اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-72: Hadith Masyhur (المشهور)

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Masyhur?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Masyhur adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi sesebuah hadith di dalam peringkat sanad.

 

Definisi Hadith Masyhur

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi Hadith Masyhur seperti berikut:

مَشْهُورٌ مَرْوِي فَوْقَ مَا ثَلاَثَهْ

Maksudnya: “[HadithMasyhur] pula yang diriwayatkan oleh lebih daripada tiga orang perawi”.

 

Menurut definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, Hadith Masyhur adalah hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi atau lebih daripada itu. Ini adalah pendapat kebanyakan ahli Hadith.

 

Di samping itu, terdapat definisi yang lain bagi Hadith Masyhur ini iaitu hadith yang diriwayatkan oleh lebih daripada dua orang perawi. Manakala, Imam Ibn Salah mengatakan bahawa Hadith Masyhur adalah hadih yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi daripada para imam yang diterima riwayat mereka.

 

Syarah Hadith Masyhur

Berdasarkan definisi ini, hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi atau lebih dalam setiap tabaqat sanad tetapi tetapi masih belum memenuhi syarat Hadith Mutawatir. Kadangkala istilah ini diucapkan pada hadith yang terkenal hingga menjadi buah bibir masyarakat meskipun ia merupakan hadith maudhu’ (palsu). Tambahan pula, Hadith Masyhur tidak mempunyai bilangan perawi yang tertentu. Sebahagian ahli Hadith menamakannya sebagai al-Mustafidh “المستفيض”. Daripada itu, dikatakan bahawa Hadith Masyhur dan al-Mustafidh adalah dua istilah yang sama, namun sebahagian lagi membezakan antara dua istilah ini dengan menyatakan bahawa Hadith Mustafidh adalah hadith yang di awal dan hujungnya sanad mempunyai bilangan perawi yang sama. Ini menjadikan Hadith Masyhur lebih bersifat umum berbanding Hadith Mustafidh ini.

 

Pembahagian Hadith Masyhur

Antara jenis-jenis Hadith Masyhur adalah:

 

  • Masyhur dalam kalangan ahli hadith, contohnya hadith daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW:

 

قَنَتَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا بَعْدَ الرُّكُوْعِ فِيْ صَلَاةِ الصُّبْحِ، يَدْعُوْ عَلَى رِعَلٍ وَذَكْوَانَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melakukan qunut selama satu bulan selepas dari ruku’ ketika solat Subuh, berdoa ke atas (kebinasaan) Ri’al dan Zakwan”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1087]

 

  • Masyhur dalam kalangan ahli hadith dan bukan ahli Hadith, contohnya hadith daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW:

 

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Seorang muslim adalah orang yang menyelamatkan kaum muslimin yang lain daripada bencana lidah dan tangannya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 9]

 

  • Masyhur dalam kalangan ahli feqah, contohnya hadith daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

أَبْغَضُ الحَلَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ

Maksudnya: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah talaq”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1863][Abu Daud tidak memberi apa-apa hukum berkaitan hadith ini]

 

  • Masyhur dalam kalangan ulama’ usul feqah, contohnya hadith daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Telah diangkat (dibebaskan) umatku kepada yang tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atasnya”. [Imam al-Nawawi menghukum hadith ini sebagai sahih] [Lihat: al-Majmu’, 8:450]

 

  • Masyhur dalam kalangan masyarakat awam, contohnya dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

اخْتِلَافُ أُمَّتِيْ رَحْمَةٌ

Maksudnya: “Perselisihan dalam kalangan umatku adalah satu rahmat”. [Hadith ini tiada asalnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Mulla ‘Ali al-Qari] [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 108]

 

Hukum Hadith Masyhur

Hadith Masyhur boleh menjadi sahih, hasan dan juga dhaif bergantung kepada hal keadaan perawi dan juga riwayat tersebut. Ini kerana, apabila ia memenuhi syarat-syarat penerimaan (kesahihan) sesebuah hadith, wajib diterima dan beramal dengannya. Manakala jika tidak memenuhi syarat-syarat penerimaan sesebuah hadith maka ia tertolak dan tidak boleh diamalkan melainkan dhaif yang terdapat padanya adalah dhaif yang ringan tetapi perlu kepada beberapa syarat untuk diamalkan. Ini kerana, Masyhur atau terkenal sesebuah hadith itu, tidak menjadikan sesebuah hadith itu sahih.

 

Penutup

Kesimpulannya, para ulama’ telah menghasilkan beberapa karya berkaitan hadith-hadith Masyhur. Antara yang terkenal adalah al-Maqasid al-Hasanah oleh Imam al-Sakhawi dan juga Kasyf al-Khafa’ oleh Imam al-‘Ajlouniy. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Amin.