اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-298: RAJA YANG ADIL, MASYARAKAT YANG SEJAHTERA DAN NEGARA BERDAULAT

RAJA_YANG_ADIL_MASYARAKAT_YANG_SEJAHTERA_DAN_NEGARA_BERDAULAT.jpg

Pendahuluan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menguasai semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, penghulu bagi sekalian manusia, tauladan bagi sekalian umat.

Ampun Tuanku,

Beribu-ribu ampun,

Sembah patik harap diampun,

Merafak Sembah Ucapan Setinggi-Tinggi Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bersempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada tanggal 20 Julai 2024.

Sebagai salah sebuah institusi agama yang bernaung di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku al-Sultan, Jabatan ini dengan penuh takzimnya menyambut titah oleh KeBawah Duli Tuanku dan berhasrat memanjangkan titah Tuanku kepada sekalian masyarakat khususnya umat Islam di negara ini untuk dijadikan sebagai pedoman bersama. KeBawah Duli Tuanku al-Sultan dalam titahnya, telah menyampaikan hasrat yang tulus dan murni dalam sanubari baginda bagi memelihara kedaulatan tanah air menerusi pelaksanaan prinsip keadilan di bawah pemerintahan baginda. Pada masa yang sama, dalam titah baginda Tuanku juga menunjukkan penegasan baginda terhadap kepentingan menegakkan prinsip keadilan dalam melaksanakan urusan pentadbiran negara demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan negara.

Di sebalik titah KeBawah Duli Tuanku ini juga dapat difahami bahawa prinsip keadilan ini turut terpakai ke atas semua golongan yang menggalas jawatan kepimpinan sama ada di peringkat tertinggi mahupun di peringkat bawahan lebih-lebih lagi ke atas pihak yang terlibat dalam menggubal dasar negara. Tuanku juga bertitah seraya berpesan kepada kepimpinan negara supaya terus berusaha dari segenap aspek untuk meringankan bebanan rakyat antaranya dengan menfokuskan terhadap agenda pembangunan negara. Jelasnya, KeBawah Duli Tuanku memiliki citra dan aspirasi untuk melihat tertegaknya keadilan di setiap lapisan dan struktur dalam masyarakat dengan meyakini bahawa ia merupakan aspek yang kritikal terhadap pembangunan modal insan, kesejahteraan sosial, kedaulatan undang-undang seterusnya memacu kemajuan negara pada masa akan datang.

Keadilan, Kesaksamaan Dan Toleransi

Titah oleh KeBawah Duli Tuanku al-Sultan secara tidak langsung turut menyentuh beberapa prinsip yang ditekankan dalam syariat Islam seperti keadilan, kesaksamaan dan timbang rasa. Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyebut berkenaan perintah Allah SWT kepada manusia supaya sentiasa berlaku adil antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan kaum. Berdasarkan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Maidah (8)

Melalui ayat di atas, terdapat perintah supaya berlaku adil meskipun kepada musuh serta tidak mengkhianati amanah. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa setiap manusia adalah pemimpin bagi manusia yang lain sama ada dalam kalangan mereka sendiri atau musuh mereka. Oleh itu, serulah mereka untuk mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka.[1] Hal ini demikian kerana sikap berlaku adil dapat mendekatkan orang yang beriman kepada takwa.[2] Dengan kata lain, keadilan dan ketakwaan mempunyai hubung kait antara satu dengan yang lain khususnya dalam konteks kepimpinan yang menjadi panduan kepada rakyat.

Dalam konteks kepimpinan YDPA sebagai pemerintah tertinggi negara, fungsi dan peranan baginda adalah tertakluk berdasarkan klausa-klausa yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 32 (1), YDPA berperanan sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang turut menaungi rakyat di negeri-negeri yang tidak mempunyai raja. Dari sudut pentadbiran negara, Seri Paduka Baginda memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada di landasan yang betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi peranan Baginda sebagai institusi semak dan imbang (check and balance) supaya ketua-ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggungjawab[3]. Dengan perkataan yang lain, baginda menjalankan fungsi seperti seorang hakim di mahkamah yang bertanggungjawab menghakimi urus tadbir kerajaan dengan adil dan saksama.

Sementara dari sudut pentadbiran agama Islam, berdasarkan Jadual Kelapan dalam Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan bahawa Raja-Raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam melaksanakan fungsinya sebagai ketua agama Islam. Walaupun begitu, mereka dibantu dan dinasihatkan oleh Majlis Agama Islam dalam semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum syarak , di mana Raja dibantu dan dinasihatkan oleh Mufti[4]. Dengan perkataan yang lain, institusi-institusi agama yang bernaung di bawah YDPA memainkan peranan penting untuk menasihati Tuanku berkaitan dengan bidang kuasa masing-masing demi memastikan keputusan daripada baginda bertepatan dengan prinsip keadilan.

