اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-294: BAYAN LINNAS: JAGA KESUCIAN RAMADAN DAN SYAWAL

hahahahahaha.jpg

 

Mukaddimah

Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah klip video raya oleh   seorang usahawan kosmetik bersama beberapa penari lelaki yang menyanyikan lagu bersempena hari raya Aidilfitri. Begitu juga terdapat klip-klip video lain yang telah menimbulkan kontroversi dan reaksi kurang senang masyarakat Islam di negara ini. Perbuatan ini jelas bercanggah dengan moral dan etika seorang individu yang beragama Islam bahkan dilakukan pula di bulan Ramadan yang mulia ini.

Akhlak dalam Berhibur

Islam tidak melarang para penganutnya untuk berhibur dan berseronok namun bentuk hiburan itu mestilah dalam kerangka syariat juga tidak melanggar batasan yang ditetapkan.

Terdapat satu hadis berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah RA yang merasa takut dirinya menjadi munafiq oleh kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً. ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya:Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu!” – Rasulullah menyebut tiga kali.

Riwayat Muslim (2750)

Imam Nawawi mentafsirkan hadis ini bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Oleh kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah berlaku munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa yang diperuntukkan untuk ibadah, ada juga masa yang diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga[1].

Dewasa ini, industri hiburan semakin berkembang dan antara bidang seni yang mempelopori industri ini tidak lain dan tidak bukan ialah seni muzik. Ramai yang menganggap muzik ini hanyalah sekadar hiburan semata, namun hakikatnya ia juga bergerak sebagai mesej, pengantara pembelajaran dan kayu ukur pemikiran dan kebudayaan sesuatu bangsa. Bukan itu sahaja, muzik juga mampu menukar emosi dan perasaan seseorang daripada sedih menjadi gembira begitu sebaliknya. Malahan pula, dengan muzik, nilai-nilai kemanusiaan dan pelbagai boleh diterapkan lalu disampaikan dan dibawa ke dalam masyarakat.

Justeru itu, sekiranya muzik dan nyanyian ini tidak diacu dengan acuan syariat, nescaya ia akan memberi kesan tidak baik bukan hanya terhadap individu, malah keluarga, masyarakat, bangsa jua negara.

Islam membenarkan nyanyian dan muzik selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik yang menyanggahi syariat dan akidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama. Perkara ini telah kami jelaskan dalam artikel Bayan Linnas kami, siri ke-197 yang bertajuk: Islam dan Muzik[2].

Jelas di sini, meskipun muzik dan nyanyian itu dibenarkan, ia hendaklah diikat dengan garis panduan yang telah ditetapkan syarak dan juga akhlak seseorang individu Muslim. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah menggariskan suatu panduan khusus buat kesemua pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain[3].

Sehubungan dengan itu, sikap tidak mengambil peduli akan sensitiviti rakyat Muslim malah dilihat seolah mempersenda dan memperolok kesucian agama Islam merupakan suatu sikap yang bertentangan dengan akhlak seseorang individu Muslim.

Menghormati Kesucian Ramadan

Meskipun berada di ambang Syawal dan perayaan Aidilfitri, kesucian bulan Ramadan tetap perlu dijaga bahkan umat Islam ditekankan untuk terus beribadah dan mengejar kebaikan di fasa akhir bulan ini. Tambahan lagi, pada fasa-fasa akhir ini dijanjikan ganjaran yang berlipat-ganda buat umat Islam dan peluang ini sepatutnya dikejar dan direbut setiap umat Islam. Saranan ini seiring dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika berada pada 10 malam terakhir Ramadan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‌يَجْتَهِدُ ‌فِي ‌الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ، مَا لَا ‌يَجْتَهِدُ ‌فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya-upaya pada malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”.

