اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-358: APABILA MIMPI DIJADIKAN PEGANGAN AKIDAH

APABILA_MIMPI_DIJADIKAN_PEGANGAN_AKIDAH.jpg

PENDAHULUAN

Mimpi merupakan pengalaman yang lazim berlaku dalam kehidupan manusia. Islam mengakui bahawa mimpi tidak semuanya berada pada kedudukan yang sama. Ada mimpi yang membawa khabar gembira, ada yang mengganggu perasaan dan ada juga yang berpunca daripada perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika berjaga.[1]

Pada asalnya, mimpi ialah pengalaman peribadi. Namun, persoalan akidah timbul apabila sesuatu mimpi didakwa sebagai pesanan daripada Allah SWT atau Rasulullah SAW, maka ditafsirkan secara pasti dan disampaikan kepada masyarakat sebagai kebenaran agama.

Keadaan menjadi lebih serius apabila mimpi dikaitkan dengan perkara ghaib, akhir zaman, kedudukan istimewa seseorang atau suatu misi yang perlu dipercayai dan disokong. Persoalan utama bukan sama ada seseorang boleh mengalami mimpi yang baik, tetapi sama ada mimpi tersebut boleh dijadikan asas untuk membentuk keyakinan serta mengikat tindakan orang lain.

MIMPI DALAM NERACA AKIDAH

Akidah Islam dibina atas wahyu yang sahih dan dalil yang dapat dipertanggungjawabkan. Allah SWT berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Surah al-Ma’idah (3)

Ayat ini menunjukkan bahawa asas agama telah disempurnakan melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah SAW. Selepas kewafatan Baginda SAW, mimpi atau ilham seseorang tidak boleh menjadi sumber bebas untuk menambah ajaran, menentukan perkara ghaib atau memberikan mandat keagamaan kepada seseorang.

Dalam hal ini, mimpi para nabi perlu dibezakan daripada mimpi manusia biasa. Mimpi para nabi merupakan wahyu, sedangkan mimpi selain para nabi bersifat zanni dan perlu dinilai berdasarkan syariat yang sedia ada.

Dari sudut epistemologi Ahli Sunnah Waljamaah, Imam al-Nasafi menetapkan sumber ilmu yang dapat dijadikan asas pengetahuan dan menolak ilham sebagai ukuran untuk membuktikan kebenaran sesuatu kepada pihak lain. Beliau menyatakan:[2]

قَالَ أَهْلُ الْحَقِّ: حَقَائِقُ الْأَشْيَاءِ ثَابِتَةٌ، وَالْعِلْمُ بِهَا مُتَحَقِّقٌ خِلَافًا لِلسُّوْفِسْطَائِيَّةِ. وَأَسْبَابُ الْعِلْمِ لِلْخَلْقِ ثَلَاثَةٌ: الْحَوَاسُّ السَّلِيمَةُ، وَالْخَبَرُ الصَّادِقُ، وَالْعَقْلُ ... وَالْإِلْهَامُ لَيْسَ مِنْ أَسْبَابِ الْمَعْرِفَةِ بِصِحَّةِ الشَّيْءِ عِنْدَ أَهْلِ الْحَقِّ.

Maksudnya: “Ahli al-Haq berkata: Hakikat segala sesuatu adalah tetap dan pengetahuan mengenainya dapat dicapai, berbeza dengan golongan Sofis. Jalan memperoleh ilmu bagi makhluk ada tiga, iaitu pancaindera yang sejahtera, khabar yang benar dan akal ... Ilham bukan antara jalan untuk membuktikan kebenaran sesuatu menurut Ahli al-Haq.”

Kenyataan ini tidak menafikan kemungkinan berlakunya ilham atau mimpi yang baik. Sebaliknya, ia membezakan antara pengalaman dalaman seseorang dengan sumber ilmu yang boleh dijadikan asas keyakinan bersama. Oleh itu, pengalaman peribadi tidak boleh berdiri sebagai bukti umum yang mengikat pegangan orang lain.

Prinsip yang sama ditegaskan dalam disiplin usul. Imam al-Syatibi menjelaskan bahawa mimpi manusia biasa hendaklah diukur berdasarkan syariat yang telah sabit, bukan dijadikan sumber hukum yang berdiri sendiri. Beliau menyatakan:[3]

لِأَنَّ الرُّؤْيَا مِنْ غَيْرِ الْأَنْبِيَاءِ لَا يُحْكَمُ بِهَا شَرْعًا عَلَى حَالٍ، إِلَّا أَنْ تُعْرَضَ عَلَى مَا فِي أَيْدِينَا مِنَ الْأَحْكَامِ الشَّرْعِيَّةِ، فَإِنْ سَوَّغَتْهَا عُمِلَ بِمُقْتَضَاهَا، وَإِلَّا وَجَبَ تَرْكُهَا وَالْإِعْرَاضُ عَنْهَا، وَإِنَّمَا فَائِدَتُهَا الْبِشَارَةُ أَوِ النِّذَارَةُ خَاصَّةً، وَأَمَّا اسْتِفَادَةُ الْأَحْكَامِ فَلَا.

Maksudnya: “Mimpi selain para nabi tidak boleh sama sekali dijadikan asas penentuan hukum syarak, kecuali setelah dihadapkan kepada hukum syarak yang sedia ada. Jika dibenarkan syarak, ia boleh diamalkan; jika tidak, wajib ditinggalkan. Faedahnya hanya sebagai berita gembira atau peringatan, bukan untuk mengambil hukum daripadanya.”

Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan tidak menjadi benar hanya kerana nama Allah SWT atau Rasulullah SAW disebut di dalam mimpi. Mimpi juga tidak boleh digunakan untuk menentukan kedudukan istimewa seseorang, memastikan kejadian akhir zaman atau menuntut kepercayaan dan ketaatan daripada masyarakat.[4]

Dari sudut maqasid akidah, pembatasan terhadap kedudukan mimpi bertujuan memelihara sumber keyakinan umat Islam. Akidah hendaklah berasaskan wahyu dan dalil yang sahih, bukan pengalaman peribadi yang tidak dapat disahkan. Pendekatan ini turut memelihara kemurnian tauhid agar nama Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak digunakan untuk mengesahkan kedudukan atau misi seseorang.

Maqasid akidah juga menuntut pemeliharaan kewarasan pemikiran. Masyarakat perlu dibimbing untuk membezakan antara wahyu dengan mimpi, dalil dengan dakwaan serta perkara yang pasti dengan perkara yang bersifat sangkaan. Setelah kedudukan mimpi dijelaskan, persoalan berikutnya bukan lagi tentang mimpi itu sendiri, tetapi kedudukan yang diberikan kepadanya dalam kehidupan beragama.

APABILA MIMPI DIJADIKAN PETUNJUK AGAMA

Penceritaan mimpi kekal sebagai pengalaman peribadi selagi ia tidak ditafsir sebagai mesej agama yang perlu dipercayai oleh orang lain. Namun, sifatnya berubah apabila penyampai menentukan bahawa mimpinya datang daripada Allah SWT atau Rasulullah SAW, maka menghuraikannya sebagai kebenaran agama dan menjadikannya asas untuk menuntut sokongan atau penyebaran.

Perubahan ini dapat dikenal pasti melalui tiga keadaan yang saling berkaitan. Pertama, mimpi diberikan tafsiran agama yang khusus. Kedua, tafsiran tersebut disampaikan sebagai kebenaran yang perlu diterima. Ketiga, penerimaan itu diterjemahkan kepada tindakan seperti mengikuti, menyokong, mempertahankan atau menyebarkan mesej berkenaan. Apabila keadaan ini berlaku, maka persoalannya telah beralih daripada kebebasan menceritakan pengalaman kepada kelayakan membentuk kefahaman agama masyarakat. Allah SWT berfirman:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl (43)

Ayat ini meletakkan asas bahawa urusan agama perlu dirujuk kepada mereka yang berilmu. Keikhlasan, pengalaman luar biasa, kebolehan berbicara atau jumlah pengikut tidak dapat menggantikan kelayakan dan amanah ilmu.

