اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-160: MENANGIS MENDENGAR AL-QURAN

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith dibolehkan menangis ketika mendengar al-Quran ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkaitan soalan di atas, Allah SWT telah memerintahkan kita agar diam ketika al-Quran dialunkan atau dibacakan berdasarkan nas yang jelas di dalam al-Quran:

 

  • Firman Allah SWT:

 

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat”. [al-A’raf:204]

 

Di dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita agar dengar dan diam ketika al-Quran dibacakan. Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa apabila Allah SWT menyatakan bahawa al-Quran merupakan panduan bagi manusia dan ia juga merupakan hidayah serta rahmat maka dengan itu Allah SWT memerintahkan agar diam ketika pembacaan al-Quran  bagi memuliakan dan menghormati al-Quran tersebut.

 

Di samping itu juga, di dalam hadith sahih ada menghikayatkan bahawa Nabi SAW menangis apabila Baginda SAW mendengar ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh salah seorang sahabat Baginda SAW. Ini dinukilkan atau diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya:

 

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, berkata:

 

قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "اقْرَأْ عَلَيَّ"، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آقْرَأُ عَلَيْكَ، وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ، قَالَ: «نَعَمْ» فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ، وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا} [النساء: 41]، قَالَ: "حَسْبُكَ الآنَ" فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ، فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ

Maksudnya: “Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: “Bacalah (al-Quran) kepadaku”. Aku berkata: Aku baca kepadamu sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada engkau?. Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada orang lain”. Maka aku pun membaca surah al-Nisa’ sehingga aku sampai pada ayat “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri untuk menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan kamu (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”. Rasulullah SAW bersabda: “cukup” dan aku berpaling kepada Rasulullah SAW lalu aku melihat mata Rasulullah sedang berair (menangis)”. [Riwayat al-Bukhari (5050)]

 

Merujuk kepada hadith di dalam al-Bukhari ini jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menangis apabila mendengar bacaan Abdullah bin Mas’ud yang merupakan salah seorang sahabat yang besar dan banyak sumbangan kepada al-Quran.

 

Kisah-Kisah Para Salaf Ketika Membaca al-Quran Dan Solat

Antara kisah-kisah para salaf yang terkesan dengan bacaan al-Quran mereka adalah:

 

1) Abu Bakar al-Siddiq RA

 

  • Aisyah RA berkata kepada Rasulullah SAW:

 

إِنَّ أَبَا بَكْرٍ رَجُلٌ رَقِيقٌ إِذَا قَرَأَ الْقُرْآنَ لَا يَمْلِكُ دَمْعَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Bakar seorang lelaki yang lembut dan tidak mampu menahan air matanya ketika membaca al-Quran”. [Riwayat Muslim (418)]

 

2) Umar bin al-Khattab RA

 

  • Abdullah bin Syaddad berkata:

 

“Aku mendengar tangisan Umar bin al-Khattab yang tersedu-sedu, sedangkan aku pada saat itu berada di barisan yang paling akhir ketika solat Subuh dan saat itu beliau membaca surah Yusuf”.

 

3) Ibn Umar RA

 

  • Nafi’ menceritakan bahawa:

 

“Ibn Umar apabila membaca al-Quran dan sampai pada ayat: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)”. [al-Hadid:16]. Dia menangis sehingga air matanya membasahi janggut dan beliau berkata, “Wahai Rabbku!, memang benar sudah waktunya!”.

 

4) Ibn Abbas RA

 

  • Diriwayatkan daripada Abu Raja’ bahawa:

 

“Aku melihat Ibn Abbas di bawah kedua matanya bercucuran air mata yang banyak".

 

5) Muhammad bin Sirin

 

  • Hisyam berkata:

“Aku terdengar tangisan Muhammad bin Sirin pada waktu malam ketika beliau mendirikan solat”.

 

6) Muhammad bin al-Munkadir:

 

  • Daripada Yahya bin Fadl berkata:

 

“Ketika sedang solat malam, beliau menangis dengan kuat sampai beliau pengsan. Setelah beliau sedar dari pengsan, keluarganya bertanya: “Apa yang menyebabkanmu menangis?”. Beliau tidak menjawab dan tetap menangis”.

 

7) Zurarah bin Abi Aufa

 

  • Daripada Bahz bin Hakim berkata:

 

“Beliau pernah mengimamkan solat di sebuah masjid, lalu beliau membaca surah al-Muddatthir sehingga sampai pada ayat ke 8 dan 9 yang bermaksud “kerana apabila telah ditiup sangkakala, maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar”. Beliau teresak-esak lalu meninggal dunia”.

 

Menangis Di Dalam Solat Ketika Mendengar al-Quran

Sebelum kami datangkan pandangan ulama’ dalam menentukan hukum berkaitan seorang yang menangis di dalam solat. Antara sifat orang mukmin yang percaya dan beriman kepada Allah SWT apabila dia mendengar ayat-ayat Allah maka hati mereka akan bergetar dan keimanan mereka bertambah. Sifat ini disebut oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya yang suci:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. [al-Anfal:2]

 

Di dalam mazhab al-Syafie jika tangisan itu melebihi dua huruf (yang boleh difahami) maka solat itu batal melainkan jika tangisan itu tidak dapat dikawal dan perbuatan tersebut tidak mengeluarkan seseorang itu daripada keadaannya solat. Ini juga disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, al-Muktamad dan ini juga merupakan fatwa daripada bekas mufti Jordan Syeikh Nuh al-Qudhoh.

 

Penutup

Kesimpulannya, sepatutnya kita sebagai seorang mukmin yang beriman dengan al-Quran sentiasa melazami membaca al-Quran serta memahami makna-makna yang tersurat dan tersirat di dalam al-Quran. Dengan itu, kita akan lebih khusyuk dalam solat dan kita juga akan lebih kasih untuk meninggalkan bacaan al-Quran. Ini kerana, Imam al-Nawawi di dalam al-Tibyan mengatakan bahawa menangis ketika membaca al-Quran merupakan sifat orang yang arifin (mengenali Allah) dan syiar (tanda) hamba-hamba Allah yang soleh. Begitu juga, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa menangis semasa membaca al-Quran adalah digalakkan. Untuk itu di dalam Sunan Ibn Majah terdapat sebuah hadith:

 

  • Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA, Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ، فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا، فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini turun dengan kesedihan, maka jika kamu membacanya hendaklah kamu menangis, jika kamu tidak (bisa) menangis, maka berusahalah untuk menangis”. [Riwayat Ibn Majah (1337)][Hadith ini dinilai dhaif oleh Ibn Hajar akan tetapi menangis ketika membaca al-Quran merupakan kebiasaan atau amalan para Salaf al-Soleh].

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hambanya yang kasih kepada al-Quran serta menjadikan al-Quran itu sebagai syafaat kita di hari Akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam