اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-56: Apakah status hadith ini ?

 

Soalan

Apakah status hadith berkaitan memakai tongkat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Definisi tongkat

Menurut kamus Dewan, tongkat bermaksud sekerat kayu yang dipegang ketika berjalan atau untuk menyokong dan lain-lain lagi.

 

Perbezaan “العصا”, “العنزة”, “الحربة” dan “المنسأة”.

Keempat-empat perkataan ini membawa maksud yang sama iaitu tongkat tetapi yang membezakan antara keempat-empat perkataan tersebut adalah pada sudut ukuran dan bentuk.

 

Matan hadith

Di sini kami datangkan beberapa matan hadith hadith yang masyhur berkaitan memakai tongkat. Antaranya ialah:

 

  • Pertama: Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

 

حَمْلُ العَصَا عَلَامَةُ المُؤْمِنِ وَسُنَّةُ الأَنْبِيَاءِ

Maksudnya: “’Membawa tongkat adalah tanda seorang itu mukmin dan sunnah para anbiya’ (nabi-nabi)”. [Dhaif Jami’ al-Saghir, 1:404]

 

Hukum Hadith

Hadith ini dihukum “palsu” oleh al-Albani.

 

 

  • Kedua: Daripada Abdullah bin Abbas RA, beliau berkata:

التوكؤُ على العصا من أخلاقِ الأنبياءِ قال وكان لرسولِ اللهِ صلى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عصا يتوكأُ عليها ويأمرُ بالتوكؤِ عليها

Maksudnya: “Berpegang pada tongkat adalah daripada akhlak nabi-nabi dan Rasulullah SAW mempunyai tongkat yang mana Baginda SAW berpegang padanya dan juga Baginda SAW memerintahkan agar berpegang pada tongkat”. [al-Kamil fi al-Dhuafa’, 8:101]

 

Hukum Hadith

Hadith ini dihukum “palsu” oleh Ibn ‘Adiy.

 

  • Ketiga: Syeikh Mula Ali Qari menyebut dua buah hadith mengenai tongkat di dalam karyanya berkaitan hadith-hadith palsu iaitu al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudhu’ah yang dikenali juga sebagai al-Maudhu’at al-Kubra:

 

التَّوَكُؤُ عَلَى العَصَا مِنْ سُنَّةِ الأَنْبِيَاءِ

Maksudnya: “Berpegang pada tongkat adalah daripada sunnah nabi-nabi”. [al-Asrar al-Marfu’ah, 167]

 

Hukum Hadith

Perkataan ini benar tetapi “tiada baginya asal yang jelas”. Selain itu juga, hal ini juga dilakukan oleh Nabi SAW pada sebahagian waktu. Maksud perkataan ini benar adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿١٧﴾ قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ ﴿١٨

Maksudnya: “Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (17) Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu (18)”. [Taha:17 dan 18]

 

  • Keempat: Diriwayatkan daripada Nabi SAW:

 

مَنْ بَلَغَ الأَرْبَعِيْنَ وَلَمْ يُمْسِكِ العَصَا فقدْ عَصَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sampai (umurnya) kepada empat puluh dan dia tidak meenggunakan tongkat, sesungguhnya dia telah melakukan dosa”. [al-Asrar al-Marfu’ah, 167]

 

Hukum Hadith

Hadith ini dihukum oleh Syeikh Mula Ali Qari sebagai “tiada asal baginya”.

 

Walaupun begitu, terdapat sebuah hadith yang di dalam Sunan Abu Daud yang sering dijadikan dalil bagi penggunaan tongkat. Hadith tersebut ialah:

 

  • Daripada Abu Umamah, beliau berkata:

 

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah keluar menemui kami dalam keadaan berpegang pada tongkat”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 4553]

 

Hukum Hadith

Imam Abu Daud tidak mengeluarkan hukum berkenaan hadith ini (سكت عنه). Imam Ibn Hibban menyatakan pada sanad ini terdapat Abu Marzuq yang mana riwayatnya tidak boleh dijadikan hujjah apabila dia bersendiri. [al-Majruhin, 3:159] Imam Ibn Hajar al-Haithami mengatakan sanadnya hasan (baik). [al-Zawajir, 2:282]

 

Pendapat Syeikh Mustafa al-‘Adawi

Syeikh Mustafa berpendapat bahawa tongkat bukanlah untuk orang yang muda ataupun untuk orang yang sudah berumur tetapi ia adalah untuk orang–orang yang berhajat kepadanya maka gunalah ia ketika berhajat padanya dan kepada yang tidak berhajat kepadanya maka tinggalkanlah ia. Tambahan pula, di dalam al-Quran apabila Nabi Musa AS ditanya oleh Allah SWT:

 

وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿١٧﴾ قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ ﴿١٨

Maksudnya: “Dan apa (bendanya) yang ada di tangan kananmu itu wahai Musa? (17) Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku, aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu (18)”. [Taha:17 dan 18]

 

Imam Ibn Kathir menafsirkan “أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا” bermaksud Nabi Musa AS menjadikan tongkatnya sebagai tempat untuk menguatkannya ketika berjalan dan berhenti. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 11:186] Manakala “وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي” bermaksud Nabi Musa AS menggunakan tongkatnya untuk memukul daun-daun agar kambing-kambingnya dapat memakan daun-daun tersebut. Di samping itu, telah berkata Abdulrahman bin Qasim daripada Imam Malik: “هُشّ” bermaksud apabila seorang lelaki meletakkan tongkatnya pada dahan, kemudian menggerakkannya sehingga daun-daun dan buah-buahnya gugur tanpa mematahkan dahan atau kayunya.  [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 5:297]

 

Dan juga pada kisah Nabi Sulaiman AS, firman Allah SWT:

 

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ

Maksudnya: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya”. [Saba’: 14]

 

Begitu juga, kadang-kadang Nabi SAW menggunakan tongkat apabila Baginda SAW kepenatan dan juga ketika Baginda SAW sedang berkhutbah. Termasuk di dalam kesalahan di dalam syara’ apabila membawa tongkat di jalanan tanpa ada padanya faedah untuk diri si pembawa tersebut. Tidak sepatutnya menukar sesuatu yang Jibiliy atau sunnah adat kepada sunnah ibadah yang kemudian dijadikan penggunaan tongkat (dalam keadaan tidak berhajat) kepada sunnah Nabi SAW serta menggalak orang ramai untuk menggunakannya. Penggunaan tongkat adalah termasuk di dalam perkara-perkara adat, jika berhajat padanya maka gunakanlah ia dan jika sebaliknya maka tinggalkanlah ia.

 

Pendapat Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti

Nabi SAW membawa bersamanya al-Anazah (tongkat) dan para sahabat pula tidak membawa bersama mereka tongkat. Ini menunjukkan terdapat perbezaan (dari sudut kedudukan) antara Nabi SAW dan para sahabat. Hal ini juga dilakukan oleh para khulafa’, para imam, para hakim dan yang seumpama dengan mereka apabila terdapat padanya keperluan. Adapun pada orang awam, ia bukanlah sunnah sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’. Ia adalah sunnah kepada sesiapa yang mempunyai kelebihan berbanding manusia biasa seperti para imam, para pemimpin dan yang seumpama dengan mereka. Ini termasuk di dalam membesarkan mereka dan ia tidak menjadi masalah kerana mengikut Nabi SAW.

 

Tarjih

Setelah kami melihat kepada dalil atau hadith-hadith serta pendapat para ulama’ berkaitan dengan tongkat ini, kami berpandangan bahawa kebanyakan hadith yang disebut di atas adalah palsu atau teramat lemah kecuali sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA yang menjadi perselisihan para ulama’. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa penggunaan tongkat termasuk di dalam sunnah al-jibiliyyah yang berkait dengan adat sesuatu tempat atau masyarakat dan tongkat boleh digunakan bagi sesiapa yang berhajat padanya. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh mempercayai bahawa terdapat fadhilat atau kelebihan-kelebihan tertentu padanya (tongkat tersebut). Tambahan pula, Nabi SAW menggunakan tongkat berdasarkan beberapa sebab  atau keadaan, antaranya ialah:

 

  • Ketika Baginda SAW berkhutbah. Berdasarkan sebuah hadith yang sanadnya hasan (baik):

شَهِدْنَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا

Maksudnya: “Kami telah menyaksikan Jumaat bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW berdiri dalam keadaan berpegang pada tongkat”. [Lihat: Subul al-Salam, 1:418]

 

  • Untuk dijadikan penghadang (sutrah) ketika bersolat. Di dalam sahih al-Bukhari dinyatakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah:

 

فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ إلى العَنْزَةِ

Maksdunya: “Maka Nabi SAW solat dua rakaat menghadap tongkat”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5340]

 

 

Selain itu juga, antara dalil yang boleh digunakan untuk menggunakan tongkat adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. [Taha:18]

 

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan perkataan “مآرب” dengan hajat, keperluan atau manfaat. Imam al-Baghawi menyatakan yang dimaksudkan dengan maarib (مآرب) ini adalah apa yang digunakan padanya (tongkat) ketika bermusafir seperti membawa bekalan makanan, mengambil air dari perigi, membunuh ular, memerangi binatang buas, berteduh ketika berehat dan lain-lain lagi. [Lihat: Tafsir al-Baghawi, 3:259]

 

Telah berkata Imam al-Hasan al-Basri: “Terdapat padanya (penggunaan tongkat) enam sifat:

 

  • Sunnah para anbiya’.
  • perhiasan bagi orang yang soleh.
  • senjata ke atas musuh.
  • perlindungan bagi orang yang lemah.
  • menyedihkan orang munafiq.
  • menambahkan ketaatan. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 11:188]

 

Pada kami mungkin juga tongkat boleh mengisyaratkan bahawa seseorang itu sudah tua dan lemah di hadapan yang Maha Esa.

 

Penutup

Kesimpulannya, Nabi SAW tidak menggunakan tongkat dalam setiap masa dan juga keadaan melainkan dalam keadaan tertentu sahaja. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam mengikut sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita serta dalam masa yang sama menjadikan kita hamba-Nya yang soleh. Amin.