اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-337: KONSEP PENETAPAN HAD TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI MENURUT PERSPEKTIF FIQH SIYASAH

KONSEP_PENETAPAN_HAD.JPG

KONSEP PENETAPAN HAD TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI MENURUT PERSPEKTIF FIQH SIYASAH

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini pihak kerajaan telah menyatakan cadangan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh. Cadangan ini telah mendapat respon dan reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak. Dalam hal ini, perkara yang lebih utama adalah melihat perkara ini daripada perspektif Fiqh Siyasah untuk melihat sama ada syarak melihat pandangan ini sebagai baik atau sebaliknya. Pandangan daripada perspektif ini penting untuk membantu masyarakat dalam menilai keperluan dan kebaikan RUU yang akan dibentangkan di Parlimen ini. Oleh yang demikian, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyediakan artikel Bayan Linnas kali ini yang akan membincangkan tentang perkara ini secara menyeluruh.

Panduan Syarak Berhubung Tanggungjawab Pemimpin dan Larangan Menuruti Hawa Nafsu

Pemimpin ialah individu yang dipercayai dan dilantik bagi menunaikan amanah dalam menjalankan tugas-tugas kepimpinan. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan kewajipan ke atas seorang khalifah atau pemimpin untuk menjalankan urus tadbir tanggungan di bawah mereka secara adil, dan larangan daripada menuruti hawa nafsu. Berdasarkan firman-Nya:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”

Surah Sad (26)

Pada asalnya, dalil di atas merupakan perintah Allah SWT terhadap nabi Daud AS yang telah dilantik sebagai seorang rasul bagi menggantikan rasul sebelumnya. Pada masa yang sama, dalil ini turut menegaskan secara umum mengenai adab-adab yang perlu dipelihara bagi individu yang bergelar pemimpin. Ayat di atas juga menunjukkan terdapat hubung kait di antara tanggungjawab kepimpinan serta kesannya terhadap hawa nafsu. Hal ini dikatakan demikian kerana kepimpinan melibatkan darjat dan kedudukan dalam hierarki sosial. Individu yang bergelar pemimpin memiliki keistimewaan, autoriti dan punca kuasa yang tidak dimiliki oleh rakyat biasa. Bahkan, kedudukan tersebut juga menyebabkan para pemimpin dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut al-Tabari, larangan menuruti hawa nafsu dalam dalil di atas merujuk kepada perbuatan seorang pemimpin yang menjalankan urus tadbir atau menghakimi masyarakat dalam keadaan dipengaruhi oleh hawa nafsu sehingga mengakibatkan keputusan tersebut menyimpang daripada kebenaran (al-haq) dan kebatilan[1]. Sementara menurut Ibn ‘Ashur, istilah “al-hawa” dalam ayat ini bermaksud kecintaan, dan ia digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada sesuatu yang dicintai, keinginan yang sangat kuat sehingga jiwa menjadi terikat kepadanya. Tambah beliau, ‘al-hawa' juga merupakan kiasan bagi kebatilan, penyelewengan, dan kezaliman, kerana sudah menjadi kebiasaan adanya kaitan yang erat antara perkara-perkara tersebut dengan keinginan nafsu manusia[2].

Oleh yang demikian, dalil di atas menegaskan peringatan kepada para pemimpin agar menjalankan urus tadbir secara adil, tidak menetapkan sebarang dasar atau polisi yang zalim serta memenuhi kehendak nafsu duniawi semata-mata.

Meletakkan Had Tempoh Jawatan Satu Maslahah

Secara umumnya, konsep meletakkan had jawatan itu tidak salah kerana ia adalah bidang siasah syariah yang mengharuskan setiap perkara yang membawa kepada maslahah. Konsep menetapkan had tempoh jawatan bukanlah suatu perkara yang asing dalam kerangka siyasah syariah. Penetapan ini dianggap dibolehkan dan selari dengan prinsip-prinsip syarak kerana ia termasuk dalam kategori siyasah syar'iyyah yang memberi ruang untuk melaksanakan setiap perkara yang terbukti membawa kepada maslahah (kebaikan) serta menolak mafsadah (kerosakan atau keburukan). Apatah lagi kaedah fiqh yang melibatkan tindakan pemimpin ke atas rakyatnya mestilah dibina atas maslahah iaitu:

تصرف الإمام على رعيته منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.

Di samping itu, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh al-Dawlah menegaskan bahawa menetapkan tempoh jawatan adalah harus jika umat Islam melihat terdapat maslahat (kepentingan umum) di dalamnya. Beliau juga menyanggah pandangan yang mengharamkannya atas alasan ia tidak pernah dilakukan oleh para Sahabat. Beliau menjelaskan bahawa amalan para Khalifah Rasyidin yang memegang jawatan seumur hidup bukanlah satu kewajipan syarak yang mengikat, tetapi merupakan tindakan berdasarkan kesesuaian zaman tersebut. Dalam hal ini, sejarah menunjukkan para Sahabat sendiri pernah mengubah amalan yang dilakukan di zaman Nabi SAW apabila keadaan berubah demi menjaga maslahat seperti tindakan Saidina Umar dalam tidak membahagikan tanah Sawad al-Iraq yang berbeza dengan tindakan Rasulullah SAW yang membahagikan tanah Khaybar kepada para pejuang.[3] Beliau berkata dalam perbahasan ini:

وعلل الإمام ابن قدامة الاختلاف بين صنيع عمر وصنيع الرسول الكريم، بأن النبي فعل ما هو الأصلح في زمنه، وعمر فعل ما هو الأصلح في زمنه .

Maksudnya: "Imam Ibn Qudamah menyatakan ‘illah di sebalik perbezaan perbuatan Saidina Umar dengan perbuatan Rasulullah SAW yang mulia bahawa Nabi SAW melakukan sesuatu yang paling mendapat maslahah pada zaman Baginda SAW, manakala Saidina Umar pula melakukan sesuatu yang paling mendapat maslahah pada zaman beliau."[4]

Maslahah dan Faedah Penetapan Had Tempoh Jawatan

Dalam konteks siyasah syariah, maslahah merupakan matlamat utama yang perlu dicapai. Apabila maslahah itu lebih rajih dan pasti berbanding mudaratnyaPenetapan had jawatan dilihat sebagai salah satu mekanisme pentadbiran yang dapat mendatangkan pelbagai faedah seperti berikut:

1)    Mencegah Penguasaan Mutlak dan Penyalahgunaan Kuasa.

Dengan adanya had tempoh, ia dapat mengurangkan risiko seseorang pemimpin atau pemegang jawatan berkuasa terlalu lama yang boleh membawa kepada penguasaan mutlak, salah guna kuasa dan gejala rasuah yang berakar umbi. Perubahan kepimpinan secara berkala membuka ruang untuk audit dan pembaharuan. Selain itu, perubahan kepimpinan secara berkala turut membuka ruang yang lebih luas kepada proses penilaian, audit dan reformasi institusi pemerintahan. Dari perspektif maslahah umum, mekanisme ini membantu memastikan tadbir urus negara sentiasa dinilai berdasarkan keberkesanan, keadilan dan amanah dan bukan bergantung kepada individu semata-mata. Justeru, had tempoh jawatan bukan sekadar perlaksanaan teknikal bagi perlembagaan, tetapi satu instrumen penting dalam menjamin kelestarian pemerintahan yang berintegriti dan bertanggungjawab.

2)    Memberi Peluang kepada Bakat Baru.

Penetapan had jawatan memastikan putaran kepimpinan berlaku yang seterusnya membuka peluang kepada pemimpin-pemimpin yang lebih muda, bertenaga, dan memiliki idea-idea segar untuk menyumbang kepada pembangunan organisasi atau negara. Oleh itu, ruang kepimpinan tidak dimonopoli hanya oleh golongan senior sahaja sebaliknya sentiasa terbuka kepada generasi baharu yang lebih muda, bertenaga, dan berpotensi besar untuk menyumbangkan idea serta pendekatan yang lebih segar. Kemasukan pemimpin baharu ini bukan sekadar pertukaran individu, tetapi mencerminkan pembaharuan cara berfikir, gaya pengurusan dan keupayaan menyesuaikan dasar dengan cabaran semasa yang sentiasa berubah.

3)    Meningkatkan Kecekapan dan Prestasi.

