اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-279: LARANGAN UNTUK MENUDUH ORANG LAIN SEBAGAI MURTAD

LARANGAN_UNTUK_MENUDUH_ORANG_LAIN_SEBAGAI_MURTAD.JPG

 

Mukadimah

Baru-baru ini tular tangkap layar dakwaan seorang wanita yang menganggap salah seorang pemimpin tertinggi negara sebagai murtad. Dakwaan ini sangat berat dan perlu untuk dijelaskan. Oleh itu, dalam Bayan Linnas kali ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) akan menjelaskan berkenaan larangan menuduh orang lain sebagai murtad atau terkeluar dari Islam.

Definisi Murtad

Menurut Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah perkataan riddah bermaksud kembali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu mengembalikan dirinya kepada kekufuran[1]. Manakala riddah dari sudut istilah pula bermaksud:

هي قطع الإسلام بنية أو قول كفر أو فعل سواء قاله استهزاء أو عنادا أو اعتقادا

Maksudnya: “Memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya[2].”

Pengertian murtad ini telah kami jelaskan dalam Irsyad Hukum Ke-25: Pengertian Murtad.

Sebab-Sebab Seseorang Menjadi Murtad

Sebagaimana yang dijelaskan dalam definisi di atas, seseorang Islam itu menjadi murtad disebabkan tiga perkara iaitu niat, ucapan atau perbuatan:

  1. Murtad melalui niat seperti berazam akan murtad esok hari atau ragu-ragu dengan keimanannya. Begitu juga mengingkari hukum yang disepakati dan diketahui umum (ma’lum min al-din bi al-dharurah). Contohnya mengingkari kewajipan zakat, puasa dan haji, menolak pengharaman arak atau menolak bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT.
  2. Murtad melalui ucapan pula ialah mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan pegangan Islam, sama ada yang diucapkan merupakan keyakinannya atau dengan niat untuk mempersenda. Contohnya, menghina Allah SWT dan agama-Nya dengan mengatakan “Allah itu lemah”, “Islam tidak sesuai dengan kemodenan”, atau Mewajibkan perempuan berhijab adalah kolot.”
  3. Manakala murtad melalui perbuatan boleh berlaku dengan melakukan perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang kafir seperti sujud kepada berhala atau mencampakkan al-Quran, kitab-kitab hadis dan tafsir ke tempat yang kotor di samping dia melakukannya secara sukarela dan bukan dipaksa[3]

Menurut undang-undang Islam, hukuman murtad hanya boleh dilakukan oleh pemerintah yang sah sehinggakan jika selain pemerintah membunuh orang murtad tersebut, maka orang tersebut berhak dita'zir (seperti dipenjara dan lain-lain) kerana dia telah melangkaui kuasa pemerintah[4]. Selain itu, kesan dari menuduh seorang muslim sebagai murtad amat besar dan berat. Antara implikasinya termasuklah:

  • Isterinya mestilah dipisahkan kerana seorang wanita yang Islam tidak sah menjadi isteri kepada orang kafir.
  • Hartanya tidak boleh diwarisi oleh anak-anaknya kerana mereka berlainan agama.
  • Jenazahnya tidak wajib untuk dimandikan dan jenazahnya tidak boleh disolatkan.
  • Jenazahnya juga tidak boleh dikebumikan di perkuburan orang Islam.
  • Dalam undang-undang Islam kesalahan murtad boleh dijatuhkan hukuman bunuh.
  • Jika dia meninggal dalam keadaan kufur, maka dia mendapat laknat dan akan dijauhkan dari rahmat Allah SWT. Dengan demikian dia akan kekal dalam neraka buat selama-lamanya[5].

