اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-289: MENGHORMATI KEDUDUKAN ULAMA DAN IMAM MAZHAB

MENGHORMATI_KEDUDUKAN_ULAMA_DAN_IMAM_MAZHAB.jpg

 

Pendahuluan

Baru-baru ini, pihak kami mendapati telah berlakunya perdebatan di media sosial berkenaan keharusan untuk mengkritik secara terbuka pandangan ulama yang bergelar imam mazhab. Walaupun pada asalnya tujuan perbincangan tersebut dilaksanakan atas dasar ilmiah, namun malangnya ia telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat apabila terdapat segelintir pihak yang tidak segan silu melemparkan cacian, makian serta menimbulkan persepsi negatif terhadap ulama yang bergelar imam mazhab dan bertaraf mujtahid mutlak dalam dunia keilmuan Islam.

Sehubungan dengan itu, penulisan siri Bayan Linnas kali ini bertujuan memberikan penjelasan mengenai adab-adab ketika bersama ulama, keperluan masyarakat untuk bermazhab dan nasihat kepada umum.

Definisi Ulama

Ulama ialah orang yang pakar dalam pengetahuan agama. Menurut Ibn Jinni, ulama ialah seseorang yang menceburi dan berkecimpung dengan ilmu dalam tempoh yang lama sehingga ia menjadi seperti darah dagingnya dan istilah ini tidak diberikan kepada orang yang baru ingin belajar kerana mereka ini hanya digelar dengan penuntut ilmu dan bukannya ulama[1].

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu.”

Surah Fatir (28)

Imam Abu Hayyan dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit menjelaskan bahawa ulama ialah mereka yang mengetahui tentang sifat-sifat Allah SWT dan mengesakan-Nya serta beriman dengan segala yang harus, wajib dan mustahil bagi-Nya, lalu mereka memuliakan dan mengagungkan-Nya sebagaimana yang selayaknya. Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka akan bertambahlah takutnya kepada Allah SWT[2].

Kedudukan ulama:

Memadailah untuk menggambarkan kemuliaan para ulama melalui sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, Baginda bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ، وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ، كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan menyediakan jalan untuknya ke syurga. Para malaikat merendahkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu sebagai tanda reda kepada mereka. Semua yang ada di langit dan bumi serta ikan-ikan yang berada di lautan akan memohon ampun untuknya. Keutamaan orang alim ke atas ahli ibadah adalah seperti kemuliaan bulan pada malam purnama ke atas seluruh planet. Para ulama adalah pewaris Nabi, mereka tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya, maka ia telah mengambil keuntungan yang besar.”

Riwayat Abu Daud

Imam Ibn Ruslan berkata: “Memadailah dengan kemuliaan ini, sebagaimana tiada kedudukan yang lebih tinggi daripada darjat kenabian, maka tiada kemuliaan yang melebihi kemuliaan pewaris darjat itu. Para ulama mewarisi Nabi bagi membimbing manusia dan menunjukkan kepada mereka keselamatan di dunia dan akhirat[3].”

Hukum menghina ulama:

Pada dasarnya, Islam melarang setiap individu Muslim daripada menghina orang lain, malah ia dikategorikan sebagai salah satu bentuk dosa-dosa besar. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا ‎﴿٥٨﴾

Maksudnya:Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Surah al-Ahzab (58)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz ‘menyakiti’ di sini merangkumi semua perkara sama ada perbuatan yang tidak baik atau perkataan yang buruk seperti membuat fitnah, tuduhan jahat atau melabelkan sesuatu golongan dengan tuduhan yang tidak benar[4].

