اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-296: MENCEMARI MAJLIS RUMAH TERBUKA DENGAN MAKSIAT

 MENCEMARI_MAJLIS_RUMAH_TERBUKA_DENGAN_MAKSIAT.jpg

 

Mukadimah

Baru-baru ini tular sebuah video berkaitan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri yang dianjurkan oleh seorang usahawan. Majlis yang diadakan tersebut dilihat telah dicemari dengan kehadiran lelaki berpakaian wanita atau ratu pondan yang berpakaian seksi dan beraksi tidak senonoh[1]. Hal ini telah menimbulkan kemarahan masyarakat awam kerana budaya rumah terbuka Aidilfitri yang sepatutnya menjadi budaya yang baik, tetapi telah dimasukkan unsur-unsur maksiat dan kemungkaran yang wajib untuk dicegah. Sehubungan dengan itu, artikel Bayan Linnas ini ditulis sebagai salah satu usaha untuk menegur pihak yang terlibat dan masyarakat awam yang lain agar tidak mengulangi kemungkaran tersebut. Sabda Nabi SAW:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

Rumah Terbuka yang Mempunyai Unsur Maksiat

Di Malaysia, telah menjadi adat untuk perayaan Aidilfitri disambut sepanjang bulan syawal dengan budaya ziarah menziarahi serta sambutan rumah terbuka yang diadakan di rumah atau di tempat kerja. Walaupun syariat Islam tidak mengajar secara khusus budaya ini, ia merupakan adat yang baik dan diharuskan kerana bersesuaian dengan anjuran Nabi SAW untuk memberi makan, menyebarkan salam, serta mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama Muslim.

Namun begitu, rumah terbuka ini mestilah diadakan berlandaskan batas-batas syariat dan akhlak yang telah ditetapkan. Hukum harus ini akan bertukar menjadi haram apabila dicemari dengan unsur-unsur maksiat seperti percampuran lelaki dan perempuan ajnabi dan kelakuan tidak senonoh oleh seorang ratu pondan seperti yang telah berlaku serta apa-apa kemungkaran yang lain. Allah SWT juga telah melarang umat Islam untuk berada satu majlis dengan ahli maksiat seperti dalam firman-Nya:

وَقَدۡ ‌نَزَّلَ ‌عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.

(Al-Nisa’: 140)

Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa sesiapa yang berada dalam majlis maksiat dan tidak mengingkarinya, maka dia juga mendapat dosa yang sama dengan yang membuat maksiat tersebut. Jika dia tidak mampu untuk menghalang maksiat tersebut, hendaklah dia bangun dan beredar dari majlis itu[2]. Apatah lagi jika maksiat yang dilakukan itu merupakan dosa besar dan perbuatan terlaknat.

 

Lelaki Menyerupai Wanita ialah Perbuatan yang Dilaknat

Perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki dengan pakaian dan percakapan merupakan satu dosa besar dan dilaknat oleh Nabi SAW berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a, beliau berkata:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ، وَقَالَ: أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ.

Maksudnya: Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki dan baginda bersabda: “Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kamu.”

Hadis ini jelas mengatakan bahawa nabi SAW melaknat perbuatan tersebut, bahkan selayaknya diasingkan daripada orang ramai agar sikap yang negatif dan mungkar tersebut itu tidak mempengaruhi orang lain. Imam al-Zahabi juga telah menyenaraikan perbuatan lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagai salah satu dosa besar[3]. Justeru, kita wajib menjauhi perbuatan tersebut serta tidak mempromosi orang yang melakukannya, apatah lagi menjemput orang tersebut dalam majlis rumah terbuka dan melakukan aksi yang lucah dan tidak senonoh. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

 

Akhlak sebagai Seorang Muslim

Akhlak dan sifat-sifat Islam mestilah dipelihara oleh setiap muslim terutamanya yang dikenali ramai dan mempunyai pengaruh agar dapat memberi contoh yang baik kepada orang ramai. Bersikap dan berkata-kata yang tidak senonoh di khalayak ramai dalam majlis rumah terbuka semestinya merupakan akhlak yang buruk dan wajib untuk dijauhi. Sikap ini bercanggahan dengan sifat malu yang merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman. Sabda Nabi SAW:


الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman.” 

(Riwayat Muslim)

Sifat malu yang sebenar seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ialah satu akhlak yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan yang buruk dan menghalang seseorang daripada tidak menunaikan hak kepada yang sepatutnya[4]. Sifat ini melambangkan tahap keimanan seseorang muslim dan tanpanya seseorang itu akan melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan batas syariat seperti dalam sabda Nabi SAW:

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى: إِذَا ‌لَمْ ‌تستح فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Sesungguhnya antara perkara yang didapatkan manusia daripada perkataan para nabi-nabi terdahulu ialah: Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka kamu.”

Riwayat al-Bukhari (3224)

Arahan dalam hadis ini ialah amaran dan ancaman kepada orang yang tiada sifat malu untuk lakukan apa sahaja yang dia mahu dan Allah SWT akan menghisab dan pasti akan membalasnya kelak[5]. Firman Allah SWT:

ٱعۡمَلُواْ ‌مَا شِئۡتُمۡ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: (Katakanlah kepada orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya”.

(Fussilat: 60)

Kesimpulan

Dinasihatkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis rumah terbuka tersebut untuk bertakwa kepada Allah dan bertaubat serta tidak mengulangi semula perbuatan yang mencemarkan majlis keramaian tersebut.

Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur dan bergurau, namun ia mestilah berlandaskan batas syariat dan akhlak Islam yang telah ditetapkan.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1]https://themerdekatimes.com/news/2024/05/rumah-terbuka-aidilfitri-dicemari-aksi-lucah-ratu-pondan-majlis-agama-digesa-ambil-peduli/

[2] Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkami al-Quran, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1994), 5:418.

فكل من جلس في مجلس معصية ولم ينكر عليهم يكون معهم في الوزر سواء، وينبغي أن ينكر عليهم إذا تكلموا بالمعصية وعملوا بها، فإن لم يقدر على النكير عليهم فينبغي أن يقوم عنهم حتى لا يكون من أهل هذه الآية.

[3] Shams al-Din Muhammad bin Ahmad bin Uthman al-Zahabi, al-Kaba’ir, (UAE: Maktabh al-Furqan, 2003), 252.

الكبيرة الثامنة والعشرون: الرجلة من النساء والمخنث من الرجال

[4] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, 1392H), 2:6.

وَإِنَّمَا حَقِيقَةُ الْحَيَاءِ خُلُقٌ يَبْعَثُ عَلَى تَرْكِ الْقَبِيحِ وَيَمْنَعُ مِنَ التَّقْصِيرِ فِي حَقِّ ذِي الْحَقِّ

[5] Abdurrahman bin Shihab al-Din al Baghdadi Ibn Rajab, Jami’ al-‘Ulumi wa al-Hikam, (Beirut: Muassasah al-Risalah, 1997), 1:497.

أنه أمرٌ بمعنى التهديد والوعيد، والمعنى: إذا لم يكن لك حياء، فاعمل ما شئت، فإن الله يجازيك عليه