اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-87 : HADITH MU’TALIF DAN MUKHTALIF

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mu’talif dan Mukhtalif?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mu’talif dan Mukhtalif adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan lafaz dan tulisan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Mu’talif dan Mukhtalif

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mu’talif dan Mukhtalif adalah seperti berikut:

 

مُؤتَلِفٌ مُتَّفِقُ الخَطِّ فَقَطْ * وَضِدُّهُ مُخْتَلِفٌ فَاخْشَ الغَلَطْ

Maksudnya: “[Hadith Mu’talif] apabila tulisan sahaja yang sama. Dan sebaliknya dinamakan [Hadith Mukhtalif] maka takutlah (hati-hati) daripada tersalah”.

 

Menurut bahasa mu’talif merupakan bermaksud berkumpul atau berjumpa dan lawan baginya adalah berpisah. Manakala, mukhtalif pula bermaksud berbeza iaitu lawan bagi Mu’talif.

Berdasarkan definisi di atas,  apa yang dimaksudkan dengan hadith Mu’talif dan Mukhtalif oleh ahli Hadith adalah apa yang sama dari sudut tulisan tetapi berbeza dari sudut sebutan atau lafaz.

 

Jenis-Jenisnya

Antara sebab berlakunya kesalahan ini adalah:

  • Pertama: Titik pada huruf. Contohnya seperti perkataan : al-Jammal (الجمال) dan al-Hammal (الحمال). Pada perkataan pertama mempunyai titik dan kedua tidak.
  • Kedua: Baris pada perkataan (ini adalah banyak). Contohnya seperti Basyir (بَشِيْر) dan Busyair (بُشَيْر). Jika dilihat pada huruf pertama perkataan iaitu ba’(ب), perkataan pertama berbaris atas manakala perkataan kedua berbaris depan.

 

Contoh-Contohnya

Antara contoh-contoh berkenaan hadith Mu’talif dan Mukhtalif ini adalah:

 

  • Salam (سَلَام) dan Sallam (سَلَّام). Pada nama yang pertama tanpa tasydid (sabdu) dan yang kedua dengan tasydid.

 

  • Miswar (مِسْوَر) dan Musawwar (مُسَوَّر). Pada perkataan pertama dibaca dengan kasrah (baris bawah) pada huruf mim (م). Kemudian dibaris mati pada huruf sin (س) dan waw (و) tanpa tasydid (sabdu). Mankala pada perkataan kedua dengan dibaca dhammah (baris depan) pada huruf mim. Kemudian dibaca dengan fathah (baris atas) pada huruf sin (س) dan tasydid (sabdu) pada huruf waw (و).

 

  • Al-Bazzaz (البزاز) dan Al-Bazzar (البزار). Pada perkataan pertama huruf akhirnya adalah zai (ز) dan perkataan kedua huruf akhirnya adalah ra’ (ر).

 

  • Al-Thauri (الثوري) dan al-Tawwazi (التوزي). Pada perkataan pertama dibaca dengan huruf tha’ (ث) dan ra’ (ر) dan pada perkataan kedua dibaca dengan huruf ta’ (ت) dan zai (ز).

 

Faedah Mengetahui Jenis Hadith Ini

Antara faedah mengetahui jenis hadith ini, disebut oleh Ali bin Al-Madini: “Tashif yang paling berat adalah yang berlaku pada nama perawi karena ia sesuatu yang tidak boleh diqiyaskan dan tidak pula boleh ditunjukkan oleh sesuatu sebelumnya maupun sesudahnya”. Imam Ali bin al-Madini menyebut perkataan Tashif kerana bab ini atau jenis hadith ini hampir kepada bab al-Musahhaf yang juga berlaku pada sanad dan matan yang akan diterangkan kemudian.

 

Tambahan pula, ilmu ini amat penting dan agung kerana dengannya ia akan menyelamatkan kita daripada tersilap dalam meriwayatkan hadith dan juga dalam menyebut nama perawi di dalam sanad.

 

Kitab-Kitab Berkenaan Jenis Hadith Ini

Antara kitab-kitab yang membicarakan berkaitan jenis hadith ini:

  • Al-Mu’talif wa al-Mukhtalif oleh Abd al-Ghani bin Sa’id.
  • Al-Mu’talif wa al-Mukhtalif oleh al-Daraqutni.
  • Talkhis al-Mutasyabih oleh Khatib al-Baghdadi.
  • Tashifat al-Muhadithin oleh Abi Ahmad al-‘Askariy.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.