اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-278: LABBAIKA YA AQSA!

LABBAIKA_YA_AQSA.jpg

 

Mukaddimah:

Baru baru ini umat Islam sekali lagi dikejutkan dengan serangan daripada rejim Zionis-Israel ke atas wilayah Gaza dan Tebing Barat, Palestin. Siri serangan rejim Zionis-Israel kali ini telah mengakibatkan ribuan nyawa menjadi mangsa dan korban. Tambah malang lagi, serangan ini telah memusnahkan banyak harta awam termasuk hospital dan sekolah yang menjadi tempat perlindungan khasnya bagi orang awam, orang tua, pesakit dan kanak-kanak di sana. Insiden yang berlarutan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan kecaman di peringkat global terhadap Israel.

Kemuliaan al-Aqsa

Masjid al-Aqsa yang berpusat di Baitul Maqdis, Palestin merupakan kiblat pertama bagi umat Islam serta bumi persinggahan Nabi SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj dalam perjalanan bertemu Allah SWT, kota suci yang penuh keberkatan, bumi para anbiya sebagaimana firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Isra,1)

Kedudukan masjid al-Aqsa yang istimewa dalam hati sanubari umat Islam bukan sahaja dianggap suci bahkan ia berkait rapat dengan akidah umat Islam. Sehinggakan Nabi SAW sangat menggalakkan umatnya menziarahi tiga masjid dan salah satunya Masjid al-Aqsa yang memiliki kelebihan yang berasaskan keimanan dan ketakwaan, sabda Nabi SAW:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya : Tidaklah dilakukan kembara secara bersungguh-sungguh melainkan untuk menuju ke tiga buah masjid, iaitu Masjid al Haram, Masjid aku ini (Masjid al-Nabawi), dan Masjid al-Aqsa.

Riwayat al-Bukhari (1189)

Justeru tidak hairanlah, antara justifikasi serangan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu adalah disebabkan oleh provokasi berterusan oleh pendatang haram Yahudi serta pelecehan kemuliaan Masjid al-Aqsa oleh mereka, yang sebenarnya telah dilakukan secara konsisten sejak puluhan tahun lamanya.

 

Ketegasan Malaysia

Alhamdulillah, negara kita Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang mengebom kawasan-kawasan awam serta sekatan bekalan makanan ke atas rakyat Palestin, selaras dengan polisi rasmi negara yang sejak sekian lama berdiri teguh bersama Palestin, serta tidak pernah berniat untuk mengiktiraf dan mengadakan hubungan dengan Israel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan:

“Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan sejak 7 Oktober 2023.

 

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan.

 

Kementerian Luar Negeri menjunjung kasih titah KDYMM SPB Tuanku Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023 termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran untuk mengelakkan pertumpahan darah. Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencapai persetujuan dalam perkara ini.”[1]

 

Wisma Putra juga turut menegaskan bahawa dalam memahami isu Palestin ini, akar utama kepada konflik yang berlaku mesti diambil kira sebagai konteks yang melatari permasalahan ini. Rakyat Palestin telah sejak sekian lama terperuk di bawah penjajahan, sekatan dan penderitaan, menjadi saksi terhadap pencabulan kemuliaan Masjid al-Aqsa dan menjadi mangsa politik penyah milikan (the politics of dispossession) yang dipraktikkan oleh rejim penjajah Israel.[2]

Apa tindakan kita?

Mengikuti perkembangan terkini yang berlaku dari kejauhan mungkin menimbulkan rasa gelisah, pasrah dan tidak berdaya dalam kalangan kita. Manakan tidak, tatkala ribuan mangsa menjadi korban kerakusan rejim aparteid Zionis, kita pula ribuan batu jauhnya seolah hanya mampu berdoa agar kezaliman yang mereka alami segera dihentikan.

