اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 103: WAS-WAS : CARA PENYELESAIANNYA

  

Takrif

 

Was-was dari segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (43/147)

 

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”

(Surah Qaf: 16)

 

Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan was-was kepada beberapa makna, antaranya:

  1. Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  1. Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  1. Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  1. Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah )43/147)

 

Permasalahan Was-Was Di Dalam Nas

Terdapat beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menyentuh berkenaan permasalahan was-was. Antaranya ialah:

Firman Allah SWT:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.  (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

(Surah al-Nas: 5-6)

Sayyid Qutb berkata, “Kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya di dalam jiwa dan di dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama.”

“Walaubagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan.” Rujuk Tafsir Fi Zilalil Quran (17/604)

Menurut al-Maraghi, “Bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada.” Rujuk Tafsir al-Maraghi (15/7748)

 

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Rujuk kitab Fath al-Bari oleh Imam Ibn al-Hajar al-Asqalani (8/614)

 

Syaitan akan membisikkan bisikan ke dalam hati-hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya. Rujuk Tafsir Ibn Kathir (4/750)

Firman Allah SWT:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ

Maksudnya: “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir).

(Surah al-Baqarah: 268)

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan merasuk dan mengganggu manusia”

Riwayat al-Tirmizi (3256)

Daripada Sofiyyah binti Huyay R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya  syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melaui saluran darah.”

Riwayat al-Bukhari (2039)

Bentuk dan Jenis Was-was

Ibnu al-Jauzi berkata syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat antaranya dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli.. kemudian lalu mengulanginya kerana menyangka niatnya adalah batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula maka apabila imam rukuk barulah orang yang was-was itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang was-was itu. Rujuk Talbis Iblis (hal.169)

 

Menurut Imam al-Ghazzali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, was-was terbahagi kepada beberapa bahagian:

Pertama: Bisikan kepada sesuatu kebenaran. Contohnya seseorang yang berkata; “Adakah patut aku meninggalkan kelazatan dunia? Kehidupan dunia sungguh panjang dan bersabar dalam meninggalkan kelazatan dunia sepanjang hidup adalah sangat pedih.” Namun, apabila mengingati agungnya kebesaran Tuhan dan nikmatnya syurga serta pedihnya azab neraka maka dia berkata kepada diri sendiri: “Menahan diri daripada kelazatan dunia amat pedih namun bersabar dengan seksa neraka adalah jauh lebih pedih. Tidak dapat tidak, aku harus memilih untuk bersabar dengan salah satu daripada keduanya. Dan apabila hamba itu terkenang kepada janji-janji Tuhannya, maka datanglah imannya dan larilah was-was syaitan tersebut.

Kedua: Bisikan yang mendorong syahwat untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Bisikan ini mampu dilawan dengan ilmu dan kefahaman bahawa sesungguhnya perbuatan tersebut adalah maksiat kepada Allah SWT.

Ketiga: Bisikan kepada sesuatu perkara yang berlegar-legar di dalam kepala. Bisikan itu pada perkara yang selain daripada solat. Jika seseorang manusia itu mengingati Allah, maka mampulah dia melawannya. Namun, bisikan itu akan datang semula dan hanya dengan mengingati Allah sahaja dapat mengatasi bisikan tersebut. Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (8/1416-1418)

 

Cara Menyelesaikan Was-was

  1. Berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Setiap hamba amat dituntut untuk berlindung dan meminta pertolongan daripada Allah Yang Esa. Ini kerana Allah SWT amat suka kepada hambaNya yang sentiasa meminta pertolongan daripadaNya. Ini jelas berdasarkan kepada ayat Quran, firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka mendapat petunjuk.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (was-was tersebut).

Riwayat Muslim (362)

 

  1. Sentiasa mendampingi para ulama’ dan orang-orang yang soleh.

Penekanan kepada pemilihan rakan taulan yang baik adalah penting dalam aspek kehidupan seseorang kerana ianya dapat mempengaruhi akhlak dan adab seseorang itu dalam bermuamalah. Justeru, teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT maka sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

 الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya”.