Larangan Mengkafirkan Orang Lain

Perbuatan kafir mengkafir adalah perkara yang amat dipandang serius oleh syarak. Lebih-lebih lagi jika dilakukan secara membuta tuli tanpa mengetahui kaedah-kaedah syarak dalam menanganinya. Apa yang lebih membimbangkan apabila pengkafiran dilakukan terus ke atas peribadi seseorang muslim tanpa sebarang usul periksa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabit bin Dhahak RA, Nabi SAW bersabda:

ومَن رَمَى مُؤْمِنًا بكُفْرٍ فَهو كَقَتْلِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang menuduh orang beriman dengan kafir maka dosanya sama seperti membunuhnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan larangan mengkafirkan sesama Islam. Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka kafir itu akan berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya“Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir, maka akan kembali (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ulama berbeza pandangan berkenaan makna hadis di atas. Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, ada lima penafsiran para ulama tentang maksud hadis di atas yang antaranya adalah:

  • Seseorang itu menjadi kafir jika dia meyakini bahawa mengkafirkan orang Islam itu halal.
  • Dosa mencela dan mengkafirkan saudaranya itu kembali kepada orang yang menuduh.
  • Ini dinisbahkan kepada golongan Khawarij yang mengkafirkan orang beriman. Pandangan ini dinukilkan oleh Qadi ‘Iyadh RH dari Imam Malik ibn Anas. Namun ia adalah pandangan yang lemah kerana pandangan yang kuat, golongan Khawarij tidak dihukumkan kafir seperti mana ahli bid'ah yang lain[6].

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyimpulkan bahawa jika orang yang dikatakan itu benar-benar kafir menurut hukum Islam, maka orang yang berkata itu adalah benar, namun jika tidak, maka dikembalikan ucapan dan dosanya kepada orang yang mengucapkannya[7].

Di sisi ulama mazhab Syafi’i, salah satu dari keadaan yang boleh menjadikan seorang itu murtad adalah apabila dia memanggil saudaranya seislam dengan “wahai kafir”.

Imam al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin menjelaskan perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjelaskan:

قَالَ الْمُتَوَلِّي: وَلَوْ قَالَ الْمُسْلِمُ: يَا كَافِرُ بِلَا تَأْوِيلٍ، كَفَرَ ; لِأَنَّهُ سَمَّى الْإِسْلَامَ كُفْرًا، وَالْعَزْمُ عَلَى الْكُفْرِ فِي الْمُسْتَقْبَلِ كُفْرٌ فِي الْحَالِ،

Maksudnya: “Al-Mutawali berkata: Jika seorang muslim berkata: Wahai kafir tanpa sebarang penjelasan, maka dia dihukumkan kafir. Hal ini kerana dia menamakan seorang yang beragama Islam sebagai kufur. Begitu juga berazam untuk menjadi kafir pada masa hadapan juga menyebabkan dia menjadi kafir serta merta[8]”.

Dr. Yusuf al-Qaradawi membahagikan takfir kepada dua iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi).

  1. Takfir nau’ adalah dibenarkan iaitu dengan menyatakan bahawa sesiapa yang perbuatan yang kufur maka ia boleh membawa kepada kekufuran atau murtad tanpa memaksudkan individu tertentu.
  2. Takfir syakhs pula ialah menyatakan dengan menyebut nama tertentu seperti si fulan bin si fulan itu telah kafir dan ini adalah dilarang. Beliau menyebut:

وهنا أمر يجب أن نلفت النظر إليه، وهو ما قرره المحققون من العلماء، من وجوب التفرقة بين الشخص والنوع في قضية التكفير. ومعنى هذا: أن نقول مثلا: الشيوعيون كفار، أو الحكام العلمانيون الرافضون لحكم الشرع كفار، أو من قال كذا أو دعا إلى كذا فهو كافر، فهذا وذلك حكم على النوع، فإذا تعلق الأمر بشخص معين، ينتسب إلى هؤلاء أو أولئك وجب التوقف للتحقق والتثبت من حقيقة موقفه، بسؤاله ومناقشته، حتى تقوم عليه الحجة، وتنتفي الشبهة، وتنقطع المعاذير.

“Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah dijelaskan oleh para ulama muhaqqiqun mengenai kewajipan untuk membezakan takfir kepada peribadi tertentu dan takfir secara umum atau diistilahkan sebagai takfir nau’. Sebagai contoh, kita mengatakan: Golongan komunis itu kafir atau para pemerintah yang sekular dan membantah hukum syarak itu kafir atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir maka Ini semua adalah menghukum kepada jenis (perbuatan). Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi individu, yang terkait dengan itu dan ini, maka hendaklah dipastikan mengenai pendiriannya yang sebenar dengan bertanya atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan tiada lagi keuzuran untuknya[9]”.

Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata:

أن مذهب أهل الحق أنه لا يكفر أحد من أهل القبلة بذنب ولا يكفر أهل الأهواء والبدع وأن من جحد ما يعلم من دين الاسلام ضرورة حكم بردته

Maksudnya: “Sesungguhnya mazhab ahli hak adalah bahawa tidak ada seorang pun dari ahli kiblat yang dianggap kafir kerana dosa yang dia lakukan, dan tidak juga dia menuduh pengikut hawa nafsu dan ahli bidaah, namun sesiapa yang perkara yang disepakati dan diketahui umum maka di dihukumkan sebagai murtad[10].”

Dalam kitab Syarh al-Mawaqif yang ditulis oleh Imam al-Jurjani disebutkan:

جمهور المتكلمين والفقهاء على أنه لا يكفر أحد من أهل القبلة

Maksudnya: “Majoriti ahli kalam dan fuqaha berpendapat bahawa tidak ada seorang pun dari ahli kiblat yang dihukumkan kafir[11].”

Apa yang dinyatakan oleh Imam al-Jurjani di atas hanyalah bersifat umum. Pada asasnya Ahli Sunnah Waljamaah tidak mengkafirkan ahli kiblat namun ia tidak menafikan bahawa jika seseorang itu menafikan perkara-perkara yang dimaklumi dalam agama maka dia boleh dihukumkan oleh pemerintah sebagai kafir ataupun murtad. Dalam sebuah kaedah yang terkenal disebutkan bahawa tersalah dalam memaafkan jauh lebih baik dari tersalah dalam menghukum.

Menurut Syeikh Mula’ Ali al-Qari, para ulama mengatakan bahawa jika terdapat 99 hal yang menunjukkan seseorang muslim itu menjadi kafir, namun masih ada satu sebab yang menunjukkan keislamannya maka sebaiknya Mufti atau Hakim mengambil kira satu sebab tersebut. ini berdasarkan Hadis Nabi ﷺ “Tolaklah semampu kamu daripada menjatuhkan hukuman hudud ke atas muslimin”, maka pilihlah jalan itu. Hal ini kerana seorang pemimpin yang salah dalam memberi maaf itu lebih baik dari pada pemimpin yang salah dalam menghukum, hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan lainnya dan Imam al-Hakim mensahihkannya[12].

Perkara yang sama dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I’tiqad:

وينبغي الاحتراز من التكفير ما وجد الإنسان إلى ذلك سبيلا، فإن استباحة الدماء والأموال من المصلين إلى القبلة المصرحين بقول (لا إله إلا الله محمد رسول الله) خطأٌ، والخطأ في ترك ألف كافر في الحياة أهون من سفك محجمة من دم مسلم

Maksudnya: “Hendaklah berhati-hati dari mengkafirkan orang lain selagi menemukan jalan untuk berbuat demikian. Hal ini kerana menghalalkan darah dan harta muslim yang solat menghadap ke arah kiblat serta mengucapkan dua kalimat syahadat itu merupakan kesalahan. Sedangkan kesilapan dalam membiarkan seribu orang kafir hidup itu lebih ringan daripada membunuh satu nyawa muslim[13].”

Daripada penjelasan di atas menunjukkan para ulama sangat berhati-hati dalam perkara berkaitan takfir. Sekalipun terdapat banyak bukti yang menunjukkan orang itu kafir, namun jikalau masih ada alasan untuk mengekalkan keislamannya, para ulama memilih untuk tidak mengkafirkan orang tersebut. Kami juga telah pun membincangkan berkenaan isu kafir mengkafir ini dalam artikel yang bertajuk: Tashih Al-Mafahim #3: Kafir Mengkafir Kerana Berbeza Pendapat.

 

Kesimpulan

  1. Umat Islam dilarang bermudah-mudahan dalam menghukum orang lain sebagai kafir atau murtad.
  2. Perbezaan sama ada berkaitan perkara furu’ atau perbezaan politik akan sentiasa berlaku. Namun perbezaan ini tidak seharusnya membawa kepada budaya kafir mengkafir.
  3. Menuduh orang lain murtad secara semberono memiliki implikasi yang amat besar, jika seseorang itu benar-benar memiliki bukti yang kukuh ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat dilakukan berdasarkan undang-undang yang ada dan bukannya membuat tuduhan yang melulu dan tidak berasas.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Ahmad bin Faris, al-Qazwini. (1979). Mu’jam Maqayis al-Lughah. Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 2, hlm. 386.

