اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-48: Apakah status hadith ini ?

 

 

Soalan

Apakah status hadith kelebihan orang yang berpuasa di bulan Rejab dianugerahkan istana di dalam syurga  dan mendapat minuman yang tidak akan dahaga selamanya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan hadith

Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang menceritakan akan kelebihan orang yang berpuasa di bulan Rejab.

 

  • Hadith ini diriwayatkan oleh Amir bin Syibl, bahawa dia mendengar Abu Qilabah berkata:

 

فِي الْجَنَّةِ قَصْرٌ لِصُوَّامِ رَجَبٍ

Maksudnya: “Di dalam syurga ada sebuah istana bagi orang-orang yang berpuasa di bulan Rejab”.

 

Takhrij hadith

Hadith ini ada disebut di dalam kitab-kitab, antaranya:

  • Al-Targhib wa al-Tarhib (Qawwam al-Sunnah), 2:392
  • Syu’ab al-Iman, 5:337
  • Syarh al-Zurqani ala Mawahib al-Laduniyyah, 11:290
  • Kanz al-‘Ummal, 8:653

 

Hukum hadith

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Ia (hadith) adalah Mawquf (juga membawa maksud Maqthu’ di sisi mutaqaddimin) pada Abi Qilabah dan dia merupakan seorang tabi’in. Maka orang sepertinya tidak akan mengatakan sesuatu perkara melainkan hanya menyampaikan apa yang didengar daripada generasi sebelumnya iaitu sahabat RA yang pada zamannya turunnya wahyu (sahabat mengambilnya daripada Nabi SAW)”. [Syu’ab al-Iman, 5:337]

 

  • Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إنَّ في الجنةِ نهرًا يقال له : رجبٌ ، ماؤُه الرحيقُ ، من شرب منه شربة لم يظمأْ بعدَها أبدًا ، أعدَّهُ اللهُ لصوامِ رجبٍ

Maksudnya: “Di dalam syurga ada sebuah sungai yang dinamakan sungai tersebut sebagai Rejab, airnya adalah kasturi (atau arak yang suci), barangsiapa yang meminum daripadanya dengan satu minuman tidak akan merasa dahaga selepas daripada itu buat selama-lamanya dan Allah SWT menyediakannya (sungai tersebut) bagi orang-orang yang berpuasa di bulan Rejab”.

 

Takhrij Hadith

Hadith ini dimuatkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar di dalam karyanya Tabyin al-‘Ajab fi Fadhail al-Rejab pada halaman ke 12.

 

Hukum Hadith

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa hadith ini adalah bathil. [Lihat: al-Lisan, 5:386]
  • Imam al-Zahabi menghukum hadith ini sebagai bathil. [Lihat: al-Mizan, 5:386]

 

Tarjih

Setelah kami melihat dan menekuni berkenaan riwayat ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat Abi Qilabah ini adalah Maqthu’ (terputus) kerana dia merupakan seorang tabi’in dan riwayat ini tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW. Begitu juga dengan riwayat Abu Said al-Khudri yang mana kami berpendapat bahawa ia adalah Bathil. Di sini kami naqalkan pendapat atau kata-kata imam al-Baihaqi berkaitan hadith-hadith yang mengkhususkan tentang bulan Rejab:

 

“Telah diriwayatkan dalam bab ini (kelebihan bulan Rejab) hadith-hadith yang mungkar di mana perawi-perawinya tidak dikenali (majhul) dan juga lemah (dhaif)”. [Syu’ab al-Iman, 5:337]

 

Penutup

Akhirnya, marilah sama-sama kita meningkat amal soleh kita sempena dengan kehadiran bulan Rejab ini dan begitu juga di bulan-bulan yang lain. Semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan dan beramal dengan hadith Nabi SAW. Amin.