اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-284: LARANGAN MENGGELARKAN SAUDARANYA SEBAGAI MUNAFIK

LARANGAN_MENGGELARKAN_SAUDARANYA_SEBAGAI_MUNAFIK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum wrth, SS Datuk saya ingin bertanya adakah seseorang itu jika dia memiliki ciri-ciri munafik sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW, maka kita boleh menyebut dia itu sebagai munafik? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Seseorang muslim tidak boleh menggelar atau menuduh saudaranya sebagai munafik hanya berdasarkan zahirnya sahaja sekalipun ia kelihatan sedemikian. Hal ini kerana, Nabi SAW melarang umatnya menggelarkan seseorang itu sebagai munafik selagi mana ia mengucapkan kalimah tauhid dan beriman kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan untuk berkata perkara-perkara yang baik sahaja.

Huraian Jawapan

Secara asasnya, munafik terbahagi kepada dua iaitu munafik al-Akbar dan munafik al-Asghar. Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan bahawa munafik al-Akbar bermaksud seseorang manusia menzahirkan keimanannya kepada Allah SWT, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul dan hari kiamat namun dia menyembunyikan keyakinannya yang bertentangan dengan kenyataannya yang zahir sama ada keseluruhannya mahupun sebahagian sahaja.[1] Inilah jenis nifaq yang wujud pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu, turunnya ayat al-Quran yang mencela orang munafik al-Akbar dan menghukum mereka sebagai kafir, bahkan mereka akan ditempatkan dalam neraka yang paling bawah. Mudahnya munafik al-Akbar ini merupakan munafik yang berkait dengan akidah. Manakala munafik al-Asghar atau istilah lainnya Nifaq al-‘Amal pula bermaksud seseorang menzahirkan pada zahirnya sesuatu yang baik atau soleh dan menyembunyikan sesuatu yang bertentangan dengan zahir tersebut.[2]

Antara hadis yang popular dalam menggambarkan sikap orang munafik ialah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ ‏

Maksudnya: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhinatinya.”[3]

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini menyebut para ulama bersepakat bahawa seseorang yang beriman sepenuhnya dengan hati dan lisannya, akan tetapi memiliki akhlak tercela sebagaimana dalam hadis di atas tidak boleh dikategorikan sebagai kafir bahkan mereka juga tidak boleh dikategorikan sebagai golongan munafik yang diancam kekal dalam neraka.[4]

Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan ulama berpandangan bahawa sikap tercela sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas merupakan cerminan daripada sikap orang munafik. Oleh itu, orang Islam yang mempunyai sikap tersebut maka ia hanya menyerupai sikap orang munafik itu sahaja.[5] Hal ini kerana, orang yang mempunyai sikap golongan munafik itu hanya dikategorikan sebagai munafik al-Asghar atau nifaq al-‘amal sahaja bukannya munafik al-Akbar iaitu munafik dalam pegangan akidah.[6]

Bahkan dalam satu hadis yang panjang Nabi SAW pernah melarang para sahabatnya menggelar seseorang sebagai munafik. Lafaz hadis tersebut adalah seperti berikut:

فَاجْتَمَعُوا، فَقَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ: أَيْنَ مَالِكُ بْنُ الدُّخَيْشِنِ، أَوِ ابْنُ الدُّخْشُنِ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: ذَلِكَ مُنَافِقٌ لَا يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تَقُلْ ذَلِكَ، أَلَا تَرَاهُ قَدْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، يُرِيدُ بِذَلِكَ وَجْهَ اللهِ؟. قَالَ: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ‌فَإِنَّا ‌نَرَى ‌وَجْهَهُ ‌وَنَصِيحَتَهُ ‌إِلَى ‌الْمُنَافِقِينَ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَإِنَّ اللهَ قَدْ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، يَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللهِ

Maksudnya: “Mereka berkumpul, lalu seseorang bertanya: “Dimanakah Malik bin Dukhaisyin atau Ibn al-Dukhsyun?” Sebahagian mereka menjawab: “Dia itu seorang munafik. Dia tidak cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu berkata begitu. Bukankah kamu telah melihat dia mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT, dengan ikhlas kerana Allah SWT? Orang itu berkata: Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Dia berkata lagi: Kami mengucapkan sedemikian kerana kami melihat kecenderungan tindakannya yang berbaik-baik dengan orang munafik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan api neraka kepada orang yang mengucapkan: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT.”[7]

