اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE–246: BERSAMA KITA MENJAGA NEGARA

Bayan Linnas 246

Mukadimah

Pada 22 Ogos 2021, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri ke-9, telah mengumumkan sebuah konsep pembentukan dan tema pentadbiran beliau bagi tahun 2021 iaitu Keluarga Malaysia, sebagai langkah memulihkan negara secara bersama dan mewujudkan pendekatan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Beliau berkata: “Rakyat Malaysia seharusnya bertindak sebagai sebuah keluarga dalam memastikan negara ini kembali bangkit dalam mendepani wabak Covid-19.”[1]

Konsep Keluarga Malaysia telah menggariskan tiga teras utama dan 20 pengayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan YAB Perdana Menteri, untuk bekerja secara bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik ini.

Sehubungan dengan itu, kami Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) terpanggil bagi memberikan sedikit buah pandangan berkenaan perkara ini, sekali gus menyambut baik konsep yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri. Oleh itu, kami kongsikan dalam Bayan Linnas kali ini dengan tajuk “Bersama Kita Menjaga Negara.”

‘Keluarga Malaysia’ Konsep yang Merentasi Sempadan

Pendekatan Keluarga Malaysia diperkenalkan kerana ia dilihat lebih bersifat inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa, latar belakang dan fahaman politik dalam kalangan masyarakat majmuk demi keutuhan dan keharmonian negara Malaysia. Secara umumnya, pemilihan istilah keluarga ini pastinya membawa konotasi positif kerana keluarga merupakan institusi penting dalam proses pembentukan sebuah masyarakat yang unggul dan luhur.[2]

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya:Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Surah al-Hujurat (13)

Ayat ini menjadi salah satu petunjuk dalam membina hubungan yang baik sesama insan atas muka bumi ini. Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa, daripada seorang ibu dan seorang ayah serta tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.[3]

Selain itu, hubungan dan kesatuan antara sesama manusia juga adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (humanity). Hal ini adalah bertitik tolak daripada asal usul manusia yang berasal daripada usul yang sama iaitu Nabi Adam A.S. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ فَمُسْتَقَرٌّ وَمُسْتَوْدَعٌ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ

Maksudnya:Dan Dialah yang mencipta kamu daripada diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).

Surah al-An‘am (98)

Menurut Wahbah al-Zuhaili, antara tanda kebesaran Allah SWT yang dapat dilihat daripada diri seorang manusia ialah asalnya Allah SWT telah menciptakan umat manusia daripada satu jiwa iaitu Nabi Adam A.S, yang kemudiannya berkembang biak menjadi semakin ramai.[4]

Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan, keadilan, toleransi, menolak sebarang kezaliman dan seumpamanya menjadi asas penting dalam memandu masyarakat majmuk ke arah pembentukan sebuah negara yang harmoni.

Seterusnya, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini juga mempunyai visi dan hala tuju iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat Covid-19. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Ma’idah (2)

Allah SWT memerintahkan setiap individu untuk saling bantu membantu antara satu sama lain dalam hal kebaikan, lebih-lebih lagi apabila kebaikan itu turut melibatkan ramai pihak dan menjamin keharmonian masyarakat majmuk dalam negara kita. Oleh yang demikian, konsep yang dibawa ini bertepatan dengan ruh Islami yang seharusnya diterap dan ditanam dalam diri setiap individu Muslim.

Penerapan Nilai Dalam ‘Keluarga Malaysia’

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini terdiri daripada tiga teras utama dan 20 nilai-nilai kemanusiaan. Tiga teras utama itu ialah:

  • Keterangkuman (Inclusivity)
  • Kebersamaan (Common Ground)
  • Kesyukuran (Contentment)

Manakala nilai-nilai yang diketengahkan pula meliputi hal integriti, sikap amanah, prinsip keadilan, amalan bermusyawarah, penerapan budaya ilmu, komunikasi berhemah, pembinaan akhlak mulia, nilai kebertanggungjawaban, membudayakan amalan ihsan, mengekalkan suasana harmoni, menyemai budaya khidmat sesama ahli, menjaga kehormatan dan maruah, menyemai semangat prihatin, menerap sifat sabar, memupuk semangat keamanan dan kesejahteraan, menjaga keimanan, membudayakan amalan sihat fizikal dan mental, berkasih sayang, bersikap hormat dan taat.[5] 

Maka, melihat kepada setiap teras dan nilai-nilai yang ingin diterapkan, menunjukkan bahawa ia amat signifikan dan selari dengan apa yang ditekankan oleh syariat Islam. Kesemua nilai ini telah ditekankan dan dianjurkan dalam Islam melalui nas al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini sewajarnya disambut baik oleh semua pihak, bukan sahaja di pihak pemerintah, malah setiap lapisan masyarakat perlu turut serta menyumbang khidmat dan usaha bagi merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, seterusnya menjayakan visi dan matlamat yang ingin dicapai bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara tercinta Malaysia terus terjaga dan terpelihara. 

