MUKADIMAH
Perkahwinan adalah bentuk penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam. Menerusi hubungan inilah suami dan isteri mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka. Namun, di dalam dunia moden pada masa kini telah wujud 'trend' atau fenomena di mana terdapat pasangan suami dan isteri yang ‘bagi pinjam’ atau saling ‘bertukar-tukar’ pasangan di antara rakan-rakan mereka untuk bersekedudukan.
Terbaharu, tular di media sosial wujudnya ‘swinger group’ ataupun budaya bertukar pasangan antara suami isteri di Facebook untuk tujuan persetubuhan. Masyarakat Islam di Malaysia yang sangat cakna dengan isu ini mula memberikan pelbagai komentar dan pandangan. Perkara ini jelas dilihat bercanggah dengan pegangan amalan Islam. Justeru, Bayan Linnas kali ini akan mengupas isu "Tukar Pasangan Suka Sama Suka" menurut perspektif syarak.
Islam satu agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, tidak bertentangan dengan kehendak-kehendak naluri dan perasaan mereka. Malah Islam memandu mereka untuk mencapai nikmat hidup. Malangnya manusia sering kali terpengaruh dengan godaan hawa nafsu yang mendorong mereka untuk melakukan kejahatan, sering melakukan perbuatan yang melanggar syariat Islam dan batas-batas kesopanan serta dasar-dasar akhlak yang mulia.
HIKMAH DAN PENSYARIATAN PERKAHWINAN
Dr. Abdul Karim Zaidan menyebut bahawa keluarga umpama sel-sel yang membentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak. (Rujuk: Usul al-Dakwah, hlm 108)[1]
Pensyariatan perkahwinan mempunyai hikmah yang sangat banyak bukan hanya berfungsi sebagai memenuhi kehendak biologi semata-mata, malah lebih tinggi dan mulia sifatnya. Antaranya ialah untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman, memelihara kesucian diri, melaksanakan salah satu tuntutan syariat, menjaga keturunan yang suci, malah menjadi medan madrasah pertama pentarbiyahan anak-anak yang merupakan saham kepada mereka. Islam menganjurkan perkahwinan adalah sebagai bukti meraikan fitrah manusia untuk hidup berpasangan, agar dapat menyalurkan kasih sayang dan nafsu dengan cara yang betul dan berhikmah. Menerusi ikatan ini secara tidak langsung ia akan menjaga diri seseorang dari tunduk kepada pujukan dan hasutan syaitan dan dapat menjaga hawa nafu daripada terjerumus ke lembah zina yang keji. Ia juga mampu menundukkan atau memalingkan pandangan mata daripada melihat kepada yang haram sekaligus memelihara kemaluan dari melakukan hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT.. Firman Allah SWT:
۞هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَجَعَلَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا لِيَسۡكُنَ إِلَيۡهَاۖ فَلَمَّا تَغَشَّىٰهَا حَمَلَتۡ حَمۡلًا خَفِيفٗا فَمَرَّتۡ بِهِۦۖ فَلَمَّآ أَثۡقَلَت دَّعَوَا ٱللَّهَ رَبَّهُمَا لَئِنۡ ءَاتَيۡتَنَا صَٰلِحٗا لَّنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّٰكِرِينَ
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur.”
Surah al-A’raf (189)
Ayat ini menunjukkan bahawa suami dan isteri diciptakan untuk saling mewujudkan ketenangan, kedamaian dan tenteram hasil daripada hubungan mesra sesama mereka. Kebahagian dirasai apabila pasangan bebas untuk duduk bersama, saling memandang dan melepaskan rindu tanpa ada kebimbangan terhadap dosa dan maksiat serta pandangan daripada masyarakat. Hasil daripada ketenteraman ini pula dapat membantu pasangan tersebut untuk terus beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu, dalam perkahwinan ini juga dapat melatih pasangan tersebut menjalankan fungsi sosial. Antaranya ialah mewujudkan sifat kepimpinan dalam diri suami sebagai ketua rumah tangga untuk menentukan hala tuju keluarganya, menanamkan sifat kebersamaan dalam menghadapi sebarang cabaran rumah tangga, serta menjadikan pasangan ini matang di dalam membuat sesuatu keputusan keluarga. Demikian juga, melatih suami dan isteri agar terus bersikap sabar dengan karenah pasangan dan anak-anak serta saling bantu membantu dalam mencari nafkah keluarga. Semua perkara ini perlu digalas dengan sebaik mungkin dan perancangan yang rapi kerana ia bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
SUAMI ISTERI NUSYUZ
Abu al-A’la al-Maududi menyebut di dalam kitabnya bahawa nusyuz bukan hanya berlaku di pihak isteri, malah berlaku juga di sebelah suami dan juga melalui kedua-duanya apabila timbulnya pengabaian dalam menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan isteri )Rujuk: Huquq al-Zaujain, hlm 44)
Justeru dalam hal ini, suami telah membiarkan isteri terjebak ke lembah perzinaan bahkan isterinya juga ingin melakukan perkara mungkar yang dilarang oleh syarak. Penjelasan hal ini kami telah huraikannya di dalam artikel yang berikut:
- Nusyuz Bagi Seorang Suami: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4005-irsyad-al-fatwa-siri-ke-371-nusyuz-bagi-seorang-suami.
- Hukum Suami Membiarkan Isteri Berzina: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2695-irsyad-al-fatwa-siri-ke-259-suami-biar-isteri-berzina.
Oleh hal demikian, suami seharusnya bertanggungjawab untuk menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka dengan membimbing mereka mentaati-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظ شِدَاد لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNy kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Surah al-Tahrim (6)
Said Qutub menjelaskan ayat di atas bahawa tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam rumah tangga menyelamatkan diri dan keluarganya dari dijilat api neraka Allah SWT. Tugas ini bukan tugas yang ringan, bahkan tugas ini merupakan tugas yang berat.
(Rujuk: Fi Zilal al-Quran, 6/3618)[2]
LARANGAN ZINA DAN KEROSAKANNYA
Tukar pasangan suka sama suka adalah suatu perkara yang bercanggah dengan moral dan etika Islam. Hal ini disebabkan Islam menggariskan peraturan dan tatacara tertentu dalam perhubungan manusia. Islam menghalalkan persetubuhan lelaki dan wanita tetapi mestilah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak iaitu perkahwinan. Perbuatan tukar pasangan suka sama suka ini adalah suatu bentuk zina yang sangat dikeji. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah suatu yang keji dan seburuk-buruk jalan”.
Surah al-Isra’ (32)
Para ulama bersepakat menyatakan zina termasuk dalam kategori dosa besar. Bahkan zina adalah suatu perbuatan yang berkait rapat dengan kesempurnaan dan kelemahan iman seseorang. Seseorang tidak akan berzina dalam keadaan sempurna imannya. Perbuatan zina bukan hanya dikeji mengikut pertimbangan syarak malah dipandang buruk oleh akal yang waras mahupun adat kehidupan manusia.
Antara hikmah pengharaman zina ialah penjagaan nasab iaitu salah satu daripada maqasid syariah. Islam sangat menjaga nasab dan keturunan manusia. Penjagaan nasab inilah yang menjaga hak-hak manusia seperti boleh dinasabkan kepada bapa, boleh mewarisi harta serta boleh diwalikan oleh bapa kandungnya. Perbuatan zina adalah suatu bentuk pengkhianatan kepada nasab sehingga menyebabkan anak zina tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Hal ini berdasarkan hadis nabi SAW:
الولد للفراش وللعاهر الحجر
Maksudnya: “(Nasab) Anak itu milik hamparan (perkahwinan yang sah). Sedangkan tiada hak bagi penzina”.
Riwayat al-Bukhari (6749) dan Muslim (1457)
Justeru, hal ini jelas menujukkan bahawa perbuatan zina bukan hanya merosakkan dirinya bahkan boleh merosakkan keturunannya. Maka tidak hairanlah Islam meletakkan hukuman yang sangat berat bagi penzina. Orang yang berzina dikenakan hukuman seratus kali sebatan bagi yang belum berkahwin dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Para ulama menegaskan bahawa beratnya hukuman untuk penzina adalah disebabkan beratnya kerosakan akibat daripada perbuatan tersebut.
