
Penentuan awal bulan hijri merupakan salah satu perkara penting dalam syariat Islam kerana berkait secara langsung dengan pelaksanaan pelbagai ibadah seperti puasa Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan ibadah haji. Justeru, penentuan awal bulan hijri memerlukan kaedah yang tepat serta menepati kehendak syarak.
Di Malaysia, penentuan awal bulan hijri khususnya bagi Ramadan, Syawal dan Zulhijjah dilaksanakan melalui kaedah Imkan al-Rukyah, iaitu gabungan antara rukyah (pemerhatian hilal) dan hisab falak. Kaedah ini digunakan oleh Jawatankuasa Falak setiap negeri semasa proses cerapan berlaku sebelum dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Artikel ini membincangkan secara ringkas sejarah pelaksanaan kaedah Imkan al-Rukyah di Malaysia, pandangan ulama berkaitan penggunaan hisab dalam penentuan awal bulan hijri serta keputusan badan fiqh antarabangsa berkenaan isu ini.
Sejarah Penetapan Kaedah Imkan al-Rukyah di Malaysia
Sejarah perkembangan takwim Hijri di Malaysia mencatatkan fasa evolusi yang dinamik, bermula daripada penggunaan kaedah hisab tradisional seperti Takwim Istilahi sebelum tahun 1969, sehinggalah kepada penetapan kriteria kenampakan anak bulan yang lebih saintifik dan jitu. Melalui proses transisi yang teliti merangkumi fasa penggunaan kaedah Ijtimak Hakiki dan Wujudul al-Hilal, sistem penentuan awal bulan Islam di negara ini akhirnya mencapai satu penanda aras baharu dengan pengenalan kriteria Takwim Imkan al-Rukyah pada tahun 1995.[1]
Perkembangan ilmu falak moden telah memberikan kemampuan kepada ahli astronomi untuk mengira kedudukan bulan secara tepat. Oleh itu, pada akhir abad ke-20 negara-negara Islam termasuk Malaysia mula menggabungkan rukyah dengan hisab falak.
Pada tahun 1992, negara-negara anggota MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura) telah bersetuju menggunakan kriteria Imkan al-Rukyah, iaitu kriteria kebolehnampakan hilal berdasarkan parameter astronomi tertentu.
Antara kriteria yang dipersetujui dinamakan sebagai Kriteria Imkan Rukyah (KIR) iaitu anak bulan dianggap boleh kelihatan apabila,
(i) ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari 2 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang dari 3 darjah, atau
(ii) Umur bulan tidak kurang daripada 8 jam ketika bulan terbenam.[2]
Pada tahun 2021, kriteria ini dikemaskini kepada parameter baharu MABIMS iaitu ketika matahari terbenam:
- Ketinggian bulan tidak kurang dari 3 darjah
- Jarak lengkung Bulan-Matahari(elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah[3]
Kaedah ini bertujuan memastikan bahawa rukyah dilakukan dalam keadaan yang secara astronomi memungkinkan hilal dilihat, sekali gus mengelakkan kesilapan atau dakwaan rukyah yang tidak selaras dengan realiti astronomi.
Perbahasan Ulama Tentang Penggunaan Hisab dalam Penentuan Hilal
Pada asasnya, penentuan awal bulan hijri melalui kaedah rukyah hendaklah dilakukan dengan melihat anak bulan selepas terbenamnya matahari pada hari ke-29 bulan hijri. Ketetapan ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang menjadikan rukyah sebagai asas dalam menentukan permulaan dan pengakhiran bulan. Hal ini berdasarkan sabda Baginda SAW:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُمِّىَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعَدَدَ
Maksudnya: “Berpuasalah kamu kerana melihatnya (anak bulan) dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Jika ia terlindung daripada kamu maka sempurnakanlah bilangan bulan itu tiga puluh hari.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa para ulama daripada kalangan mazhab Syafi’i dan juga lainnya menjelaskan bahawa puasa Ramadan tidak diwajibkan kecuali setelah masuknya bulan Ramadan. Masuknya bulan Ramadan pula hanya diketahui dengan cara melihat anak bulan (hilal). Jika anak bulan tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh awan atau sebab lain, maka hendaklah disempurnakan bulan Syaaban menjadi tiga puluh hari. Setelah itu barulah umat Islam mula berpuasa, sama ada keadaan langit pada ketika itu cerah ataupun berawan, sama ada awannya sedikit atau banyak[4].