Selain itu, antara isi penting yang terkandung dalam titah KeBawah Duli Tuanku juga adalah keutamaan pemimpin untuk memiliki sifat toleransi atau bertimbang rasa dalam menjalankan urus tadbir negara. Lebih-lebih lagi dalam mentadbir sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia, seorang pemimpin perlu memahami realiti rakyat di negara ini yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Sejajar dengan itu, penggubalan sesebuah polisi atau dasar mestilah dilaksanakan secara adil iaitu berteraskan kepada perlembagaan negara dan selaras dengan undang-undang agar tidak menzalimi mana-mana pihak. Rasulullah SAW turut menegaskan kepada umat Islam supaya mengamalkan sifat toleransi dan bertimbang rasa antara satu sama lain walaupun terhadap golongan kafir zimmi yang tinggal dalam negara Islam. Baginda SAW bersabda:

أَلاَ مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوِ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Ketahuilah bahawa sesiapa yang menzalimi seorang kafir zimmi yang telah memeterai perjanjian keamanan dengannya, malah mengurangkan haknya, atau memaksa bekerja melebihi kemampuannya, atau mengambil sesuatu tanpa persetujuannya, maka aku akan menjadi pembela bagi kafir zimmi tersebut pada Hari Kiamat."

Riwayat Abu Daud (3052)

Pedoman Kepada Rakyat

Berdasarkan kepada titah pertabalan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil dan diamalkan oleh rakyat. Antaranya ialah kewajipan untuk mentaati ulil amri dalam urusan kebaikan dan maslahat umum. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Surah al-Nisa’ (59)

Dalil di atas secara zahirnya menunjukkan bahawa antara kewajipan bagi orang yang beriman juga ialah mentaati para pemimpin lebih-lebih lagi pemimpin yang ikhlas menunaikan amanah untuk berkhidmat kepada rakyat jelata. Selain itu, dalil ini juga secara tidak langsung memberi isyarat terhadap kepentingan memiliki hubungan yang baik antara ulil amri dengan rakyat jelata kerana hubungan yang harmoni dan perpaduan masyarakat menjadi kunci dalam memelihara keamanan dan kemakmuran negara. Rasulullah SAW menyifatkan hubungan yang harmoni antara pemimpin dan rakyat menerusi hadis baginda:

‌خِيَارُ ‌أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ. وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, mereka yang mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara intipati yang boleh difahami daripada hadis di atas, konsep pemerintahan yang baik ialah apabila rakyat mendoakan pemimpinnya agar diberi pertolongan dalam menunaikan hak dan tanggungjawab serta berlaku adil. Dalam masa yang sama para pemimpin turut membantu rakyatnya dengan membimbing, menasihati serta menyeru ke arah kebaikan.[5] Oleh yang demikian, jelas bahawa keadilan boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan sesebuah pentadbiran serta hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Dalam pada itu, fuqaha terdahulu juga telah menyusun beberapa kaedah fiqhiyyah yang terhasil menerusi penelitian mereka terhadap dalil-dalil umum daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan perihal kekuasaan dalam Islam. Penyusunan kaedah ini bertujuan memberikan panduan kepada ulil amri dalam merangka sesebuah polisi, menggubal dasar, meminda perlembagaan dan sebagainya demi memastikan ketetapan tersebut bertepatan dengan kehendak syarak dan tidak bercanggah dengan maslahah umat. Sementara itu, rakyat juga boleh merujuk kepada kaedah-kaedah tersebut untuk memahami maksud di sebalik keputusan atau dasar yang telah diputuskan oleh pemerintah. Bahkan masyarakat yang berilmu juga akan menjadi masyarakat yang berakhlak dan beradab dengan para pemimpin. Hal ini amat penting dalam usaha untuk membina sebuah negara yang bertamadun. Antara kaedah tersebut adalah seperti:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Polisi dan keputusan pemerintah mestilah berpandukan kemaslahatan rakyat.[6] 

Begitu juga kaedah fiqh yang menjelaskan tentang kepentingan seorang pemimpin dalam mengharmonikan sesuatu yang khilaf dan kepentingan rakyat untuk memahami keputusan daripada ulil amri dalam menyelesaikan isu-isu yang menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat.

حكم الحاكم يرفع الخلاف

Maksudnya: “Keputusan hakim dapat menolak sebarang kekhilafan.[7]

Terdapat beberapa pentafsiran fuqaha mengenai aplikasi kaedah ini. Sebahagian fuqaha berpandangan bahawa takrifan hakim dalam kaedah ini hanya merujuk kepada keputusan daripada hakim atau qadi sahaja. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa istilah hakim ini bersifat umum iaitu turut meliputi golongan pemerintah yang terlibat dalam membuat keputusan penting demi kebaikan rakyat dan negara. Menurut al-Zarkasyi, aplikasi kaedah ini hanya terpakai dalam perkara-perkara yang tidak dapat diubah dalam penghakiman dan tidak dibenarkan dalam perkara-perkara selainnya. Namun begitu, secara umumnya kaedah ini juga boleh dijadikan sebagai panduan kepada rakyat untuk memahami logika di sebalik setiap keputusan daripada mahkamah dan pihak berautoriti kerana justifikasi daripada pihak-pihak berkenaan adalah lebih diyakini.

Penutup

Akhir kata, sekali lagi merafak sembah tahniah KeBawah Duli Tuanku di atas pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Kali ke-17. Dengan rasminya pertabalan Tuanku maka secara rasmi tuanku telah menjadi ketua utama negara ini. Selamat menjalankan tugas serta menyambung tampuk pemerintahan YDPA sebagai mana raja-raja terdahulu. Jabatan ini mendoakan agar Allah SWT membantu dan memberi kekuatan buat tuanku memikul amanah dalam memacu serta menambah baik pentadbiran negara. Semoga pentadbiran yang akan dibawa oleh Tuanku diberkati dan diredai di sisi Allah SWT.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] al-Tabari, Muhammad bin Jarir. Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Aya al-Quran. (Makkah: Dar al-Tarbiyah wa al-Turath). J:10 Hlm:96.

يعني بقوله جل ثناؤه: ‌اعدلوا" أيها المؤمنون، على كل أحد من الناس وليًّا لكم كان أو عدوًّا، فاحملوهم على ما أمرتكم أن تحملوهم عليه من أحكامي، ولا تجوروا بأحد منهم عنه

[2] Ibid, J:10, Hlm:96.

"هو ‌أقرب ‌للتقوى" فإنه يعني بقوله:"هو" العدلُ عليهم أقرب لكم أيها المؤمنون إلى التقوى، يعني: إلى أن تكونوا عند الله باستعمالكم إياه من أهل التقوى

[3] Mohamed Azam Mohamed Adil, "Institusi Semak dan Imbang Negara." (2016).

[4] Lukman Abdul Mutalib, Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Ahmad Syukran Baharuddin, Abdul Manan Ismail, Mohd Soberi Awang, Setiyawan Gunardi, Siti Fatimah Salleh, and Muhammad Hazim Ahmad. "Analisis Peranan Ulil Amri Dan Pihak Berkuasa Agama Dalam Menentukan Polisi Umum Berkaitan Hukum-Hakam Di Malaysia: Kajian Terhadap Isu-Isu Semasa Pandemik COVID-19: Analysis on the Role of Ulil Amri and Religious Authorities in Determining Public Policies Related to the Syariah Rulings in Malaysia: A Study on Current Issues of the COVID-19 Pandemics." INSLA E-Proceedings 3, no. 1 (2020): 235-248.

[5] al-Qurtubi, Abu al-’Abbas. al-Mufhim Li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim. (Damsyik: Dar Ibn Kathir, Ed 1, 1996) J:4, Hlm: 65.

وقوله ‌خيار ‌أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلُّون عليهم ويصلُّون عليكم؛ أي: تدعون لهم في المعونة على القيام بالحق والعدل، ويدعون لكم في الهداية والإرشاد وإعانتكم على الخير

[6] al-Suyuthi, Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman, al-Asybah wa al-Nazoir fi Qawa‘id wa Furu‘ Fiqh al-Syafi‘i. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Ed 1, 1983). Hlm: 121.

[7] Badr al-Din al-Zarkasyi, al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (t.tp:Wizarah al-Awqaf al-Kuwaitiyyah,1985), 2:69.

قَالُوا حُكْمُ الْحَاكِمِ فِي الْمَسَائِلِ الْمُخْتَلَفِ فِيهَا يَرْفَعُ الْخِلَافَ، وَهَذَا مُقَيَّدٌ بِمَا لَا يُنْقَضُ فِيهِ حُكْمُ الْحَاكِمِ، أَمَّا مَا يُنْقَضُ فِيهِ فَلَا.