Dalam pentadbiran agama semasa, tauliah menjadi salah satu mekanisme untuk memastikan pihak yang membentuk kefahaman agama masyarakat mempunyai ilmu, kelayakan dan pertanggungjawaban. Keperluan ini tidak terhad kepada kuliah rasmi kerana pengajaran boleh berlaku melalui pertemuan tertutup, sesi soal jawab, buku, penterjemahan, rakaman dan media sosial.[5]

Pengalaman semasa menunjukkan bahawa dakwaan menerima arahan atau ajaran melalui mimpi boleh berkembang kepada pembentukan kedudukan keagamaan, pembukuan amalan dan jaringan pengikut. Apabila dakwaan itu membentuk pengaruh dan ketaatan, maka kesannya tidak lagi terhenti pada individu, tetapi turut menyentuh kestabilan pegangan dan hubungan masyarakat.[6]

Pada tahap ini, maqasid akidah menjelaskan mengapa pengajaran agama perlu dipandu oleh ilmu, kelayakan dan pertanggungjawaban. Tujuannya bukan sekadar memastikan kebenaran kandungan, tetapi melindungi proses pembentukan keyakinan. Perlindungan ini bermula dengan sumber keyakinan yang sahih, diikuti pemeliharaan kemurnian tauhid dan kewarasan pemikiran melalui budaya ilmu dan tabayyun.

Apabila unsur-unsur tersebut terpelihara, maka keamanan akidah masyarakat dapat dibina. Keamanan ini merujuk kepada keadaan masyarakat yang mempunyai asas pegangan yang jelas, tidak mudah dimanipulasi oleh dakwaan luar biasa dan tidak berpecah akibat ketaksuban kepada individu. Sebaliknya, apabila pengalaman peribadi diangkat sebagai petunjuk yang mengikat, maka kekeliruan akidah boleh berkembang kepada ketegangan sosial.

Hubungan antara pemeliharaan akidah dengan keamanan masyarakat selari dengan pandangan ulama usul. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa maslahah bererti memelihara tujuan syarak dan menolak perkara yang merosakkannya. Beliau menyatakan:[7]

لَكِنَّا نَعْنِي بِالْمَصْلَحَةِ الْمُحَافَظَةَ عَلَى مَقْصُودِ الشَّرْعِ، وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنَ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ، وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ، فَكُلُّ مَا يَتَضَمَّنُ حِفْظَ هَذِهِ الْأُصُولِ الْخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ، وَكُلُّ مَا يُفَوِّتُ هَذِهِ الْأُصُولَ فَهُوَ مَفْسَدَةٌ، وَدَفْعُهَا مَصْلَحَةٌ.

Maksudnya: “Kami maksudkan dengan maslahah ialah memelihara tujuan syarak. Tujuan syarak terhadap makhluk ada lima, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta mereka. Setiap perkara yang memelihara lima asas ini ialah maslahah; setiap perkara yang menjejaskannya ialah mafsadah, dan menolak mafsadah itu ialah maslahah.”

Berdasarkan kerangka ini, pemeliharaan sumber keyakinan dan kemurnian tauhid merupakan sebahagian daripada pemeliharaan agama, manakala pembinaan budaya ilmu dan tabayyun memelihara akal. Kedua-duanya membentuk benteng awal daripada ketaksuban, manipulasi agama dan perpecahan masyarakat.