Namun sebagai umat yang positif dan proaktif, sudah tentu masih banyak sumbangan yang kita boleh berikan, antaranya:

a)         Solidariti

Bersolidariti merupakan antara tindakan proaktif dalam menyampaikan kesedaran dan suara majoriti serta sebagai isyarat kepada pihak berwajib terhadap sesuatu insiden. Selain itu, langkah ini merupakan salah satu wadah untuk menzahirkan keprihatinan terhadap saudara Islam khasnya serta saudara kemanusiaan amnya. Rasulullah SAW bersabda:

المُسْلِمُ ‌أَخُو ‌المُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ القِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ

 

Maksudnya: Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan dia tidak boleh membiarkan dirinya dizalimi. Sesiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menutupinya (aibnya) pada Hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442)

Antara wahana bagi menzahirkan solidariti kita bersama rakyat Palestin adalah dengan menyertai perarakan dan perhimpunan aman, berkongsi hantaran-hantaran(postings) di media sosial berkenaan perkembangan terkini serta menggalakkan diskusi dan perbincangan ilmiah. Hal ini penting bagi memastikan antara lain masyarakat kita khasnya generasi muda terus cakna dengan penderitaan yang dialami rakyat Palestin, kerana kita tidak mahu berlakunya pengabaian terhadap tanggungjawab mendidik masyarakat tentang sejarah yang berlaku.

b)         Baca

Terkait isu Palestin, dalam era yang serba moden dan maklumat berada di hujung jari, banyak bahan bacaan yang dan sumber berita yang boleh diakses dengan mudah. Ilmu dan maklumat adalah amat penting bagi memastikan kesedaran kita berkenaan isu Palestin ini didasari ilmu dan kefahaman, bukan semata-mata berasaskan emosi dan jeritan.

Namun, selaras dengan perintah Allah SWT untuk bertabayyun, kita mesti berhati-hati agar tidak termakan dengan propaganda dan maklumat salah yang banyak disebarkan oleh ramai ahli akademik dan media-media Barat yang berat sebelah. Palestin digambarkan sebagai manusia gasar yang dahagakan darah, manakala Israel pelaku jenayah pembersihan etnik dipotretkan sebagai pasukan barisan hadapan bagi sebuah tamadun demokrasi yang sedang mempertahankan diri daripada bangsa ganas yang berserban dan berjubah.

Thomas Friedman, Bernard Lewis dan Henry Kissinger merupakan antara tokoh orientalis yang sering melemparkan tohmahan jahat terhadap Muslim khasnya, dan rakyat Palestin khasnya dalam penulisan-penulisan mereka. Media-media arus perdana Barat pula galak memutarkan stereotaip terhadap umat Islam serta menyebarkan racun jahat kononnya Islam merupakan agama pengganas.

Sebagai alternatif, rujuklah media yang berwibawa seperti Al-Jazeera yang benar-benar membawa suara rakyat Palestin yang tertindas, serta karya-karya oleh tokoh-tokoh yang objektif dalam membawa naratif isu Palestin, seperti sejarawan Palestin Rashid Khalidi, Edward Said (pensyarah yang berasal dari Palestin yang beragama Kristian) dan Ilan Pappe (ahli akademik berketurunan Yahudi yang tegas melawan ideologi Zionisme).

c)         Boikot

Strategi boikot oleh golongan tertindas terhadap rejim yang menzalimi mereka bukan perkara baharu. Bahkan strategi ini telah terbukti berjaya dalam menumbangkan rejim apartheid Afrika Selatan yang menindas golongan kulit hitam di negara tersebut.

Justeru pada tahun 2005, sekumpulan 170 warga sivil Palestin telah melancarkan gerakan Boycott, Divestment and Sanction (boikot, nyahlabur dan sekatan) sebagai satu bentuk penentangan aman terhadap rejim Israel, dengan tiga matlamat: pengakhiran terhadap penjajahan, pengiktirafan hak dan hak asasi manusia serta hak bagi pelarian untuk pulang ke negara asal.[3]

Gerakan ini mencadangkan beberapa syarikat yang perlu diboikot oleh masyarakat antarabangsa kerana penglibatan aktif mereka dalam membantu rejim penjajah Israel, yang boleh disemak senarainya pada pautan: https://bdsmovement.net

Penutup

Setakat artikel ini ditulis, sejak operasi Taufan al-Aqsa bermula, jumlah korban rakyat Palestin telah melebihi 7000 orang. Ratusan mungkin masih terperangkap di celah-celah robohan bangunan, tidak diketahui hidup atau mati. Lebih separuh unit perumahan di Gaza telah rosak, atau hancur menyembah bumi akibat dibedil. Ribuan ditahan oleh Israeli Occupation Forces (IOF) dan terperuk dalam penjara. Ratusan ribu kini menjadi pelarian.