Nabi SAW pernah bersabda:

لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا» وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ «بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya:Janganlah kalian saling mendengki, saling menipu, saling membenci dan saling memutuskan hubungan, janganlah kamu berjual beli atau jual beli orang lain. Sebaliknya jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, sehingga dia tidak boleh menzaliminya, menghinanya, mendustakannya dan merendahkannya. Takwa itu letaknya di sini – sambil Baginda menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali – cukuplah seseorang itu dalam kejelekan selama dia merendahkan saudaranya sesama muslim. Hak bagi setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya menjatuhkan) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Kalaulah dosa menghina orang lain, individu Muslim yang lain sudah dianggap berdosa besar dan sebegitu pula penglabelan terhadap mereka, maka bagaimana pula dengan mereka yang menghina, merendah-rendahkan dan mencaci-maki para ulama? Menghina para ulama termasuk dalam dosa besar, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyenaraikan dosa menghina ulama sebagai salah satu daripada 70 dosa besar:

وَقَدْ جَزَمَ الرَّافِعِيُّ بِأَنَّ الْوَقِيعَةَ فِي أَهْلِ الْعِلْمِ وَحَمَلَةِ الْقُرْآنِ مِنْ الْكَبَائِرِ

Maksudnya: “Imam al-Rafi'i menegaskan bahawa menghina orang yang berilmu dan orang yang menghafaz al-Quran merupakan dosa besar[5].”

Kenyataan ulama berkaitan hukum menghina para ulama:

  1. Imam al-Tahawi:

وَعُلَمَاءُ السَّلَفِ مِنَ السَّابِقِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِنَ التَّابِعِينَ أَهْلِ الْخَيْرِ وَالْأَثَرِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ وَالنَّظَرِ لَا يُذْكَرُونَ إِلَّا بِالْجَمِيلِ، وَمَنْ ذَكَرَهُمْ بِسُوءٍ فهو على غير السبيل.

Maksudnya: “Para ulama salaf terdahulu (para sahabat) dan yang sesudah mereka daripada kalangan tabi’in yang mereka selalu menjunjung kebaikan, ahli hadis, ahli fiqh dan aqidah, mereka tidak disebutkan melainkan dengan kebaikan dan sesiapa yang menyebut mereka dengan keburukan, maka dia bukan berada pada jalan orang yang beriman[6].”

  1. Imam Ibn Asakir:

وكل من أطلق لسانه في العلماء بالثلب، بلاه الله عز وجل قبل موته بموت القلب؛

Maksudnya: “Sesiapa yang menghina para ulama, Allah SWT akan mengujinya sebelum mati dengan matinya hati. Firman Allah SWT: “Hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga agar mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

  1. Imam Ibn Mubarak:

من استخف بالعلماء ذهبت آخرته، ومن استخف بالأمراء ذهبت دنياه، ومن استخف بالإخوان ذهبت مروءته

Maksudnya: “Sesiapa yang merendahkan para ulama, maka rugilah akhiratnya dan sesiapa yang meremehkan para pemimpin, maka rugilah dunianya dan sesiapa yang meremehkan rakannya, maka hilanglah maruahnya[7].”

  1. Imam Ahmad bin Hanbal:

الوقيعة في أهل العلم - ولا سيما أكابرهم - من كبائر الذنوب

Maksudnya: “Menghina orang yang berilmu - terutama ulama besar - adalah termasuk dalam dosa besar[8].

  1. Syeikh Soleh al-’Uthaimin:

سب العلماء أشد إثما؛ لأن سب العالم لا يكون الضرر فيه على شخص العالم، بل عليه وعلى ما يحمله من العلم؛ لأن العالم إذا سبه أحد نزل قدره في أعين الناس، وإذا نزل قدره في أعين الناس لم يتقبلوا منه، فيكون في ذلك ضرر على الشريعة التي يحملها، مع أن السب حرام سواء من العالم أو من العامي

Maksudnya:Menghina ulama merupakan seberat-berat dosa. Hal ini kerana, menghina ulama bukan hanya mendatangkan kemudaratan pada batang tubuh diri orang alim tersebut, malah ke atas ilmu yang disampaikannya juga. Hal ini juga kerana sekiranya seseorang itu menghina orang alim, maka jatuhlah martabatnya di mata manusia, apabila jatuh martabatnya di mata manusia, maka orang ramai tidak lagi menerima apa yang disampaikannya. Oleh yang demikian, terjadilah kemudaratan ke atas syariat agama yang dibawanya. Sehubungan dengan itu, penghinaan adalah haram sama ada daripada orang alim atau orang awam.”