Perutusan berhubung kebenaran merentas negeri

Sebelum ini, pihak kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan bahawa semua kegiatan rentas negeri dan daerah di seluruh Malaysia tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). Larangan ini dibuat demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, meskipun ia merupakan satu keputusan yang sukar kerana ada pasangan dan ibu bapa yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga dalam tempoh yang terlalu lama.

Akhirnya, pada 10 Oktober 2021, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk anggota Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu lagi memohon kebenaran daripada PDRM bermula pada hari Isnin, 11 Oktober 2021. Sekalipun begitu, turut diingatkan kepada sekalian ahli ‘Keluarga Malaysia’ agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Hal ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula sektor ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.[6]

Oleh itu, kami menyambut baik saranan kerajaan yang menekankan penjagaan SOP di kala aktiviti merentas negeri dibenarkan. Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, selaras dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.”

Surah al-Nisa’ (59)

Maka, patuhilah arahan dan ketetapan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan. Hal ini kerana, setiap arahan dan perintah yang dikeluarkan itu semestinya bersandarkan kepada kebaikan dan kemaslahatan buat rakyat jelata. Kaedah fiqh menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan (polisi) pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.”[7]

Begitu juga, Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa wajib mentaati arahan dan larangan daripada pihak pemerintah selagi mana tidak bercanggah dengan syarak,[8]  lebih-lebih lagi pada arahan yang mempunyai kemaslahatan kepada umum.

Akhir kalam, kami berdoa agar usaha kerajaan bagi merealisasikan ‘Keluarga Malaysia’ dapat tercapai dan terlaksana dengan jayanya. Sehubungan dengan itu juga, kami menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat, sama ada dalam atau luar kerajaan untuk sama-sama berganding bahu dalam usaha memulihkan semula keadaan negara kepada keadaannya yang asal, bahkan lebih baik lagi daripada sebelumnya. Pada masa yang sama, kita hendaklah mematuhi SOP dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib, tanpa bersikap mementingkan diri sehingga mengakibatkan kemudaratan dan membandingkan perbezaan antara satu sama lain. Wallahua‘lam.

[1] Lihat: https://my.lifenewsagency.com/2021/08/22/keluarga-malaysia-tema-pentadbiran-ismail-sabri/, laman web diakses pada 18 Oktober 2021.

[2] Lihat: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/09/859648/perjelas-konsep-keluarga-malaysia-elak-dianggap-retorik-kosong, laman web diakses pada 18 Oktober 2021; Ratna Roshida Abd Razak & Nik Haslinda Nik Hussain, Peranan Institusi Keluarga dalam Penjanaan Bangsa Bertamadun, Jurnal Kemanusiaan, bil.9, Jun 2007.

[3] Abu al-Qasim Mahmud bin ‘Amr al-Zamakhsyari, al-Kassyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, cetakan ke-3, 1407H), 4/374.

مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثى من آدم وحوّاء. وقيل: خلقنا كل واحد منكم من أب وأمّ، فما منكم أحد إلا وهو يدلى بمثل ما يدلى به الآخر سواء بسواء، فلا وجه للتفاخر والتفاضل في النسب.

[4] Al-Zuhaili, Wahbah, al-Tafsir al-Wajiz ‘ala Hamisy al-Quran al-‘Azim wa ma‘ahu Asbab al-Nuzul wa Qawa‘id al-Tartil, (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-2, 1996), hlm. 141.

وأما آيات النفس فالله خلقكم من نفس واحدة هي آدم عليه السلام، ثم تكاثرتم

[5] Pejabat Perdana Menteri, Keluarga Malaysia, lihat: http://www.kkr.gov.my/public/eBook%20Keluarga%20Malaysia_0.pdf, diakses pada 18 Oktober 2021.

[6] Lihat: https://www.pmo.gov.my/2021/10/teks-ucapan-sidang-media-khas-yab-perdana-menteri-10-oktober-2021/, diakses pada 18 Oktober 2021.

[7] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa, al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, (Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2006), 1/493.

[8] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1357H), 3/71.

تَجِبُ طَاعَةُ الْإِمَامِ فِي أَمْرِهِ وَنَهْيِهِ مَا لَمْ يُخَالِفْ الشَّرْعَ أَيْ بِأَنْ لَمْ يَأْمُرْ بِمُحَرَّمٍ وَهُوَ هُنَا لَمْ يُخَالِفْهُ؛ لِأَنَّهُ إنَّمَا أَمَرَ بِمَا نَدَبَ إلَيْهِ الشَّرْعُ وَقَوْلُهُمْ يَجِبُ امْتِثَالُ أَمْرِهِ