MUKADIMAH
Keluarga adalah asas kepada masyarakat. Ia terbentuk hasil cambahan kasih sayang di antara lelaki dan perempuan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Keluarga juga adalah agen sosial paling utama bagi anak-anak.
Keluarga akan menjadi bahagia apabila wujud kasih sayang di antara pasangan suami isteri dan anak-anak. Proses sosialisasi akan menjadi efektif dan berjaya jika ibu bapa menggunakan pendekatan kasih sayang. Anak-anak yang melalui proses sosial yang sihat dan lengkap akan membesar menjadi individu dewasa yang sempurna dan seterusnya menyumbang sebagai ahli masyarakat yang berguna. Dengan kata lain, rosak keluarga maka rosaklah masyarakat. Oleh itu institusi keluarga perlu dijaga supaya masyarakat yang sihat dan progresif boleh dijana.
Rumah merupakan syurga permulaan untuk membentuk satu keharmonian dan kedamaian mental. Ini memerlukan setiap pasangan dalam rumah untuk saling hormat menghormati, bertanggungjawab dan menyayangi antara sesama ahli keluarga. Namun begitu, sekiranya kebahagian yang dicari selama ini menemui “derita” di persimpangan jalan menuju kebahagiaan, akan berakhirnya “kebahagiaan” dan bermulanya episod mimpi ngeri dalam hidup apabila pasangan saling bertindak ganas terhadap pasangan atau ahli keluarganya. Fenomena keganasan keluarga kini menjadi isu hangat yang sering diperkatakan oleh komuniti dan mendapat tempat kebanyakan media massa, apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Keganasan keluarga bukan satu fenomena yang baru wujud di negara kita malah fenomena keganasan keluarga telah lama wujud di dalam keluarga generasi yang terdahulu. Sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu[1]. Selain itu, kebanyakan kes juga berlaku berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.
KEGANASAN RUMAH TANGGA SEMASA PKP
Keganasan rumah tangga merupakan keganasan atau penyalahgunaan kuasa seseorang terhadap orang lain dalam suasana domestik. Ia boleh meliputi keganasan yang dilakukan terhadap pasangan, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa yang tidak berkeupayaan atau ahli keluarga yang lain. Terdapat pelbagai bentuk keganasan yang terjadi dalam sesebuah keluarga, seperti dalam bentuk keganasan fizikal, gangguan seksual, penderaan emosi, melalui percakapan atau psikologi.
Keganasan tidak sewajarnya wujud dalam rumah tangga dan keluarga. Menurut Islam suami bertanggungjawab melindungi isteri dan ahli keluarganya kerana suami berperanan sebagai pemimpin keluarga. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah SWT:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡض وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
Surah an-Nisa’ (34)
Suami sebagai pemimpin dalam keluarga perlu menjadi contoh dan tauladan yang baik terhadap keluarga. Rasulullah SAW diriwayatkan pernah bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertangggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya)”.
Riwayat Bukhari (2409)
Dua autoriti ini jelas menunjukkan bahawa suami adalah pemimpin keluarga yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi ahli keluarganya.
Selain itu juga, terdapat kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa dalam kalangan suami, seperti suami cedera di mata akibat ditumbuk isteri dan seumpamanya. Hal ini merosakkan imej rumah tangga dan bertentangan dengan ajaran Islam. Islam mengajar supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara suami isteri bagi melahirkan hubungan yang mahabbah (kasih sayang). Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٞ لَّكُمۡ وَأَنتُمۡ لِبَاسٞ لَّهُنَّۗ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”
Surah al-Baqarah (187)
Sementara itu, Syeikh Abu Bakar Syato menyebut di dalam karyanya bahawa menjadi kewajipan kepada suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik, meredai antara satu sama lain serta saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan:
ويجب على الزوجين أن يتعاشرا بالمعروف، بأن يمتنع كل عما يكره صاحبه ويؤدي إليه حقه مع الرضا وطلاقة الوجه من غير أن يحوجه إلى مؤنة وكلفة في ذلك
Maksudnya: “Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik. Seumpama mengelakkan daripada perkara yang tidak disukai oleh pasangannya, menyempurnakan hak dan saling meredai antara satu sama yang lain serta saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan melainkan perkara-perkara asas, pembiayaan nafkah dan seumpamanya”.