Keperluan Masyarakat Awam Untuk Bermazhab

Masyarakat awam atau mana-mana individu yang tidak berkahlian untuk berijtihad perlu mengikut apa yang dibawa oleh imam-imam mazhab. Hal ini kerana, orang awam tidak mempunyai kelayakan untuk memahami nas apatah lagi mentarjih pandangan para imam. Syeikh Zakaria al-Ansari telah menyatakan pandangan beliau tentang kedudukan orang awam dalam bermazhab:

والأصح أنه ‌يلزم ‌المقلد عاميا كان أو غيره. التزام مذهب معين من مذاهب المجتهدين

Maksudnya: “Pandangan yang lebih tepat ialah orang yang bertaklid masyarakat awam atau seumpama dengannya perlu mengikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab para Mujtahid.”[9]

Tambahan lagi, Imam al-Amidi turut berkata dalam kitabnya al-Ihkam:

العامي ومن ليس له أهلية الاجتهاد، وان كان محصلا لبعض العلوم المعتبرة في الاجتهاد، يلزمه اتباع قول المجتهدين والاخذ بفتواه، عند المحققين من الأصوليين.

Maksudnya: Orang awam yang belum memiliki keahlian berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang muktabar dalam berijtihad, dia tetap wajib mengikut pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwa-fatwanya.[10]

Oleh yang demikian, jelas bahawa perlunya masyarakat awam mengikut hukum dan pandangan mazhab setempat dalam amal ibadat mahupun perkara yang lain. Bahkan terdapat hukum yang meletakkan wajib bagi golongan awam ini bermazhab selaras dengan kedudukan golongan ini yang perlu merujuk kepada golongan yang lebih arif. Hal ini bertepatan dengan ayat suci al-Quran yang berbunyi:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Hakikatnya, orang awam tidak berkemampuan untuk berijtihad atau beristinbat secara sendirian kerana memerlukan pemahaman nas-nas syarak secara mendalam dan ia amat mustahil dan tidak akan tercapai untuk mereka.

Lebih parah apabila wujudnya masyarakat yang suka mencela dan merendahkan sosok tubuh imam-imam mazhab, sedangkan keilmuan dan sumbangan mereka begitu besar dalam warisan keilmuan Islam. Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan syarat untuk menjadi mujtahid dalam fiqh Muhammad bin ‘Abdullah bin al-Munadi menyebut:

سَمِعْت رَجُلًا يَسْأَلُ أَحْمَدَ: إذَا حَفِظَ الرَّجُلُ مِائَةَ أَلْفِ حَدِيثٍ ‌يَكُونُ ‌فَقِيهًا؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَمِائَتَيْ أَلْفٍ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَثَلَاثَ مِائَةِ أَلْفٍ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَأَرْبَعَ مِائَةِ أَلْفٍ، قَالَ بِيَدِهِ هَكَذَا، وَحَرَّكَ يَدَهُ

Maksudnya: “Aku mendengar seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Jika seorang lelaki itu menghafaz 100 ribu hadis adakah dia dikira faqih?, Imam Ahmad menjawab: Tidak. Dia bertanya lagi: Kalau 200 ribu hadis? Jawabnya lagi: Tidak. Dia bertanya lagi: Kalau 300 ribu hadis?, Imam Ahmad menjawab: Tidak, lelaki itu pun bertanya lagi: Kalau 400 ratus ribu hadis? Imam Ahmad pun menjawab: dengan menggerakkan tangannya (tanda bersetuju bahawa orang tersebut layak berijtihad dan berfatwa).”[11]