Kita hanya ada dua pilihan dalam berhadapan dengan krisis kemanusiaan ini: sama ada menjadi pemerhati yang pasif, atau berperanan aktif dalam menghentikan kezaliman yang sedang berlaku.

Renunglah seruan Syeikhul Azhar, Syeikh Ahmad al-Tayyeb buat bangsa Arab dan umat Islam seluruhnya:

Bangsa Arab dan negara umat Islam seluruhnya wajib dengan segera berhenti bergantung harap kepada Amerika Syarikat dan negara Eropah yang maha sombong dan angkuh itu. Umat Palestin seharusnya yakin bahawa kuasa Barat, dengan segala bala tentera dan kekuatan senjata itu sebenarnya lemah dan bacul apabila bertempur secara berdepan di medan. Mereka sedang berperang di tanah yang bukan milik mereka, demi mempertahankan kepercayaan dan ideologi karut yang telah lapuk ditelan zaman.

 

Wahai umat Palestin! Hadapilah musuh berbekalkan keyakinan teguh terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya, gandakan kesabaran dalam mendepani serangan ganas golongan gasar.

 

Umat Islam juga sewajarnya menggembleng sepenuh kekuatan, kekayaan dan hasil mahsul kurniaan Allah SWT kepada mereka, serta mempersiap ketumbukan tentera dan senjata, lalu berdiri teguh membela rakyat Palestin yang dizalimi sejak sekian lama.

 

Musuh yang mereka hadapi bukan calang-calang; musuh itu suatu umat yang kontang moral, tiada perikemanusiaan, mengabaikan tuntutan akhlak, serta berpaling daripada ajaran para rasul dan anbiya’.

 

Sahutlah seruan Allah: “Usah kamu merasa lemah dalam menegakkan Islam, dan jangan pula meratapi saudara kamu yang telah gugur! Sedangkan kemenangan akan selalu berada di pihak kamu jika benar kamu golongan yang beriman.“ (Surah Ali ‘Imran: 139)

 

Tahukah kamu realiti sebenar tabiat musuh yang kamu hadapi itu? Jawapannya terdapat dalam firman Allah SWT: “Kemudian, setelah terzahir segala bukti yang nyata, kamu wahai orang Yahudi masih enggan memenuhi seruan Nabi Musa. Bahkan sebaliknya, hati kamu menjadi semakin keras laksana batu, atau bahkan lebih keras daripada itu!“ (Surah al-Baqarah: 74)

 

Moga Allah merahmati roh para syuhada yang mulia, dan mengganjari mereka dengan kurniaan yang selayaknya.[4]

Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi doa dan pengharapan, serta berusaha sedaya sehabis kemampuan, sekaligus merealisasikan pembebasan setiap inci bumi suci Palestin, selaras dengan slogan yang dilaungkan pendamba kebebasan sejak berdekad lamanya:

From the river to the sea

Palestine will be free.”

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk kenyataan rasmi Kementerian Luar Malaysia. “Perkembangan Semasa Palestine-Israel Malaysia” : https://www.kln.gov.my/web/guest/-/perkembangan-semasa-konflik-palestin-israel-malaysia?inheritRedirect=true&redirect=%2Fweb%2Fguest%2Fpress-releases

[2] Rujuk kenyataan rasmi Kementerian Luar Malaysia. “MALAYSIA IS DEEPLY CONCERNED OVER THE LATEST ESCALATION OF VIOLENCE IN THE MIDDLE EAST”: https://www.kln.gov.my/web/guest/-/malaysia-is-deeply-concerned-over-the-latest-escalation-of-violence-in-the-middle-east?inheritRedirect=true&redirect=%2Fweb%2Fguest%2Fpress-releases

[3] Rujuk: https://bdsmovement.net/what-is-bds

[4] Rujuk hantaran di Facebook rasmi al-Azhar al-Syarif: https://www.facebook.com/OfficialAzharEg/posts/pfbid0wZGtPzV3TC1278VMwjzR36CzCBDVrzMsJNcBA1asszn9tUT2Le6zZ338yAGpF2JCl