(رد) الراء والدال أصل واحد مطرد منقاس، وهو رجع الشيء. تقول: رددت الشيء أرده ردا. وسمي المرتد لأنه رد نفسه إلى كفره.

[2] Yahya bin Syaraf, al-Nawawi. (2017). Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin. Beirut: Dar al-Minhaj. Hlm. 506.

[3] Ibrahim bin Muhammad, al-Baijuri. (2009). Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi. Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 2, hlm. 381.

[4] Ibid.

[5] Lihat Fatawa al-Muasirah oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi, jld. 1, hlm. 128 & Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi, jld. 2, hlm. 382.

[6] Yahya bin al-Syaraf, al-Nawawi. (1396H). Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabiy. jld. 2, hlm . 50.

أَحَدُهَا أَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى الْمُسْتَحِلِّ لِذَلِكَ وَهَذَا يُكَفَّرُ فَعَلَى هَذَا مَعْنَى بَاءَ بِهَا أَيْ بِكَلِمَةِ الْكُفْرِ وَكَذَا حَارَ عَلَيْهِ وَهُوَ مَعْنَى رَجَعَتْ عَلَيْهِ أَيْ رَجَعَ عَلَيْهِ الْكُفْرُ فَبَاءَ وَحَارَ وَرَجَعَ بِمَعْنًى وَاحِدٍ وَالْوَجْهُ الثَّانِي مَعْنَاهُ رَجَعَتْ عَلَيْهِ نَقِيصَتُهُ لِأَخِيهِ وَمَعْصِيَةُ تَكْفِيرِهِ وَالثَّالِثُ أَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى الْخَوَارِجِ الْمُكَفِّرِينَ لِلْمُؤْمِنِينَ وَهَذَا الْوَجْهُ نَقَلَهُ الْقَاضِي عِيَاضٌ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنِ الْإِمَامِ مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ وَهُوَ ضَعِيفٌ لِأَنَّ الْمَذْهَبَ الصَّحِيحَ الْمُخْتَارَ الَّذِي قَالَهُ الْأَكْثَرُونَ وَالْمُحَقِّقُونَ أَنَّ الْخَوَارِجَ لَا يُكَفَّرُونَ كَسَائِرِ أَهْلِ الْبِدَعِ

[7] Ahmad bin Ali, al-Asqalani. (1390H). Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah. jld. 10, hlm. 467.

وَالْحَاصِلُ أَنَّ الْمَقُولَ لَهُ إِنْ كَانَ كَافِرًا كُفْرًا شَرْعِيًّا فَقَدْ صَدَقَ الْقَائِلُ وَذَهَبَ بِهَا الْمَقُولُ لَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ رَجَعَتْ لِلْقَائِلِ مَعَرَّةُ ذَلِكَ الْقَوْلِ وَإِثْمُهُ،

[8] Yahya bin al-Syaraf, al-Nawawi. (1991). Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut: al-Maktab al-Islami. Jld. 10, hlm. 64.

[9] Duktur Yusuf al-Qaradawi. (2005). Min Hadyi al-Islam: Fatawa Muasarah. Qahirah: Dar al-Qalam. Jld. 1, hlm. 126

[10] Yahya bin al-Syaraf, al-Nawawi. (1396H). Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabiy. jld. 1, hlm . 150.

[11] Ali bin Muhammad al-Jurjani. (1998). Syarh al-Mawaqif, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 8, hlm. 339.

[12] Ali bin Muhammad, al-Qari. (1461H). Syarh al-Syifa’. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 2, hlm. 499.

قال علماؤنا إذا وجد تسعة وتسعون وجها تشير إلى تكفير مسلم ووجه واحد إلى ابقائه على إسلامه فينبغي للمفتي والقاضي أن يعملا بذلك الوجه وهو مستفاد من قوله عليه السلام ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن وجدتم للمسلم مخرجا فخلوا سبيله فإن الإمام لأن يخطئ في العفو خير له من أن يخطئ في العقوبة رواه الترمذي وغيره والحاكم وصححه

[13] Muhammad bin Muhammad, al-Ghazali. (2004). Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Hlm. 135.