Namun, para ulama berbeza pandangan mengenai isu penggunaan hisab dalam menentukan awal bulan hijri. Secara umumnya, pandangan mereka boleh dibahagikan kepada tiga pendapat utama:
Pendapat Pertama: Tidak Menggunakan Hisab Sama Sekali
Majoriti fuqaha daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali[5] berpandangan bahawa penentuan awal bulan mestilah berdasarkan rukyah semata-mata. Pandangan pertama ini menolak sama sekali pengunaan hisab bahkan dalam hal ini Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sesiapa yang mengatakan bahawa penentuan bulan dibuat berdasarkan hisab kedudukan manzilah (kedudukan bintang atau kiraan falak) adalah ditolak kerana bercanggah dengan sabda Nabi SAW[6]:
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لَا نَحْسُبُ وَلَا نَكْتُبُ، وَالشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi (tidak pandai membaca dan menulis), kami tidak mengira dan tidak menulis, dan bulan itu begini, begini dan begini (kadang-kadang 29 hari dan kadang-kadang 30 hari).”
Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan hisab ialah pengiraan kedudukan dan pergerakan bintang. Pada zaman dahulu, manusia hanya mengetahui sedikit tentang ilmu ini, maka hukum berkaitan puasa ditentukan melalui rukyah (melihat anak bulan) bagi memudahkan umat Islam dan mengelakkan kesukaran dalam melakukan pengiraan[7].
Hukum ini kekal walaupun kemudian muncul orang yang mengetahui ilmu hisab, kerana hadis Nabi SAW menyuruh supaya menyempurnakan bulan kepada 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan, bukan merujuk kepada ahli hisab. Hikmahnya ialah supaya semua orang mempunyai kaedah yang sama dan mengelakkan perselisihan, walaupun ada sebahagian golongan seperti Rafidah dan beberapa fuqaha yang berpendapat sebaliknya, namun ijmak salaf menjadi hujah menolak pandangan tersebut[8].
Pendapat Kedua: Menggunakan Hisab Secara Mutlak
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hisab falak boleh dijadikan asas penentuan awal bulan hijri secara mutlak. Pendapat ini dinisbahkan kepada beberapa tokoh seperti Abu Abbas bin Suraij, Mutarrif bin Abdullah dan Ibn Qutaibah. Namun menurut Ibn ‘Abd al-Barr menegaskan bahawa riwayat yang menisbahkan pendapat tersebut kepada Mutarrif tidak sahih, manakala Ibn Qutaybah pula bukanlah tokoh yang boleh dijadikan sandaran yang kuat dalam isu seperti ini[9].
Pendapat ini juga disokong oleh ramai ulama kontemporari seperti Sheikh Ahmad Muhammad Shakir[10], Syeikh Ahmad al-Ghumari[11], Syeikh Bakhit al-Muti’e[12], Sheikh Mustafa al-Zarqa[13] dan Dr Yusuf al-Qaradawi. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi membuat perbezaan berdasarkan kepada keadaan dan situasi semasa. Dalam hal ini beliau berkata:
وأما قولي فإنه يقضي بعموم الأخذ بالحساب الدقيق الموثوق به، وعموم ذلك على الناس، بما يسر في هذه الأيام من سرعة وصول الأخبار وذيوعها. ويبقى الاعتماد على الرؤية للأقل النادر، ممن لا يصل إليه الأخبار، ولا يجد ما يثق به من معرفة الفلك ومنازل الشمس والقمر.
