bagi menangani isu ini dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(surah An Nisa’: 59)

Justeru dalam situasi ini, sebaiknya kita menghadapinya dengan sikap yang tenang serta menghormati tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan proses siasatan disamping memberi kerjasama kepada pihak berwajib dalam menjalankan tugasnya seperti melaporkan penyalahgunaan kuasa kepada pihak yang berkaitan.

TUNTUTAN MEMAKAN MAKANAN YANG HALAL

Allah SWT telah membuka peluang kepada umat Islam yang merupakan khalifah di bumi untuk memilih dan memakan apa sahaja di muka bumi ini selagi makanan tersebut halal serta suci daripada sebarang perkara yang haram. Hal ini dibuktikan dengan ayat al-Quran yang menceritakan tentang kisah ashabul kahfi setelah bangun daripada tidur yang panjang. Mereka telah menghantar salah seorang dalam kalangan mereka untuk pergi ke bandar mencari makanan.

فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ

Maksudnya: Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya.

Surah al-Kahfi (19)

Allah SWT telah menciptakan dan memberikan pelbagai kurniaan kepada manusia supaya dapat diambil manfaat dan kebaikan daripadanya sama ada makanan, pakaian dan segala ciptaan dan kemudahan yang lain. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dialah (Allah SWT) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Surah al-Baqarah (29)

Selain itu, Allah SWT juga berfirman:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya.

Surah al-Jathiah (13)

Walaupun begitu, berkaitan dengan pemilihan makanan dan minuman, umat Islam hendaklah mencari dan memakan makanan yang halal, malah perkara ini dituntut dan ditekankan dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحاً – وَقاَلَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ – ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ ياَ رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ .

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Riwayat Muslim (1015)

Di samping itu, dapat difahami bahawa salah satu sifat makanan yang halal ialah makanan yang suci dan bersih. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Surah al-Baqarah (168)

Jelas dalam ayat tersebut perkataan halal disusuli dengan perkataan thayyib. Imam al-Thabari menyatakan definisi thayyiban ialah suci dan bersih daripada najis dan perkara yang haram. (Rujuk Tafsir al-Thabari, 3/301).

Selain itu, Imam Fakhruddin al-Razi juga dalam tafsirnya ketika mensyarahkan ayat di atas memberi makna al-tayyib dari segi bahasa ialah suci dan halal disifatkan dengan segala yang baik. (Rujuk:Tafsir ar-Razi Mafatih al-Ghayb, 5/185)

Terdapat banyak dalil-dalil syarak sebagai panduan kepada umat Islam dalam pemilihan makanan. Antaranya:

  • Halal memakan sembelihan ahlil kitab.

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

MaksudnyaPada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

Surah al-Maidah (5)

Abu Ja’far dalam tafsirnya memberi makna {الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ} ialah makanan halal adalah haiwan yang disembelih dan bukan makanan yang jijik daripadanya (Rujuk Tafsir al-Thabari, 9/3572).

  • Memilih makanan yang disembelih dengan nama Allah.

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya.

Surah al-An’am (118)

  • Haram memakan bangkai, darah, khinzir dan haiwan yang disembelih bukan dengan nama Allah SWT.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Baqarah (173)

Hukum Memakan Daging Yang Diimport Menggunakan Logo Halal Palsu

Secara asasnya, berkenaan pengambilan makanan daripada daging haiwan sembelihan dan buruan, ulama Syafi’eyyah seperti Imam Nawawi menyebutkan suatu kaedah bahawa hukum asal bagi daging haiwan sembelihan adalah haram melainkan dipastikan terlebih dahulu kesemua haiwan tersebut telah menepati syarat sah sembelihan yang ditetapkan oleh Syarak. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 13/116)

Merujuk kepada konteks di Malaysia, keyakinan pembeli sudah terbina di atas kejelasan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti JAKIM dan pihak-pihak lain yang diiktiraf pada bungkusan daging yang dibeli. Logo halal yang diletakkan pada setiap pembungkus makanan sama ada bersifat mentah atau yang telah diproses amat membantu umat Islam dalam memastikan status halal sesuatu produk makanan.

Hukum asal  memakan daging import yang mempunyai logo halal yang dikeluarkan oleh badan-badan yang berautoriti adalah halal, kerana ia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pensijilan halal yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Hukum asal tersebut akan kekal sehingga terdapat bukti atau dalil yang mengubah atau menukarkan keadaannya. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang telah ditetapkan oleh para ulama’ seperti yang disebut oleh Imam al-Suyuti:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: “ Pada dasarnya sesuatu hukum itu kekal mengikut hukum asalnya”. (Rujuk al-Ashbah wa al-Nazoir, 72)

Namun begitu, berdasarkan isu kartel daging import yang berlaku, sekiranya pengguna sudah memakan daging yang pada asalnya diyakini halal kemudian diragui status halalnya kerana kemungkinan dipalsukan logo halalnya, maka hukum memakan kartel daging tersebut dimaafkan kerana dilakukan bukan sengaja berpandukan kepada firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Surah al-Ahzab (5)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga mengajarkan sebuah doa agar diampunkan segala tindak tanduk yang dilakukan secara tidak sengaja melalui firman-Nya:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah”.

Surah al-Baqarah (286)

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/450) menyebutkan sebuah hadis masyhur:

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Telah diangkat (diampunkan) dalam kalangan umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa”. [Imam al-Nawawi menghukum hadis ini sebagai sahih]

Tambahan pula, sebahagian ulama seperti Ibn Hazm meletakkan satu kaedah yang menyebut,

ما غاب عنا لا نسأل عنه

Maksudnya: “Perkara yang terselindung daripada kita, maka kita tidak perlu bertanya tentangnya”. (Rujuk: al-Muhalla bi al-Athar, 6/148)

Berdasarkan perbincangan di atas, umat Islam yang telah memakan daging import sebelum timbul isu syubhah daging import yang berlaku baru-baru ini, maka hukumnya adalah dimaafkan. Perkara ini berlandaskan dalil-dalil syarak yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya dan memberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu. Wallahu a’lam.

Pendirian umat Islam dalam menghadapi isu daging syubhah

Melihat kepada isu yang sedang berlaku, tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah isu yang amat sensitif bagi masyarakat Muslim di Malaysia. Dari satu sudut, ia menunjukkan adanya peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat Muslim terhadap keselamatan makanan halal. Sikap berhati-hati yang ditonjolkan adalah antara perkara yang terpuji. Isu ini adalah isu yang memerlukan pemerhatian dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan berwajib untuk menanganinya.Namun bagi masyarakat Muslim, isu ini perlu dihadapi dengan prinsip yang perlu difahami dan dihadam dengan baik. Antaranya :

  • Jangan beli makanan atau daging yang meragukan. Ini berdasarkan prinsip yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ. Nabi ﷺ bersabda :

‌دَعْ ‌مَا ‌يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya : “Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada (lakukan) apa yang tidak meragukan kamu.”

Riwayat Al-Tirmizi  (2518)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan ucapan Al-Khattabi berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau berkata :

كُلُّ مَا شَكَكْتُ فِيهِ فَالْوَرَعُ اجْتِنَابُهُ

Maksudnya: “Setiap apa yang kamu ragu padanya maka lebih baik menjauhinya.”

Sikap ini adalah sikap yang perlu ada pada setiap diri seorang Muslim. Apa sahaja yang mendatangkan keraguan maka tinggalkan dan pilih produk yang lebih diyakini khususnya produk-produk yang diiktiraf oleh Badan Autoriti seperti JAKIM. Begitu juga pemilihan kedai juga adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan khususnya berkenaan dengan daging sembelihan. Ringkasnya, pilih produk yang diyakini halal dan tinggalkan produk yang tidak pasti.

