Soalan:
Apakah status dan makna berkaitan hadith ini ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap tahun, umat Islam akan berpuasa pada bulan Ramadan dan selama itu juga kita dapati masyarakat Islam di negara-negara Islam dan bukan Islam menyambut serta memeriahkan malam-malam di bulan yang mulia ini dengan ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bersedeqah, memberi makan, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan. Irsyad al-Hadith pada kali ini, akan menerangkan berkaitan sebuah hadith yang menceritakan akan kelebihan solat sunat tarawih bersama imam.
Matan Hadith
- Daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 734] [Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Tirmizi]
Hadyu Nabawi Dalam Hadith Ini
Lafaz Nabi SAW di dalam hadith iaitu “solat bersama imam sampai ia selesai” jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir khir. Hadith ini menunjukkan bahawa fadhilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala Qiyam sepanjang malam.
Hadith ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadhilat pahala solat sepanjang malam. Begitu juga, jika imam mendirikan solat 8 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.
Persoalan
Solat witir biasanya dilakukan di akhir malam sebagai penutup segala ibadah kita pada hari tersebut,. Adakah perlu dilakukan solat witir sekali lagi ketika bangun untuk melakukan solat malam secara bersendiri walaupun ia telah dilakukan bersama imam ketika solat Tarawih?
Jawapan
Solat Witir boleh dilakukan selepas Isyak sehingga menjelang fajar (subuh) dan ia juga sebagai penutup segala solat. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اجْعَلُوْا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
Maksudnya: “Akhirilah solat malammu itu dengan Solat Witir”. [Riwayat Bukhari, no. Hadith 943 dan Muslim, no. Hadith 1245]
Bagi menjawab persoalan ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa cukup hanya sekali melakukan witir pada satu malam, berdasarkan sebuah hadith yang dihukum hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا وِتْرَانَ فِيْ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Tidak ada dua witir dalam satu malam”. [Riwayat al-Nasa’ie, no. Hadith 1661]
Penutup
Kesimpulannya, setiap makmun itu perlulah menyelesaikan solat tarawih dan witir bersama imam sehingga selesai bagi mendapatkan fadhilat yang terdapat di dalam hadith ini. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengejar kelebihan yang Allah SWT tawarkan kepada kita. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesempatan untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witirr secara berjemaah. Amin.