Maksudnya: “Adapun pendapatku ialah mengambil kira hisab yang tepat dan boleh dipercayai secara umum, dan penggunaannya merangkumi semua manusia, disebabkan kemudahan pada zaman ini seperti cepatnya penyampaian berita dan tersebarnya maklumat. Namun begitu, kebergantungan kepada rukyah (melihat anak bulan) hanya tinggal bagi keadaan yang jarang berlaku, iaitu bagi orang yang tidak sampai kepadanya berita dan tidak mempunyai pengetahuan yang boleh dipercayai tentang ilmu falak serta kedudukan matahari dan bulan[14].”
Syeikh Mustafa al-Zarqa menjelaskan bahawa penolakan penggunaan hisab falaki pada masa kini tidak lagi sesuai kerana ilmu falak moden telah mencapai tahap ketepatan yang tinggi. Pada zaman Nabi SAW, rukyah digunakan kerana masyarakat ketika itu tidak mempunyai pengetahuan tentang pengiraan falak, bukan kerana rukyah itu satu ibadah yang mesti kekal selamanya. Oleh itu, dengan perkembangan sains pada masa kini, penggunaan hisab boleh membantu menentukan awal bulan dengan lebih tepat dan mengurangkan perbezaan antara umat Islam[15].
Pendapat Ketiga: Menggunakan Hisab untuk Penafian Sahaja
Pendapat ketiga merupakan pandangan yang dinisbahkan kepada Imam al-Subki, iaitu menggunakan hisab sebagai alat untuk menafikan kemungkinan rukyah, tetapi bukan sebagai asas menetapkan awal bulan. Jika hisab menunjukkan bahawa hilal mustahil dilihat seperti ijtimak (konjungsi) belum berlaku, maka sebarang dakwaan rukyah hendaklah ditolak. Manakala jika hisab menunjukkan hilal mungkin boleh dilihat, tetapi rukyah tidak berjaya dilakukan, maka bulan sebelumnya hendaklah disempurnakan kepada 30 hari menurut pendapat paling kuat (muktamad) dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, menurut pendapat kedua dalam mazhab Syafi’i (muqabil al-asah), awal bulan boleh juga ditetapkan apabila memenuhi kriteria Imkan al-Rukyah[16].
Pandangan Imam al-Subki ini disokong oleh sebahagian ulama mutakhir syafi’eyah seperti Imam al-Qalyubi dan Imam Ibn Qasim al-Abbadi. Dalam hal ini Imam Ibn Qasim berkata:
إنَّهُ إذَا دَلَّ الْحِسَابُ الْقَطْعِيُّ عَلَى عَدَمِ رُؤْيَتِهِ لَمْ يُقْبَلْ قَوْلُ الْعَدْلِ لِرُؤْيَتِهِ، وَتُرَدُّ شَهَادَتُهُمْ بِهَا
Maksudnya: “Apabila hisab yang pasti menunjukkan bahawa hilal tidak mungkin dapat dilihat, maka tidak diterima dakwaan orang yang adil bahawa dia telah melihatnya, dan kesaksian mereka mengenai perkara itu hendaklah ditolak[17].”
Pendapat ini juga dipegang oleh sebahagian ulama kontemporari seperti Syeikh Hassan Hito dan Sheikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymin[18]. Dalam hal ini Syeikh Hassan Hito menjelaskan bahawa rukyah hilal tidak mungkin berlaku melainkan selepas berlalu suatu tempoh tertentu selepas kelahiran hilal, sehingga hilal itu mencapai ukuran atau keluasan yang membolehkan ia dilihat. Namun demikian, ahli hisab tidak mampu menetapkan satu masa yang tepat dan tetap bagi perkara ini kerana ia berbeza-beza bergantung kepada banyak faktor falak dan keadaan cuaca[19].
Berdasarkan hal itu, kemungkinan melihat hilal menurut ahli hisab hanyalah bersifat sangkaan (zanni) dan bukan sesuatu yang pasti, maka pendapat mereka tidak dijadikan sandaran dalam menetapkan kewujudan hilal. Namun, jika ahli hisab menyatakan bahawa hilal belum dilahirkan atau bahawa walaupun ia telah lahir tetapi mustahil dilihat kerana terlalu kecil dan berada di bawah had minimum penglihatan, maka kenyataan tersebut adalah pasti dan tidak boleh diragui. Hal ini kerana pergerakan bulan kini dapat diperhatikan dengan sangat teliti hingga ke pecahan saat dan pergerakannya bukan lagi sesuatu yang tersembunyi daripada manusia, apatah lagi setelah manusia berjaya sampai ke bulan[20].
