
SOALAN:
Viral di TikTok satu video yang menunjukkan amalan tolak menolak beras dalam pembayaran fidyah bagi orang meninggal dunia. Di kampung saya juga saya lihat sebahagian tempat ada yang amalkan juga. Saya mohon jasa baik SS Mufti untuk memberikan penjelasan terhadap amalan ini. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN:
Fidyah merupakan bayaran yang diwajibkan oleh syarak berkaitan ibadah puasa serta haji dan umrah. Sesiapa yang diwajibkan fidyah hendaklah berusaha menunaikannya segera dan jika dia meninggal dunia sebelum sempat membayarnya, fidyah tersebut dikira sebagai hutang yang wajib diselesaikan daripada harta pusaka terlebih dahulu sebelum pelaksanaan wasiat dan pembahagian faraid. Dalam keadaan pembayaran fidyah bagi si mati yang tidak meninggalkan harta mencukupi terdapat amalan "tolak beras" atau kaedah dawr (pusingan) yang dibincangkan dalam mazhab Hanafi dan turut disebut oleh sebahagian ulama Syafi'i. Kaedah ini dianggap sah dan mengangkat kewajipan fidyah dalam keadaan tertentu.
HURAIAN JAWAPAN:
Fidyah merupakan bayaran yang diwajibkan oleh syarak sebagai gantian bagi menampung ibadah atau kewajipan berpuasa yang tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan tertentu. Istilah “fidyah” disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran melalui firman-Nya:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam”
[Surah al-Baqarah, 196]
Secara asasnya, kewajipan fidyah berkaitan dengan ibadah puasa serta ibadah haji dan umrah. Dalam ibadah puasa, fidyah wajib dibayar dalam tiga keadaan: pertama, apabila seseorang mati sedangkan dia mempunyai puasa Ramadan yang tertinggal dan belum sempat menggantikannya; kedua, bagi golongan yang uzur berterusan seperti warga emas yang tidak mampu berpuasa, serta wanita hamil atau menyusu yang berbuka kerana bimbangkan anaknya; dan ketiga, bagi sesiapa yang melewat-lewatkan qada puasanya sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya tanpa uzur.[1] Manakala dalam ibadah haji dan umrah pula, fidyah diwajibkan ke atas jemaah haji atau umrah yang melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang diharamkan ketika dalam keadaan ihram.
Seseorang yang telah diwajibkan untuk membayar fidyah, sama ada dalam ibadah puasa atau haji, maka dia wajib berusaha untuk menunaikannya secepat mungkin sebagai memenuhi tanggungjawab syarak. Sekiranya seseorang tersebut meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan fidyah yang belum ditunaikan, maka harta peninggalannya wajib diselesaikan terlebih dahulu dengan fidyah tersebut sebelum ia difaraidkan atau dibahagikan kepada waris kerana fidyah tergolong dalam kategori hutang yang wajib ditunaikan daripada harta pusaka mengikut susunan keutamaan yang telah ditetapkan oleh para fuqaha. Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Ibn Ruslan dalam syair beliau yang menerangkan bahawa hutang si mati hendaklah diselesaikan selepas kos pengurusan jenazah dan sebelum pelaksaan wasiat serta pembahagian pusakan kepada waris. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ بالقَضَاءِ
Maksudnya: “Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan (atau diselesaikan)”
[Muttafaq ‘Alayh]
Amalan Tolak Beras dalam Pembayaran Fidyah
Dalam pembayaran fidyah bagi pihak si mati terdapat amalan yang dikenali sebagai tolak beras atau dawr (pusingan) iaitu proses pemberian dan pengembalian semula harta fidyah antara waris dengan penerima fidyah tersebut. Kaedah ini dibincangkan khususnya apabila si mati tidak meninggalkan harta yang mencukupi untuk melunaskan keseluruhan fidyah yang ditanggung. Amalan pembayaran seperti ini adalah satu kaedah untuk mengurangkan bayaran fidyah tersebut dan dalam masa yang sama bagi memastikan tanggungjawab pembayaran fidyah telah disempurnakan. Kaedah ini mula diperkenalkan oleh sebahagian fuqaha Mazhab Hanafi bagi menyelesaikan permasalahan seseorang yang menanggung terlalu banyak bayaran fidyah. Imam Ibn ‘Abidin menyatakan dalam permasalahan si mati yang tidak meninggalkan harta, waris boleh melaksanakan kaedah pusingan dengan memberikan nilai fidyah kepada fakir, kemudian fakir tersebut menyerahkannya kembali kepada waris dan proses tersebut diulang sehingga selesai kadar fidyah yang ditanggung.[2]
Pandangan yang sama juga turut dinukilkan oleh sebahagian fuqaha dalam Mazhab Syafii yang mengambil pandangan dalam Mazhab Hanafi ini, antaranya seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Bakri al-Dimyati bahawa apabila si mati tidak meninggalkan harta, waris boleh menggunakan kaedah tersebut dengan meminjam makanan dan menyerahkannya kepada fakir sehingga sempurna kadar fidyah.[3]
Justeru dirumuskan bahawa kaedah pembayaran sebegini adalah dianggap sah dan terangkat kewajipan membayar fidyah. Walau bagaimanapun, bagi individu yang tidak berkemampuan membayar fidyah ketika kewajipan itu berlaku, Imam al-Nawawi menyebut terdapat perbezaan pandangan ulama. Namun, pandangan yang lebih sahih dalam isu fidyah ialah kewajipan tersebut gugur apabila seseorang tidak mampu ketika waktu diwajibkan.[4]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
- Fidyah wajib ditunaikan segera dan diutamakan daripada harta pusaka.