(Riwayat Muslim)

Selain daripada aspek kebaikan dan kemuliaan, bulan Ramadan juga boleh menjadi sesuatu yang malang dan rugi sekiranya seseorang itu lalai, jahil dan berbuat maksiat. Bahkan terdapat beberapa hadis yang memberi peringatan buat umat Islam tentang perihal orang yang rugi dan tidak mendapat kebaikan Ramadan. Antaranya melalui riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ورَغِمَ أنفُ رجلٍ دخلَ علَيهِ رمضانُ ثمَّ انسلخَ قبلَ أن يُغفَرَ لَهُ ، ورغمَ أنفُ رجلٍ أدرَكَ عندَهُ أبواهُ الكبرَ فلم يُدْخِلاهُ الجنَّةَ

Maksudnya: “Celakalah seseorang itu apabila bulan Ramadan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak menjadi sebab yang memasukkannya kedalam Syurga (kerana tidak berbakti kepada ibu bapanya.”[4]

(Riwayat al-Tirmizi)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkenaan kedudukan ibadat orang yang berpuasa tetapi tidak menjaga diri daripada perbuatan yang keji. Dalam riwayat tersebut Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ ‌قَوْلَ ‌الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشرابه

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya maka Allah SWT tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya (puasanya).”

(Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Imam al-Qastalani memetik pandangan al-Turbashti yang menyatakan bahawa orang yang berkelakuan keji puasanya tidak membawa apa-apa nilai kerana dia menahan perkara yang diharuskan syarak berbanding menahan berbuat perkara yang dilarang oleh syarak.[5] Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa golongan yang berpuasa tetapi dalam masa yang sama berbuat maksiat adalah termasuk dalam golongan yang rugi dan sia-sia serta tidak membawa sebarang nilai di sisi Allah SWT. Justeru, umat Islam seharusnya mengambil serius tentang peringatan yang telah dinyatakan agar tidak tergolong dalam golongan yang sedemikian.

Menghayati Falsafah Raya

Aidilfitri bukan sekadar sambutan yang meriah akan tetapi hakikat sebenar kegembiraan umat Islam terletak pada sambutan kemenangan yang diraih selepas melalui fasa melawan hawa nafsu dalam bulan Ramadan. Oleh itu, Allah SWT dalam menjelaskan ayat-ayat berkaitan berpuasa menyimpulkan atas ibadah yang dikerjakan sepanjang bulan Ramadan itu hendaklah disambut dengan bertakbir membesarkan keagungan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan ini. Firman Allah SWT:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” ‎

(Surah al-Baqarah: 185)

Berdasarkan ayat di atas menunjukkan Aidilfitri juga sepatutnya hadir bersama rasa syukur dan gembira untuk dinikmati umat Islam kerana kembali kepada fitrah selepas sebulan melalui proses penyucian diri daripada maksiat dan dosa melalui ibadah puasa. Jesteru, falsafah penting dalam menyambut Aidilfitri adalah 'kembali kepada fitrah' selepas sebulan 'menyucikan diri' daripada segala maksiat dan dosa. Hal ini juga bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya:Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu”[6]

Bahkan bagi sebahagian golongan seperti para sahabat, salafussoleh dan ulama meskipun mereka meraikan keriangan hari raya masih tersisa dalam diri mereka perasaan khuatir dan bimbang amalan yang telah dilaksanakan tidak diterima dan tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT. Setelah melalui Ramadan mereka masih berterusan berdoa kepada Allah SWT agar direzekikan untuk bertemu Ramadan pada tahun akan datangnya kerana keutamaannya[7].

Justeru, sesiapa yang melalui Ramadan dengan penuh ketakwaan dan keimanan nescaya hari rayanya digambarkan dalam bentuk ketaatan, sekali gus menjadikan seseorang itu lebih baik dari yang sebelumnya. Ibn Rajab al-Hanbali dalam menjelaskan maksud berhari raya yang sebenar juga berkata:

‌ليس ‌العيد ‌لمن ‌لبس ‌الجديد إنما العيد لمن طاعاته تزيد ليس العيد لمن تجمل باللباس والركوب إنما العيد لمن غفرت له الذنوب في ليلة العيد

Maksudnya:Bukanlah hari raya itu bagi seseorang yang memakai baju baru, tetapi hakikatnya hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah. Bukanlah hari raya itu bagi sesiapa yang memperagakan pakaian dan kenderaan, tetapi hakikat hari raya itu bagi mereka yang diampunkan dosanya pada malam hari raya.[8]