Pendekatan ini juga sejalan dengan prinsip fiqh yang umum:
الْقَطْعِيُّ مُقَدَّمٌ عَلَى الظَّنِّيِّ
Maksudnya: “Sesuatu yang bersifat yakin (qat‘i) hendaklah diutamakan berbanding sesuatu yang bersifat tidak pasti (zanni)[21].”
Pengamalan Imkan al-Rukyah di Malaysia
Pandangan ketiga inilah yang menjadi asas kepada kaedah Imkan al-Rukyah yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, dalam keadaan anak bulan tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh awan, Malaysia mengambil kira pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i, iaitu membolehkan penetapan awal bulan walaupun anak bulan tidak kelihatan, sekiranya ia memenuhi kriteria Imkan al-Rukyah. Pendekatan ini diambil bagi menangani keadaan di mana faktor cuaca menghalang proses rukyah walaupun secara astronomi hilal berkemungkinan dapat dilihat.
Ketetapan ini dapat dilihat melalui keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 14 Julai 1977, yang telah membincangkan isu kesabitan anak bulan Ramadan dan Syawal. Persidangan tersebut telah memutuskan bahawa:
“Anak bulan Ramadhan dan Syawal kiranya tidak kelihatan dilindungi awan (ghaim) padahalnya mengikut kiraan ahli-ahli falak syarie anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak syarie bolehlah digunakan. Tetapi kiranya cuaca baik dan anak bulan tidak kelihatan maka hendaklah disempurnakan bilangan hari bulan itu sebanyak 30 hari”.
Ini menunjukkan bahawa rukyah tetap menjadi asas utama dalam penentuan awal bulan Hijrah, namun hisab falak boleh digunakan sebagai bantuan dalam keadaan tertentu. Di Malaysia, kaedah Imkan al-Rukyah digunakan dengan mengambil kira pengiraan falak untuk menentukan kemungkinan kenampakan hilal.
Pendekatan ini juga selari dengan keputusan Majma‘ al-Fiqh al-Islami pada persidangan kali ketiga di Amman, Jordan, pada 8–13 Safar 1407H bersamaan 11–16 Oktober 1986, telah membincangkan isu penggunaan hisab falak dan membuat beberapa ketetapan berikut:
أولًا: إذا ثبتت الرؤية في بلد وجب على المسلمين الالتزام بها، ولا عبرة لاختلاف المطالع، لعموم الخطاب بالأمر بالصوم والإفطار. ثانيًا: يجب الاعتماد على الرؤية، ويستعان بالحساب الفلكي والمراصد، مراعاة للأحاديث النبوية، والحقائق العلمية.
Maksudnya: “Pertama: Apabila rukyah hilal telah sabit di sesuatu negara, maka umat Islam hendaklah berpegang dengannya, dan perbezaan tempat terbit bulan (ikhtilaf matla‘) tidak diambil kira kerana umum perintah syarak berkaitan berpuasa dan berbuka. Kedua: Penetapan awal bulan hendaklah berdasarkan rukyah dan boleh dibantu dengan pengiraan falak serta penggunaan balai cerap, dengan mengambil kira hadis-hadis Nabi SAW dan juga fakta-fakta sains.”
Pertembungan Rukyah dan Kreteria Imkan al-Rukyah
Secara umumnya, terdapat empat kemungkinan yang boleh berlaku apabila berlaku pertembungan antara rukyah dan kriteria Imkan al-Rukyah. Keadaan-keadaan ini menjelaskan bagaimana keputusan penentuan awal bulan di Malaysia dibuat apabila berlaku pertembungan antara rukyah dan kriteria Imkan al-Rukyah.
1. Keadaan pertama: Apabila kriteria menunjukkan hilal mungkin kelihatan dan rukyah juga berjaya melihat hilal, maka keadaan ini menunjukkan bahawa awal bulan hijri telah sabit.
2. Keadaan kedua: Apabila kriteria menunjukkan bahawa hilal berkemungkinan dapat dilihat, namun rukyah tidak berjaya dilakukan, maka awal bulan boleh disabitkan sebagai bulan baharu berdasarkan pendapat kedua (muqabil al-asah) dalam mazhab Syafi‘i.
3. Keadaan ketiga: Apabila kriteria menunjukkan hilal mustahil kelihatan, tetapi terdapat dakwaan rukyah, maka kesaksian tersebut diterima kerana kriteria Imkan al-Rukyah hanyalah bersifat tidak pasti (zanni).
4. Keadaan keempat: Apabila kriteria menunjukkan hilal mustahil kelihatan dan rukyah juga tidak melihat hilal, maka bulan sebelumnya disempurnakan kepada tiga puluh hari.
Bagi memudahkan kefahaman, keadaan-keadaan tersebut dapat diringkaskan dalam bentuk jadual seperti berikut:

Penutup
Kesimpulannya, kaedah Imkan al-Rukyah yang diamalkan di Malaysia merupakan pendekatan yang menggabungkan antara tuntutan syarak dan perkembangan ilmu falak moden. Kaedah ini mengekalkan rukyah sebagai asas penentuan awal bulan hijri sebagaimana yang ditunjukkan oleh sunnah Nabi SAW, di samping memanfaatkan ketepatan hisab falak bagi memastikan kesahihan proses tersebut.
Pendekatan ini juga selari dengan pandangan ramai ulama kontemporari serta keputusan badan-badan fiqh antarabangsa yang mengiktiraf peranan ilmu falak sebagai alat bantu dalam menentukan waktu ibadah umat Islam. Dengan itu, pengamalan Imkan al-Rukyah bukan sahaja menepati kehendak syariat, bahkan turut memperlihatkan keserasian antara ilmu agama dan kemajuan sains dalam kehidupan umat Islam.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Mohd Saiful Anwar et. al. 2015. Sejarah Kriteria Kenampakan Anak Bulan di Malaysia, Jurnal al-Tamaddun 10(2), ms 62.
[2] Unit Falak, Bahagian Penyelidikan. 2001. Kaedah Penentuan Awal Hijrah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,Putrajaya
[3] Mohd Zambri Zainuddin & Mohd Saiful Anwar. 2022. Kriteria Imkanur Rukyah Yang Baru 1443 Hijrah, Webinar Falak Nusantara 1443H
[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, (Beirut: Dar al-Fikr, 1347H), 6:270.
ولا يجب صوم رمضان إلا بدخوله ويعلم دخوله برؤية الهلال فإن غم وجب استكمال شعبان ثلاثين ثم يصومون سواء كانت السماء مصحية أو مغيمة غيما قليلا أو كثيرا ودليله ما سبق
[5] al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, 1427H), 22:34.
[6] Ibid.
[7] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarah al-Bukhari, (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H), 4:127.