- Kaedah "tolak beras" (dawr) berasal daripada mazhab Hanafi tetapi diterima pakai dan dianggap sah oleh sebahagian fuqaha Syafi'i.
- Pelaksanaan kaedah “tolak beras” (dawr) hendaklah difahami dalam konteks tertentu dan tidak dijadikan pengganti pembayaran fidyah secara biasa, tambahan pula pada zaman ini ia sangat tidak digalakkan.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawiy (1995), Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, Beirut: al-Maktab al-Islāmiy, 2:381-384. Petikan daripada teks Imam al-Nawawi yang diringkaskan:
وَتَجِبُ الْفِدْيَةُ بِثَلَاثَةِ طُرُقٍ. الْأَوَّلُ: فَوَاتُ نَفْسِ الصَّوْمِ، فَمَنْ فَاتَهُ صَوْمُ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ وَمَاتَ قَبْلَ قَضَائِهِ فَلَهُ حَالَانِ. أَحَدُهُمَا: أَنْ يَمُوتَ بَعْدَ تَمَكُّنِهِ مِنَ الْقَضَاءِ، سَوَاءٌ تَرَكَ الْأَدَاءَ بِعُذْرٍ أَمْ بِغَيْرِهِ، فَلَا بُدَّ مِنْ تَدَارُكِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ... الْحَالُ الثَّانِي: أَنْ يَكُونَ مَوْتُهُ قَبْلَ التَّمَكُّنِ مِنَ الْقَضَاءِ، بِأَنْ لَا يَزَالَ مَرِيضًا، أَوْ مُسَافِرًا مِنْ أَوَّلِ شَوَّالٍ حَتَّى يَمُوتَ، فَلَا شَيْءَ فِي تَرِكَتِهِ وَلَا عَلَى وَرَثَتِهِ... «الطَّرِيقُ الثَّانِي: لِوُجُوبِ الْفِدْيَةِ مَا يَجِبُ لِفَضِيلَةِ الْوَقْتِ، وَذَلِكَ فِي صُوَرٍ. فَالْحَامِلُ وَالْمُرْضِعُ، إِنْ خَافَتَا عَلَى أَنْفُسِهِمَا، أَفْطَرَتَا وَقَضَتَا، وَلَا فِدْيَةَ كَالْمَرِيضِ. وَإِنْ لَمْ تَخَافَا مِنَ الصَّوْمِ، إِلَّا عَلَى الْوَلَدِ، فَلَهُمَا الْفِطْرُ وَعَلَيْهِمَا الْقَضَاءُ. وَفِي الْفِدْيَةِ أَقْوَالٌ. أَظْهَرُهَا: تَجِبُ... الطَّرِيقُ الثَّالِثُ: مَا يَجِبُ لِتَأْخِيرِ الْقَضَاءِ، فَمَنْ عَلَيْهِ قَضَاءُ رَمَضَانَ، وَأَخَّرَهُ حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ السَّنَةِ الْقَابِلَةِ
Maksudnya: “Fidyah menjadi wajib melalui tiga cara: pertama, kehilangan puasa itu sendiri, iaitu sesiapa yang tertinggal puasa sehari daripada Ramadhan lalu mati sebelum mengqadha'nya, maka baginya dua keadaan — pertama, dia mati selepas sempat mengqadha', sama ada dia meninggalkan puasa itu dengan uzur atau tanpa uzur, maka wajib ditebus selepas kematiannya; keadaan kedua, dia mati sebelum sempat mengqadha', seperti terus sakit atau bermusafir sejak awal Syawal sehingga mati, maka tiada apa-apa yang wajib ke atas harta pusakanya mahupun ke atas warisnya. Cara kedua wajibnya fidyah ialah apa yang wajib kerana kelonggaran waktu, dan ini berlaku dalam beberapa keadaan: wanita hamil dan menyusu, jika mereka bimbang terhadap diri mereka sendiri, maka mereka berbuka dan wajib mengqadha' sahaja tanpa fidyah seperti orang sakit; tetapi jika mereka tidak bimbang terhadap puasa itu melainkan bimbangkan anak, maka mereka harus berbuka dan wajib mengqadha', manakala mengenai fidyah pula terdapat beberapa pendapat, yang paling kuat ialah ia wajib. Cara ketiga ialah apa yang wajib kerana melewatkan qadha', iaitu sesiapa yang terhutang qadha' Ramadhan lalu melewatkannya sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya”.
[2] Ibn ʿĀbidīn, Muḥammad Amīn. (1966). Ḥāshiyat Radd al-Muḥtār ʿalā al-Durr al-Mukhtār. Kaherah: Sharikat Maktabat wa Maṭbaʿat Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī wa-Awlādih, 2:73.
[3] Abū Bakr ‘Uthmān Shaṭā al-Dimyāṭiy al-Shāfiʻiy (1997), Iʻānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥall Alfāẓ Fatḥ al-Muʻīn, Beirut: Dār al-Fikr li al-Ṭibāʻah wa al-Nashr wa al-Tawzīʻ, 1: 33.
[4] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Nawawi (1347H), al-Majmū' Sharḥ al-Muhadhdhab, Kaherah: Idārah al-Tibāʻah al-Munīriyyah, 6: 259.