MUKADIMAH
Perkahwinan adalah suatu perkara yang dituntut dalam agama. Bahkan perkahwinan yang dituntut dalam syarak ialah perkahwinan yang terbina atas dasar takwa iaitu untuk menjaga kemuliaan diri dan nasab.
Kita melihat daripada perkahwinan dan rumah tangga yang baik ini lahirnya manusia yang memakmurkan muka bumi tuhan, meneruskan kesinambungan zuriat umat Nabi Muhammad SAW, menjaga kehormatan lelaki dan wanita dalam perhubungan yang sah serta menjadi suatu bentuk ketaatan dalam melaksanakan tugas suami isteri untuk melengkapkan kehidupan berkeluarga menurut acuan syarak. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.
Surah al-Rum (21)
Justeru, hikmah perkahwinan ini boleh didapati sekiranya ia dibina atas dasar iman dan meraikan batas-batas hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Namun, dewasa ini kita melihat keruntuhan institusi keluarga yang sangat meruncing dalam kalangan masyarakat. Terbaharu, tular di media sosial perkongsian daripada seorang peguam tentang isu bapa kandung terlanjur hingga mengandungkan anak perempuan. Apa yang menyedihkan, hal ini direstui oleh isterinya yang merupakan ibu kepada anak perempuan berkenaan. Malah, isteri tersebut menyarankan supaya mereka berdua berkahwin agar anak itu dapat dinasabkan kepada bapa, dan akhirnya ibu dan ayah tadi sanggup bercerai sebagai ‘pengorbanan’ untuk anak perempuan mereka. Mereka berdua bernikah dengan menggunakan khidmat sindiket perkahwinan yang dijalankan oleh warga asing di Malaysia. Justeru, Bayan Linas kali ini akan mengupas isu “Bapa Kahwin Dengan Anak” menurut perspektif syarak.
LARANGAN BERKAHWIN SESAMA MAHRAM
Islam menggariskan syarat-syarat tertentu demi memastikan suatu akad nikah itu sah. Antara syarat sah perkahwinan ialah perkahwinan tersebut mestilah bebas daripada segala perkara yang boleh menghalang keabsahan perkahwinan. Sebagai contoh pasangan suami isteri bukanlah terdiri daripada mahram antara satu sama lain sama ada disebabkan nasab, penyusuan atau persemendaan (Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 2/480-481).[1] Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah adalah sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-Nisa’: (23)
Mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya. Para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya. Demikian juga diharamkan melakukan persetubuhan dengannya. Mahram terjadi melalui sebab pertalian darah, penyusuan dan persemendaan. Antara golongan yang diharamkan berkahwin dengan sebab pertalian darah ialah ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dan anak saudara perempuan (Rujuk Nihayah al-Mathlab, 12/222).[2]
Oleh yang demikian, jelas bahawa diharamkan bagi seorang ayah menikahi anak perempuannya dan ke bawah iaitu cucu perempuan dan seterusnya. Hal ini sabit secara jelas melalui nas daripada al-Quran.
Perkara ini turut dijelaskan di dalam Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Bahagian II – Perkahwinan
Seksyen 9. Pertalian yang melarang perkahwinan (1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan—
(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;[3]
Selain itu turut disebutkan di bawah Seksyen 11 mengenai perkahwinan tidak sah iaitu suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah.[4]
STATUS PERKAHWINAN DAN PENASABAN ANAK
Sorotan daripada peristiwa ‘bapa kahwin dengan anak’, dalam isu ini bapa tersebut telah berzina dengan anak kandungnya sendiri. Namun, perbuatan tersebut tidak boleh 'diselamatkan' dengan perkahwinan kerana syarak tidak membenarkan perkahwinan sesama mahram. Situasi perkahwinan sebegini tidak sah di sisi syarak dan tidak diiktiraf dalam undang-undang. Oleh yang demikian, ia tidak membawa apa-apa kesan syarak seperti penasaban anak, perwalian, pewarisan harta dan seumpamanya.
Bahkan perbuatan persetubuhan yang berlaku melalui perkahwinan yang tidak sah ini dihukumkan sebagai zina atau dikenali sebagai perbuatan sumbang mahram dalam erti kata hari ini. Perbuatan sebegini jelas melanggar kemulian agama, merosakkan nasab dan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga. Di dalam agama, zina adalah suatu dosa besar yang dimurkai oleh Allah dan membawa kerosakan yang sangat besar kepada masyarakat apatah lagi sekiranya zina itu berlaku sesama mahram. Ibn Hajar al-Haitami mengatakan zina yang paling keji ialah zina yang dilakukan dengan ahli keluarga sendiri. Perbuatan ini sangat keji kerana seseorang yang perlu melindungi ahli keluarganya sendiri tetapi sebaliknya berlaku penganiayaan terhadap mereka (Rujuk: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/159).[5]
Lebih menakutkan sekiranya persetubuhan sebegini membawa kepada kehamilan. Bagaimana dengan status anak yang lahir daripada perhubungan sebegini? Status anak tersebut adalah sama dengan status anak zina yang mana dia dinasabkan kepada ibunya dan tidak boleh sama sekali dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/3).[6] Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
الولد للفراش وللعاهر الحجر
Maksudnya: “(Nasab) Anak itu milik hamparan (perkahwinan yang sah). Sedangkan bagi penzina tiada apa-apa hak”.
Riwayat al-Bukhari (6749) dan Muslim (1457)
Sehubungan dengan itu, antara faktor yang membawa kepada sumbang mahram adalah batas-batas pergaulan sesama keluarga yang tidak dihiraukan. Dua saudara yang duduk berdua-duaan di tempat sunyi dan tidak menghiraukan larangan agama boleh membawa kepada berlakunya sumbang mahram. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam mensyarah hadis إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ menyebut bahawa diharuskan duduk berdua-duaan dengan sesama mahram dan dibolehkan juga memandang mereka walaupun tanpa hajat. Namun, haram sekiranya mereka melihat dalam keadaan syahwat (keinginan nafsu). (Rujuk: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/105)[7]
Begitu juga program atau pesta yang menaikkan nafsu menerusi pergaulan lelaki dan wanita dengan pakaian yang menjolok mata juga dapat mendorong perlakuan sumbang mahram. Batas pergaulan yang sudah melampaui had-had yang dianjurkan menyebabkan nafsu semakin sukar dikawal apabila kemiskinan mencengkam keluarga itu yang menyebabkan mereka terpaksa tinggal di rumah yang sempit tanpa ada bilik yang sesuai khususnya bagi anak gadis yang sedang membesar.
Justeru, kurangnya pendidikan agama menyebabkan sesetengah keluarga langsung tidak mengamalkan kehidupan yang dianjurkan oleh islam dimana mereka lebih bermegah dengan cara hidup kebaratan yang dianggap lebih maju. Dalam Islam contohnya, tidak menggalakkan anak lelaki dan anak perempuan dewasa tidur di dalam satu bilik yang sama. Majoriti ulama fiqah berpendapat bahawa bapa atau wali wajib memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun.(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/33)[8]
Seterusnya, Islam menganjurkan supaya mengajar kepada mereka memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak, kerana pada waktu-waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.[9]
Tambahan pula, batas pergaulan diantara bapa dan anak perempuan juga perlu ditekankan di mana sesetengah keluarga moden yang menganggap ciuman dan pelukan anak perempuan dewasa kepada bapanya adalah sesuatu yang biasa. Namun jika tidak ada batasan yang berlandaskan peraturan Islam maka ia mampu mendorong berlakunya perhubungan sumbang mahram. Imam Ibn Naja menyebut bahawa mencium mahram diharuskan selagi tidak mendatangkan syahwat namun ciuman tersebut tidak boleh sama sekali dilakukan pada mulut. (Rujuk al-Iqna’ fi Fiqh Mazhab Imam Ahmad 160/3)[10]
Selain itu, Pakaian yang tidak menutup aurat (menghairahkan) semasa berada di rumah juga boleh menyumbang kepada sumbang mahram. Oleh kerana itu menurut mazhab Syafi’e meskipun aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 1/125)[11]
KESIMPULAN
Kejadian seperti bapa berkahwin dengan anak atau kes sumbang mahram yang berleluasa dalam masyarakat hari ini menjadi petanda aras keruntuhan moral dan kurangnya penghayatan agama. Di dalam fiqah Islam, terdapat konsep mahram yang mengatur hubungan sosial di antara individu-individu yang mempunyai pertalian darah, penyusuan atau perkahwinan. Seseorang itu tidak sepatutnya menjalinkan hubungan percintaan atau perkawinan sesama mahram. Apatah lagi ahli keluarga yang sepatutnya melindungi antara satu sama lain tetapi sebaliknya mengkhianati tugas tersebut malah mencipta kerosakan dalam keluarga sendiri. Ingatlah bahawa para suami atau bapa memikul tugas yang besar untuk memandu keluarganya demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Hal tersebut menjadi suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.