وَالْمُرَادُ بِالْحِسَابِ هُنَا حِسَابُ النُّجُومِ وَتَسْيِيرِهَا، وَلَمْ يَكُونُوا يَعْرِفُونَ مِنْ ذَلِكَ أَيْضًا إِلَّا النَّزْرَ الْيَسِيرَ، فَعَلَّقَ الْحُكْمَ بِالصَّوْمِ وَغَيْرِهِ بِالرُّؤْيَةِ لِرَفْعِ الْحَرَجِ عَنْهُمْ فِي مُعَانَاةِ حِسَابِ التَّسْيِيرِ وَاسْتَمَرَّ الْحُكْمُ فِي الصَّوْمِ وَلَوْ حَدَثَ بَعْدَهُمْ مَنْ يَعْرِفُ ذَلِكَ، بَلْ ظَاهِرُ السِّيَاقِ يُشْعِرُ بِنَفْيِ تَعْلِيقِ الْحُكْمِ بِالْحِسَابِ أَصْلًا، وَيُوَضِّحُهُ قَوْلُهُ فِي الْحَدِيثِ الْمَاضِي: فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ وَلَمْ يَقُلْ: فَسَلُوا أَهْلَ الْحِسَابِ، وَالْحِكْمَةُ فِيهِ كَوْنُ الْعَدَدِ عِنْدَ الْإِغْمَاءِ يَسْتَوِي فِيهِ الْمُكَلَّفُونَ فَيَرْتَفِعُ الِاخْتِلَافُ وَالنِّزَاعُ عَنْهُمْ، وَقَدْ ذَهَبَ قَوْمٌ إِلَى الرُّجُوعِ إِلَى أَهْلِ التَّسْيِيرِ فِي ذَلِكَ وَهُمُ الرَّوَافِضُ، وَنُقِلَ عَنْ بَعْضِ الْفُقَهَاءِ مُوَافَقَتُهُمْ. قَالَ الْبَاجِيُّ: وَإِجْمَاعُ السَّلَفِ الصَّالِحِ حُجَّةٌ عَلَيْهِمْ
[8] Ibid.
[9] Ibid.
وَذَهَبَ آخَرُونَ إِلَى تَأْوِيلٍ ثَالِثٍ، قَالُوا: مَعْنَاهُ فَاقْدُرُوهُ بِحِسَابِ الْمَنَازِلِ. قَالَهُ أَبُو الْعَبَّاسِ بْنُ سُرَيْجٍ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ وَمُطَرِّفُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ مِنَ التَّابِعَيْنَ وَابْنُ قُتَيْبَةَ مِنَ الْمُحَدِّثِينَ. قَالَ ابْنُ عَبْدِ الْبَرِّ: لَا يَصِحُّ عَنْ مُطَرِّفٍ، وَأَمَّا ابْنُ قُتَيْبَةَ فَلَيْسَ هُوَ مِمَّنْ يُعَرَّجُ عَلَيْهِ فِي مِثْلِ هَذَا
[10] Ahmad Muhammad Syakir, Awail al-Shuhur al-Arabiyyah Hal Yajuz Syar’an Isbatuha bi al-Hisab al-Falaki, (Mesir: Matba’ah Mustofa al-Halabi, 1939).
[11] Ahmad al-Ghumari, Taujih al-Anzar li Tauhid al-Muslimin fi al-Saum wa al-Iftar, (Urdun: Dar al-Nafais, 1998).
[12] Muhammad al-Bakhit al-Muti’e, Irsyad Ahli Millah ila Ithbat Ahli Millah, (Tp:t.t).
[13] Majallat Risalat al-Masjid, “Limadha al-Ikhtilaf Hawl al-Hisab al-Falaki,” (al-Jazaʾir: Wizarat al-Shuʾun al-Diniyyah wa al-Awqaf, 2018) Siri 2.
[14] Yusuf al-Qaradawi, al-Hisab al-Falaki wa Ithbat Awaʾil al-Shuhur, https://www.al-qaradawi.net/content/الحساب-الفلكي-وإثبات-أوائل-الشهور, diakses pada 16 Mac 2026.
[15] Majallat Risalat al-Masjid, “Limadha al-Ikhtilaf Hawl al-Hisab al-Falaki,” (al-Jazaʾir: Wizarat al-Shuʾun al-Diniyyah wa al-Awqaf, 2018) Siri 2.
[16] Taqi al-Din al-Subki, Fatawa al-Subki, (Beirut: Dar al-Makrifah, t.t), 1:209.
[17] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad Umairah, Hasyiata Qalyubi wa Umairah, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2:63.
[18] Ahmad Abdul Rahman, Thamarat al-Tadwin min Masail Ibn Uthaimin, (Tp:t.t), No. 251.
[19] Muhammad Hassan Hito, Fiqh al-Siyam, (Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 1988), 31-32.
[20] Ibid.
[21] Hasan bin Muhammad al-Attar, Hasyiah al-Attar ala Syarh Jam’u al-Jawami’, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t), 2:416.