Selain itu, Nabi SAW mengingatkan kita bahawa zina membawa keburukan yang besar kepada seseorang sama ada di dunia dan di akhirat. Orang yang berzina akan dihilangkan kemuliaan dirinya, dipendekkan umurnya serta mewarisi kefakiran ketika di dunia. Manakala di akhirat pula dia mendapat kemurkaan Allah, hisab yang buruk serta mendapat azab api neraka (Rujuk: Tafsir al-Maraghi, hlm. 69).[3] Imam Ato’ di dalam tafsirnya menyebutkan antara sifat neraka jahanam ialah ia mempunyai bau yang sangat busuk dan bau itu berasal daripada kemaluan penzina (Rujuk: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/158).[4]
Oleh yang demikian isu tukar pasangan suka sama suka termasuk dalam perbuatan zina yang sangat dikeji oleh agama apatah lagi sekiranya dilakukan oleh suami atau isteri seseorang. Zina bukan hanya membawa kerosakan kepada diri tetapi ia turut membawa kerosakan yang besar kepada institusi keluarga dan sistem sosial masyarakat. Nabi SAW turut mengingatkan berkenaan hal ini di dalam hadisnya:
مَا ظَهَرَ فِي قَوْمٍ الزِّنَا وَالرِّبَا إلَّا أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Tidaklah berleluasa perbuatan zina dan riba di dalam suatu kaum melainkan mereka membenarkan azab Allah (turun ke atas mereka)”.
Riwayat al-Tabrani (462) dan al-Hakim (2261)
Hal ini turut dibuktikan melalui kajian saintifik moden yang menyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan seks bebas atau sering bertukar pasangan terdedah kepada beberapa penyakit kelamin seperti aids.
PENUTUP
Pembinaan keluarga yang mulia adalah suatu teras yang penting kepada struktur masyarakat yang berakhlak dan bertamadun, begitu juga sebaliknya. Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya mendidik isteri untuk sama-sama menunaikan ketaatan kepada Allah. Justeru takutlah kepada Allah dalam meninggalkan perbuatan keji dan zina. Sekiranya kita sudah terlanjur dalam melakukan perkara maksiat maka segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa masih dikandung badan. Marilah kita sama-sama kembali menghayati dan menghidupkan agama dalam diri dan keluarga kita. Hanya takwa dan iman yang mampu menyelamatkan kehidupan kita khusus dalam mendepani fitnah akhir zaman ini.
[1] الأسرة هي أساس كيان المجتمع، لأن من مجموعها يتكون المجتمع فهي بالنسبة له كالخلية لبدن الإنسان، ويترتب على ذلك أن الأسرة إذا صلحت صلح المجتمع وإذا فسدت فسد المجتمع.
[2] إن تبعة المؤمن في تفسه وفي أهله تبعة ثقيلة رهيبة. فالنار هناك وهو متعرض لها هو وأهله وعليه أن يحول دون نفسه وأهله ودون هذه النار التي تنتظر هناك. إنها نار.
[3] يَا مَعْشَرَ النَّاسِ اتَّقُوا الزِّنَا فَإِنَّ فِيهِ سِتَّ خِصَالٍ ثَلَاثٌ فِي الدُّنْيَا وَثَلَاثٌ فِي الْآخِرَةِ ، أَمَّا الَّتِي فِي الدُّنْيَا : فَيُذْهِبُ الْبَهَاءَ وَيُورِثُ الْفَقْرَ وَيَنْقُصُ الْعُمُرَ ؛ وَأَمَّا الَّتِي فِي الْآخِرَةِ فَسَخَطُ اللَّهِ وَسُوءُ الْحِسَابِ وَعَذَابُ النَّارِ
[4] وَهِيَ عَنْ عَطَاءٍ فِي تَفْسِيرِ قَوْله تَعَالَى عَنْ جَهَنَّمَ : { لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَابٍ } أَشَدُّ تِلْكَ الْأَبْوَابِ غَمًّا وَكَرْبًا وَحَرًّا وَأَنْتَنُهَا رِيحًا لِلزُّنَاةِ .