اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-94: MAKNA HADITH QUDSI

 

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith qudsi ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Makna Hadith Qudsi

Ulama’ berbeza pendapat dalam memberi definisi berkaitan hadith qudsi, antaranya ialah:

 

  • Menurut Al-Jurjani

 

Hadith qudsi adalah hadith yang maknanya datang daripada Allah, sementara lafaznya daripada SAW. Sehingga hadith qudsi adalah berita daripada Allah SWT kepada Nabi-Nya melalui ilham atau mimpi. Kemudian Rasulullah SAW menyampaikan hal itu dengan ucapan atau lafaz daripada beliau sendiri. Untuk itu, al-Qur’an lebih utama berbanding hadith qudsi kerana Allah SWT juga menurunkan lafaznya”. [Lihat: al-Ta’rifat, 83]

 

  • Menurut Syeikh Abd al-Majid al-Ghauri

 

“Hadith Qudsi nisbah kepada al-Quds bermaksud suci. Manakala dari sudut istilah pula, apa yang dinukilkan kepada kita daripada Nabi SAW dengan sanadnya daripada Allah Azza Wa Jalla”.

 

Dinamakan Qudsi disebabkan hadith tersebut disandarkan kepada Zat yang suci iaitu Allah SWT yang suci daripada apa yang tidak layak bagi-Nya. Ia juga dinamakan hadith Ilahi (الحديث الإلهي) atau hadith Rabbani (الحديث الرباني). Hadith qudsi merupakan kalam Allah (kata-kata Allah) iaitu makna dan lafaznya daripada Allah SWT. [Lihat: Mu’jam al-Musthalahat, 307]

 

 

 

Perbezaan al-Qur’an Dan Hadith Qudsi

Antara perbezaan antara al-Qur’an dan al-Qudsi adalah:

  • Lafaz dan makna al-Qur’an daripada Allah SWT, manakala hadith qudsi maknanya sahaja daripada Allah SWT dan lafaznya pula daripada Rasulullah SAW.

 

  • Al-Qur’an boleh dibaca sewaktu di dalam solat, sebaliknya hadith qudsi tidak boleh dibaca di dalam solat.

 

  • Membaca al-Qur’an merupakan ibadah, sebaliknya membaca hadith qudsi tidak termasuk di dalam ibadah.

 

Perbezaan Hadith Qudsi Dan Hadith Nabawi

Antara perbezaan antara hadith qudsi dan nabawi adalah:

  • Hadith qudsi dinisbahkan kepada Allah SWT, adapun hadith nabawi dinisbahkan kepada Rasulullah SAW.

 

  • Hadith Nabawi boleh menjadi ijtihad daripada Nabi SAW, manakala hadith qudsi merupakan wahyu daripada Allah SWT.

 

Contoh Hadith Qudsi

Antara contoh hadith qudsi adalah:

 

  • Daripada Abu Zar al-Ghifariy RA daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang Baginda riwayatkan daripada Allah SWT bahawa Allah SWT berfirman:

 

يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ ضَالٌّ إلَّا مَنْ هَدَيْته، فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ جَائِعٌ إلَّا مَنْ أَطْعَمْته، فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ عَارٍ إلَّا مَنْ كَسَوْته، فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا؛ فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ، فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْت كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَته، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي! إنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ، ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إيَّاهَا؛ فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَن إلَّا نَفْسَهُ.

Maksudnya: “Wahai hamba-Ku,  sesungguhya  aku  telah  mengharamkan  kezaliman  atas  diri-Ku  dan  Aku telah mengharamkan kezaliman antara kamu, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman. Wahai hamba-Ku kamu semua adalah sesat kecuali sesiapa yang Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku nescaya Aku akan memberikan kamu petunjuk. 

Wahai  hamba-Ku,  kamu  semua  berada  dalam  kelaparan  kecuali  sesiapa yang aku berikan kepadanya makanan, maka mintalah makanan kepada-Ku nescaya  Aku berikan kamu makanan. Wahai hamba-Ku, kamu semua adalah telanjang kecuali sesiapa  yang  aku  berikan  kepadanya  pakaian,  maka  mintalah  pakaian  kepada-Ku, nescaya  Aku  berikan  kamu  pakaian.  Wahai  hamba-Ku  kamu  semua  melakukan kesalahan pada waktu malam dan siang hari dan Aku mengampuni dosa semuanya, maka  mintalah  ampun  kepada-Ku  nescaya    akan  Aku  ampuni. 

Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada mudharat yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada manfaat yang dapat kamu beri kepada-Ku. Wahai  hamba-Ku  seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga  orang  yang terakhir daripada  kalangan  manusia  dan  jin  berada  dalam  keadaan  paling  bertakwa  dalam  kalangan kamu,  nescaya   hal  tersebut  tidak  menambah  pada    kerajaan-Ku  sedikitpun. 

Wahai hamba-Ku seandainya seluruh manusia  meliputi  orang  yang  pertama  hingga   orang  yang terakhir daripada  kalangan manusia dan jin berada dalam keadaan paling jahat dalam  kalangan  kamu,  nescaya    hal  itu  tidak  mengurangi  daripada    kerajaan-Ku sedikitpun.  Wahai  hamba-Ku,  seandainya  seluruh  manusia  meliputi  orang  yang pertama hingga  orang  yang terakhir daripada  kalangan manusia dan jin berdiri di sebuah  bukit  lalu  kamu  meminta  kepada-Ku,  lalu  setiap  orang  yang  meminta  Aku penuhi,  nescaya    hal itu  tidak  mengurangi  apa  yang  ada  pada-Ku  kecuali  bagaikan sebilah  jarum  yang  dicelup  di  dalam  laut.  Wahai hamba-Ku, sesungguhnya semua perbuatan kamu akan diperhitungkan untuk kamu kemudian diberi balasannya. Siapa yang  mendapat  kebaikan  maka  hendaklah  dia  memuji  Allah  SWT  dan  siapa  yang mendapat selain daripada itu janganlah dia mencela  kecuali dirinya sendiri". [Riwayat Muslim, no. Hadith 2577]

 

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith.