اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-89 : HADITH MAQLUB

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Maqlub?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Maqlub adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan matan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Maqlub

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Maqlub adalah seperti berikut:

وَالمَقْلُوبُ قِسْمَانِ تَلَا

إِبْدَالُ رَاوٍ مَا بِرَاوٍ قِسْمُ * وَقَلْبُ إِسْنَادٍ لِمَتْنٍ قِسْمُ

 

Maksudnya: “Adapun [Hadith Maqlub] pula terbahagi kepada dua, (Pertama) Tertukar perawi dengan perawi yang lain satu bahagian, (Kedua) Tertukar sanad dan matan (dengan sanad dan matan yang lain) satu bahagian yang lain”.

 

Di dalam bahasa, perkataan “maqlub” adalah isim maf’ul daripada (قلب) qalb yang membawa erti membalikkan sesuatu daripada bentuk yang sepatutnya.

 

Menurut istilah pula, hadith Maqlub adalah “apa yang berlaku dengan cara mendahulukan perkataan yang sepatutnya diakhirkan atau mengakhirkan perkataan yang sepatutnya didahulukan, atau tertukar perkataan, atau perubahan pada perkataan secara waham (tersalah)”.

 

Pembahagian Hadith Maqlub

Berdasarkan manzhumah di atas, penulis telah membahagikan hadith Maqlub kepada dua bahagian iaitu:

  • Maqlub al-Sanad
  • Maqlub al-Matan

 

Pertama: Maqlub al-Sanad

Jenis Maqlub al-Sanad adalah seperti:

 

  • Tertukar perawi

Contohnya adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Zuhri daripada Abi Salamah tetapi perawi tersebut meriwayatkan dengan mengatakan oleh al-Zuhri daripada Sa’id. Sepatutnya al-Zuhri meriwayatkan daripada Abi Salamah tetapi perawi tersebut tersalah dengan menggantikan Sa’id di tempat Abi Salamah.

 

  • Tertukar nama perawi atau kunniyyahnya (nama kurniaannya)

Contohnya adalah perawi bernama Sa’ad bin Sinan tetapi perawi tersebut meriwayatkan hadith dengan menyebut Sinan bin Sa’ad.

 

  • Mendahulukan atau mengakhirkan

Contohnya adalah menjadikan nama guru kepada perawi di tempat muridnya dan meletakkan nama muridnya di tempat gurunya seperti hadith oleh Abi Salamah daripada al-Zuhri. Sepatutya hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Zuhri daripada Abi Salamah kerana Abi Salamah adalah guru kepada al-Zuhri.

 

Kedua: Maqlub al-Matan

Jenis Maqlub al-Matan adalah:

 

Pertama : Seorang perawi mendahulukan sebahagian matan yang sepatutnya diakhirkan dan mengakhirkan sebahagian matan yang sepatutnya didahulukan. Contohnya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

رَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَـعْلَمَ يَمِيْنُهُ مَا تُـنْفِقُ شِمَالُهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki yang bersedekah kemudian dia menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kirinya”. Ini adalah salah satu riwayat yang terbalik yang dilakukan oleh seorang perawi”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1712]

 

Sedangkan riwayat yang benar adalah: “Sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. Inilah adalah contoh daripada bahagian yang pertama, di mana terdapat pertukaran pada matannya.

 

Kedua: Menukar sebuah matan hadith dengan sanad hadith yang lain dan menukar sanad hadith dengan matan hadith yang lain. Penukaran ini dilakukan adalah dengan tujuan untuk menguji hafalan sebahagian para ulama hadith. Hal ini telah dilakukan oleh ulama’ di Baghdad terhadap Imam al-Bukhari ketika beliau datang menemui mereka.

 

Hukum Hadith Maqlub

Hadith Maqlub termasuk di dalam jenis-jenis hadith yang dha’if dan kadang-kadang ia boleh menjadi palsu. Tambahan pula, di sana terdapat dua hal keadaan dalam meletakkan hukum pada hadith Maqlub:

 

  • Jika pembalikan atau penukaran pada matan dan sanad hadith dilakukan bertujuan agar sanad atau matannya tidak diketahui maka hukumnya adalah tidak dibenarkan kerana ia merupakan perbuatan perawi yang gemar memalsukan hadith.

 

  • Jika ia dilakukan untuk menguji hafalan seseorang ahli hadith, maka hal ini dibenarkan jika ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antarnya, adalah perlu menjelaskan kembali matan dan sanad hadith yang betul sebelum meninggalkan majlis tersebut.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.