اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-256: ADAKAH JENAYAH KORUPSI DAN RASUAH BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN MATI?

Template Bayan Linnas PMWP page 001

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ada pertanyaan berkenaan hukuman terhadap kesalahan jenayah yang melibatkan rasuah serta korupsi menurut Islam. Setahu saya, hukuman kepada rasuah ni tiada dalam hukuman hudud, jadi ia akan jatuh kepada hukuman takzir la kan? Kalau hukuman takzir ni kira apa-apa hukuman yang sesuai atas keputusan mahkamah dan pemerintah. Maka persoalan saya, bolehkah pemerintah menjatuhkan sehingga hukuman mati kepada kesalahan rasuah dan korupsi? Mohon penjelasan daripada tuan mufti berkenaan isu ini.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Rasuah dan korupsi merupakan jenayah yang termasuk dalam kategori hukuman takzir. Jumhur ulama seperti Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa had hukuman takzir tidak boleh melebihi had hukuman hudud, manakala Imam Malik pula berpendapat tiada had bagi hukuman takzir. Walaupun begitu, Imam Abu Hanifah mengharuskan hukuman mati dalam kes jenayah berat yang melibatkan kenegaraan ataupun kepentingan masyarakat awam yang besar. Dalam permasalahan ini, kita harus lihat sebesar manakah kadar jenayah korupsi dan rasuah itu dilakukan, kesan buruk kesalahan tersebut kepada masyarakat awam, dan apakah indikator kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati. Maka atas kebijaksanaan pemerintah (Ulil Amri) untuk menentukan hukuman yang setimpal dengan kadar korupsi tersebut. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Dalam permasalahan korupsi dan rasuah pada zaman kini, antara faktor yang boleh diambil kira adalah kedua-dua jenayah tersebut merupakan dosa besar menurut Islam. Allah SWT telah memberi amaran terhadap perbuatan terkutuk ini menerusi firman-Nya:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Surah al-Baqarah (188)

Hukuman terhadap kesalahan rasuah dan korupsi tidak termasuk di dalam hukuman hudud, maka ia dikategorikan sebagai hukuman takzir. Had hukuman takzir merupakan khilaf di kalangan ulama mazhab. Jumhur ulama mazhab seperti Imam Syafii, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah berpegang kepada asas hukuman takzir tidak boleh melebihi had minimum hukuman hudud iaitu hukuman 80 sebatan kepada peminum arak.[1] Manakala Imam Malik pula berpegang bahawa tiada had dalam melaksanakan hukuman takzir, maka dibenarkan untuk menjalankan had hukuman takzir sama ada kurang atau lebih banyak daripada had hukuman hudud.[2]

[Lihat: Fiqh al-Jina’i fil Islam, 4/422-423]

 

Menurut salah seorang ulama mutakhir Syafi’iyyah, Syeikh Abdul Rahman al-Ba’lawi, hukuman mati terhadap pembesar-pembesar negara kerana menzalimi rakyat adalah dibolehkan. Mereka ini dikiaskan sebagai lebih berbahaya daripada binatang buas di mana kemudharatan yang dibawa adalah lebih besar.[3]

[Lihat: Bughyah al-Mustarsyidin, 410]

 

Syeikh Abdul Karim Zaidan pula berkata terdapat kesalahan-kesalahan yang dibenarkan pelakunya untuk dibunuh, antaranya seperti kesalahan pengintip (melibatkan kenegaraan) yang mana dipersetujui oleh Imam Malik dan sebahagian ulama Hanabilah. Seterusnya kesalahan yang dilakukan berulang kali di mana jenis kesalahan itu membahayakan dan pelakunya layak untuk dibunuh; seperti kesalahan meliwat dan membunuh manusia demi mencuri hartanya. Demikian juga kesalahan yang mana tidak dapat disekat perbuatannya kecuali dengan dijatuhkan hukuman mati, seperti kesalahan memecah belahkan umat Islam dalam kenegaraan.[4]

[Lihat: Usul al-Dakwah, 295]

Persoalan yang boleh kita kemukakan daripada hujah di atas, adakah jenayah korupsi dan rasuah boleh dimasukkan dalam kategori kesalahan yang melibatkan kenegaraan? Syeikh Abu Zahrah berpendapat kesalahan mengambil harta orang dengan cara yang batil atau apa yang serupa dengannya, dimana jika dilakukan secara berterusan akan merosakkan negara dan masyarakat. Ini disebabkan tersebarnya budaya korup, hilangnya hak orang miskin yang memerlukan harta tersebut, para pelaku tidak menghormati keadilan, tersebarnya kezaliman, berlaku kerosakan kepada nusa dan bangsa, dan kekuasaan akan dipegang oleh orang-orang yang hidup dalam golongan korup tersebut.[5] 

[Lihat: Zahrah al-Tafasir al-Mualaf, 2/568]

Mengikut justifikasi dan hujah di atas, maka kesalahan korupsi dan rasuah boleh dimasukkan dalam kategori jenayah yang melibatkan kenegaraan kerana melibatkan hak masyarakat awam. Berbalik kepada persoalan hukuman kepada kesalahan korupsi, Imam Abu Hanifah merupakan ulama yang berpendapat had hukuman takzir tidak boleh melebihi had hukuman hudud, namun beliau mempunyai pendapat berbeza dalam isu yang melibatkan jenayah yang besar.