Pemikiran sebegini boleh menyebabkan seseorang terjebak ke dalam salah faham terhadap kalam Allah dan sabda Nabi SAW. Dalam Islam, banyak nas-nas syarak yang boleh diistidlal bagi mengeluarkan sesuatu hukum namun disebabkan kegopohan dan kejahilannya tentang proses pengeluaran hukum serta ketidakupayaannya dalam berijtihad, maka dia telah menafikan kewujudan sesuatu hukum.[12]

 

Pengiktirafan Para Ulama terhadap Keilmuan Imam al-Syafi’i

 

Dalam ruang yang terbatas ini kami bawakan pengenalan kepada Imam al-Syafi’i yang ketokohannya tidak dapat disangkal lagi sebagai satu contoh untuk kita ambil Pelajaran dan menghormati kedudukan seorang Imam mazhab. Allah SWT telah menganugerahkan kepadanya kebolehan yang luar biasa. Kepetahan dalam berhujah, kuat hafalan, keperibadian yang mulia, rendah diri, kuat beribadah dan lain-lain lagi. Antara kata-kata pujian ke atas beliau ialah:

Mus’ab bin Abdullah berkata: Aku tidak pernah melihat seseorang pun yang lebih alim pada zaman ini berbanding al-Syafi’i.[13]

Menurut al-Mubarrid, Imam al-Syafi’i adalah seorang yang puitis, beretika dan mahir dalam qiraat[14]

Anak murid Imam al-Syafi’i menceritakan bahawa gurunya seorang yang kuat beribadah, Imam al-Syafi’i mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sebanyak 60 kali dan 30 kali pada bulan-bulan yang lain.[15]

Pujian imam Ahmad bin Hanbal kepada Imam al-Syafi’i: Abu Bakar al-Saumaie berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: Para ilmuan hadis tidak berasa puas dengan kitab-kitab Imam al-Syafi’i.

Ketika Imam Ahmad bin Hanbal ditanya mengenai Imam al-Syafi’i, beliau berkata: Allah SWT telah menganugerahkan Imam al-Syafi’i kepada kita. Kami telah mempelajari perkataan sesebuah kaum dan menulis kitab-kitab mereka sehingga datang kepada kami Imam al-Syafi’i. Setelah kami mendengar ucapannya, maka kami dapat mengetahui bahawa beliau paling alim berbanding lainnya. Kami telah mendampingi beliau pada siang dan malam hari, maka tiada kami lihat kepadanya melainkan kesemuanya baik.

Seorang lelaki berkata kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdullah, sesungguhnya Yahya bin Ma’in dan Abu Ubaid tidak meredai Imam al-Syafi’i dengan menisbahkan beliau kepada Syiah, maka Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Aku tidak mengetahui perkara yang mereka berdua katakan, tiada apa-apa yang kami lihat kepada Imam al-Syafi’i melainkan kebaikan.[16]

Imam Ahmad Ibn Hanbal juga menyebut bahawa Imam al-Syafi’i merupakan orang yang paling kuat berpegang dengan sunnah jika dibandingkan dengan orang lain.[17]

Imam Ahmad memuji kehebatan al-Imam al-Syafi’i ketika beliau bertanya kepada Imam al-Syafi’i tentang satu permasalahan dan dijawab oleh Imam al-Syafi’i. Setelah itu, Imam Ahmad meminta dalil kepada Imam al-Syafi’i lantas Imam al-Syafi’i mengeluarkan dalil hadis tentang permasalahan tersebut secara spontan dan hadis tersebut merupakan hadis yang warid daripada Nabi SAW dan ini melahirkan rasa kagum Imam Ahmad kepada Imam al-Syafi’i.[18]