Mengetahui bahawa tempoh perkhidmatan sesuatu jawatan adalah terhad berpotensi besar mendorong pemegangnya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih tekun, berdisiplin dan berorientasikan hasil. Kesedaran bahawa masa yang ada adalah terhad menjadikan setiap keputusan, dasar dan tindakan lebih tertumpu kepada pencapaian objektif yang jelas serta memberi impak nyata kepada organisasi atau negara. Dalam keadaan ini, pemegang jawatan cenderung mengutamakan kecekapan, keberkesanan pelaksanaan serta penyampaian perkhidmatan yang terbaik, kerana kejayaan atau kegagalan mereka akan dinilai dalam tempoh yang ditetapkan. Sebaliknya, ketiadaan had masa yang jelas terhadap sesuatu jawatan boleh menimbulkan rasa selesa dan jaminan kedudukan yang berlebihan, yang akhirnya melemahkan motivasi untuk berprestasi secara optimum. Apabila seseorang merasakan kedudukannya sukar digugat, keutamaan mungkin beralih daripada pencapaian hasil kepada pemeliharaan kuasa dan kepentingan peribadi. Oleh itu, penetapan had tempoh jawatan bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme tadbir urus, tetapi juga sebagai pemangkin budaya kerja yang lebih produktif, bertanggungjawab dan berfokuskan hasil dalam kalangan pemegang jawata

4)    Menjamin Kestabilan dan Keadilan.

Sistem had jawatan membantu menstabilkan suasana politik dan pentadbiran dengan mengelakkan pertikaian berpanjangan mengenai legitimasi kepimpinan yang terlalu lama. Ia juga mencerminkan keadilan dengan memberi kesempatan kepada lebih ramai pihak untuk memimpin. Selain itu, penetapan had jawatan turut mencerminkan prinsip keadilan dalam tadbir urus dengan membuka ruang kepada penyertaan yang lebih luas dalam kepimpinan. Ia memberi peluang kepada lebih ramai individu atau kelompok yang berkelayakan untuk menyumbang bakat, kepakaran dan perspektif mereka dalam memimpin organisasi atau negara. Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan persaingan sihat dan pemilihan kepimpinan yang lebih berkualiti, malah memperkukuh rasa keadilan dan keterangkuman dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, terdapat pelbagai lagi kelebihan dan kebaikan daripada pentadbiran sesebuah kerajaan. Apa yang lebih penting ialah kemaslahatan dan kebaikan yang dapat diperoleh daripada satu-satu dasar yang dibawa oleh kerajaan dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Surah al-Haj (41)

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, penetapan had tempoh jawatan bagi Ketua Kerajaan seperti yang diamalkan dalam banyak sistem demokrasi kontemporari adalah suatu bentuk ijtihad kontemporari yang signifikan dalam kerangka bidang siyasah syar'iyyah . Ijtihad ini merujuk kepada usaha intelektual untuk merumuskan hukum atau polisi pentadbiran yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam nas-nas syarak daripada al-Quran dan Sunnah, tetapi perlu untuk memenuhi tuntutan zaman dan realiti pemerintahan.

Oleh yang demikian, penetapan had tempoh jawatan ini adalah termasuk dalam keharusan syarak dan tidak bertentangan dengannya. Sebaliknya, ia dianggap sebagai suatu bentuk perundangan pentadbiran yang sah dan selari dengan falsafah fiqh al-siyasah. Ia merupakan instrumen pentadbiran yang berfungsi sebagai sadd al-zara'i (menutup jalan kepada keburukan) dan merealisasikan jalb al-masalih (mendatangkan kebaikan) dalam konteks pemerintahan moden. Dalam erti kata lain, ia adalah aplikasi prinsip keadilan dan akauntabiliti dalam tatakelola negara (wilayah). Justeru itu, pihak kerajaan berhak untuk sama ada menetapkan tempoh penjawatan atau tidak menetapkan berdasarkan kepada maslahah yang dipandang oleh mereka. Pada masa yang sama, inisiatif ini juga boleh mencapai maqsad umran yang memerlukan pemimpin yang sentiasa segar bagi menjalankan urus tadbir sesebuah kerajaan berdasarkan prinsip tatakelola yang cemerlang dan berintegriti.

Waallahu a’lam.

[1] Ibn Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran (Mekah : Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t), 21:189.

[2] Tahir Ibn ‘Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia : Dar al-Tunisiyyah, 1984), 23:242.

[3] Al-Qaradawi, Yusuf, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam (Kaherah: Dar al-Syuruq, 1968), hlmn. 83-85.

[4] Ibid.