Riwayat al-Bukhari

Sebagai seorang muslim yang berakhlak sepatutnya berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan terutamanya dalam ucapan yang berkaitan dengan saudara Islam yang lain. Bahkan, dianjurkan untuk tidak memberikan ulasan yang mendatangkan persengketaan antara sesama insan sama ada muslim mahupun non-muslim. Nabi SAW mengajar umatnya agar sentiasa mengucapkan sesuatu yang baik sahaja sepertimana sabda Baginda SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”[8] 

Riwayat al-Bukhari

Kesimpulan

Seseorang muslim tidak boleh menggelar atau menuduh saudaranya sebagai munafik hanya berdasarkan zahirnya sahaja sekalipun ia kelihatan sedemikian. Hal ini kerana, Nabi SAW melarang umatnya menggelarkan seseorang itu sebagai munafik selagi mana ia mengucapkan kalimah tauhid dan beriman kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan untuk berkata perkara-perkara yang baik sahaja.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Ibn Rajab al-Hanbali, Jamiʻ al-ʻulum wa al-Hikam, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), jld. 2: hlm. 481.

وَهُوَ فِي الشَّرْعِ يَنْقَسِمُ إِلَى قِسْمَيْنِ: أَحَدُهُمَا: ‌النِّفَاقُ ‌الْأَكْبَرُ، وَهُوَ أَنْ يُظْهِرَ الْإِنْسَانُ الْإِيمَانَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَيُبْطِنَ مَا يُنَاقِضُ ذَلِكَ كُلَّهُ أَوْ بَعْضَهُ، وَهَذَا هُوَ النِّفَاقُ الَّذِي كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، وَنَزَلَ الْقُرْآنُ بِذَمِّ أَهْلِهِ وَتَكْفِيرِهِمْ، وَأَخْبَرَ أَنَّ أَهْلَهُ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ. وَالثَّانِي: النِّفَاقُ الْأَصْغَرُ، وَهُوَ نِفَاقُ الْعَمَلِ، وَهُوَ أَنْ يُظْهِرَ الْإِنْسَانُ عَلَانِيَةً صَالِحَةً، وَيُبْطِنَ مَا يُخَالِفُ ذَلِكَ

[2] Ibid.

[3] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 33, jld. 1: hlm. 16. Rujuk juga Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. (t.tp.: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t.), hadis no. 59, jld. 1: hlm. 78.

[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), jld. 2: hlm. 46.

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ هَذَا الْحَدِيثُ مِمَّا عَدَّهُ جَمَاعَةٌ مِنَ الْعُلَمَاءِ مُشْكِلًا مِنْ حَيْثُ إِنَّ هَذِهِ الْخِصَالَ تُوجَدُ فِي الْمُسْلِمِ الْمُصَدِّقِ الَّذِي لَيْسَ فِيهِ شَكٌّ وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ مَنْ كَانَ مُصَدِّقًا بِقَلْبِهِ وَلِسَانِهِ وَفَعَلَ هَذِهِ الْخِصَالَ لَا يُحْكَمُ عَلَيْهِ بِكُفْرٍ وَلَا هُوَ مُنَافِقٌ يُخَلَّدُ فِي النَّارِ فَإِنَّ إِخْوَةَ يُوسُفَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعُوا هَذِهِ الْخِصَالَ وَكَذَا وُجِدَ لِبَعْضِ السَّلَفِ وَالْعُلَمَاءِ بَعْضُ هَذَا أَوْ كُلُّهِ وَهَذَا

[5] Ibid., jld. 2: hlm. 47.

قَالَهُ الْمُحَقِّقُونَ وَالْأَكْثَرُونَ وَهُوَ الصَّحِيحُ الْمُخْتَارُ أَنَّ مَعْنَاهُ أَنَّ هَذِهِ الْخِصَالَ خِصَالُ نِفَاقٍ وَصَاحِبُهَا شَبِيهٌ بالمنافقين فِي هَذِهِ الْخِصَالِ وَمُتَخَلِّقٌ بِأَخْلَاقِهِمْ فَإِنَّ النِّفَاقَ هُوَ إِظْهَارُ مَا يُبْطِنُ خِلَافَهُ

[6] Ibn Rajab al-Hanbali, Jamiʻ al-ʻulum wa al-Hikam, jld. 2: hlm. 481.

[7] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, hadis no. 425, jld. 1: hlm. 92.

[8] Ibid., hadis no. 6018, jld. 8: hlm. 11.