Sementara itu, peningkatan kes sumbang mahram ini merupakan satu jenayah yang serius dan perlu ditangani dengan segera. Oleh itu, dalam masalah ini, selain mengenakan hukuman kepada penjenayah sumbang mahram, penekanan betapa pentingnya pencegahan dan pengawalan juga harus diambil kira. Demi menjamin kesejahteraan komuniti dalam sesebuah negara, tindakan-tindakan yang sewajarnya harus dibuat secara berterusan agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, bertatasusila serta bertamadun.
[1] فصل في أركان النكاح وهي خمسة صيغة وزوجة وزوج وولي وهما العاقدان وشاهدان وعلى الأخيرين وهما الولي
القول في شروط الزوجة ومما تركه من الأركان أيضا الزوجة وشرط فيها حل وتعيين وخلو من نكاح وعدة فلا يصح نكاح محرمة للخبر السابق ولا إحدى امرأتين للإبهام ولا منكوحة ولا معتدة من غيره لتعلق حق الغير بها
القول في شروط الزوج ومما تركه من الأركان أيضا الزوج وشرط فيه حل واختيار وتعيين وعلم بحل المرأة له فلا يصح نكاح محرم ولو بوكيل للخبر السابق
[2] ثم قال تعالى: {وَبَنَاتُكُم} [النساء: 23]، فبنتك المحرمة: كل أنثى انتسبَتْ إليك بالولادة من غير واسطة [أو] (2) وسائط، لا فرق بين أن تكون الوسائط ذكوراً، أو إناثاً، أو مختلطين، فيدخل تحت ذلك بنات الصلب، وبنات البنين، وبنات البنات، وإن سفلن.
[3]http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/3f3241addc5c7bd848256fd50007a238?OpenDocument
[4]http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/5e78e97f68cd2b7f48256fd50008058c?OpenDocument
[5] وَأَعْظَمُ الزِّنَا عَلَى الْإِطْلَاقِ الزِّنَا بِالْمَحَارِمِ
وَعُلِمَ مِنْ ذَلِكَ أَيْضًا أَنَّ الزِّنَا لَهُ مَرَاتِبُ : فَهُوَ بِأَجْنَبِيَّةٍ لَا زَوْجَ لَهَا عَظِيمٌ ، وَأَعْظَمُ مِنْهُ بِأَجْنَبِيَّةٍ لَهَا زَوْجٌ ، وَأَعْظَمُ مِنْهُ بِمَحْرَمٍ
[6] ونسب الولد من أمه ثابت في كل حالات الولادة شرعية أو غيرشرعية، أم نسب الولد من أبيه، فلا يثبت إلا من طريق الزواج الصحيح أو الفاسد، أو الوطء بشبهة، أو الإقرار بالنسب، وأبطل الإسلام ما كان في الجاهلية من إلحاق الأولاد عن طريق الزنا، فقال صلّى الله عليه وسلم : «الولد للفراش، وللعاهر الحجر» (1) ومعناه أن الولد يلحق الأب الذي له زوجية صحيحة، علماً بأن الفراش هو المرأة في رأي الأكثر، وقد يعبر به عن حالة الافتراش، وأما الزنا فلا يصلح سبباً لإثبات النسب، وإنما يستحق الزاني العاهر الرجم أو الطرد بالحجارة.
[7] وَكَذَا يَجُوزُ لِكُلِّ هَؤُلَاءِ الْخَلْوَةُ بِهَا وَالنَّظَرُ إِلَيْهَا مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ وَلَكِنْ لَا يَحِلُّ النَّظَرُ بِشَهْوَةٍ لِأَحَدٍ مِنْهُمْ هَذَا مَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَالْجُمْهُورِ
[8] ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّهُ يَجِبُ التَّفْرِيقُ بَيْنَ الصِّبْيَانِ فِي الْمَضَاجِعِ وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
[9] Surah al-Nur (58)
[10] ولا بأس للقادم من سفر بتقبيل ذوات المحارم إذا لم يخف على نفسه لكن لا يفعله على الفم بل الجبهة والرأس
[11] وأما عند الرجال المحارم لها: فما بين السرة والركبة، أي فيجوز لها أن تبدي سائر أطراف جسمها أمامهم بشرط أمن الفتنة وإلا فلا يجوز ذلك أيضاً