Mazhab Syafi'i di Malaysia

Manhaj Imam Syafi'i telah diikuti oleh murid-muridnya dan akhirnya mazhab ini berkembang di kebanyakan negara di dunia Islam. Di Tanah Melayu perkembangan mazhab Syafi'i telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Bahkan, karya-karya fiqh Syafi'i seperti al-Muhadzab oleh Imam al-Shirazi, Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, Fath al-Wahhab oleh Imam Zakariyya al-Ansari, dan Fath al-Mu’in oleh Imam al-Malibari menjadi asas terhadap penggubalan undang-undang tempatan seperti Undang-Undang Melaka dan digunakan sebagai silibus pengajian kepada masyarakat[19]. Institusi-institusi pengajian agama seperti pondok, masjid, surau dan sekolah-sekolah agama turut menerapkan silibus pendidikan fiqh Syafi’i untuk disampaikan kepada umum.

Lantaran itu, proses pembudayaan mazhab Syafi’i telah berlangsung sejak berkurun lamanya hinggalah ia menjadi sebuah mazhab yang mapan dan sinonim dengan hal ehwal agama Islam di negara ini[20]. Sejajar dengan itu, ia juga menjadi salah satu perkara yang sensitif untuk dibahaskan secara terbuka kerana secara tidak langsung turut menyentuh autoriti institusi diraja sebagai ketua agama Islam negeri, akta pentadbiran agama Islam negeri dan adat setempat. Oleh yang demikian, kegagalan dalam mengetahui latar belakang, sejarah perkembangan mazhab Syafi'i di Malaysia dan realitinya pada hari ini telah mengakibatkan kecelaruan dari segi cara berfikir seterusnya membawa kepada tingkah laku yang tidak beradab.

 

Masyarakat Awam Perlu Berpegang Kepada Mazhab

Demi kemudahan orang awam melaksanakan tuntutan syarak, harus baginya bertaqlid mana-mana imam mujtahid yang diyakininya. Orang awam yang tidak berkeahlian berijtihad sekalipun seorang yang alim adalah wajib bertaqlid. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan inilah pandangan yang ditarjihkan oleh kebanyakan ulama semasa.[21]

Dakwaan sesetengah golongan anti mazhab bahawa amalan bermazhab dengan mazhab al-Syafi’i di Malaysia ini sebagai taksub dan fanatik adalah tidak benar sama sekali. Hal ini kerana amalan bermazhab ini telah bertapak kukuh dalam masyarakat Islam di negara ini. Ia juga adalah satu keperluan dan tidak boleh untuk diganggu gugat oleh aliran yang tidak bermazhab kerana akan menimbulkan banyak masalah. Amalan yang berlaku bukanlah berasaskan fanatik mazhab tetapi atas asas bertaqlid kepada imam mujtahid yang berkelayakan untuk berijtihad. Aliran tidak bermazhab yang diluar daripada kerangka sebagaimana yang ada sekarang tidak boleh diberikan ruang di negara ini kerana ia akan menghasilkan puluhan mazhab yang lain.[22]

 

Menghormati Golongan Ulama

Syariat Islam bersifat menyeluruh sehingga meliputi perihal adab dan akhlak dalam kehidupan manusia. Antara perkara yang ditekankan adalah sifat menghormati antara satu sama lain merupakan salah satu sifat bagi orang beriman. Lebih-lebih lagi, menghormati dan memelihara adab apabila berinteraksi dengan golongan yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari sudut keilmuan serta keagamaan. Mengambil pendekatan kritis terhadap karya-karya ulama merupakan usaha yang baik kerana ia akan meluaskan ufuk pemikiran, merangsang minda untuk berfikir dan mengembangkan ilmu. Namun begitu, ia perlulah dilakukan dalam suasana yang penuh beradab sehingga tidak mencemarkan kedudukan mereka sebagai seorang yang alim, faqih dan mujtahid.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad Murtada al-Zabidi, Taj al-Arus min Jawahir al-Qamus (Kuwait: Wizarah al-Irsyad wa al-Anba’, 2001), 33:128.

[2] Abu Hayyan Muhammad bin Yusuf al-Andalusi, al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir, Sidqi Muhammad Jamil (Beirut: Dar al-Fikr, 1420H), 9:31.

والعُلَماءُ هُمُ الَّذِينَ عَلِمُوهُ بِصِفاتِهِ وتَوْحِيدِهِ وما يَجُوزُ عَلَيْهِ وما يَجِبُ لَهُ وما يَسْتَحِيلُ عَلَيْهِ، فَعَظَّمُوهُ وقَدَّرُوهُ حَقَّ قَدْرِهِ، وخَشَوْهُ حَقَّ خَشْيَتِهِ، ومَنِ ازْدادَ بِهِ عِلْمًا ازْدادَ مِنهُ خَوْفًا، ومَن كانَ عِلْمُهُ بِهِ أقَلَّ كانَ آمَنَ، وقَدْ ورَدَتْ أحادِيثُ وآثارٌ في الخَشْيَةِ.

[3] Ibn Ruslan, Syarah Sunan Abi Daud (Mesir: Dar al-Falah li al-Bahs al-Ilmi, 2016), 15:69.

وحسبك بهذِه الدرجة مجدًا وفخرًا، وبهذه الرتبة شرفًا وكرمًا، فكما لا رتبة فوق رتبة النبوة لا شرف فوق شرف وارث تلك الرتبة، والعلماء ورثوا الأنبياء في سياسة إصلاح الخلق وإرشادهم إلى النجاة في الدنيا والآخرة،

[4] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy, cetakan ke-2 (Kaherah: Dar al-Kutub al-MIsriyyah, , 1384H/1964M), 14:240.

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِناتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتاناً وَإِثْماً مُبِيناً (58)

أَذِيَّةُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ هِيَ أَيْضًا بِالْأَفْعَالِ وَالْأَقْوَالِ الْقَبِيحَةِ، كَالْبُهْتَانِ وَالتَّكْذِيبِ الْفَاحِشِ الْمُخْتَلَقِ. وَهَذِهِ الْآيَةُ نَظِيرُ الْآيَةِ الَّتِي فِي النِّسَاءِ:" وَمَنْ يَكْسِبْ خَطِيئَةً أَوْ إِثْماً ثُمَّ يَرْمِ بِهِ بَرِيئاً فَقَدِ احْتَمَلَ بُهْتاناً وَإِثْماً مُبِيناً

[5] Ibn Hajar al-Haitami al-Sa’di, al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair (Beirut: Dar al-Fikr, 1987), 2:20.

[6] Abu Ja’far al-Tahawi, Matn al-Aqidah al-Tohawiyyah Bayan Aqidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1995), 30.

[7] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ (Beirut: Muasasah al-Risalah, 1985), 8:408.

[8] Ibn Nasir al-Din, al-Radd al-Wafir, Zuhair al-Syawish (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), 303.

[9] al-Ansari, Zakaria bin Muhammad, Ghayat al-Wusu fi Syarh Lub al-Usul. (Mesir: Dar al-Kutub al-‘Arabiyah, 1431H),160.

[10] ‘Ali bin Muhammad al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, ed. ‘Abd al-Razzaq ‘Afifi (t.tp.: t.p., t.t.), 4:278.

[11] Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-’Alamin, ed. Muhammad ‘Abd al-Salam Ibrahim (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1991), 1:36.

[12] Bahaya Anti Mazhab, (Ed 2: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, 2017),14.

[13] Syamsuddin Abu Abdillah, Siyar ‘Alam al-Nubala’. (Kaherah: Dar al-Hadis, 1427) Jdl. 8 Hlm. 268

قَالَ مُصْعَبُ بنُ عَبْدِ اللهِ: مَا رَأَيْتُ أَحَداً أَعْلَمَ بِأَيَّامِ النَّاسِ مِنَ الشَّافِعِيِّ.

