اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-329: PERLAKSANAAN HUKUMAN MATI DARIPADA PERSPEKTIF SYARAK

PERLAKSANAAN_HUKUMAN_MATI_DARIPADA_PERSPEKTIF_SYARAK_UPDATE.jpg

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Beberapa hari kebelakangan ini timbul isu berkaitan perlaksanaan hukuman mati apabila sesetengah pihak menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak patut wujud di dunia. Dalam artikel ini, persoalan berkaitan perkara ini akan dikupas berdasarkan perspektif syarak tentang perlaksanaan hukuman tersebut.

Pertama, dari sudut Maqasid Syariah, Islam meletakkan hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) merupakan antara tujuan syarak yang paling utama dalam pensyariatannya. Walaupun hifz al-din (pemeliharaan agama) kebiasaanya diletakkan sebagai maqasid pertama namun ia merupakan suatu perkara yang masih boleh diijtihadkan. Terdapat pandangan ulama kontemporari seperti Syeikh Ali Jumuah yang menggariskan bahawa hifz al-nafs diletakkan di kedudukan tertinggi kerana tanpa nyawa manusia tidak dapat melaksanakan kewajipan agama. Hal ini menunjukkan syariat Islam sangat mengutamakan dan menjaga kepentingan pemeliharaan nyawa.

Antara bentuk pemeliharan bagi nyawa dalam syariat Islam adalah dilaksanakan dengan hukuman Qisas. Hukuman qisas dari sudut penggunaannya merujuk kepada hukuman atau pembalasan yang setimpal bagi hukuman membunuh bagi pembunuh dan hukuman balas bagi orang yang mencederakan serta orang yang mematahkan.[1] Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah:

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٤٥﴾

Maksudnya: Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (setimpal). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(Surah al-Maidah: 45)

Oleh yang demikian, dalam Islam setiap daripada jenayah dan pencerobohan hak ke atas individu lain diwajibkan untuk dihukum dengan balasan yang setimpal. Manakala dalam konteks hukuman mati, ia berkait dengan hukuman bunuh balas ke atas pembunuh yang sengaja (al-nafs bi al nafs). Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam pepatah Arab bahawa:

القتل أنفى للقتل

Maksudnya: Hukuman bunuh adalah lebih berkesan menolak jenayah pembunuhan.

Oleh itu, tujuan perlaksanaan hukuman ini bukanlah bertujuan untuk menumpahkan darah, bahkan sebaliknya ia mengelakkan daripada berlakunya perkara tersebut dan memberikan jaminan kehidupan kepada manusia. Allah SWT berfirman:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ‎﴿١٧٩﴾

Maksudnya: Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 179)

Imam al-Baghawi dalam mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa maksud qisas itu ada jaminan kehidupan kerana apabila orang yang ingin membunuh sedar bahawa dia akan dibunuh jika dia melakukannya, maka dia akan menghalang dirinya daripada melakukan perbuatan tersebut. Kata beliau:

وَذَلِكَ أَنَّ الْقَاصِدَ لِلْقَتْلِ إِذَا عَلِمَ أَنَّهُ إِذَا قَتَلَ يُقْتَلُ، يَمْتَنِعُ عَنِ الْقَتْلِ، فَيَكُونُ فِيهِ بَقَاؤُهُ وَبَقَاءُ مَنْ هَمَّ بِقَتْلِهِ

Maksudnya: Hal ini kerana orang yang berniat untuk membunuh, apabila dia mengetahui sekiranya dia melakukannya maka dia akan dihukum bunuh juga, justeru dia akan menghalang dirinya sendiri daripada melakukan perbuatan tersebut. Oleh yang demikian, hukuman qisas ini membawa kepada kekalnya hidup orang yang ingin membunuh dan orang yang ingin dibunuhnya tersebut.[2]

Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa hukuman bunuh melalui qisas berfungsi menjaga nyawa dengan beberapa cara yang utama iaitu:

  1. Pencegahan Umum (General Deterrence)

Hukuman Qisas berfungsi sebagai amaran dan ancaman kepada seluruh masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang terkandung di dalamnya. Hal ini dapat mencegah setiap anggota masyarakat daripada melakukan kesalahan dan jenayah tersebut kerana takut daripada akibat perbuatan itu yang boleh meragut nyawanya sendiri. Oleh yang demikian, setiap individu akan menimbangkan dan berfikir berkali-kali sama ada untuk melaksanakan jenayah itu. Tanpa hukuman seperti ini, penjenayah mungkin tidak teragak-agak terhadap perbuatan jenayah mereka kerana hukuman yang ringan dan boleh ditanggung oleh mereka yang tidak setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan.

  1. Pencegahan Keganasan Berantai (The Vendetta Cycle):

Sebelum kedatangan Islam, konflik pembunuhan sering diselesaikan melalui pembalasan suku (vendetta), di mana kematian satu individu akan menyebabkan konflik dan kematian yang lebih meluas dalam kalangan puak yang bertelagah. Hal ini dimana setiap anggota seseuatu puak akan menuntut hak dan membalas dendam yang akan membawa kepada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa yang tidak terkawal.

Oleh yang demikian, undang-undang Qisas yang dilaksanakan oleh autoriti berwibawa menghentikan kitaran pembunuhan yang tidak terkawal tersebut. Apabila hukuman Qisas dilaksanakan, ia dapat meredakan rasa ketidakadilan dan dendam di kalangan waris mangsa kerana mereka melihat keadilan yang setimpal telah dicapai. Jika pembunuh hanya dipenjara, waris mangsa mungkin terdorong untuk mengambil tindakan balas dendam sendiri, yang seterusnya akan mewujudkan jenayah baharu. Oleh itu, Qisas secara efektif berfungsi sebagai kaedah untuk menjaga ketenteraman awam dan menghalang pembalasan sendiri yang akan lebih menimbulkan kekacauan.

Disamping itu juga, perlaksanaan hukuman ini dalam Islam tidaklah dilakukan secara sewenang-wenangnya, bahkan terdapat kaedah pendakwaan, penyabitan dan penghakiman yang ketat dan terperinci seperti yang dibahaskan di dalam kitab-kitab fiqh. Selain daripada itu, ia juga bukan dilakukan secara mutlak kepada semua jenis pembunuhan, bahkan diklasifikasikan dengan pelbagai keadaan. Dalam hal ini, ia hanya wajib apabila pembunuhan itu dilakukan secara sengaja (عمدًا). Jika ia diklasifikasikan sebagai pembunuhan tersilap (خطاءً) atau separuh sengaja seperti membaling objek tanpa niat membunuh tetapi menyebabkan kematian, hukuman Qisas tidak diwajibkan sebaliknya hanya Diyat dikenakan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dakwaan yang menyifatkan hukuman mati sebagai merupakan satu hukuman yang tidak bertamadun dan berperikemanusian adalah tidak tepat kerana ia membawa masyarakat kepada suatu keadaan yang lebih bertamadun dengan tidak bermudah-mudah dalam menumpahkan darah. Dalam hal ini syariat Islam memandang bahawa hukuman bunuh melalui Qisas sebagai contoh merupakan satu hukuman yang disyariatkan oleh syarak bagi tujuan menjaga nyawa, di samping ia juga satu bentuk hukuman yang wajar dan rasional daripada sudut logik akal. Manakala dari sudut aspek perlaksanaannya maka ia hendaklah dipastikan dapat dilaksanakan demi menjamin hak keadilan bagi setiap individu dalam sistem kehakiman yang adil dan bebas.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Fayumi, Abu al-‘Abbas, al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, (Beirut: al-Maktabah al-Ilmiyyah, t.th), jld. 2, hlmn. 505.

مَأْخُوذٌ مِنْ اقْتِصَاصِ الْأَثَرِ ثُمَّ غَلَبَ اسْتِعْمَالُ الْقِصَاصِ فِي قَتْلِ الْقَاتِلِ وَجُرْحِ الْجَارِحِ وَقَطْعِ الْقَاطِعِ.

[2] Al-Baghawi, Abu Muhammad, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, (Beirut: Dar Ihya Turath al-‘Arabi, 1420h), jld. 1, hlmn. 210.