Beliau berpendapat diharuskan hukuman mati terhadap kesalahan-kesalahan dan jenayah besar yang dilakukan berulang kali, serta kesalahan yang setimpal dengan balasan kematian. Contohnya kesalahan hukuman mati kepada jenayah kecurian dan rompakan yang berterusan, kesalahan pengintipan yang menggugat kedaulatan negara, kesalahan pemecah belah masyarakat orang Islam, kesalahan desakan atau seruan untuk mengikut kepada selain Allah SWT dan Rasulullah SAW, dan kesalahan jenayah yang tidak boleh dibalas kecuali dengan hukuman mati.[6]

[Lihat: Fiqh al-Maisir, 7/209-201]

Maka menjadi tanggungjawab yang besar kepada hakim dan pemerintah dalam menilai sesuatu jenayah yang melibatkan kenegaraan, serta memerlukan penelitian yang tinggi dalam mengkaji sesuatu kes. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:

  تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Tindakah yang diputuskan pemerintah hendaklah berdasarkan kemaslahatan rakyat”.[7]

 

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, rasuah dan korupsi merupakan jenayah yang termasuk dalam kategori hukuman takzir. Jumhur ulama seperti Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa had hukuman takzir tidak boleh melebihi had hukuman hudud, manakala Imam Malik pula berpendapat tiada had bagi hukuman takzir. Walaupun begitu, Imam Abu Hanifah mengharuskan hukuman mati dalam kes jenayah berat yang melibatkan kenegaraan ataupun kepentingan masyarakat awam yang besar. Dalam permasalahan ini, kita harus lihat sebesar manakah kadar jenayah korupsi dan rasuah itu dilakukan, kesan buruk kesalahan tersebut kepada masyarakat awam, dan apakah indikator kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati. Maka atas kebijaksanaan pemerintah (Ulil Amri) untuk menentukan hukuman yang setimpal dengan kadar korupsi tersebut. Wallahua’lam.

 

 

 

 

[1] Amir Abdul Aziz, Al-Fiqh al-Jina’i fil Islam, (Kaherah: 2010), Cetakan Darul Salam.

فقد ذهب الإمام أبو حنيفة والشافعي في الظاهر من مذهبه وأحمد في الراجح من قوليه إلى أن أكثره من حيث الضرب تسعة وثلاثون سوطا في الحر. والأصل في ذلك: أن لا يتجاوز التعزير أدنى حد مشروع وهو حد الشرب.

[2] Ibid. 

أما الإمام مالك, فإنه لا حد عنده لأكثر التعزير, فيجوز أن يتجاوز التعزير عنده أكثر الحدود. يقول ابن جزي في هذا الصدد: يجوز في مذهب التعزير بمثل الحدود, وأقل وأكثر على حسب الإجتهاد.

[3] Abdul Rahman al-Ba’lawi, Bughiyyah al-Mustarsyidin, (Beirut: 1994), Cetakan Darul Fikri

يجوز قتل عمال الدولة المستولين على ظلم العباد إلحاقا لهم بالفواسق الخمس إذ ضررهم أعظم

[4] Abdul Karim Zaidan, Usul al-Dakwah, (2001), Cetakan Muassasah al-Risalah,

أما قتل الجاسوس المسلم الذي أجازه مالك وبعض الحنابلة فقد منعه الشافعي. وأبو حنيفة -رحمه الله تعالى- يجوّز التعزير بالقتل في مواضع، منها: فيما تكرَّر من الجرائم إذا كان جنسه يوجب القتل، كما يقتل من تكرَّر منه اللواط أو اغتيال النفوس لأخذ المال.

ومن لم يندفع فساده في الأرض إلا بقتله جاز قتله، مثل المفرق لجماعة المسلمين

[5] Syeikh Abu Zahrah, Zahrah al-Tafasir al-Mualaf, Cetakan Darul Nasyr: Darul Fikri al-Arabi,

فأخذ أموال الناس بالباطل ، وشيوع ذلك ، واستمراؤه يقتل الأمة ; لأنه يشيع فيها الفساد ، ضياع الحقوق ، وألا يحترم العدل ، ويسود الظلم ، وبذلك تفنى الأمم ، وتذهب قوتها أمام من يتربص بها الدوائر

[6] Abdullah bin Muhammad al-Mutlaq, Fiqh al-Maisir, (Riyadh: 2011), Cetakan Madar al-Watan lin Nasyr,

ويجيز الفقهاء التعزير ولكنهم يختلفون في الجريمة التي تستحق القتل فأجاز أبو حنيفة التعزير بالقتل فيما تكرر من الجرائم التي يجب في جنسها القتل، مثل القتل بالمثقل وقتل السارق سياسة إذا تكرر منه, ويرى بعض الفقهاء أن من تلك الجرائم قتل الجاسوس وقتل المفرق لجماعة المسلمين، والداعي إلى غير كتاب الله وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم - وغير ذلك مما لا يندفع إلا بالقتل

[7] Syeikh Abdullah Said al-Lahji, Idhoh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, (Kuwait:2014), Cetakan Dar al-Deeya