[14] Ibid. Jld. 8 Hlm. 270

وَقَالَ المُبَرِّدُ: كَانَ الشَّافِعِيُّ مِنْ أَشْعَرِ النَّاسِ، وَآدَبِ النَّاسِ وَأَعْرَفِهِم بِالقِرَاءَاتِ.

[15] Ibid. Jld. 8 Hlm. 271

قَالَ أَبُو بَكْرٍ بنُ زِيَادٍ النَّيْسَابُوْرِيُّ: سَمِعْتُ الرَّبِيْعَ يَقُوْلُ: كَانَ الشَّافِعِيُّ يَخْتِمُ القُرْآنَ فِي كُلِّ رَمَضَانَ سِتِّيْنَ خَتْمَةً، وَفِي كُلِّ شَهْرٍ ثَلاَثِيْنَ خَتْمَةً

[16] Abu Bakar al-Asdi, Manaqib Imam al-Syafi’i (Kitab elektronik- Al-Maktabah al-Syamilah), Jld. 1, Hlm. 46.

وقال أبو بكر الصّومعيّ: سمعت أحمد بن حنبل يقول: صاحب حديث لا يشبع من كتب الشافعي، وقال البيهقي: أنا الحاكم سمعت أبا أحمد بن علي بن محمد المروزيّ، سمعت ابا غالب عليّ بن أحمد بن النّضر الأزديّ يقول: سمعت أحمد بن حنبل، وسئل عن الشافعي فقال: لقد منّ الله علينا به. لقد كنّا تعلّمنا كلام القوم، وكتبنا كتبهم حتى قدم علينا الشافعي. فلمّا سمعنا كلامه، علمنا أنه أعلم من غيره، وقد جالسناه الأيام والليالي، فما رأينا منه إلا كلّ خير. وقال له رجل: يا أبا عبد الله، فإن يحيى ابن معين وابا عبيد لا يرضيانه، يعني في نسبتهما إيّاه إلى التّشيّع. فقال أحمد: ما ندري ما يقولان والله ما رأينا منه إلا خيرا.

[17] Ahmad Nahrawi Abd al-Salam, al-Imam al-Shafiʻi fi Madhhabayhi al-Qadim wa al-Jadid (Kaherah: Dar al-Salih, 2017), Hlm. 46.

[18] Abu Bakr al-Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i. (Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, 1390) Jld. 2 Hlm. 154

كنت عند أحمد بن حنبل، نتذاكر في مسألة، فقال رجل لأحمد: يا أبا عبد الله. لا يصح فيه حديث. فقال: إن لم يصح فيه حديثٌ ففيه قول الشافعي، وحجته أثبت شيء فيه (4). ثم قال: قلت للشافعي: ما تقول في مسألة كذا وكذا؟ فأجاب فيها، فقلت: من أين قلت؟ هل فيه حديث أو كتاب؟ قال: بلى. فَنَزَعَ في ذلك حديثاً للنبي، صلى الله عليه وسلم، وهو ‌حديث ‌نصّ

[19] Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid, "Mazhab Syafi'i di Malaysia: Sejarah, Realiti dan Prospek Masa Depan." Jurnal Fiqh 4 (2007): 1-38.

[20] Idris Awang & Tengku Sarina Aini Tengku Kasim. "Pembudayaan Mazhab Syafi'i dalam Masyarakat Islam di Malaysia." Jurnal Fiqh 4 (2007): 157-172.

[21] Wahbah al-Zuhayli (1996), ibid., hh. 1126-1129; Nadiyah Syarif al- ‘Umri (2004), Al-Ijtihad wa al-Taqlid fi al-Islam. Beirut: Mua’ssasah al-Risalah, hh. 271-273.

[22] Luqman Hj Abdullah & Nima Jihatea (2007). Bermazhab dan Fanatik Mazhab: Satu Sorotan Dalam Kerangka Amalan Bermazhab Syafi’i Masyarakat Melayu. Jurnal Fiqh, 4, 103–118.