(Rujuk: I’anah al-Tolibin, 3/421)
Namun, sekiranya isteri bertindak sebaliknya terhadap suami. Ini bermakna isteri telah melakukan perbuatan nusyuz. Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya.
PUNCA KEGANASAN RUMAH TANGGA SEMASA PKP
Beberapa perkara mungkin menyumbang pada berlakunya keganasan rumah tangga semasa PKP. Ia merangkumi faktor dalam diri individu itu sendiri, orang sekeliling, persekitaran, serta faktor luaran yang lebih besar. Kesemua faktor ini saling mempengaruhi antara satu sama lain, dan terdiri daripada:
Faktor pada pemangsa[2]:
- Perasaan stres– Ini terjadi ekoran tidak dapat keluar dari rumah seperti biasa, tidak dapat melakukan pekerjaan atau aktiviti rutin, memikirkan ketidakpastian masa depan terutama berkaitan ekonomi keluarga, dibuang kerja, hilang punca pendapatan. Stres akan menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan melakukan keganasan.
- Peningkatan konflik apabila terkurung dan selalu berada di depan mata – perkara ini boleh terjadi terutamanya pada mereka yang memang pernah terlibat dengan keganasan rumah tangga sebelum ini. Apabila sentiasa berada di depan mata, setiap perbuatan akan mudah mencetuskan konflik dan keganasan.
- Penagihan dadah – Semasa PKP, mereka mungkin berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan dadah, yang menjurus pada gejala ketagihan akibat tidak mendapat bekalan, menjadi pemarah dan cenderung untuk melakukan keganasan.
Faktor dalam diri mangsa:
- Kebergantungan kepada pemangsa – Semasa PKP, ramai orang yang kehilangan punca pendapatan, terutamanya mereka yang bergaji harian atau bekerja sendiri. Perkara ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada ahli keluarga yang lain. Situasi ini meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih rendah dan terdedah pada keganasan.
- Takut dijangkiti – Risiko dijangkiti wabak COVID-19 sangat digeruni oleh semua orang. Perkara ini boleh digunakan oleh pemangsa untuk mengugut mangsa daripada keluar membuat laporan ataupun mendapatkan pertolongan. Begitu juga dengan diri mangsa sendiri. Mangsa mungkin tidak berani keluar dari rumah kerana risiko dijangkiti penyakit ini.
Faktor persekitaran:
Persekitaran rumah yang sempit atau tidak kondusif – Walaupun keganasan rumah tangga boleh terjadi pada sesiapa sahaja, namun mereka yang tinggal di dalam rumah yang sempit dan tidak kondusif mungkin akan berasa lemas dan tidak tenteram. Perkara ini lebih mudah mencetuskan perbalahan dan keganasan dalam rumah tangga.
Di Malaysia, keganasan rumah tangga merupakan satu jenayah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Mengikut Akta ini, keganasan rumah tangga meliputi perkara berikut:
- Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
- Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
- Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
- Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau
- Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.
Namun begitu, disebalik kejadian keganasan rumah tangga yang berlaku, terdapat beberapa langkah cadangan bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku sehingga menjadi barah dalam masyarakat. Antara langkah penyelesaiannya ialah Islam mengajar berbuat baik terhadap pasangan. Suami perlu melayani isteri dengan baik dan begitu juga isteri perlu menyantuni suami dengan lemah lembut dan sopan. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam semua perkara, termasuklah juga dalam hal kekeluargaan. Baginda SAW bersabda dalam hadis yang diriwayat oleh Ibnu ‘Abbas:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya”.
Riwayat Ibnu Majah (2053)
Imam Muhammad Nuruddin al-Sindi ketika menjelaskan maksud hadis ini bahawa pergaulan yang mesra antara ahli keluarga merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam agama. Maka sesiapa yang bersikap mesra dengan ahli keluarganya tergolong dalam kalangan yang terpilih berdasarkan sifat ini. Barangkali orang yang bersifat sedemikian (dikira) bersamaan dengan perkara-perkara baik yang lain sehingga dia dikatakan seorang yang baik secara mutlak.[3]
(Rujuk Hasyiah al-Sindi, 1/609)
Selain itu, suami juga perlu memainkan peranan sewajar sebagai ketua keluarga dengan memberikan perlindungan terhadap ahli keluarga yang berada dibawah jagaannya. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَجَعَلَ بَیْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّ رَحْمَةً
Maksudnya: “Dan Allah SWT telah menciptakan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”.
Surah al-Rum (21)
Menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menciptakan mawaddah iaitu kasih sayang dan juga rahmat iaitu rasa belas kasihan dan kemurahan hati antara lelaki dan perempuan (pasangan), maka seorang lelaki memegang (mengahwini) seorang perempuan adalah kerana rasa kasih sayang (terhadap pasangannya itu) atau kerana rasa belas kasihan dengannya kerana mempunyai anak hasil bersama dengannya atau kerana isteri memerlukan pasangan (yang boleh memberikan) nafkah untuknya dan juga kasih sayang antara kedua-dua pasangan.[4]
(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir, 6/278)
Oleh itu, seorang suami perlu memberikan rasa cinta dan kasih kepada isteri dan keluarganya sama ada melalui perbuatan mahupun pertuturan yang mampu mewujudkan suasana yang aman dan harmoni antara ahli keluarga. Seterusnya menjadikan isteri terasa tenang dan aman dalam menjalankan tugasnya sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak di rumah. Contoh perbuatan yang boleh mewujudkan suasana tersebut adalah seperti saling memahami tanggung jawab setiap pasangan, bertutur dengan kata yang sopan, saling membantu dalam memenuhi kewajipan masing-masing dan bersikap terbuka untuk memaafkan antara satu sama lain.
Sementara itu terdapat juga pihak yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dari sudut kekurangan makanan disebabkan hilang punca pendapatan atau menanggung kerugian perniagaan. Secara tidak langsung hal ini menjadi punca kepada berlakunya keganasan rumah tangga. Oleh itu, suami boleh mencari ikhtiar dengan mendapatkan bantuan makanan dari pihak kerajaan mahupun NGO yang menawarkan bantuan bagi mereka yang terkesan akibat penularan wabak ini. Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian latar belakang bagi tujuan saling mengenali dan melengkapi keperluan masing-masing. Justeru, setiap insan harus memiliki sifat peduli terhadap sesama manusia agar dapat saling membantu antara satu sama lain. Sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain harus ditanam dan disemai dalam masyarakat. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk saling tolong-menolong dan membantu seperti dalam firman-Nya:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.
Surah al-Ma’idah (2)
Oleh yang demikian, bantuan yang dihulurkan dari pelbagai pihak sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan yang terkesan malah dapat mengelakkan daripada berlaku kebuluran ketika wabak melanda.
Sehubungan dengan itu, isteri juga perlu memainkan peranan dengan cara membantu suami ketika keadaan sukar mahupun senang. Seorang isteri boleh membantu suami dalam menguruskan rumah tangga dengan cara menjaga anak-anak dan menjalankan urusan-urusan di dalam rumah. Setiap lelaki dan wanita dipertanggungjawabkan dengan amanah yang sesuai dengan kemampuannya. Oleh itu, setiap pasangan perlu saling membantu antara satu sama lain dalam melaksanakan amanah yang dipikul. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).”
Surah al-Baqarah (228)
Menurut Imam Ibnu Kathir ketika menerangkan ayat ini menyatakan bahawa setiap perempuan mempunyai hak yang dipertanggungjawabkan ke atas lelaki, begitu juga bagi lelaki mempunyai hak yang dipertanggungjawabkan ke atas perempuan. Maka, setiap satu daripada mereka perlu menunaikan hak yang telah diwajibkan ke atas mereka dengan amanah.[5]
(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir, 1/609)
Seperkara lagi, suami dan isteri juga perlu belajar menangani perasaan marah dengan baik. Hal ini kerana menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah menerangkan antara ciri orang yang bertaqwa sebagaimana firman-Nya:
الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang”.
Surah Ali ‘Imran (134)
Begitu juga, Allah SWT telah menjelaskan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya adalah:
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
Maksudnya: “...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan”.
Surah al-Syu’ara’ (37)
Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa antara ciri orang yang bertaqwa ialah sifat semulajadi mereka sentiasa menghendaki keampunan dan kemaafan terhadap manusia, dan berdendam terhadap manusia adalah bukan sifat mereka.[6]
(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir, 7/192)
Selain itu, Nabi SAW berpesan kepada sahabatnya jangan selalu menuruti sikap marah. Dalam satu hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي. قَالَ " لاَ تَغْضَبْ ". فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ " لاَ تَغْضَبْ
Maksudnya: “Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali”.
Sahih al-Bukhari (6116)
Justeru, berdasarkan dalil di atas, dapat difahami bahawa menahan marah dan mengawalnya merupakan satu perkara yang dituntut untuk dilaksanakan. Hal ini kerana sifat marah ini mendatangkan banyak perkara yang buruk. Lebih-lebih lagi jika sifat marah ini terjadi antara suami isteri dalam sesebuah keluarga. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, maka boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini sebagai contoh memukul, mendera bahkan yang lebih teruk iaitu membunuh isteri dan ahli keluarga. Oleh itu, mengawal sifat marah dapat mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam sesebuah keluarga terutamanya disaat getir menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19.
Penutup
Oleh yang demikian, berdasarkan huraian intipati di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak faktor yang membawa kepada berlakunya keganasan dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi isu ini menjadi lebih kritikal ketika rakyat sedang menghadapi kesukaran akibat penyebaran wabak Covid-19. Kesan negatif penularan wabak ini menjadi salah satu faktor kepada berlaku keganasan dalam rumah tangga.
Justeru itu, sebagai pasangan suami isteri mahupun ibu bapa perlu bertindak secara rasional dalam menghadapi kesukaran yang melanda. Terdapat banyak cara selamat yang boleh digunakan bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam rumahtangga. Bertindak dengan keganasan bukan jalan penyelesaiannya. Malah menambahkan lagi permasalahan yang sedia ada. Oleh itu, suami perlu menjadi pelindung kepada isteri. Begitu juga isteri perlu membantu suami menguruskan rumahtangga agar lebih aman dan harmoni.
[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/813664/kes-keganasan-rumah-tangga-meningkat-sepanjang-pkp
[2] http://covid19.kk.usm.my/index.php/artikel/bacaan-umum/30-kesejahteraan-rumah-tangga-semasa-perintah-kawalan-pergerakan
[3] أَنَّ حُسْنَ الْعِشْرَةِ مَعَ الْأَهْلِ مِنْ جُمْلَةِ الْأَشْيَاءِ الْمَطْلُوبَةِ فِي الدِّينِ فَالْمُتَّصِفُ بِهِ مِنْ جُمْلَةِ الْخِيَارِ مِنْ هَذِهِ الْجِهَةِ وَيَحْتَمِلُ أَنَّ الْمُتَّصِفَ بِهِ يُوَفَّقُ لِسَائِرِ الصَّالِحَاتِ حَتَّى يَصِيرَ خَيْرًا عَلَى الْإِطْلَاقِ
[4] وَجَعَلَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَهُنَّ مَوَدَّةً وَهِيَ الْمَحَبَّةُ، وَرَحْمَةً وَهِيَ الرَّأْفَةُ، فإن الرجل يمسك المرأة إنما لِمَحَبَّتِهِ لَهَا أَوْ لِرَحْمَةٍ بِهَا بِأَنْ يَكُونَ لَهَا مِنْهُ وَلَدٌ، أَوْ مُحْتَاجَةٌ إِلَيْهِ فِي الْإِنْفَاقِ أَوْ لِلْأُلْفَةِ بَيْنَهُمَا
[5] وَلَهُنَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ الْحَقِّ مِثْلُ مَا لِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ، فلْيؤد كُلٌّ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلَى الْآخَرِ مَا يَجِبُ عَلَيْهِ بِالْمَعْرُوفِ،
[6] سَجِيَّتُهُمْ تَقْتَضِي الصَّفْحَ وَالْعَفْوَ عَنِ النَّاسِ لَيْسَ سَجِيَّتُهُمُ الِانْتِقَامَ مِنَ النَّاسِ