PENUTUP

Islam mengiktiraf kemungkinan seseorang mengalami mimpi yang baik, tetapi tidak memberikannya kedudukan sebagai sumber akidah atau petunjuk yang mengikat masyarakat. Apabila sesuatu mimpi ditafsir sebagai mesej ketuhanan dan disampaikan supaya dipercayai atau diikuti, maka kandungan serta penyampaiannya perlu dinilai berdasarkan syarak, ilmu dan autoriti yang sah.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah melakukan tabayyun sebelum menerima atau menyebarkan dakwaan luar biasa. Penganjur pula perlu menyemak latar belakang, kelayakan dan tauliah individu yang diberikan ruang menghuraikan perkara agama. Mereka yang mengalami mimpi tertentu wajar merujuk ilmuwan yang berautoriti dan tidak menjadikannya sebagai ajaran kepada orang lain.

Dengan keadaan demikian, mimpi hendaklah kekal dinilai dalam batas syarak dan tidak diangkat menjadi petunjuk yang mengikat masyarakat. Pendekatan ini memelihara sumber keyakinan, kemurnian tauhid, kewarasan pemikiran dan keamanan akidah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Hukum Siri Ke-233: Mimpi Orang Soleh sebagai Peringatan daripada Allah?,” 14 Jun 2018, https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/2468-irsyad-al-fatwa-siri-ke-233-mimpi-orang-soleh-sebagai-peringatan-dari-allah.

[2] Najm al-Din Abu Hafs ‘Umar ibn Muhammad al-Nasafi, al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, dalam Sa‘d al-Din Mas‘ud ibn ‘Umar al-Taftazani, Sharh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, ed. ke-2 (Karachi: Maktabat al-Madinah, 2012), 12, edisi digital, dicapai pada 4 Ogos 2026, https://www.arabicdawateislami.net/bookslibrary/982/page/69 dan https://www.arabicdawateislami.net/bookslibrary/982/page/96.

[3] Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa al-Shatibi, al-I‘tisam, tahqiq Salim ibn ‘Id al-Hilali, jil. 1 (Arab Saudi: Dar Ibn ‘Affan, 1992), 332.

[4] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Hukum Siri Ke-334: Bolehkah Menggunakan Mimpi sebagai Hujah dan Mempercayai Takwilannya?,” 25 November 2019, https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/3830-irsyad-al-fatwa-siri-ke-334-bolehkah-menggunakan-mimpi-sebagai-hujah-dan-mempercayai-takwilannya; Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Al-Afkar #65: Bolehkah Berusaha Mencari Takwil Mimpi,” 29 September 2019, https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3700-al-afkar-65-bolehkah-berusaha-mencari-takwil-mimpi; Majlis Agama Islam Selangor, “Mimpi dan Kedudukannya di Sisi Islam,” 11 November 2024, https://www.mais.gov.my/mimpi-dan-kedudukannya-di-sisi-islam/.

[5] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Hukum Ke-122: Keperluan Mendapatkan Tauliah Mengajar,” 18 Julai 2016, https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1310-irsyad-al-fatwa-ke-122-keperluan-mendapatkan-tauliah-mengajar.

[6] Jabatan Mufti Negeri Perlis, “Mainan Mimpi Berjumpa Nabi SAW,” 6 Ogos 2025, https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/1181-mainan-mimpi-berjumpa-nabi-s-a-w; Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, “Tarekat yang Ditolak Pendaftarannya: Tarekat Khidiriah,” dicapai pada 4 Ogos 2026, https://muftins.gov.my/tareqat-tasauwuf/tarekat-yang-ditolak-pendaftarannya-tarekat-khidiriah/.

[7] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, tahqiq Muhammad ‘Abd al-Salam ‘Abd al-Shafi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 174; lihat juga Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Bayan Linnas Siri Ke-142: Maqasid Syari‘ah dan Hifz al-Din: Satu Penjelasan,” 26 Julai 2018, https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2529-bayan-linnas-142-maqasid-syari-ah-dan-hifz-al-din-satu-penjelasan.