  • Merujuk terlebih dahulu Badan Autoriti. Ini adalah satu usaha agar masyarakat Muslim khususnya di Malaysia dapat memilih produk yang lebih diyakini. Pihak Halal JAKIM sebagai contoh telah membangunkan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai Smart Halal Apps dan juga aplikasi Verify Halal. Kedua-dua aplikasi ini dibangunkan bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya masyarakat Muslim untuk mengenal pasti produk-produk halal yang diiktiraf. Bahkan aplikasi ini juga mempermudahkan masyarakat untuk mengenal pasti badan-badan pengeluar produk daripada luar negara yang diiktiraf oleh pihak autoriti seperti JAKIM.
  • Jangan menyebarkan berita atau sebaran palsu. Penyebaran berita palsu boleh menyebabkan keresahan dan kacau bilau dalam kalangan masyarakat. Allah ﷻ telah memperingatkan agar menyelidik terlebih dahulu berita yang sampai kepada kita. Perkara ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Surah Al-Hujurat : 6

Orang Islam yang sejati adalah orang yang paling berhati-hati dalam menerima sesuatu berita dan tidak bermudah-mudah menyampaikannya melainkan selepas diselidiki terlebih dahulu kebenaran di sebalik berita tersebut. Imam Al-Syaukani menyebut :

وَالْمُرَادُ مِنَ التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ.

“Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah mengenali dan menyelidik terlebih dahulu. Antara perkara yang terkandung dalam mengenal pasti adalah perlahan-lahan dan tidak segera (menyebarkan sesuatu berita) serta melihat secara dalam realiti yang berlaku sehingga jelas dan terang perkara tersebut.”(Rujuk Fath al-Qadir Li al-Syaukani, 5:71)

Justeru, masyarakat Muslim sepatutnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu berita. Ianya perlu diselidiki terlebih dahulu sama ada ianya benar ataupun tidak. Sebaran berita yang tidak benar dan tidak tepat boleh menyebabkan kekacauan dalam masyarakat sehingga boleh menghilangkan kepercayaan kepada Badan Autoriti khususnya Badan Autoriti Agama. Dapatkan maklumat yang betul dan tepat.

Kesimpulan: Tanggungjawab Pihak Berkuasa dan Tindakan Pihak Yang Bersekongkol

Perkara yang telah berlaku ini sesuatu yang amat dikesali. Walau bagaimanapun, dari sudut yang berbeza ini menunjukkan bahawa masyarakat kita begitu prihatin dan kecaknaan tentang hukum-hakam agama berkaitan halal dan haram. Ia merupakan satu isu yang sensitif dan mengambarkan betapa kuat pegangan agama dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Alhamdulillah.

Bersama masyarakat Islam Malaysia yang lain, kami turut berharap bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini dapat menyelesaikan masalah ini dengan jujur, cekap dan amanah. Sesungguhnya Allah SWT menggambarkan betapa besar amanah yang perlu dipikul ini dalam firman-Nya:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah al-Ahzab: 72)

Pihak yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan juga yang bersekongkol dengan mereka harus dibawa ke muka pengadilan dan didakwa berdasarkan bukti-bukti yang telah didapati. Tindakan dan hukuman yang berat ke atas mereka dalam hal ini supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada orang ramai untuk tidak menggadaikan kemaslahatan awam demi keuntungan dan kepentingan peribadi.

Selain itu, pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan juga haruslah diperketatkan dan dijalankan dengan lebih efisyen dan menyeluruh bagi memastikan isu seperti ini tidak berulang di masa akan datang. Akhirnya, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak yang mendedahkan perkara ini atas keprihatinan, begitu juga agensi-agensi kerajaan yang terlibat atas tindakan responsif dalam menangani isu ini.

 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

NOTA HUJUNG :

[1] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Gudang Kartel Proses Daging Babi”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113228/LAPORAN-KHAS/Gudang-kartel-proses-daging-babi.

[2] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Kartel Ciplak Tiga Jenama Daging Australia”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113375/LAPORAN-KHAS/Kartel-ciplak-tiga-jenama-daging-Australia.

[3]Mohd Hafiz Ismail, “Kartel Daging Haram: Tiada daging babi ditemui”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113795/BERITA/Nasional/Kartel-daging-haram-Tiada-daging-babi-ditemui.

[4] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Kartel Tukar Daging Haram Jadi Halal”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/112898/LAPORAN-KHAS/Kartel-tukar-daging-haram-jadi-halal.

[5] Lihat: Tafsir Ibnu Kathir, 1/478 / Tafsir al-Maghari, 2/42.

[6] “Jakim akan Keluarkan Senarai Pengimport Daging Berlesen” laman sesawang Sinar Harian, dicapai pada 29 disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/116615/BERITA/Nasional/Jakim-akan-keluarkan-senarai-pengimport-daging-berlesen