Riwayat Abu Daud (4835) dan Tirmizi (2552)

 

  1. Sentiasa melazimi dan mendalami ilmu agama

Dalam isu ini, penekanan kepada pemilihan guru yang mursyid harus dititikberatkan bagi mencapai kefahaman maksud ilmu yang sebenar. Kesilapan memilih guru yang sebenar sejak mula akan memberi kesan yang buruk terhadap keperibadian seorang penuntut ilmu.

Selain itu, penekanan kepada ilmu syari’at juga penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syari’at.

 

  1. Sentiasa melazimi zikir kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Berzikir amat penting dalam kehidupan seseorang muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka. Dengan melazimi zikir, ianya dapat menjadi benteng dan melindungi kita di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

 

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”.

(Surah al-A’raf: 201)

  1. Sentiasa optimis dalam setiap amalan harian kita

Umat Islam diseru untuk fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada was-was.

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-’Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan”.

 

Was-Was Di Dalam Solat

Menurut Imam Nawawi, antara kelebihan yang akan diperolehi oleh sesiapa yang berwudhu’ dengan sempurna lalu sembahyang dua rakaat maka dia akan dijauhi daripada bisikan syaitan dan was-was. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (43/149)

Ini sesuai dengan hadith yang menjelaskan cara-cara untuk menghindari was-was. Hal ini dapat dilihat berdasarkan sabda Nabi SAW;

Daripada Khalid al-Juhani R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يَسْهُو فِيهِمَا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya, kemudian dia bersolat dua raka’at dan tidak lalai ketika mengerjakannya (wudhu’ dan solat), maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”

Riwayat Abu Daud (905)

Dalam hadis riwayat Uthman bin Affan R.A., Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berwudhu’ seperti wudhu`ku ini kemudian bersolat dua rakaat, dalam keadaan dia tidak sibuk berbicara dengan dirinya (berkhayal, monolog, dll) dalam kedua-dua rakaat itu, maka akan diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.”

Riwayat Bukhari (159)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: لايحدث فِيهِمَا نَفْسَهُ” bererti apa yang jiwanya bercakap-cakap dengannya dan ini mampu dipotong oleh seseorang itu. Ini kerana perkataan yuhaddith itu menunjukkan usaha yang berasal daripada seseorang itu. Justeru, adapun lintasan hati dan was-was yang tidak mampu ditolak, maka itu dimaafkan.”

Rujuk Fath al-Bari (1/260)

Kesimpulan

 

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa penyakit was-was adalah satu perkara yang mampu diubati kepada sesiapa yang menghadapinya. Sifat prihatin dan mengambil cakna kepada cara-cara untuk mengatasi dan melawan penyakit was-was ini perlu ditekankan dari pelbagai aspek agar kita dilindungi daripada tipu daya syaitan.

Seterusnya marilah sama-sama kita berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada godaan syaitan yang tercela kerana hanya Allah lah tempat kita memohon perlindungan dan penyembuhan daripada sebarang penyakit. Justeru, benarlah firman Allah SWT:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan”

(Surah al-Syu’ara’: 80)

Sesungguhnya, penyakit dan penyembuhan itu adalah daripada Allah SWT semuanya. Kedua-duanya itu terjadi disebabkan qadha’ dan qadar Allah kepada hamba-hambaNya. Penyakit di sini menunjukkan kepada penyakit zahir (tubuh badan) dan penyakit batin (dalaman). Rujuk Tafsir al-Munir (19/168)

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah SWT agar dipermudahkan dalam mengerjakan setiap ketaatan kepadaNya. Kami juga berharap agar coretan ringkas kami ini dapat membantu golongan yang mempunyai prasangka was-was dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

12 Julai 2017 Bersamaan 18 Syawal 1438H