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas hari raya menjadi cerminan dan indikator keberhasilan seseorang sama ada berjaya atau tidak seseorang melalui tarbiah sepanjang bulan Ramadan yang telah berlalu. Hari raya sepatutnya menjadi kesinambungan kepada tarbiah Ramadan dalam membentuk taqwa dalam diri seseorang sehingga dapat menjadi perisai yang melindungi diri seseorang daripada perbuatan yang mungkar dan maksiat kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, setelah masuknya satu syawal umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti bertakbir, menghidupkan malam raya dengan solat sunat dan solat sunat hari raya serta menyelesaikan tuntutan fardu seperti membayar zakat fitrah dan seumpamanya. Hal ini kerana tujuannya adalah untuk menjadikan pemangkin untuk terus konsisten beribadah meskipun bulan Ramadan telah berakhir.

Penutup

Di kala bulan Ramadan hampir pergi meninggalkan kita, gunalah kesempatan yang ada untuk melakukan amal ibadah sepenuhnya, hindarilah perbuatan-perbuatan yang dapat mengurangi pahala ibadah puasa kita. Tidak lama lagi, hari raya bakal menjelma. Meraikannya merupakan satu bentuk ibadah yang patut dipelihara.

Dalam kita bergembira dan berhibur, batas syariat perlu diawasi, akhlak dan tingkah perlu dijaga. Sambutan hari raya yang diraikan perlu seiring dengan penghayatan berlandaskan syariat atas ibadah puasa yang dijalankan. Falsafah Aidilfitri juga hendaklah dipertahankan dengan meraikannya mengikut roh Islam, tradisi budaya dan nilai masyarakat setempat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Wallahu A‘lam.

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 17/66-67.

(نَافَقَ حَنْظَلَةُ) مَعْنَاهُ أَنَّهُ خَافَ أَنَّهُ مُنَافِقٌ حَيْثُ كَانَ يَحْصُلُ لَهُ الْخَوْفُ فِي مَجْلِسِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَظْهَرُ عَلَيْهِ ذَلِكَ مَعَ الْمُرَاقَبَةِ وَالْفِكْرِ وَالْإِقْبَالِ عَلَى الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجَ اشتغل بِالزَّوْجَةِ وَالْأَوْلَادِ وَمَعَاشِ الدُّنْيَا وَأَصْلُ النِّفَاقِ إِظْهَارُ مَا يَكْتُمُ خِلَافَهُ مِنَ الشَّرِّ فَخَافَ أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ نِفَاقًا فَأَعْلَمَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ لَيْسَ بِنِفَاقٍ وَأَنَّهُمْ لَا يكلفون الدوام على ذلك سَاعَةً وَسَاعَةً أَيْ سَاعَةً كَذَا وَسَاعَةً كَذَا.

[2] Lihat: https://www.muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3570-bayan-linnas-siri-ke-197-islam-dan-muzik, laman web diakses pada 3/4/2024.

[3] Lihat: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_hiburan_dalam_islam.pdf, laman web diakses pada 3/4/2024.

[4] Abu ‘Isa Muhammad Bin ‘Isa al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, (Mesir: Matba'ah Musṭafa al-Bābī Halabī: 1975), 5/550.

[5] al-Qastalani, Ahmad bin Muhammad. Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari. (Mesir: al-Matba‘ah al-Kubra al-Amiriyah, Ed 7, 1323H). Jld 9 hlm 44

(والجهل فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه) قال التوربشتي: أي لا يبالي بعمله ذلك لأنه أمسك عما أبيح له في غير حين الصوم ولم يمسك عما حرم عليه في سائر الأحايين

[6] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, Peny. Mustafa Dib al-Bugha, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, 1993), 1/22; Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 1915), 2/177.

[7] Zayn al-Dīn Abd Rahman bin Ahmad bin Rajab bin al-Hassan, Lata’if al-Ma’arif, (Beirut, Lubnan: Dār Ibn Hazm, 2004), 148.

قال معلى بن الفضل:كانوا يدعون الله تعالى ستة أشهر أن يبلغهم رمضان، يدعونه ستة أشهر أن يتقبل منهم.

[8] Ibn Rajab al-Hanbali, Lata’if al-Ma’arif, 277